Kalau sayang horrmat kena ada

Selalu kita dengar orang berkata yang jika mahu dihormati maka kita perlu terlebih dahulu menghormati. Ikuti perkongsian daripada Dr. Azhar Haji Sarip, NLP Gold Master Trainer (NFNLP, USA), juga penulis ruangan MUNAJAT di dalam Majalah MINGGUAN WANITA.

Kita Hormat Orang…Orang Homat Kita

Pada saya, ia sangat benar. Kita perlu belajar untuk sentiasa menghormati orang lain biar setinggi mana kedudukan kita. Semakin tinggi kedudukan kita dan semakin pula kita menghormati orang lain maka hormat yang datang kepada kita semakin banyak.

Sudah namanya manusia, rasa mahu dihormati dan diberi penghormatan tinggi pasti ada walaupun hanya sekelumit dalam hati. Kita boleh sahaja mendapatkan penghormatan secara paksa apabila kita mempunyai wang dan kuasa tetapi apabila salah satu atau kedua-duanya hilang maka lenyaplah juga rasa hormat orang kepada kita.

Kalau Sayang, Rasa Hormat Pun Mesti Ada, Satu Pakej Tu!

Kalau Dipaksa, Takkan Kekal

Rasa hormat yang datang secara paksaan tidak akan kekal lama. Ia juga merupakan rasa hormat yang tidak mempunyai roh. Pada saya rasa hormat ini datang dalam dua bentuk.  Pertama, orang menghormati kita kerana kita perlu dihormati. Apabila kita berada di hadapannya maka kita akan dihormati. Tetapi di belakang kita boleh jadi dikeji.  Apatah lagi setelah mati, terus sahaja dilupai.

Rasa hormat yang kedua pula datang setelah wujudnya sayang. Pada saya ia datang setelah sayang dan bukan sebelum sayang.  Maksudnya begini… seseorang yang dihormati haruslah terlebih dahulu disayangi. Apabila kita menyayangi seseorang maka kita secara automatik akan menghormatinya.

IKLAN

Dihormati Belum Tentu Disayangi

Kita sering merasakan yang seseorang yang dihormati akan disayangi. Hakikatnya ialah seseorang yang dihormati belum tentu disayangi. Namun seseorang yang disayangi sudah tentu disayangi. Rasa sayang itu adalah roh kepada hormat. Jika kita disayangi maka kita akan dihormati.

Ini kerana apabila seseorang itu yang menyayangi maka dia akan meletakkan orang yang disayangi di tempat paling istimewa dalam hatinya. Maka secara tidak langsung dia akan memberi penghormatan yang tinggi kepada orang disayangi.

Apabila wujud rasa sayang kepada seseorang maka kita tidak mahu dia disakiti.  Kita juga tidak mahu dia kecewa. Bahkan kita sentiasa mahu dia bahagia hingga kita sanggup melakukan apa sahaja asal dia menjadi ceria. Kita tidak akan merasa terbeban dengan kehadirannya. Biarpun pun kehadirannya merantai kita kepadanya.

IKLAN

Semakin kuat rasa sayang, semakin kuat pula ikatan peraturan yang wujud hingga kita menjadi takut untuk hatinya tercalar walau sedikit. Kita menjaganya ibarat kereta yang baru kita terima dari kedai.  Menjaga hati itu datang daripada perasaan sayang.  Menjaga hati itu juga adalah tanda hormat kita kepadanya. Nah, jelaslah yang apabila wujud rasa sayang maka datanglah rasa hormat.

Diragui

Orang yang mengaku menyayangi tetapi tidak menghormati maka sayangnya itu boleh diragui. Ini kerana sayang dan hormat itu adalah satu pakej. Ia datang bersama dan pergi bersama. Orang yang menghormati dengan kasih sayang tidak akan merengus dan terbeban untuk menghormati. 

Bagi mereka menghormati itu adalah satu perkara penting dalam kasih sayang. Tetapi jika kita rasa terbeban maka ketahuilah yang ada yang tidak kena dengan perasaan sayang yang diluahkan.

Justeru, jika kita mahu dihormati sememangnya kita perlu menghormati. Langkah awal untuk menghormati ialah menyayangi. Kita perlu ada banyak rasa kasih dan sayang dalam diri untuk dialirkan keluar agar dirasai oleh orang sekeliling kita.

IKLAN

Jika kita sudah menyayangi dan menghormati tetapi kemudian kita disakiti dan dikhianati, usah kita risau dan sedih kerana itu tidak bermakna kita sudah tiada yang menghormati. Mereka yang tidak pandai menghormati orang lain akan sentiasa mahu dihormati.

Hukum Alam

Mereka sentiasa akan sakit hati dan kecewa apabila rasa hormat tidak diberi. Tetapi mereka lupa hukum alam yang sering diceritakan oleh orang bijak bestari…beri sebelum diberi. Orang yang disayangi akan dihormati dan penghormatan yang diberi itu tidak akan diungkit.

Namun mereka yang hanya mahu dihormati akan dihormati ketika mereka tegap berdiri. Tetapi apabila mereka sudah layu tidak mampu menguasai maka hilanglah hormat timbullah benci. Semoga kita sentiasa menghormati, tidak menyakiti jauh sekali mengkhianati.

 

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI