Hebat sungguh dugaan yang terpaksa dihadapi oleh Izreen Azminda,33 apabila memilih hidup sebagai isteri kedua, tahun lalu. Ketika kontroversi memuncak, sana-sini orang mencaci, menghina dan menjatuhkan hukum. Hakikatnya, tiada kata yang dapat didustakan, jodohnya sudah ditakdirkan bersama suami orang yang juga pemuzik bebas, Muhammad Radzi Abdul Wahid, 30, atau Ude. Walaupun tidak lagi hidup bermadu selepas Ude menceraikan isteri pertama, Intan Liana Saleh, Mac lalu, namun api kebencian netizen masih tidak mampu dipadamkan sepenuhnya.
Memetik laporan dari Berita Harian, Izreen berkata perkara itu adalah ujian yang paling berat diterimanya selama lebih 12 tahun bergelar sebagai anak seni yang hampir membuatkan dirinya menyembah bumi.
Akui Izreen atau nama penuhnya, Izreen Azminda Aznam, 33, apa yang dilaluinya dianggap ujian hidup.
“Inilah ujian paling berat diterima selama lebih 12 tahun menjadi anak seni… Mungkin boleh saya simpulkan sebagai kifarah hidup.”
“Kun Faya Kun, jadi, maka jadilah ia.
“Saya, suami dan pihak di sana mungkin pernah melakukan kesilapan, jadi kami ditimpa dengan ujian hidup.
“Jujurnya, saya terlalu sibuk bekerja sepanjang lebih satu dekad, ada kala saya alpa dan lalai dengan perintah Tuhan. Allah pemberi rezeki dan Dia boleh merentapnya sekelip mata.
“Allah menjentik saya supaya kembali mengingati dan mendekatkan diri dengan-Nya. Mulanya, saya berat menerima ujian ini, tetapi saya harus reda,” katanya.
Berfikiran positif, Izreen berkata, Allah mungkin menarik rezekinya, tetapi dirinya dianugerahkan dengan suami.
“Begitu juga pihak di sana… Allah menarik suaminya, tetapi memberikannya dengan rezeki melimpah ruah.Itu yang diinginkan selama ini, Allah menunaikannya. Kami sudah menerima bahagian masing-masing… Allah Maha Adil,” katanya.
Wanita kelahiran Kangar, Perlis itu berkata, bohonglah jika dia mengatakan rezekinya tidak terjejas akibat kontroversi yang melandanya itu, tetapi Allah menyelamatkannya.
“Mana-mana selebriti yang dilanda kontroversi pasti berdepan kesan buruk terhadap kerjaya. Tetapi saya bersyukur, kehidupan saya masih sama, ada saja rezeki lain yang diberikan.
“Allah membuka jalan lain untuk saya mencari rezeki. Masih ada rezeki untuk saya menyelesaikan perbelanjaan diri dan keluarga.
“Saya percaya Allah menimpakan saya ujian sebelum memberi kebahagiaan. Tidak semua manusia diberikan ujian seberat saya, jadi berterima kasihlah kepada Tuhan kerana tidak melalui perjuangan yang pahit ini,” katanya.
Mengambil keberkatan hari baik dan bulan baik pada Ramadan al-Mubarak ini, Izreen berkata, dia sudah mengosongkan hatinya untuk memaafkan netizen yang pernah menjatuhkan hukum serta melemparkan fitnah terhadapnya dan keluarga.
“Ada yang mempertikaikan kenapa saya pula beriya-iya memaafkan netizen, sedangkan saya dilihat bersalah? Tidak berdosakah apabila kita memaki hamun, mencarut dan membuat fitnah?
“Ada masanya saya malu melihat mereka yang mengutuk dan menghina saya, seperti tiada lagi keampunan. Mereka tidak berada dalam kehidupan saya dan Ude,” katanya.
Izreen berkata, banyak perkara tidak didedahkan demi menjaga maruah dan aib.
“Bagi saya dan suami, kami tidak perlu berkongsi kisah luar atau dalam kain, siapa betul dan salah, biarlah waktu yang menentukannya.
“Menghukum orang tanpa tahu kebenarannya adalah berdosa. Jadi, tidak perlulah terlalu taasub dan emosi terhadap kehidupan orang lain. Tolong hormati kehidupan kami,” katanya.
Tambah Izreen, ibunya selalu berpesan supaya memaafkan sesiapa saja, biarpun dalam keadaan yang cukup sulit.
“Ibu berpesan, apabila memaafkan orang ketika hati sedang marah dan memberontak, insya-Allah, saya beroleh ketenangan dan kesabaran.
“Ya, saya melakukannya, saya kosongkan hati, maafkan semua orang. Saya rasa puas dan tenang selepas itu. Katalah apa saja, saya tidak mahu ambil kisah lagi.
“Saya juga akan menutup ruangan komen dalam laman Instagram buat selama-lamanya. Saya tidak mahu melihat perbalahan, keji mengeji dan komen ‘sampah’ lagi. Saya tidak suka bangsa sendiri mengeluarkan perkataan yang tidak sepatutnya, sedangkan saya lihat mereka adalah kaum ibu dan mempunyai anak-anak,” katanya.
Pelakon yang mencipta nama menerusi drama Isabella dan Juvana itu berkata, dia bahagia menjalani kehidupan bersama suaminya, biarpun sudah hampir enam bulan hidup dalam kecaman.
“Saya mahu menjadi isteri yang terbaik buatnya. Keruntuhan rumah tangga sebelum ini menjadi pengajaran terbesar buat saya dan Ude. Kami bukan saja mahu memperbaiki kekurangan, malah ingin menjadi insan lebih baik untuk kehidupan baharu ini.
“Saya akui, dulu saya dan bekas suami terlalu sibuk bekerja. Bayangkan, saya terbang ke Korea Selatan sehari selepas bernikah. Kami tidak banyak masa bersama.Saya percaya, masa itu emas dan ia amat berharga bagi setiap perkahwinan. Dulu, kami sentiasa sibuk dan berjauhan,” katanya.
Pada bulan puasa ini juga, Izreen berkata, dirinya tidak terlalu sibuk dan mahu mengambil peluang menjalani tanggungjawab sebagai isteri menyiapkan juadah berbuka dan bersahur.
“Saya lihat suami suka makan di rumah. Dia pula tidak cerewet dalam soal makanan, asalkan pedas.
“Ude suka lauk kering, saya pula berkuah. Jadi, saya kena menyiapkan beberapa jenis masakan. Ude paling suka asam pedas ayam. Saya sendiri masih belajar masak asam pedas orang Johor.
“Saya memang suka memasak jika tiada kerja. Saya mahu ambil kesempatan ketika tidak sibuk bekerja dengan mencuba pelbagai resipi pada Ramadan ini,” katanya.
Sempena Bulan Ramadan ini, Mingguan Wanita doakan yang terbaik buat kehidupan pasangan ini. Banyakkan bersabar dan semoga terus cekal menghadapi segala ujian yang melanda.
Sumber: bharian
Foto Owee Ah Chun