Seorang isteri tentu sahaja sanggup melakukan apa sahaja demi suami tercinta.
Apatah lagi saat ini rumah tangga pasangan ini diuji apabila suaminya sakit, sudah tentu gundah hati isteri apabila berjauhan dengan suami.
Kasih seorang isteri, sanggup tunggang motosikal tujuh jam semata-mata mahu jaga suami.
Walaupun takut menempuh perjalanan yang begitu panjang, namun kuatkan hatinya untuk bertemu suami yang jauh di mata.
“Saya sayangkan suami sebab itu saya sanggup menunggang motosikal sejauh 200 kilometer (km) dari Kampung Kemahang, Benta, Lipis ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini kelmarin.
“Perjalanan bermula 6.15 petang mengambil masa kira-kira tujuh jam. Perasaan takut melalui perjalanan waktu malam yang gelap kawasan hutan memang terasa namun kerana kasihkan suami saya kuatkan semangat,”
kata suri rumah Rohaizan Rozama, 41.Dia nekad berbuat demikian demi mahu menjaga suaminya, Razali Ismail, 45 yang dimasukkan ke HTAA sejak 12 Disember lalu untuk mendapatkan rawatan penyakit kanser perut dan otak, tahap empat.
Menurutnya, dia terpaksa meninggalkan dua anaknya berusia empat dan lapan tahun dengan saudara di kampung.
Baca Juga Di sini:
Jangan Doa Minta Suami SAYANG, Lebih Berkesan Isteri Pohon Begini
‘Hadiahkan Emas’, Tanda Kasih Suami Hargai Pengorbanan Isteri, Pasti Rezeki Mencurah-Curah
Pengorbanan Isteri, SUAMI Buat TAK Nampak, Kekurangan Isteri BUKAN Main Dicanang
Untuk info lebih menarik, klik saja di sini.
Katanya, tanggungjawab terhadap suami yang kini bertarung nyawa dengan penyakit dihidapi perlu diberi perhatian.
Wanita itu berkata, dengan pendapatan RM500 bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan sedikit wang simpanan dia perlu berjimat sepanjang menunggu suami di HTAA.
Bagaimanapun, dia tidak pasti tempoh rawatan.
“Saya hanya mampu mengucapkan terima kasih pada mereka yang bermurah hati memberi sumbangan kewangan kepada saya, hanya Allah sahaja yang akan membalas keikhlasan individu berkenaan.
“Saya mengharapkan orang ramai dapat mendoakan semoga suami saya sembuh dan dapat meneruskan kehidupan yang sempurna,” katanya yang menetap di Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Kampung Kemahang, Lipis.
Beliau berkata demikian selepas menerima bantuan segera daripada Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) yang disampaikan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Baitumal Dan Operasi MUIP, Dr Asmadi Abdul Rahman, di sini semalam.
Rohaizan berkata, dia mengucapkan terima kasih kepada pengurusan MUIP yang begitu prihatin dengan segera memberi bantuan kepadanya bagi meringankan beban dia sekeluarga yang dalam kesusahan.
Sementara itu, Asmadi berkata, MUIP akan memberi bantuan bulanan RM500 kepada Razali iaitu suami Rohaizan.
Kita juga akan menyediakan bantuan barangan keperluan harian bernilai RM200 sebulan bagi meringankan beban keluarga terbabit yang kini bergantung sepenuhnya pada bantuan diterima.
“Saya berharap bantuan yang diberikan MUIP memberi sinar baharu kepada keluarga asnaf terbabit terutama selepas ketua keluarga mereka mengalami masalah kesihatan serius,” katanya.
MW: Pihak kami mendoakan suami kepada Puan Rohaizan Rozama cepat sihat dan pulih seperti sediakala. Demi kasih dan sayang kepada suami, isteri ini sanggup korbankan jiwa, raga.
Sumber: myMetro