Kasih sayang itu luas. Kasih sayang pada Sang Pencipta malah untuk sesama manusia dan makhluk lainnya. Pernah anda berasa bahawa kasih sayang yang anda berikan kepada orang lain itu tidak memberi makna apa-apa.
Segala curahan kasih sayang hanya sia-sia dan tersasar daripada matlamat yang diharapkan. Anda puas mencuba dengan pelbagai cara tetapi harapan anda masih belum menampakkan hasil.
Kita menyedari bahawa isu-isu kehidupan yang melibatkan hubungan sesama manusia boleh diselesaikan menerusi hubungan perasaan kasih-sayang. Walau apa cabaran hidup, kebahagiaan dan kedamaian boleh dikembalikan bila mana perasaan kasih sayang ini dapat dijelmakan semula.
Persengketaan Tenggelamkan Kasih Sayang
Namun begitu, persengketaan sesama insan sering menenggelamkan perasaan kasih sayang. Persekitaran hidup yang sebelumnya indah, akhirnya dipenuhi dengan perasaan kebencian dan dendam. Segala kebaikan yang pernah dicurahkan, semua terpadam daripada ingatan. Perkara yang berlegar-legar di fikiran hanyalah rancangan-rancangan negatif yang bakal menambah kelukaan hati.
Justeru itu, dalam mengharungi apa jua kemelut yang melanda maka hidupkan dan suburkan kembali rasa kasih dan sayang ini. Nilai kasih sayang ini perlu ditingkatkan ke tahap yang lebih bermakna iaitu kasih sayang yang tidak bersyarat atau kasih sayang tanpa syarat.
Kasih Sayang Tanpa Syarat
Ada kalanya, dalam hidup ini perasaan kasih sayang yang ada itu masih belum mencukupi. Lebih-lebih lagi bila kasih sayang itu dilingkari dengan syarat-syarat tertentu. Ia masih belum mampu mengubah persekitaran yang ada. Apa yang diperlukan adalah kasih sayang yang lebih tulus dan kudus iaitulah kasih sayang tanpa syarat.
Bukankah kasih sayang Allah SWT pada kita tanpa syarat? DIA menjadikan kita dengan sempurna tanpa mengharapkan apa-apa daripada kita. Kalau dihitung segala pemberian Tuhan kepada kita maka tentunya kering air di laut menjadi tinta, tidak habis kalau kita hendak menghitung pemberian Ilahi itu. Demikian lah kasih sayang tanpa syarat daripada-Nya kepada kita.
Prinsip Yang Sama
Begitu juga seharusnya apa yang berlaku cetusan emosi kasih dan sayang sesama insan mengikut prinsip yang sama. Kasih sayang di antara seorang ibu dan anak bukanlah kerana si ibu mengharapkan masa tua anak akan membalas jasa ibu tetapi segalanya dilakukan tanpa syarat, hanya kerana mencari keredaan-Nya.
Begitulah kisah Rabiatul Adawiyah apabila seorang raja masuk meminangnya, maka Rabiatul Adawiyah mengatakan bahawa dalam hatinya sudah tidak ada ruang lagi untuk dimuat perasaan kasih sayang selain daripada kasih sayang Allah SWT. Begitulah tingginya perasaan cinta Rabiatul Adawiyah terhadap Tuhan.
Hubungan cinta dan kasih sayang tanpa syarat ini juga terpancar dalam kisah keluarga Nabi Ibrahim a.s. Cinta Nabi Ibrahim a.s. kepada Allah tidak dapat digambarkan apabila baginda sanggup mengorbankan Nabi Ismail a.s. apabila turun perintah daripada Allah supaya baginda melakukannya sekalipun Nabi Ismail a.s. merupakan putera yang amat dikasihi setelah menunggu kelahirannya begitu lama sehingga menjangkau usia tuanya.
Inilah tanda kekhalifahan manusia yang Allah SWT tunjukkan kepada para malaikat, kehebatan manusia dalam membuktikan ketinggian cinta dan kasih sayang yang memberikan tenaga yang cukup kuat dalam hubungan dengan Allah SWT dan manusia lain.
Kurang Kasih Sayang Punca Wanita Curang? Ada Juga Sebab Lain
https://www.instagram.com/mingguanwanita/
Energi Dalam Berkasih Sayang
Inilah bentuk kekuatan kasih sayang tanpa syarat yang dimaksudkan. Cinta suami kepada isteri, begitu juga sebaliknya, tidak harus diletakkan apa-apa syarat selain daripada syarat untuk mendapat keredaan Allah.
Isteri tidak akan mengeluh kepenatan melayan suami dan anak-anak lantaran apa yang dilakukannya sekadar mencari limpah rahmat dan keredaan Ilahi. Lantas mencari keredaan Allah SWT itu menjadi matlamat akhir sebuah bahtera kasih sayang dan kecintaan dalam keluarga.
Begitu juga cinta ibu bapa kepada anak-anak, tidak harus diletakkan apa-apa syarat selain mendapat keredaan Ilahi di atas anugerah yang penuh bermakna itu. Anak-anak dibelai dan dididik dengan penuh rasa kasih sayang. Biarlah Allah SWT melimpahkan kasih sayang-Nya ke dalam hati dan perasaan mereka lantas menjadi hamba-hamba-Nya yang beriman dan bertakwa di kemudian hari nanti.
Bina Kekuatan Kasih Sayang Tanpa Syarat
Justeru itu binalah kekuatan rasa kasih sayang tanpa syarat dalam jiwa supaya emosi dan spiritual kita semakin mantap dan kukuh.
Sesungguhnya kasih sayang tanpa syarat inilah yang membahagiakan diri dan orang lain sekitarnya. Semoga kasih sayang Allah SWT yang tiada apa-apa syarat itu bakal memayungi segala urusan kehidupan kita sehingga menjadi kehidupan yang diredai-Nya.
Artikel: Dr. Muhammad Jantan, Perunding Motivasi dan Kaunseling.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI