Rentetan pengumuman Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan memberi sarapan percuma kepada semua anak-anak di sekolah rendah di seluruh negara bermula Januari 2020, Menterinya, Dr Maszlee Malik menegaskan program sarapan percuma bertujuan membantu anak lebih fokus terhadap pembelajaran setiap hari.
Jika sebelum ini, menerusi program Rancangan Makanan Tambahan (RMT), cuma anak dari keluarga perbendapatan 40 peratus terendah (B40) saja yang menikmati kemudahan ini, kini tak lagi. Kerana sarapan percuma ini diperluaskan kepada seluruh pelajar.
Tulisnya dalam facebook beliau,
BERMULA JANUARI 2020, SARAPAN PERCUMA AKAN DISEDIAKAN BUAT SEMUA ANAK-ANAK DI SEKOLAH RENDAH SELURUH NEGARA
Anak-anak kita memerlukan jadual pemakanan yang tepat dan amalan pemakanan seimbang bagi memastikan mereka terus kekal sihat dan cergas di samping dapat membantu mereka memberi tumpuan sebaik mungkin dalam pelajaran setiap hari.
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) amat mengambil berat aspek pemakanan murid dan sentiasa menggerakkan pelbagai inisiatif penting untuk memastikan anak-anak kita perutnya sentiasa terisi dengan makanan berkhasiat.
Sehubungan itu, bermula dari Januari 2020, KPM bakal melancarkan program sarapan percuma khas untuk anak-anak di sekolah rendah di seluruh negara. Melalui program ini nanti, anak-anak akan disediakan sarapan enak berpandukan menu yang sihat dan ia adalah percuma.
KPM akan terus meneroka apa sahaja ruang bagi memastikan anak-anak hadir ke sekolah dengan penuh kegembiraan.
Mekanisme pemberian sarapan percuma ini bagi setiap sekolah bagaimana pun belum diperjelaskan secara menyeluruh.
Semoga dengan pelaksanaan sarapan percuma ini akan membantu anak-anak untuk lebih fokus memberi tumpuan dalam setiap sesi pembelajaran di dalam kelas.
Dan tentunya pengumuman ini memberi berita gembira kepada ibu bapa malah para pelajar yang bakal menikmati kemudahan lebih baik menerusi program ini.
Sumber/Foto : Dr Maszlee Malik