Kanak-kanak 5 Tahun Meninggal, Tebuan Tanah Penuh Satu Badan

Share

Demi menyelamatkan nyawa anak bongsu, hilang rasa takut dan tidak kisah dirinya digigit tebuan tanah. Namun, sudah suratan takdir, anaknya tidak dapat diselamatkan kerana bisa cepat merebak ke seluruh badan.

Luluhnya hati bila kegembiraan untuk pulang ke kampung menjadi tragedi hitam dalam keluarga Mohd Khalid. Apalah daya bagi anak yang berusia 5 tahun apabila dirinya diserang tebuan tanah. Pada kejadian itu, mereka sekeluarga sedang bersiap sedia untuk pulang ke rumahnya di Ipoh.

Menurut Mohd Khalid, ketika kejadian, mereka yang tinggal di Pengkalan Ria, Ipoh, bersiap untuk pulang selepas bercuti di rumah ibu, Jumaat lalu.

Baca Artikel Menarik Lain Di Sini: Bila Disengat Lipan, PENTING Buat Perkara Ini Dulu SEBELUM Jumpa Doktor!

Asalnya Cuma Main Badminton, Tetiba Arwah Adrian Disengat Tebuan 60 Ekor Sampai Maut!

Info Lebih Menarik DI SINI

Tebuan Tanah Dari Rangka Pelantar Jeti

Sebelum kejadian, dia yang berada di kawasan rumah kira-kira 20 meter dari tempat anaknya bermain. Tiba-tiba, dia didatangi anak sulungnya Nur Adelya Qaisara, 10, memaklumkan adiknya diserang tebuan yang keluar dari sarang di bawah rangka pelantar jeti terapung terbiar di kawasan berkenaan.

“Saya berlari ke kawasan permainan dan terkejut melihat seluruh badan arwah dihurung tebuan sebelum menariknya. Saya cuba sambil menghalau serangga itu daripada badannya sebelum arwah pengsan.

Saya tak nampak warna pakaian yang arwah anak pakai. Seluruh tubuhnya dipenuhi dengan tebuan,” kata Mohd Khalid Omar, 40, bapa kepada Eidrish Mohd Khalid, 5, yang maut disengat puluhan tebuan tanah.

Ketika kejadian murid Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) An-Nur, Ipoh, Perak itu dikatakan bermain di sebuah taman permainan bersama dua kakaknya kira-kira 20 meter dari rumah neneknya di Kampung Tok Jembal, di sini, jam 5.40 petang.

Kejadian itu turut menyebabkan dua kakak arwah, Nur Adelya Qaisara, 10, dan Nur Aiyris Dania, 7, yang turut disengat serangga berbisa itu dikejarkan ke hospital untuk menerima rawatan.

Mohd Khalid berkata, Eidrish disahkan meninggal dunia jam 11.40 malam tadi di wad Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) manakala dua kakaknya masih menerima rawatan di wad sama.

Turut Menerima Rawatan

Mohd Khalid yang mengusahakan restoran di bandar Ipoh berkata, dalam kejadian itu, dia turut menerima rawatan di hospital selepas terkena sengatan serangga berkenaan ketika menyelamatkan arwah anaknya.

“Saya tidak sangka berlaku tragedi ini ketika percutian kami kali ini, namun saya reda dengan apa yang berlaku,” katanya.

Menurutnya, arwah sangat gembira pulang ke kampung neneknya dan kali terakhir pulang pada Mei lalu.

Katanya, kepulangannya kali ini adalah untuk bercuti selain membawa keluarga mentua mencandat sotong.

“Kami bertolak dari Ipoh bersama keluarga mentua secara berkonvoi membabitkan empat kenderaan dan tiba di sini pada Jumaat.

“Kami bercadang untuk pulang jam 6 petang semalam tetapi terpaksa ditangguhkan berikutan kejadian ini.

“Lagipun dua anak saya masih berada di wad dan mereka dilaporkan dalam keadaan stabil. Kematian adiknya juga sudah diberitahu kepada dua kakaknya dan mereka sempat melihat arwah di hospital,” katanya

Mingguan Wanita : Takziah buat keluarga Mohd Khalid. Bermain-mainlah di syurga wahai adik Eidrish.

Sumber: Harian Metro

Mingguan Wanita boleh diikuti juga di telegram :
https://t.me/bangkitwanitaMW

Follow kami di :
Facebook Mingguan Wanita
Instagram Mingguan Wanita
Twitter Mingguan Wanita

#bangkitwanita
#langkahyakinlakarkejayaan
#bisnesdarirumah
#mingguanwanita

Published by
Nora