
Isi Kandungan
ToggleBila buat kerja rumah, ada sesetengah perempuan dia tak ambil kira bab penat. Janji semua settle dan teratur. Itu yang kadang ada perempuan cepat stress dan serabut. Suka paksa diri sebab nak tengok benda sempurna.
Haaa… kalau ada sikap macam ni dalam diri, tolong beringat. Kongsi perasaan tu awal-awal dengan kaum suami, sekurang-kurangnya dia tahu dan boleh tolong mana yang patut.
Macam yang saudara Firdaus Shakirin kongsikan ini, nak hasilkan yang terbaik pun biar berpada-pada. Jangan sampai emosi terganggu.
Buat Kerja Rumah Takat Yang Mampu
“Nak jadi isteri yang baik itu boleh, tapi jangan ‘terlalu’ berusaha untuk menjadi yang terbaik…”
Buat setakat yang mampu, setakat yang awk boleh then minta suami untuk faham keterbatasan awak dalam menjadi seorang isteri, seorang ibu dan juga seorang pekerja.
3 status yang dipegang seorang perempuan setelah mendirikan rumahtangga.
Dia menjadi seorang isteri kepada suami, dia seorang ibu kepada anak-anak dan dia juga seorang pekerja kepada majikan (jika bekerja) dengan kudrat sebagai seorang perempuan. Anda rasa, sampai bila anda mampu untuk menggalas ketiga-tiga status itu dengan baik? Dan boleh melakukan semuanya dengan sempurna?
Please know your limit…
Tahu kemampuan dan batas awak, jangan buat semuanya terlalu sempurna sebab lama-kelamaan awak akan letih, awak akan penat. Bila awak letih, bila awak penat, awak akan beremosi dan cepat sensitive.
Awak akan moody dengan suami, awak cepat marah dengan anak-anak. Awak dah almost fully utilize fizikal awak, mental awk.
Kalau tak sempat buat kerja rumah tu hari ni, buatlah esok.

Perempuan Bukan Robot
Jangan paksa diri untuk buat juga bagi setel ari ni. Bezakan kerja rumah apa yang perlu dibuat dahulu, kerja rumah mana yang boleh dibuat dihujung minggu dan sebagainya. Jangan anggap semua kerja-kerja rumah tu perlu dibuat dalam hari yang sama, perlu disiapkan dalam hari yang sama. Jangan seksa diri sendiri untuk semua ni. Jangan paksa diri semata-mata untuk semuanya kelihatan baik dan sempurna.
Jangan… anda bukan robot.
Anda perlukan rehat yang mencukupi untuk terus berbakti dan anda juga perlu untuk terus sihat dalam menjadi seorang isteri dan seorang ibu.
Sayangilah diri anda sebelum menyayangi diri orang lain.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Tak Perlu Rasa Bersalah, Suami Ni Memang Untuk ‘Disusah’kan

Isi Kandungan
ToggleDalam perkahwinan, suami isteri perlu ada sikap tolak ansur dan bertimbangrasa. Tidak dinafikan, suami perlu dihormati dan dilayan sebaiknya.Dalam ingin memberikan yang ‘terbaik’ buat suami, terdapat para isteri yang tidak mahu ‘meminta’ bantuan daripada suami pun kerana tidak mahu dianggap menyusahkan atau membebankan. Segalanya kerja rumah, urusan rumahtangga dan anak-anak ‘ditanggung’ dan dihadapi sendiri, atas alasan reti berdikari.
Hakikatnya, para isteri perlu perbetulkan persepsi ini. Suami memang perlu ‘disusahkan’ sebab dialah orang terpenting, terdekat dan paling boleh diharap.Suamilah sepatutnya orang pertama isteri perlu minta bantuan tanpa perlu rasa bersalah, agar membuatkan dirinya rasa penting dan diperlukan.
Jemput baca perkongsian daripada Puan Nurul Izzah Zainol ini;
SUAMI UNTUK DISUSAHKAN
Pernah dengar tak ayat macam ni:
“Saya taknak susahkan suami saya..”
“Saya taknak bebankan dia, biarlah saya tanggung sorang2”
“Saya dah banyak susahkan suami, nanti dia terbeban, dia akan ceraikan saya”
“Saya ni isteri tak berguna, asyik susahkan suami. Tengok isteri orang lain tak macam saya pun”
Saya ni kadang-kadang confuse juga, kalau tak susahkan suami sendiri nak susahkan suami jiran sebelah kah? Ke macam mana? Suami ni memang untuk ‘disusah’ kan, bukan maksud saya sengaja menyusahkan.
