Kata-Kata Ibarat Doa, Bangunkan Karakter Peribadi Anak Melalui Seni Komunikasi

Share

Kata-kata yang keluar daripada mulut mak ayah itu ibarat doa. Boleh jika mahu menegur anak tetapi jangan biarkan kata negatif ubah emosi mereka.

Tak dinafikan setiap mak ayah mempunyai cara tersendiri dalam mendidik anak. Namun sejauh manakah didikan tersebut dapat membentuk peribadi mereka?

Boleh ikuti perkongsian Nonisnora Pauzi ini. Semoga perkongsian Perunding Kewangan ini memberi manfaat kepada mak ayah di luar sana.

Zuriat bukan untuk dibangga-banggakan. Namun ia adalah ujian, amanah dan tanggungjawab yang diberikan kepada mereka yang bergelar ibu bapa.

Semasa menyertai seminar parenting beberapa bulan lepas, Ustazah Isfadiah berkongsi tentang, Apa Yang Nak Dididik Pada Anak?

Di sini aku kongsi semula intipati sebagai panduan diri sendiri dan kepada pembaca.

Ada 5 Perkara Asas Kepada Didikan Anak-Anak Iaitu I.S.L.A.M

1) Intelektual – kecerdasan akal
2) Spritual – pembangunan diri dan kerohanian
3) Leadership – melatih tentang kepemimpinan dan tanggungjawab
4) Akhlak– mencontohi akhlak nabi
5) Motif – menjadi hamba dan khalifah allah

Santuni Dan Hormati Perasaan Anak

Antara lainnya dalam seminar tersebut, ada juga menyatakan mengenai kaedah interaksi yang menarik.

Dalam banyak-banyak kaedah interaksi, apa yang aku lihat, adalah bab menyantuni dan menghormati perasaan anak.

Semalam aku berada di Menara Mara, salah satu lokasi ruangan pengusahaan.

Tetiba! Gegendang telinga terganggu.

“Eh, budak ni aku benci betul kalau suka bersepah-sepah” dan blaaa blaaaaa dengan intonasi yang marah-marah. Serius buat aku bingit telinga.
Begitulah kata seorang ibu kepada anaknya.

Detik hatiku, oh tuhan!

Bagaikan ia sedang menghiris-hiris hati anak dengan perkataan benci! Sungguh ibu itu tidak menyedari, mungkin anak itu sudah berkecil hati dan memendam sendiri.

Apa yang aku belajar adalah ‘reverse’ kan kata-kata, sampaikan hajat kita dengan cara yang menyenangkan, Insya Allah setiap kata-kata adalah doa!

Contoh, kita ‘reverse’ kan kata-kata si ibu tadi.

Anak yang baik suka tolong ibu, boleh tolong ibu kemaskan ni?

Ha, lain kan! Si anak juga akan bersemangat untuk menggembirakan ibunya, instead of ibu marah, anak pula makan hati.

Nonisnora Pauzi

Artikel Berkaitan:
Daripada Marah Baik Doakan Anak, Mak Bertenang Akan Tarik Energi Bahagia

Kata-kata Negatif Boleh Ubah Emosi Anak-anak

Kata-kata yang negatif boleh mengubah emosi seseorang apatah lagi si kecil, yang mindanya tidak berfilter.

Perkataan yang didengar akan terus masuk ke minda dan melekat ke hati. Ini akan menjadikan anak-anak makin rendah moralnya, semangat down, kemungkinan suara kecil akan mengulang-ulang perkataan tersebut. Ini akan mempengaruhi proses pembangunan diri mereka.

Dalam proses anak-anak membesar apa akan jadi? Anak yang baik atau sebaliknya? Penyayang atau baran?

Mengikut Journal Family Relations: Prestasi akademik yang menyerlah atau tidak ianya bergantung kepada kekerapan interaksi antara parent dan anak-anak.

Journal The America Medical Association pula menyatakan, anak-anak susah nak stress apabila ibu bapa melayan anak-anak dengan baik.

Sebenarnya, di luar sana betapa ramainya anak-anak yang mengalami stress dengan persekitaran, dan layanan ibu bapa tanpa kita sedar.

Minta maaf ia dilihat sedikit sensitif tetapi ia juga adalah realiti.

Sikap Dan Dalaman Anak-anak Bermula Dari Proses Pembesaran Mereka

Aku juga berpengalaman sebagai cikgu dan sempat melihat keadaan ini. Dari sini aku dapat belajar tentang student behaviour. Pelajar kelas aliran sains, lain tutur kata dan perangainya. Manakala pelajar kelas yang hujung-hujung pula penuh dengan pelbagai ragam.

Kadang-kadang aku gagal untuk mengawal keadaan, pelajar riuh rendah, berlari-lari dan paling tak, mereka tidur saja sewaktu kelas bermula sampai akhir.

Ada juga pengalaman yang menggelikan hati, mereka gemar menyakat. Aku tak lekang bersama botol air jenama tupperware yang sentiasa bersangkut di bahu. Masa nakal, mereka mengalungkan tali botol ke leher sendiri dan berlari-lari keluar kelas dengan hasrat nak Cikgu kejar haha!

Belum kira lagi kes pelajar merokok di dalam tandas, bakar mercun di dalam kawasan sekolah. Malah aku sebagai cikgu gagal bertindak walaupun melihat asap rokok berkepul-kepul di depan mata, di depan tandas pelajar.

Huhh tak bisa! Aku mengeluh, ngeri dan kesal dengan keganasan anak-anak. Kasihan mereka!

Gambar sekadar hiasan

Begitulah cerita tentang anak-anak.

Sesekali sempat juga aku berborak santai dengan beberapa orang murid tanya itu dan ini. Semuanya berkaitan latarbelakang mereka. Betul lah! sikap dan dalaman anak-anak adalah bermula dari proses pembesaran mereka.

Oh Tuhan, betapa ramainya mereka di luar sana perlu melihat situasi ini sesuatu yang serius. Kita lah yang merubah masa depan mereka.

Cara kita berinteraksi ini sudah Allah jelaskan di dalam Al-Quran melalui Surah Ibrahim sebagai panduan hidup kita.

Terjemahan, Ayat 24-26:

“Tidakkah kamu memperhatikan bagaimana Allah telah membuat perumpamaan kalimah yang baik seperti pohon Yang baik, akarnya kuat dan cabangnya menjulang ke langit”

“Pohon itu menghasilkan buahnya pada setiap waktu dengan izin tuhanNya. Dan Allah membuat perumpamaan itu agar manusia sentiasa Ingat”

“Dan perumpamaan kalimah yang buruk seperti pohon yang buruk, yang telah dicabut akar-akarnya daripada permukaan bumi, tidak dapat berdiri sedikit pun”

Moga kita memahami ibrahnya di situ!

Sungguh teruja dengar cerita ustazah mengenai kisah Nabi Ibrahim dan anaknya Nabi Ismail. Begitu indah cara interaksi mereka lunak, lembut, menyantuni, Masya Allah.

MW: Semoga Perkongsian Ini Memberi Manfaat Kepada Semua. Yang Baik Dijadikan Tauladan.

Sumber: Nonisnora Pauzi

Published by
julie roshana Shafee