‘Kami Akan Jaga Amanah Ditinggalkan Arwah Along & Isterinya Dengan Baik’.Ajal dan maut ketentuan tuhan. Kehilangan keluarga tersayang yang ‘pergi’ akibat kemalangan maut memang cukup memeritkan. Apatah lagi turut meninggalkan anak-anak yang masih kecil. Amanah dan tanggungjawab dipikul sebaiknya, dalam membesarkan anak-anak saudara yatim piatu ini.
Bukan saja kehilangan abang sulungnya, wanita ini turut kehilangan kakak ipar yang juga sahabat baiknya selepas dua insan kesayangan itu meninggal dunia dalam kemalangan, tahun lalu.
Norhaziantie Zailani, 33, kini mengambil alih tugas dan tanggungjawab menjaga tiga anak pasangan itu yang kini meneruskan kehidupan dengan kasih sayang dan perhatiannya serta keluarga.
Abangnya, Mohamad Shafiq Zailani dan isteri, Faieznoor Mansor serta bayi mereka berusia 10 bulan, Daryan Marwa meninggal dunia akibat kemalangan di Kilometer 200 Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) di sini, 19 November tahun lalu.
Tiga anak mereka yang selamat dalam kejadian itu ialah Mohamad Danish Uqasha, 10, Dhia Medina, 6, serta Damiaa Melissa, 3.
Norhaziantie berkata, hubungannya dengan abang, Mohamad Shafiq yang dipanggil Along memang sangat rapat selain kakak ipar, Faeiznoor adalah sahabat baiknya, malah mereka juga tinggal di kawasan perumahan sama dan bersebelahan.
Menurutnya, sejak pemergian dua insan tersayang itu dia mengambil tanggungjawab menjaga tiga anak saudara dengan kerelaan diri sendiri dengan persetujuan suami Khairul Haznizam Roslan, 37.
“Suami juga mahu menjaga semua anak Along, malah dia juga sahabat baik Along sejak dari dulu dan selalu menghabiskan masa bersama.
“Mereka juga selalu meminta kami menjaga semua anaknya dan tak sangka apa yang selalu dikatakan itu akhirnya terjadi juga.
“Alhamdulillah, ketiga-tiga anak Along berada dalam keadaan baik dan mereka menerima kehilangan ibu bapa biarpun perit, namun kehilangan itu bukan saja dirasai mereka tetapi seluruh keluarga kedua pihak,” katanya tinggal di Bukit Sagu 2, di sini.
Katanya, anak sulung abangnya, Mohamad Danish Uqasha adalah anak susuannya dan kanak-kanak itu bersama dua lagi adiknya memang memanggil dirinya dan suami dengan panggilan ibu dan papa.
“Saya menjaga mereka dengan ikhlas dan tidak pernah berasa terbeban langsung, malah memang menganggap mereka seperti anak sendiri sejak Along dan Kak Long masih ada lagi. Saya layan anak mereka sama seperti anak kandung, tiada beza.
“Saya masih ingat pada hari pertama along dan isterinya meninggal dunia, acah (nama panggilan untuk anak sulung) cakap ‘abah dan mama sudah tiada. Acah tahu ibu sayang acah, boleh tak sayang adik macam acah?’. Itu memang menyedihkan saya kerana saya sayang mereka semua tiada beza.
“Kami akan jaga amanah yang ditinggalkan Along dan isterinya dengan baik dan akan cuba berikan pendidikan dunia dan akhirat yang lengkap untuk mereka sama seperti tiga anak kami,” katanya yang berniaga dalam talian dan menjahit barangan kanak-kanak seperti bantal dan tilam kekabu.
Norhaziantie yang kini mendapat hak penjagaan sepenuhnya tiga anak saudaranya itu mengakui tahun pertama Aidilfitri tanpa dua insan tersayang itu sangat berbeza terutama kepada anak arwah.
“Tahun pertama tanpa along sangat berbeza untuk keluarga kami. Kakak ipar pandai memasak, dia boleh dianggap ketua tukang masak keluarga. Along pula seorang yang manja, ceria dan suka berkongsi cerita dengan adiknya dan rakan.
“Kami sekeluarga sedih tetapi kami sepakat tidak menunjukkan perasaan itu di depan anak Along sebab kami tak mahu mereka juga berasa sedih dan merasai kekosongan itu,” katanya.
Mesti Baca:Taraf Mak Saudara Lebih Tinggi Dari Mak Mentua, Hanya Dia Seorang Dunia Akhirat, Jagalah Hubungan!
Baca Lagi Di Sini:Nafkah Anak Selepas Kematian Ayah Bukanlah Jatuh Pada Tanggungjawab Mak, Sebaliknya..
Artikel Menarik:“Dari Kecil Sampai Sekarang, Layanan Abah Sama Seperti Anak Sendiri,” Nik Mohamad Adhar
Mingguan Wanita: Mulia hati ibu saudara ini dalam menjaga amanah anak-anak saudara yatim piatu ini. Semoga dipermudahkan segala urusan dan menjadi tauladan buat kita juga.
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE Mingguan Wanita untuk dapatkan info dan artikel-artikel terkini serta menarik.
Sumber: Hmetro