Tetapi suamilah sepatutnya orang pertama yang kita perlu minta bantuan tanpa perlu rasa bersalah. Orang pertama yang patut tahu luar dan dalam kita, sakit perit kita, kerisauan kita, apa yang terjadi seharian dalam hidup kita, dan orang pertama yang akan menyambut khabar berita daripada kita.
RASA DIPERLUKAN DAN PENTING
Saya ni lah isteri paling banyak ‘susahkan’ suami. Sampai kalau drive mengantuk dan nak kena sembang dengan sesiapa, saya call suami ajak borak bagi hilang ngantuk. Bila stress dengan kes2 dan rasa geram, hah ke suami jugak saya luahkan. Takkan saya nak luah kat laki jiran depan rumah ye dak?
Sikit-sikit cari suami, sikit-sikit cari suami bukan maksudnya manja tak reti berdikari. Bukan maksudnya keanak-anakkan tak reti nak selesaikan masalah sendiri. Kita ni sikit-sikit cari suami sebab dia lah orang terpenting, terdekat dan paling boleh harap. Indirectly suami sepatutnya rasa penting dan dirinya diperlukan.
Ini tidak, bila balik rumah lepas kerja dah jadi semacam satu hukum wajib isteri kena layan suami macam raja. Jangankan nak cerita itu ini, masam muka pun jangan. Kalau boleh tunggu depan pintu dengan segelas air dan buka stokinnya memang isteri solehahlah hendaknya. Itulah pesan orang tua-tua.
Suami pula, bila balik rumah dan tengok anak isteri yang menyerabutkan, isteri pulak penat tak terlayan suami, makan malam pun tak sempat nak disediakan,isteri pula time tu lah nak menyinga dengan anak-anak, senang-senang aja si laki start kereta pegi lepak dengan kawan-kawan sampai lewat malam. Pedahal. Yang nanti akan rasa bersalah dan memohon maaf sape tau? Si bini sebab dia rasa gagal membuatkan suaminya bahagia di rumah.
KALAU TAK NAK
Saya nak pesan kat laki-laki bujang, benda yang tak dipesan dalam kursus kahwin dalam ceramah ustaz /ah patriaki, yang jarang dipesan orang tua-tua, bahawa kalau tak nak disusahkan isteri dan anak-anak JANGAN KAHWIN meski kau mampu zahir dan batin kau.
Kalau kahwin dengan harapan makan pakai ada orang jaga, mental emosi kau akan gumbira dan bahagia, nafsu kau ada orang nak layan setiap masa tinggal petik aja, MOHON TERUS BERMIMPI BASAH lah sahaja. Jangan pandai nak berbini.
Kalau tak nak dengar berita-berita buruk, hal-hal yang buat kau tertekan dan serabut, nak dengar benda yang sedap di telinga dan yang menenangkan hati sahaja, elok membujanglah sampai ke tua jaga diri sendiri cukup.

Kenapa? Kalau kau nak tahu, perkahwinan bukan soal nak sedap-sedap sahaja. Bukan dapat isteri maksudnya dapat bibik yang kerja untuk jaga keperluan kau. Bukan maksudnya kau dapat pelacur yang anytime boleh layan nafsu serakah kau. Itupun pelacur dapat bayaran kot. Bini, layan nafsu kau sampai sakit nak mati, satu habuk pun tak dapat apa.
Perkahwinan adalah satu komitmen. Satu hubungan simbiosis bukan parasit. Yang kalau cubit peha kanan, peha kiri terasa. Yang susah senang bersama. Tiada layanan double standard. Tiada siapa boss dan balaci. Tiada siapa tuan dan hamba.
Kalau tak bersedia dan tak mampu nak hadap ‘the ugly truth of a marriage’ , nabi pesan, berpuasalah kau sampai mampu. Itu sahaja.
MW: Semoga perkongsian ini bermanfaat. Tak perlu rasa bersalah meminta bantuan suami,agar membuatkan dirinya rasa penting dan diperlukan. Renung-renungkan dan pesan kepada anak-anak dan saudara lelaki kita juga.
