Karnival Usahawan Wanita Malaysia 2024 anjuran Mingguan Wanita dan NONA dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) serta MyMall telah melabuhkan tirainya dengan menerima lebih 10 ribu pengunjung selama tiga hari di IOI Grand Exhibition and Convention Centre, Putrajaya baru-baru ini.
Karnival ini menampilkan lebih daripada 100 reruai yang mempamerkan pelbagai produk daripada usahawan wanita tempatan, termasuk produk kecantikan, makanan, dan fesyen.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan. Majlis turut diserikan dengan kehadiran beberapa tetamu kehormat antaranya termasuklah isteri Menteri Besar Selangor, Datin Seri Masdiana Muhamad, YAM Tengku Temenggong Perlis Dato’ Seri DiRaja Syed Amir Abidin Jamalullail ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail dan YM Che Puan Temenggong Perlis Datin Seri DiRaja Farinawati Datuk Mohd Din serta Ketua Pegawai Eksekutif Nu Ideaktiv Sdn Bhd Syamil Fahim.
Acara ini dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti menarik seperti bengkel dan forum keusahawanan antaranya termasuklah sesi perkongsian bersama, sesi santai bersama selebriti usahawan, serta persembahan artis tempatan.
Antara selebriti dan usahawan yang berkongsi ilmu mengenai bidang perniagaan termasuklah Cikgu Samm seorang usahawan yang aktif dalam memberikan bimbingan kepada usahawan tempatan mengenai cara memborong produk dari China secara dalam talian, usahawan dan pereka kasut terkenal, Christy Ng, jurusolek dan personaliti media sosial, Mek Dinda dan beberapa lagi personaliti dan usahawan tempatan.
Selain itu, platform e-dagang MyMall, yang diterajui oleh KUSKOP, turut menyediakan sesi taklimat untuk para usahawan tempatan dalam usaha membantu mereka memahami kaedah mengembangkan perniagaan melalui strategi digital terkini.
Sepanjang karnival yang berlangsung selama tiga hari para pengunjung turut disajikan dengan pelbagai tawaran menarik oleh para peniaga di samping beberapa aktiviti pentas yang berjaya menarik minat para pengujung antaranya termasuklah pertandingan ratu karoks, ratu jengga dan beberapa aktiviti lain.
Di malam kemuncak Karnival Usahawan Wanita 2024, seorang pengunjung bertuah telah menerima hadiah istimewa berupa penginapan 2 hari 1 malam di The Villas, Sunway resort Hotel bernilai RM5,000.00.
Penganjuran Karnival Usahawan Wanita 2024 berjaya mencetuskan gelombang perubahan dalam kalangan komuniti, terutama golongan wanita, untuk mendalami ilmu dan potensi perniagaan mereka, serta memperkukuh jaringan perniagaan dalam komuniti keusahawanan Wanita. Semoga inisiatif seperti ini diteruskan pada masa akan datang untuk terus memberi inspirasi kepada lebih ramai wanita mencapai kejayaan.
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE