Kalau Tak Mampu Beranak Ramai, Pandailah Rancang Jangan Sampai Anak Terabai

Share

Anak ramai atau sikit bukanlah satu perlumbaan yang akhirnya menentukan siapa yang menang, siapa yang kalah. Sebaliknya setiap anak yang dikurniakan adalah amanah yang tidak ternilai, untuk menguji sama ada mak, ayah mampu atau tidak menjalankan tanggungjawab.

Dalam erti kata lain, kalau mak ayah tak mampu beranak ramai, pandailah merancang. Bimbang jika terlalu ramai anak hingga ada anak yang tercicir dan terabai.
Anak Amanah, tanggungjawab atau menyusahkan?

Ikuti perkongsian Nurul Haslinda dan fahami sedalamnya :

Anak adalah anugerah Allah kepada setiap pasangan yang telah berkahwin. Ada yang rezeki orang dapat anak cepat iaitu selepas berkahwin terus bunting pelamin.

Ada juga yang kahwin bertahun-tahun baru dapat anak malah ada yang berkahwin bertahun tidak dapat anak lagi. Ada yang mudah mengandung tapi tak ada rezeki kerana keguguran dan ada juga dapat anak tetapi tidak sihat dan tidak sempurna.

Apapun keadaan itu, semua adalah urusan Allah. Allah yang memberi dan Dia juga boleh mengambilnya.

Setiap Manusia Berbeza Rezeki

Ada orang rezeki dia dapat anak ramai dan ada orang rezeki dia anak tak ramai. Namun atas keupayaan dan kemampuan masing-masing lah untuk menjaga dan mendidik anak-anak sendiri menjadi baik atau sebaliknya.

Kerana setiap anak yang lahir itu ibarat kain putih yang bersih, atas kita sebagai ibu bapa lah untuk mencorak kehidupan mereka. Kalau tak mampu mempunyai anak ramai, pandai -pandailah merancang supaya tidak ada anak kita yang terabai dan keciciran.

Ini tidak kita tengok ada antara mereka yang berebut-rebut nak lawan anak siapa paling ramai, ada yang berlawan sesama adik beradik ipar dan sebagainya padahal dari segi kemampuan memang tak mampu.

Kalau mampu tidak kisah lah kalau nak anak ramai manapun. Tapi Ini tidak mampu dari pelbagai segi. Kesian tengok hidup anak-anak yang terabai. Sepatutnya kita perlu jadikan anak kita anak yang berkualiti bukan semata-mata kuantiti.

Mampukah Mendidik Anak

Memang bangga anak ramai dan kita subur tapi mampukah kita mendidik mereka sama rata? Memberi yang terbaik untuk anak-anak kita kelak? Tepuk dada bukalah minda. Semua itu di tangan kita.

Bagi yang mempunyai anak, ini nak pesan malah pesanan inipun untuk diri sendiri kalau kita marah anak, jangan marah dengan mengeluarkan kata-kata yang boleh buat mereka hilang semangat dan rasa diri mereka menyusahkan hidup orang lain.

Anak-anak ini, lebih-lebih yang tengah membesar ni, jiwa mereka sangat lembut dan lemah. Mereka perlukan kita untuk memberi semangat kepada mereka.

Jadi sebagai ibu bapa kita didik dan tegurlah mereka dengan cara yang baik dan berhemah supaya kita dapat membentuk akhlak mereka menjadi lebih baik. Menghormati ibubapa dan orang sekeliling mereka.

Jangan suka mengeluarkan perkataan yang tidak elok kelak mereka akan ikut dan terbawa-bawa ke dalam kehidupan seharian mereka seperti mencarut dan macam-macam lagi perkataan yang tidak elok.

Fikir Dahulu Sebelum Marahkan Anak

Memang diakui kadang-kadang kita juga boleh hilang sabar dengan kenakalan anak-anak kita. Betul tak? kadang-kadang tanpa kita sedar kita memarahi mereka dengan teruk dan mengeluarkan kata-kata yang tidak baik kepada mereka.

Lepas tu mesti kita akan merasa menyesal, betul kan? Jika itu yang kita rasa maknanya kita memang seorang yang penyayang sebenarnya. Mengucaplah banyak-banyak sambil merenung anak-anak kita itu. Lebih-lebih lagi waktu mereka tidur.

Kenanglah susah payah kita semasa mengandung dan melahirkan mereka. Malah kehadiran mereka sangat kita nanti-nantikan. Sepatutnya kita bersyukur Allah bagi kira rezeki anak, berbanding dengan orang lain yang sudah lama kahwin malah sehingga akhir hayat mereka tak pernah merasa menjadi ibu atau bapa.

Jadi bila nak marah tu, marahlah dengan percakapan yang baik-baik. Rotanlah dengan tidak mencederakan. Sebab kita berhak mendidik mereka. Masa depan anak-anak kita terletak pada didikan kita masa kini.

Kasihanilah Anak Yang Tak Bersalah

Akhir kata, kita semua tidak sempurna. Malah cara didikan dan ajaran kita semasa kecil dulu tidak sama. Ada yang hidup bahagia dan gembira ada yang dibesarkan dengan kebencian dan kekejaman.

Namun sedarilah tak kan kita nak turunkan cara didikan kita dulu yang tidak elok itu kepada anak-anak kita? Kasihanilah mereka kerana mereka tidak bersalah dan tidak tahu apa-apa.

Bagi mereka kita sebagai ibu bapa mereka inilah malaikat mereka yang melindungi dan menyayangi mereka. Tenunglah mata anak kalian masing-masing, adakah kita mahukan kehidupan mereka akan datang kucar kacir?

Jika tidak mahu, didiklah mereka dengan cara yang baik dan sempurna. Sesungguhnya yang baik tu datangnya dari Allah dan yang tidak baik itu adalah dari kelemahan diri kita sendiri.

Sekian… Terima kasih sudi membaca

Sumber: Nurul Haslinda

MW: Semoga perkongsian ini menjadikan mak,ayah lebih bertanggungjawab dalam membesarkan dan mendidik anak-anak. Jangan jadikan pengalaman buruk yang lalu merosakkan masa depan anak-anak yang tidak berdosa. Hargailah amanah yang Allah berikan.

Published by
Nur Syazwani Mehat