Sumber: Nurul Izzah Zainol
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Semua Harapkan Isteri, Suami Belajarlah Uruskan Anak Kecil Sendiri

Isi Kandungan
ToggleTidak dinafikan terdapat sebahagian para suami yang terlalu bergantung dan harapkan isteri dalam menguruskan anak-anak. Dari anak-anak yang masih kecil hinggalah besar dengan alasan ‘tak pandai menguruskan mereka’. Perkara sebegini, suami memang perlu belajar sejak anak masih bayi lagi.
Mula-mula memang takut, kekok dan tak biasa, tapi lama kelamaan ia akan menjadi rutin dan terbiasa menguruskan anak-anak.Bukan apa, dalam situasi kecemasan seperti isteri sakit, perlu bertugas luar kawasan mahupun meninggal secara tiba-tiba, tidaklah suami mati akal dan buntu untuk menguruskan anak-anak.
Jemput baca dan hadam perkongsian daripada Dr Asmi Syabil ini;
SUAMI KIRIMAN TUHAN
“Puan perlu dimasukkan ke wad untuk pemerhatian dan rawatan lanjut”, ujarku kepadanya.
“Boleh saya berbincang dengan suami saya dahulu tak doktor? sebabnya saya masih ada anak-anak kecil yang perlu dijaga dirumah”,pintanya kepadaku.
“Tiada masalah puan.Sekejap ye saya panggilkan suami puan”, beritahuku kepadanya.
Dia merenung ke lantai.Wajahnya kelihatan sugul.Mungkin risau memikirkan jika dia dimasukkan ke wad,siapa yang ingin menjaga anak-anaknya yang masih kecil? Ditambah pula dengan anak yang masih menyusu.
Dia baru sahaja mengungkapkan keresahannya itu kepadaku jika dia ditahan di wad.Anaknya empat orang semuanya dan yang paling kecil baru berusia 9 bulan.
“Jika dimasukkan ke wad,selama berapa hari doktor?”
“Itu belum pasti lagi untuk berapa lama puan,bergantung kepada keadaan puan sendiri dan juga doctor yang akan merawat puan di dalam wad”, jawapan yang biasa aku berikan kerana setiap pesakit itu berbeza-beza.
Aku pasti,jawapanku itu tambah meresahkan jiwanya.Sudahlah perlu dimasukkan ke wad, untuk berapa lama itu juga masih belum pasti. Adakah hanya sehari dua? ataupun seminggu?atau mungkin lebih lama.
Pesakit dihadapanku ini pada mulanya dimasukkan ke Zon Merah kerana tekanan darahnya rendah dan nadinya sedikit laju (tachycardic) disebabkan dehidrasi.Selepas resusitasi (fluid resuscitation) dijalankan,pesakit menunjukkan respon yang positif dan kembali stabil.Disebabkan kapasiti Zon Merah agak terhad,lalu pesakit di-triage ke Zon Kuning untuk pemerhatian dan rawatan lanjut.
“Berdasarkan symptom-simptom dan keputusan darah yang ada,isteri encik mungkin menghidap demam Denggi dan dia perlu dimasukkan ke wad untuk pemerhatian dan rawatan lanjut kerana dia sudah menunjukkan tanda-tanda bahaya denggi seperti muntah-muntah dan cirit birit”
“Selain dari itu,darahnya juga pekat berdasarkan FBC yang diambil dan juga platelet,iaitu sel pembekuan darah juga sangat rendah yang mana boleh menyebabkan pendarahan spontan berlaku secara tiba-tiba.Dalam kata mudah,dia dalam fasa kritikal demam denggi sekarang dimana keadaan pesakit boleh merosot dengan sangat drastic”,ujarku kepada lelaki dihadapanku menerangkan keadaan isterinya.
“Keputusan darah juga menunjukkan fungsi hati turut terjejas dan perlu kepada pengambilan darah secara bersiri untuk monitor keadaan dia”, tambahku panjang lebar.
Minta Discaj Atas Risiko Sendiri
Dia hanya mendengar dengan tekun.Selepas beberapa ketika dan juga perbincangan dengan isteri,dia memandangku,
“Doktor,boleh tak kalau kami nak minta discaj atas risiko sendiri?”
“Boleh saya tahu sebab mengapa puan tidak mahu dimasukkan ke wad?”, tanyaku inginkan kepastian daripada pesakit memandangkan segala risiko sudah diterangkan termasuk kematian.
