Kanser Bukan Pengakhiran Hidup Tapi Tiket Ke Syurga, Bangkit & Teruskan Positif

Share

Disahkan kanser bukanlah kenyataan yang mudah ditelan. Bayangkan selama ini hidup tenang dan bahagia, tiba-tiba segalanya diragut sekelip mata. Tetapi setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya.

Kanser sebenarnya bukanlah tiket untuk mati. Sebaliknya ia tiket ke syurga. Jadi bangkitlah dan teruskan untuk positif menghadapi ujian ini. Lakukan perkara yang anda suka dan mampu gembira agar hidup anda lebih bahagia. Insyallah. Percayalah menurut Nurul Haslinda, berfikiran positif adalah penawar yang mujarab untuk pesakit kanser.

Ikuti perkongsian, Nurul Haslinda :

Positif ubat paling mujarab untuk pesakit kanser.

Kanser adalah satu penyakit yang bagi setengah orang adalah tanda-tanda kematian hampir tiba. Macam itu juga yang aku rasa. Bila tahu dapat kanser, dunia ini aku rasa gelap semuanya. Nak menangis, meraung dan menjerit semua ada. Tapi buatlah semua itu namun tak ada makna semuanya. Benda dah jadi kena redha untuk menerimanya.

Sapa tak rasa ‘down’? Ya… Aku rasa ketika itu. Hanya Allah yang tahu perasaan aku. Hancur terus. Fikiran jauh menerawang mengingatkan anak-anak aku yang masih kecil dan ibu bapaku yang sudah tua. Ya Allah bagilah aku peluang untuk aku tunaikan hajat-hajat terakhir aku. Hari-hari aku berdoa semoga aku sentiasa kuat.

Selepas pembedahan pertama, aku dah tak mahu lalui pembedahan yang lain. Jadi setahun aku berikhtiar berubat cara tradisional dan perubatan Islam. Namun ku sangkakan ianya ada perubahan dan sakit aku semakin kurang, namun semuanya menjadi lebih teruk.

Penyakit aku sudah mula merebak. Jadi aku terpaksa menyerah diri ke hospital juga ketika itu. Dan apabila buat scan dan mamogram, keadaan sakit aku memerlukan aku membuat pembedahan segera.

Maka dengan paksa rela aku terpaksa menurut nasihat doktor dengan hati yang kecewa sangat. Mujurlah ketika itu keluarga, saudara mara dan sahabat handai banyak memberi sokongan dan semangat untuk aku terus berlawan dengan penyakit aku ini.

Belum Berakhir

Namun bila sudah aku membuat pembedahan kali kedua, aku fikirkan semuanya akan berakhir tetapi tekaan aku salah lagi. Semenjak mendapat perkhabaran sahabat baik aku meninggal kerana penyakit yang sama dengan aku.

Terus aku jadi ‘down’ yang amat-amat. Menangis mengenangkan arwah. Dan masih teringat kali terakhir kami bersua meluahkan isi hati masing-masing. Allah lebihkan sayangkan arwah. Tiada lagi tempat untuk aku bercerita dan berkongsi sakit kami.😭😭

2019 Tahun genting pada aku, kanser aku dah mula merebak ke tulang. Aku jadi terlalu lemah. Bila baring atau duduk masa hendak bangun tersangatlah sukar. Sampaikan aku pernah menangis terlolong sendirian di dalam rumah. Pernah juga aku nak ke bilik air sambil mengengsot kerana tidak mampu berdiri lagi masa tu.

Ya Allah memang seksa sangat aku rasa masa tu. Sedangkan selepas pembedahan kedua tu aku sudah menjalani kimoterapi dan radioterapi atas saranan doktor. Membuatkan badan aku terbakar dan kepala aku botak licin.

Demi kesihatan aku pada ogos 2019 itu, aku mengambil cuti sakit barah untuk membuat rawatan untuk tulang aku. Dan sekali lagi aku kena menjalani radioterapi khas untuk bahagian tulang belakang dan tulang pinggul aku. Selain itu, setiap tiga bulan aku perlu ke hospital untuk masukkan ubat zometa ke dalam badanku bagi menguatkan tulangku.

Alhamdulillah aku sudah boleh bangun dan berjalan macam dulu walaupun tak sekuat dulu. Bila duduk atau baring, hendak ambil masa bangun tu memang susah sikit laa. Demi anak-anak ku, aku gagahkan juga bangun walaupun sakit.😢

Orang tengok aku seolah-olah macam tak sakit malah ada juga tak percaya yang aku ni sakit? Betul ke dia ini sakit kanser? Nampak ok je. Sebenarnya sakit ni bukan boleh buat main-main atau tipu. Sakit ini juga kita tak boleh mengadu sebarangan orang bukan ada yang kasihan malah ada juga yang mengata. Yang penting kita redha menerima penyakit ini. Ya aku redha dan aku sentiasa positif. Lawan walaupun hakikatnya aku tak kuat.

Berdoa Supaya Umur Panjang

Setiap hari aku berdoa supaya umur aku panjang untuk melihat anak-anak aku ni membesar dan diberi peluang berbakti kepada kedua ibubapaku selagi aku terdaya. Sakitnya Allah saja yang tahu.

Dengan kaki bengkak, lutut sakit dan lemah, sarat lagi yang membuatkan tulang jari tangan aku kebas, tulang belakang lagi sakit. Nak tunduk pun sakit. Tulang pinggul lagi sakit kalau duduk lama nak bangun tu, sakitnya yang amat. Tak tahu nak cerita macamana. Orang yang rasa je faham.

Lagi satu, sementara masih ada masa, selagi ada waktu aku juga teringin nak jalan-jalan tengok keindahan bumi Allah ni. Jadi aku mohon semoga Allah bagi aku kekuatan dan peluang untuk aku menikmati semua tu. Jadi kekuatan aku kini adalah kerana aku positif dan redha menerima sakit ini. Kalau kita sedih dan lemah semangat ianya akan memudaratkan kesihatan kita. Jadi sentiasalah buat sesuatu yang kita rasa gembira. lagi satu banyakkan bersedekah semampu kita kerana itu juga satu keajaiban untuk kita selain menjadi saham akhirat kita kelak.

Oleh itu kepada sahabat yang sedang buat rawatan kanser, tidak kira kanser apa pun dan tahap apa pun. Kuatlah dan positiflah kerana jika kita lemah kita akan teruk dan jika kita kuat, semangat kita juga akan kuat. Yakinlah dengan kuasa Allah. Kanser bukan tiket untuk mati tetapi kanser adalah tiket untuk kita menuju ke syurga. Allah sudah pilih kita dan kita insan terpilih itu, bersyukurlah. Bangkit dan sentiasa positif, insyallah kita akan sembuh. Amin…

#kisahcikgulinda
#akupejuangkanser
#catatankupengalamanku

Sumber: Nurul Haslinda

MW: Percayalah, Allah memilih kita untuk diuji pasti ada sebabnya. Bersyukurlah walaupun kadang-kadang anda rasakan tidak cukup kuat, positiflah untuk insan-insan yang anda sayangi. Sekurang-kurangnya bila anda mula positif, kesihatan akan bertambah baik dan tak mustahil untuk sembuh. 

Published by
Syazwani Mehat