Setiap pasangan yang berkahwin pastinya mengharapkan kebahagian berkekalan dan bertemu ‘syurga’ dalam rumahtangga. Namun bukan semua bertuah, rezeki dijodohkan dengan pasangan yang sefahaman, tahu erti tanggungjawab dan makna perkahwinan. Andai ditakdirkan tiada lagi bahagia dalam rumahtangga, jangan takut untuk memilih ‘jalan keluar’ daripada terus bertahan dalam perkahwinan yang penuh sengsara, kerana ia bukanlah satu dosa.
Kita berumahtangga niat dan usahanya biarlah sampai ke syurga, namun kalau sudah tak ketemu ‘syurga’ dalam rumahtangga, memilih ‘exit plan’ bukanlah dosa.
Ingatlah pesan Imam Hassan al-Banna tentang perkahwinan; “Kehidupan rumah tangga adalah ‘hayatul amal’ yang diwarnai oleh beban-beban dan kewajiban, yang bukan semata kesenangan dan romantik, melainkan tolong-menolong dalam memikul beban kehidupan dan juga bebanan dakwah.”
Kalau sudah tiada rasa kesefahaman, kebersamaan dan matlamat pun sudah tidak seiringan, tambahan pula memberikan kesan buruk kepada mental, emosi dan pertumbuhan anak-anak, eloklah berpisah.
Ada orang yang memilih berpisah, kita pun tertanya mengapa mereka berpisah. Aib kisah lama dijaga sebaik-baiknya. Hanya Allah dan tuan punya badan sahaja tahu apa yang berlaku. Anak-anak pun tetap dijaga penuh tanggungjawab. Subhanallah. Inilah insan yang tahu apa yang diinginkan di dalam kehidupan.
Sekiranya sudah berusaha memperbaiki namun masih tidak ada sakinah, mawaddah warahmah, mungkin perpisahan itu lebih baik. Takutlah kalau kita mengajar hal yang salah tentang makna ‘keluarga’ yang sepatutnya kepada anak-anak kita yang sedang membesar itu.
Kalau sudah tidak sayang pada pasangan, jangan membuka aibnya sesuka hati di media sosial, memalukannya depan orang lain, walaupun di depan ibubapanya. Serahkan dia kembali pada keluarganya tanpa perlu caci maki, hinaan adalah tindakan yang lebih matang.
Kemudian, sekiranya jalan perceraian boleh dimudahkan, jangan pula zalimi pasangan dengan melengah-lengahkan keadaan di mahkamah dunia sampai bertahun-tahun proses tangguhan hingga akhirnya menzalimi pasangan dari segi mental, emosi dan kewangan. Kebiasannya dalam masyarakat kita, pihak wanitalah yang selalu ditekan dan paling tertekan.
Memang apabila lafaz sakinah dimeterai, azam kita untuk masuk syurga bersama-sama. Namun, banyak ujian dalam rumahtangga adalah di luar dugaan kita. Kadangkala, kita terpaksa akur bahawa kita berhak bahagia dan pintu syurga itu bukan dari jalan berumahtangga sahaja.
Muhasabah saya yang menulis.
#intandzulkefli
Baca Lagi Di Sini:
MULIAKAN Mak Ayah. Itulah Kunci SYURGA Dan REZEKI Dunia Penuh Keberkatan
Kita Ni Masuk Syurga Bukan Boleh Atas Nasib-Nasib Saja,Kena Ada Usaha
MW: Setuju sangat dengan apa yang dikongsikan ini. Semoga perkongsian ini bermanfaat dan menjadi panduan dalam rumahtangga. Setiap pasangan memang mengharapkan bahagia hingga ke syurga, namun perlu sedar adakalanya takdir menentukan jalan perpisahan adalah lebih baik, perlu redha daripada terus bertahan.
Sumber: Intan Dzulkefli