Demam denggi bukan boleh dibuat main-main.Tanya sahaja kepada pegawai perubatan yang pernah dipanggil menghadiri Mortality Meeting apabila ada pesakit denggi meninggal dunia,boleh murung dibuatnya.
Wanita 30-an dihadapanku ini hanya mendiamkan diri.Matanya hanya tertacap pada permukaan lantai.Enggan bersuara dan hanya membiarkan si suami yang berkata-kata.
“Kami masih ada anak kecil doktor,kalau dia masuk wad,siapa yang nak jaga anak-anak?”, balas suami.
“Encik kan ada.Keadaan isteri encik sangat merbahaya jika dibenarkan pulang sekarang.Boleh merisikokan nyawa”, tegasku.
Si suami tetap berkeras mahu isterinya dibenarkan pulang.
Alasannya:
“Saya tidak pandai nak urus budak kecil, susahlah saya nanti doktor”
Allahu,aku mengucap panjang di dalam hati.
Isterinya hanya menunduk dan mendiamkan diri.Entah apa perasaannya sekarang tidak dapat aku bayangkan.Dihidap demam denggi yang mungkin boleh meragut nyawa,tetapi suami mahu berkeras untuk membawanya pulang, atas alasan sukar untuk menguruskan anak-anak.
Suami Tak Pandai Uruskan Anak Kecil
Ini bukan kali pertama aku berhadapan dengan situasi sebegini dimana masalah akan timbul apabila si isteri perlu dimasukkan ke wad dan si suami pula sukar membenarkan atas alasan tidak pandai mengurus anak-anak.
Sama juga keadaannya apabila salah seorang anak perlu dimasukkan ke wad atas sebab-sebab tertentu tetapi si ayah tidak membenarkan atas alasan susah untuk menguruskan anak-anak yang lain kerana si ibu sudah pasti akan menemani dan menjaga anaknya yang sakit itu di hospital.
Tanyalah kepada mereka yang bekerja di dalam sektor kesihatan, acapkali berlaku situasi sebegini.Ini hanya satu sahaja kisah daripada beribu kisah yang hampir sama cuma dilakonkan watak yang berbeza.
Susah sangatkah untuk para suami di luar sana untuk belajar menguruskan anak-anak?
Atau semenjak dilahirkan sampai merangkak kemudiannya berjalan hanya sang isteri yang bertekah memandikan anak?
Hanya isteri yang menjirus dan menukarkan lampin anak setiap kali?
Hanya isteri sahaja yang tahu menyediakan makan minum anak-anak?
Hanya isteri sahaja yang tahu sukatan membancuh susu anak?
Sampai tahap nyawa isteri menjadi taruhan pun persoalan begini yang bermain di fikiran?
Ini tidak termasuk lagi bagi kes-kes isteri menghidap penyakit kronik seperti kegagalan fungsi hati,buah pinggan,kanser dan sebagainya, bukan kata nak menguruskan anak,siap ada yang bermain kayu tiga pula dibelakang isteri.
Na’uzubillah.
Bayangkan jika jawapan suami kepada isteri sebegini:

“Tak apa sayang,jika itu yang terbaik,masuk sahaja kedalam wad.Anak-anak jangan risau,pandailah nanti abang uruskan,bukannya abang tak biasa”
Sudah semestinya perit sakit yang ditanggung secara fizikal akan terasa ringan,apatah lagi beban emosi,pastinya rasa bahagia mendakap jiwa.
Ingatlah wahai para suami,melindungi isteri dan anak-anak dari segi keselamatan dan KESIHATAN juga tanggungjawab kita.
Belajarlah bagaimana menguruskan anak kecil sedari bayi yang baru lahir.
Ya,memang pada awal akan ada yang berasa takut,tetapi selepas kerapkali dilakukan,ia akan menjadi rutin yang kita sudah terbiasa dengannya.
– Seawal mendukung si kecil kali pertama dan mendendangkan azan di telinganya
– Belajar menguruskan dan menanam uri
– Usah takut memandikan anak yang baru lahir
– Belajar mencukur rambut anak jika ingin lakukan sendiri
– Belajar bagaimana menukarkan lampin
– Belajar memahami tabiat tidur dan penyusuan anak terutamanya 6 bulan pertama,yang mana seringkali menjadikan ibu bapa stress kerana anak kerap kali menangis di tengah malam dan sebagainya.
