Bagi pelakon dan ikon fesyen tersohor, Scha Al Yahya, beg tangan bukan sekadar aksesori. Ia menyimpan kenangan manis antara dirinya dan ibu tercinta, Allahyarham Junainah Hashim.
“Saya dan mak memang berkongsi minat yang sama. Setiap kali saya ada koleksi baharu, saya pasti akan berikan satu kepadanya. Tetapi arwah lebih gemar menyimpannya rapi daripada menggayakannya kerana terlalu sayang,” luah Scha penuh nostalgia.
Maka, tidak hairanlah apabila Scha memilih untuk menamakan koleksi pertama beg tangan di bawah label fesyennya, Ayaaya, sebagai Hey June—sebuah penghormatan buat insan tersayang yang begitu bermakna dalam hidupnya.
Dalam majlis pelancaran koleksi Hey June, Scha tidak dapat menahan sebak mengenangkan detik ini yang sepatutnya disambut bersama arwah ibunya.
“Dari dulu, mak selalu bertanya apa lagi yang saya ingin capai dalam dunia ini. Dia sentiasa memberi dorongan untuk saya terus melangkah lebih jauh. Saya pernah berjanji kepadanya bahawa saya sedang berusaha ke arah ini… dan akhirnya, hari ini, ia menjadi kenyataan,” katanya dengan mata berkaca.
Bagi Scha, fesyen bukan sekadar gaya, tetapi juga satu bentuk ekspresi diri yang membangkitkan keyakinan. Itulah semangat yang ingin dibawa dalam setiap rekaan di bawah jenama Ayaaya.
Lebih daripada sekadar koleksi beg tangan, Hey June adalah cara Scha mengabadikan kasih sayangnya terhadap arwah ibu.
“Saya mahu setiap wanita yang memiliki beg tangan ini merasai kehangatan kasih sayang seorang ibu, seperti mana yang saya rasai sepanjang hidup saya. Ini adalah dedikasi buat wanita hebat yang menjadi sumber kekuatan saya,” katanya penuh makna.
Pemergian Allahyarham Junainah pada 7 Disember tahun lalu akibat serangan jantung meninggalkan kekosongan yang mendalam dalam hidup Scha. Namun, menerusi Ayaaya, dia berharap dapat terus membawa semangat ibunya dan menginspirasi lebih ramai wanita untuk berani mengekspresikan diri melalui fesyen.
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE