Kasihnya Seorang Ibu, Sanggup Belajar Memandu Demi Sekolahkan Anak OKU

Share

Dilahirkan normal seperti bayi-bayi lain, sekali pandang tiada cacat cela pada fizikal Abdul Fattaah Abdul Ghulam, 29 yang berasal dari Klang, Selangor ini. Namun ketika usia lima bulan, ibu dan ayahnya merasakan bagai ada sesuatu yang tidak kena pada anak kelima mereka. Fatah dirujuk kepada doktor pakar untuk mengetahui tahap pendengarannya dan ternyata ada sesuatu kelainan yang tidak boleh dilihat dengan mata kasar pada fizikalnya. Ketika itulah, Fatah disahkan oleh doktor sebagai OKU pendengaran.

Fatah membesar seperti kanak-kanak normal yang lain, malah sejak umurnya tiga tahun dia diberikan pendedahan tentang dunia luar oleh ibunya. Walaupun terpaksa memandu jauh untuk memberikan pendidikan yang sewajarnya kepada Fatah, itu semua bukan satu halangan untuk ibunya memberikan yang terbaik buat anak tersayang.

Keluarga besar Fatah

“Sejak berusia lima bulan saya disahkan oleh doktor yang saya adalah OKU pendengaran. Alhamdullilah ibu dan ayah adalah orang yang banyak membantu saya menjadi seperti hari ini. Saya masih ingat lagi emak terpaksa belajar memandu untuk membawa saya ke sekolah yang terletak di Kampung Pandan, Kuala Lumpur. Ketika itu kami sekeluarga tinggal di Klang. Memang besar pengorbanannya. Setiap hari mak terpaksa berulang alik tanpa jemu sebab mak tidak mahu saya ketinggalan dalam pelajaran. Mak memang nak saya dapat pendidikan yang sewajarnya walaupun saya tidak dapat mendengar seperti kanak-kanak lain.

“Keluarga saya dahulu berpindah randah kerana ayah sering tukar tempat kerja. Jadi saya memang belajar di banyak sekolah. Walaupun kerap berpindah, mak tetap berusaha mencari sekolah yang sesuai untuk pastikan saya dapat belajar. Syukur berkat usaha mak yang tak pernah putus asa, saya berjaya memperolehi segulung diploma Seni Lukis Batik. Institusi pendidikan tertinggi yang pernah saya ikuti ialah Politeknik dan Institut Kraf Negara,” cerita Fatah memulakan bicara.

Lakukan Pelbagai Pekerjaan

Kekurangan yang ada pada diri tidak pernah dijadikan alasan untuk terus bermurung dan mengenang nasib yang tidak sama seperti insan lain. Bahkan dengan kekurangan itulah menjadi pemangkin semangat untuk dia terus berusaha memajukan hidup meski diri tidak sesempurna orang lain. Pelbagai pekerjaan pernah dilakukan Fatah untuk mendapatkan rezeki yang halal bagi meneruskan kehidupan. Fatah yang merupakan jurugambar bebas, turut aktif sebagai tenaga pengajar bebas untuk pendidikan seni lukisan terutama lukisan komik di sekolah-sekolah sekitar Lembah Klang. Rajinnya Fatah, jika ada kelapangan, dia turut menjadi pemandu Grab Car bagi menambah pendapatan keluarga kecilnya.

“Saya bekerja di Akademik Saiful Nang sebagai tenaga pengajar tahun 2015 hingga kini. Sambil bekerja, saya mengambil peluang untuk belajar seni Fotografi. Sekarang saya bekerja sebagai juru foto bebas secara sambilan. Selain itu saya juga bekerja sebagai pengajar bebas dalam seni lukisan terutama lukisan komik. Saya pernah dipanggil untuk memberikan kursus lukisan dan komik kepada murid-murid Masalah Pendengaran seramai 20 orang di SK Presint 9, Putrajaya suatu masa dahulu.

“Sekarang saya masih mengajar di Akademi Saiful Nang pada hari Sabtu atau bila-bila masa dipanggil. Di samping itu, saya juga bergerak bebas sebagai seorang juru foto perkahwinan dan majlis jika diperlukan. Pada hari biasa, saya turut bekerja sebagai pemandu Grab

untuk menambah pendapatan keluarga,” ujar Fatah yang pernah muncul di kaca televisyen tempatan untuk berkongsi pengalaman sebagai Pemandu GrabPekak.
Fatah buat banyak kerja untuk tambah pendapatan

Tahun 2015 juga Fatah telah menamatkan zaman bujangnya bersama gadis pilihan hati yang juga merupakan OKU pendengaran. Hasil perkongsian hidup bersama, Fatah dan isterinya, Raja Quratul Ainn Raja Mohd Shah, 28 dikurniakan seorang cahaya mata lelaki yang kini berusia dua tahun.

“Saya telah berkahwin pada tahun 2015. Isteri saya juga seorang OKU pendengaran. Kami telah dikurniakan seorang cahaya mata lelaki berusia 2 tahun dan diberi nama Abdul Qayyum Wafiy. Alhamdulillah, anak saya tidak mewarisi kekurangan seperti saya dan isteri, anak saya normal seperti kanak-kanak lain,” ujarnya penuh kesyukuran.  

Keluarga Pendorong Utama

Dalam kejayaan setiap individu, orang terdekat sememangnya memainkan peranan yang besar. Dalam hal Fatah, emak, ayah dan isteri adalah orang terpenting selain ahli keluarga lain yang banyak memberi sokongan dan dorongan untuk dia terus berjaya dalam kehidupan.

“Emak dan ayah tentunya penggerak dan inspirasi untuk saya berjaya dalam hidup. Mereka sangat menitik beratkan tentang pendidikan. Mereka selalu berdoa untuk kejayaan saya.  Adik-beradik juga sangat mengambil berat dan memberi sepenuh sokongan. Selepas   berkahwin, isteri banyak membantu dalam kerjaya saya pada hari ini.” katanya lagi.

Minat Bidang Seni Lukisan

Sejak kecil Fatah memang sudah menunjukkan minat dalam seni lukisan dan berbakat dalam ilustrasi komik. Bermula dengan menconteng dinding, sedikit demi sedikit Fatah mengasah bakatnya dengan bantuan daripada kakak tersayang.

Fatah Sering dijemput untuk Kursus Seni dan Komik di sekolah-sekolah

“Sejak kecil saya suka lukis komik. Kakak saya dulu selalu beli komik. Pada mulanya suka conteng dinding tapi kakak ambil tangan saya dan letak atas kertas. Walaupun saya tak pandai membaca lagi ketika itu, tapi kerana nak tahu apa maksud ayat dari komik tersebut, saya mula rajin belajar untuk kenal huruf. Sejak dah pandai membaca dan faham cerita dari komik yang dibaca, saya dah tak conteng dinding lagi. Saya akan cari kertas dan lukis apa yang ingin saya luahkan atas kertas lukisan,” ceritanya tentang minat dalam bidang seni lukisan komik.

Ingin terus menimba ilmu dalam bidang fotografi yang juga menjadi minatnya, antara aktiviti masa lapang Fatah adalah mengajak isteri, anak dan rakan-rakan terdekat untuk terus berkarya dalam bergambar. Menurutnya dia sering dibantu oleh isteri dan rakannya untuk menjadi model bagi setiap sesi fotografi yang diadakan. Cintanya dalam bidang ini membuatkan Fatah turut menyimpan impian untuk membuka studio atau syarikat fotografinya sendiri suatu hari nanti.

Published by
Shahrina Azlin