– Bangunlah di tengah malam untuk membancuh susu atau menukarkan lampin anak.
– Dan banyak lagi yang perlu dipelajari ,tidak termasuk lagi mengemas rumah,memasak,membasuh kain dan sebagainya.
Ini hanyalah secebis contoh daripada apa yang boleh kita lakukan,sekurang-kurangnya apabila isteri kita tidak sihat atau memerlukan rawatan lanjut di hospital,atau pergi berkursus bagi yang bekerjaya,atau apa-apa jua situasi, tiada lagi persoalan :
“Siapa mahu uruskan anak-anak”
Barulah kita boleh digelar Suami Kiriman Tuhan.
Semoga bertambah sakinah dan mawaddah apabila suami isteri bergandingan dan berpimpinan tangan menguruskan rumahtangga bersama-sama.
Tidak hina seorang suami menguruskan anak dan melakukan kerja-kerja rumah, bahkan lebih mulia dan selari dengan ajaran Baginda Rasulullah s.a.w.
Asmi Syabil
Coretan hujung minggu.
Suami dan bapa yang masih bertatih.
MW: Semoga perkongsian ini bermanfaat. Memang ada benarnya, tak salah suami turut membantu dan ambil peduli menguruskan anak-anak dan rumahtangga dengan tidak terlalu mengharapkan pihak isteri sahaja. Sekurang-kurangnya apabila isteri tiada disisi, suami tahu bagaimana menghadapinya.
Sumber: Asmi Syabil
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Suami Penganggur Dan Panas Baran, Isteri Tanggung Semua Belanja Keluarga!

Isi Kandungan
ToggleSuami panas baran memang menakutkan. Salah sikit saja dah melenting dan mengamuk. Lebih buruk lagi kalau sampai sanggup pukul isteri! Ikuti luahan hati seorang isteri yang bersuamikan lelaki panas baran.
Kahwin Suami Atas Dasar Cinta
Assalamualaikum. Saya seorang ibu kepada sepasang cahaya mata berusia tujuh dan lima tahun. Saya bertugas sebagai seorang di sebuah hospital manakala suami pula bekerja swasta. Perkahwinan kami atas dasar cinta setelah setahun berkenalan.
Selepas kahwin, suami mula tunjuk perangai sebenar. Segala perbelanjaan rumah terletak di bahu saya. Walau pun bergaji, dia habiskan untuk hobinya saja iaitu motosikal berkuasa tinggi dan memancing. Bahkan kadangkala minta duit daripada saya pula.
Terbeban
Memasuki usia perkahwinan lapan tahun, saya makin terbeban kerana pinjaman perumahan juga atas nama saya dan bayaran secara potong gaji. Malah saya juga terpaksa membayar pinjaman suami yang dibuat atas nama saya. Katanya saya bekerja kerajaan, lagi mudah dapat pinjaman.
Akhirnya, saya yang terbeban kerana perlu bayar itu dan ini. Nasib baik anak hanya dua orang. Segala perbelanjaan anak saya yang tanggung. Jika ada pun, dia akan belikan mainan anak sesekali. Hadiah untuk saya? Seingat saya, dia pernah belikan saya sehelai kain pasang ketika kami baru beberapa bulan berkahwin. Sejak itu, memang tak pernah. Inikan hadiah, duit nafkah bulanan pun tak pernah beri.
Sebagai isteri, lama-kelamaan akan rasa sakit hati juga. Terbit rasa tidak ikhlas dengan pertolongan yang diberikan selama ini. Mengapa saya yang perlu tanggung semua sedangkan dia juga bekerja? Saya tak kisah berapa dia nak bagi tapi sekurang-kurangnya biarlah dia turut menyumbang pada perbelanjaan rumah. Sering kali saya memujuk diri sendiri, sekurangnya dia membenarkan saya bekerja untuk mencari rezeki. Jadi, saya tetap perlu berterima kasih padanya. Saya juga sudah penat membebel dan menasihatinya tapi tidak dipedulikan. Akhirnya saya ambil keputusan untuk redha saja untuk menggelakkan pergaduhan.
Suami Tak Bekerja
Akhir tahun lepas, suami saya berhenti kerja. Katanya dia tidak sekepala dengan bos barunya di tempat kerja. Tapi bila saya risik pada kawan-kawannya, sebenarnya dia diberhentikan kerja kerana asyik ‘hilang’ pada waktu bekerja. Saya hairan, selama ini dia tak pernah pula tidak pergi kerja kecuali memang pada hari dia ambil cuti dan MC. Tapi saya tak berani nak tanya.
Sejak itu, dia hanya makan tidur di rumah. Bila saya perlu bekerja syif malam, anak-anak akan tidur di rumah pengasuh kami kerana katanya dia tak tahu nak jaga anak sedangkan anak-anak kami sudah besar. Bukannya perlu berjaga malam. Memang itu perangainya sejak anak-anak kecil. Apabila dia tidak bekerja, saya minta dia uruskan hal sekolah anak-anak, hantar dan jemput anak dari sekolah. Nasib baik dia sanggup.
Suami Mula ‘Naik Tangan’
Sebenarnya kami kerap bergaduh besar dan setiap kali itu juga pasti ada barang rumah rosak dihempaskan. Dia panas baran orangnya. Dua bulan lepas, dia semakin ganas dan telah memukul saya. Ketika itu kami bergaduh soal duit. Dia meminta duit daripada saya sedangkan ketika itu duit saya hanya tinggal cukup-cukup untuk belanja sebelum tiba hari gaji beberapa hari lagi. Duit itu hendak digunakan membeli umpan pancing.
Bila saya ungkit mengapa dia tidak bekerja, dia naik angin, saya ditampar dan dipukulnya. Walau pun tidaklah sampai berdarah dan patah, tapi cukup menyakitkan diri saya. Terpaksa saya berikan dan keesokan hari saya tebalkan muka meminjam duit daripada rakan kerana saya langsung tiada duit.
Ikut Rentak Takut Dipukul Lagi
Sejak itu, saya serik dan akan turuti segala kehendaknya kerana takut dipukul lagi. Saya tak dapat bayangkan kalau dia memukul saya dengan teruk kerana tubuhnya jauh lebih besar daripada saya. Jika tidak ada duit, saya rela meminjam daripada rakan. Mujur ada beberapa orang rakan rapat yang tahu kisah saya selama ini dan akan membantu saya.
Puan, apa yang patut saya lakukan? Kesabaran saya makin menipis. Walau pun baru sekali dia ‘naik tangan’ tapi saya risau kalau dia akan mengulanginya lagi. Setakat ini saya masih boleh mengikut kehendaknya untuk menggelakkan dia bertindak ganas. Tapi sampai bila?
Rasa sayang saya juga semakin menghilang. Saya takut untuk terus hidup dengannya dan kehidupan saya makin tersepit kerana dia enggan bekerja. Saya sudah tidak berani hendak menyuruhnya bekerja kerana takut dipukul lagi. Keluarga kami tidak tahu akan perihal ini dan saya malu hendak memberitahu mereka.
Isteri risau, Melaka.
JAWAPAN:
Wanita yang bergelar isteri kepada seorang lelaki dan ibu kepada seorang atau beberapa anak punya peranan dan tanggungjawab yang cukup besar. Ianya menuntut kepada pengorbanan dan kesabaran untuk membina keluarga seperti yang diharapkan.
Wanita yang bergelar isteri dan ibu juga berperanan dalam mendidik keluarga, bukan sahaja untuk anak-anak, malah mendidik diri sendiri, mendidik suami, juga mendidik seluruh ahli keluarga dalam kemampuan yang ada bagi menjamin agar setiap ahli keluarga tahu tentang peranan dan tanggungjawabnya.
Suami Kena Faham Tanggungjawab Isteri
Tugas dan tanggungjawab isteri seperti yang telah kita sedia maklum. Jika isteri itu bekerja, maka dia membantu menampung belanja dalam pengurusan keluarga. Tanggungjawab menyedia keperluan makanan, pakaian dan rumah adalah tanggungjawab suami. Isteri membantu sahaja, bukan mengambilalih atau menyediakan semua keperluan keluarga, apatah lagi memenuhkan duit poket suami.
Jika puan sebagai isteri mengambil alih semua tanggungjawab itu di mana tanggung jawab dia sebagai suami? Suami yang tidak menjalankan tanggungjawabnya terhadap isteri dan keluarga adalah lelaki yang tidak matang. Justeru, siapakah yang perlu memainkan peranan untuk “mematangkan” suami? Nak harapkan keluarganya atau nak harapkan rakannya?
Isteri Yang Kena Main Peranan Didik Suami
Jawapannya puan sendiri tahukan. Puan lah yang perlu memainkan peranan utama dalam mendidik suami untuk menjadi matang dan bertanggungjawab. Sebelum mendidik dan cuba mengubah suami, puan perlu mengubah minda dan tindakan puan terlebih dahulu apabila berhadapan dengan suami. Sedarkah puan cara puan ini memberi satu “peneguhan” tingkah laku suami yang negatif?
Dalam hal ini, puan perlu belajar dan mendidik diri puan agar bertegas dengan suami jika dia tidak memberi nafkah, tidak bekerja, apa tah lagi jika meminta wang dari puan. Jangan takut pada baran suami.
Jangan Takut!
Tahukah puan, kerana takut kepada baran suamilah maka dia menjadi semakin berani untuk tidak bekerja, meminta wang dari puan dan bertindak kasar terhadap puan. Puan perlu ada ketegasan dan jangan malu tidak bertempat.
Beritahu suami jika dia bertindak kasar puan tidak teragak-agak untuk membuat laporan kepada pejabat agama dan laporan polis. Beritahu keluarga agar dia tidak keterlaluan terhadap puan. Sekali lagi saya nyatakan, sebagai isteri, ada hak perlindungan, jangan biarkan diri diperalat dan disiksa emosi dan fizikal oleh suami.

Belajar Urus Emosi Berdepan Situasi Ini
Puan perlu belajar bagaimana urus diri puan untuk berhadapan dengan sikapnya. Jangan sesekali beri wang bila diminta. Kalau dia tidak mahu bekerja, maka makannya tunggu sehingga dia membeli beras dan ikan. Puan perlu berani, kerana jika puan takut maka selagi itulah dia akan jadi semakin berani memperalatkan puan untuk memenuhi kehendaknya.
Saya ada mengendalikan beberapa kes suami baran ini. Tidak baran sebanyak mana pun jika isteri tahu dan bijak mengendalikan suami, sama ada ada secara lembut tetapi tegas atau cara lain yang difikirkan sesuai untuk mengubah tingkah lakunya.
Jangan Tunjuk Lemah Di Depan Suami
Orang yang baran ni akan menang jika dia tahu orang yang dia berhadapan itu lemah. Maka puan jangan tunjukkan kelemahan seperti takut, mengalaah tidak bertempat. Selagi mana puan mengikut kemahuannya, bermakna puan tidak berusaha mendidik dirinya agar berubah. Untuk berubah bukan perkara yang mudah.
Puan perlu dapatkan panduan mengendalikan orang yang baran dan malas tidak mahu bekerja ini. Dia juga sukar berubah jika kehendaknya puan sering turuti. Selain daripada itu, gunakan orang ketiga yang suami agak hormati jika puan tidak mampu mengendalikannya secara berseorangan.
Campur tangan keluarga adalah perlu, tetapi kepada yang boleh diperoleh pandangan dan nasihat, bukan mengapi-apikan lagi keadaan. Jika puan bijak mengurus, permulaannya mungkin sukar, namun jika sekali buat berani memberi amaran kepada suami agar jangan jatuh tangan atau meminta wang dari puan, maka suami akan lebih berhati-hati. Jika dia bertindak kasar, jangan takut untuk ke pejabat agama. Atau jika lebih serius, jangan takut untuk fail kes ke mahkamah.
Ketahui Hak
Setiap insan ada hak dan perlindungan yang perlu dipertahankan. Buang sifat malu tidak bertempat. Jika puan berani melaporkan kepada pihak berkenaan, insya Allah suami tidak berani berkasar terhadap puan.
Nasihati suami agar berubah. Hidup perlu bekerja untuk menyara keluarga, dan yang paling penting menjalankan tanggungjawab dan amanah yang Allah berikan yang harus dipenuhi. Banyakkan solat malam, zikir dan mohon agar Allah beri petunjuk kepada suami dan kekuatan kepada puan berhadapan dengan sikapnya itu. Wallahualam.
Sumber: Permasalahan ini telah dijawab oleh Puan Maimunah Mohamad, Kaunselor dan penulis bebas, juga penulis jemputan di dalam Majalah Mingguan Wanita.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI