Awalnya, kita hanya anggap sekadar kawan biasa, lama-kelamaan daripada bergurau senda dan usik mengusik itulah boleh membuahkan rasa sayang. Sebab itu banyak kita dengar, wujudnya orang ketiga kerana perasaan inilah, dari kawan timbul rasa cinta.
Tak dinafikan, wujudnya orng ketiga bukan suami yang mulakan tetapi boleh jadi juga pada isteri. Sudah tidak ada rasa sayangpada keluarga dan hubungan suami isteri yang semakin renggang membuatkan mereka mula meluahkan pada orang lain yang dianggap boleh mendengar dan memberi nasihat.
Jika orang luar itu membantu, tidak menjadi masalah, bimbangnya ia menjurus kepada perasaan lain. Inilah yang menyebabkan runtuhnya rumah tangga kerana orang ketiga. Daripada ingin meminta pendapat atau nasihat, akhirnya timbul perasaan lain.
Sebab itulah, dengan keadaan sekarang ini pelbagai masalah rumah tangga yang timbul kerana wujudnya orang ketiga. Kalau sayangkan keluarga dan rumah tangga yangdibina selama ini, jangan sesekali cuba atau mulakan.
Seperti apa yang dikongsikan oleh Zurina Kifli ini boleh dijadikan panduan buat suami isteri di luar sana.
Ada orang ketiga, boleh terjadi dengan mudah
Antara suami orang dengan isteri orang,
Suami orang dengan janda,
Isteri orang dengan teruna,
Suami orang dengan anak dara,
Dan macam-macam pasangan yang anda boleh padankan sendiri.
Dengan adanya media sosial sekarang ini, kecurangan lebih mudah berlaku. SMS, PM, DM, whatsapp group dan sebagainya.
Ads
Rumah tangga kita ini bukan secara automatiknya akan bahagia selamanya sejak akad nikah.
Cinta & kasih sayang perlu disemai dan dibaja agar sentiasa mekar. Perlu ada ketelusan & komunikasi antara suami isteri setiap hari dan perlu berterus-terang.
Pada masa yang sama, setiap pasangan perlu elak sebarang tindakan yang boleh menimbulkan putik kecurangan ini dengan pihak ketiga. Suami & isteri, JANGAN menggatal! Tidak kiralah di tempat kerja, ketika berurusan di luar atau di whatsapp group! Bff, ex bf@ ex gf ke. Itu adalah kisah lampau, tak usah dikenang-kenang.
Nak join group wasap segala ex tu,betulkan niat samada nak eratkan silaturrahim atau semata-mata nak tarik perhatian ex2@bff berlainan jantina yang dulu.
Ads
Mudah Terusik
Buat lelaki, usah diusik isteri orang. Jiwa wanita mudah terusik. Lebih-lebih lagi jika bermasalah dengan suami, suami tidak menolong di rumah, tidak memenuhi nafkah zahir atau batin, suami tidak pandai menzahirkan kasih sayang dan macam-macam lagi alasan.
Bagi wanita, bergelar isteri tidak memberi anda lesen untuk mencubit & bertepuk tampar lelaki lain. Walaupun anda lebih tua daripada lelaki itu. Bergelar “Akak” tidak memberi apa-apa makna pun. Nafsu tidak mengenal usia.
Pesan saya: 1. Elakkan travelling berdua dengan bukan mahram, suami atau isteri orang, walaupun kita dah berkahwin.
2. Jika berbincang di tempat kerja, pastikan ada orang lain bersama. Jika ada lelaki/wanita berbeza jantina masuk ke bilik kita, pastikan buka pintu atau langsir agar kelihatan.
3. Jaga pandangan mata anda, baik lelaki atau perempuan sama sahaja. Kita diajar untuk tundukkan pandangan. Apa yang ada pada perempuan lain itu ada pada isteri anda juga.
4. Jika pasangan anda kena bertugas berjauhan agak lama, usahakanlah agar anda boleh ikut sama bersama beliau. Itu adalah lebih baik buat dirinya dan diri anda.
5. Elakkan berbual kosong dalam group WhatsApp selepas Maghrib jika tiada urusan penting. Itu masa untuk anda luangkan bersama pasangan & anak-anak anda. Jika berhubung secara personal, pastikan anda kekalkan perbualan itu rasmi & professional. Gunakan istilah Encik, Puan dan Tuan. Usah balas WhatsApp jika sudah malam & bukan perkara urgent.
KITA KENA INGAT, cara kita berhubung dengan rakan berlainan jantina masa di zaman persekolahan dulu TIDAK SAMA apabila kita sudah bergelar suami atau isteri. Begitu juga hubungan dengan sepupu-sepupu kita masa kita sekolah rendah & remaja. Tak sama dah. Anda tak boleh la nak bergelak ketawa bertepuk bertampar dengan sepupu berlainan jantina dah.
6. Rumah tangga tanggungjawab kedua suami isteri. Suami kena jalankan tanggungjawab. Beri nafkah bulanan buat isteri. Nafkah batin pun pastikan anda beri. Keperluan masing-masing tidak sama. Bincanglah dengan isteri, jika tidak jalankan tanggungjawab anda, dan ada pula pihak lain yang bermain kata & menawarkan kasih sayang di tempat kerja isteri anda, maka anda pun tahu kemungkinan yang boleh berlaku. Anda puji lah isteri anda, cakap lah dia cantik, baju dia cantik, tudung dia cantik. Jangan sampai lelaki lain pula yang puji. Hargailah pengorbanan isteri anda. Ucaplah terima kasih. Katakan terima kasih sayang apabila isteri anda masak & buatkan air anda. Say “I love you” to her.
7. Isteri pun sama juga. Jagalah makan minum & tempat tidur suami anda. Jaga penampilan anda. Berwangi lah juga di rumah, bukan hanya ke tempat kerja. Bila anda bersolek untuk keluar ke tempat kerja, janganlah sampai tabarruj. Nanti anda baca apa ertinya tabarruj ni. Ucaplah terima kasih apabila suami anda membayar bil & sama-samamembantu di dapur. Ucapkanlah rasa “sayang” anda kepada suami anda.
Pada saya, semua perkara yang dilihat kecil ini amat besar impaknya.
8. Pastinya, setiap kali selesai solat, berdoalah kepada yang Maha Esa, “Rabbana hab lana min azwajina wa zurriyyatina Qurrata ‘a’yun, waj’alna lil muttaqina Imama,” kerana Dialah yang memegang hati kita.
MW: Nak tambah, satu lagi jangan cuba nak ‘test market’, kononnya sekadar suka-suka. Bila dah terjerat, ia tak mampu undur kembali. Ingat, sayangilah keluarga yang kita bina dengan orang cintai.
Pernahkah anda berada dalam situasi ini. Pulang dari kerja, terkejar-kejar nak memasak hidangan makan malam. Bila anak-anak nak bercakap dan berkongsi sesuatu, akan diabaikan saja. Lagi teruk jika anak itu dimarahi kerana menganggu fokus anda yang tak menang tangan nak buat itu dan ini. Tanpa sedar, ia memberi kesan tidak elok untuk perkembangan diri anak-anak. Ayuh hayati perkongsian daripada Dr. Nurul Asiah Fasehah Muhammad, pensyarah di Universiti Sains Islam Malaysia yang juga penulis tetap ruangan Permata Hati di dalam majalah Mingguan Wanita.
Dalam mengharungi kehidupan sehari-hari, tidak dapat dinafikan kita letih dan amat penat. Keberadaan kita di rumah terkadang hanya tinggal jasad yang longlai dan tidak ada tenaga. Sedangkan pada ketika itulah anak-anak ingin mendapatkan perhatian kita bagi mengubat rindu setelah seharian tidak bertemu. Suara manja mereka sentiasa kedengaran inginkan perhatian, pelbagai persoalan yang diajukan, pelbagai cerita ingin diberitahu.
Begitulah hakikat kehidupan yang kita jalani sehari-harian. Hanya pada Allah tempat mengadu kelelahan dan tempat memohon bantuan. Ya benar, sememangnya kita keletihan namun, usah lupa ada Allah bersama kita yang mampu meringankan bebanan yang kita tanggung. Justeru, bermunajatlah dan mengadulah segala kesukaran itu kepada-Nya yang Maha mendengar. Usah dilemparkan rasa letih dan penat itu kepada anak-anak yang tidak bersalah pasti kita lebih sakit melihatnya menangis kesayuan akibat herdikan kasar ibu yang dinanti sedari pagi. Pasti itu memeritkan.
Tulus
Usah kita lupa bahawa anak-anak kita memiliki hati yang tulus. Kasih sayangnya juga tulus tiada berselindung. Panggillah dia dengan namanya dengan penuh kasih sayang pasti itu amat menggembirakannya. Hadiahkan dia sekuntum senyuman yang manis walaupun kita sudah tidak berdaya untuk memberikan respons kepada ceritanya yang panjang. Ketahuilah juga anak-anak kita amat memahami. Dia juga tidak mahu kita kelelahan cuma berikan dia sedikit masa untuk memberitahu kita tentang perkara itu.
Ayah dan ibu yang dihormati, respons bukan sekadar dengan perkataan, boleh terjadi dalam pelbagai bentuk seperti sentuhan dan senyuman. Malah respons seperti ini memiliki auranya yang tersendiri. Apabila anak memanggil kita, jawablah panggilannya dan jika dia sedang memandang kita angguk dan senyumlah kepadanya. Ini menunjukkan kita amat mengalu-alukan dirinya.
Dalam banyak hal, kita harus terlebih dahulu membuat komitmen untuk tampil sebagai contoh kepada anak. Jika kita gagal menjawab panggilan anak dengan baik, maka contoh tersebut yang kita tunjukkan kepada mereka. Maka tidak hairanlah jika mereka juga menggunakan cara yang kasar atau lambat menyahut sapaan dan panggilan kita.
Jadi Contoh
Tambahan pula di zaman ledakan teknologi. Di mana aktiviti di dalam telefon bimbit tidak pernah berhenti. Ada sahaja mesej yang masuk, ada sahaja kerja baru yang sedang menanti. Ketika ini lebih lagi kita harus menunjukkan contoh yang baik kepada mereka. Dengan apa yang kita praktikkan, pastikan anak boleh belajar bagaimana untuk menguruskan teknologi dalam kehidupan mereka. Hal ini kerana mereka adalah generasi high-techonology. Jika tidak diberikan panduan sudah tentu mereka akan hanyut di dalam arus derasnya yang deras.
Dalam pada itu, mereka masih lagi sedang belajar untuk membina perisai diri dengan agama. Maka bantulah mereka dengan menunjukkan contoh teladan yang terbaik. Agar mereka dapat menyeimbangkannya dengan tanggungjawab sebagai hamba Allah.
Ayah dan ibu sekalian, bagi meneguhkan hal itu, kita harus berperanan sebagai pemandu arah dengan menggunakan sentuhan insaniah yang baik bagi menyentuh rohani mereka. Antaranya ialah dengan mengusik emosi mereka dan merantai sanubari mereka dengan agama. Mereka harus didedahkan dengan perkara-perkara yang perlu diutamakan sebagai umat Islam. Maka keperluan emosi mereka harus disantuni dengan baik. Mereka perlu rasa diri mereka disayangi dan dihargai kemudian, insya-Allah pendidikan dan nasihat kita mudah untuk menyelinap di dalam hati.
Akhirnya, sebagai orang kepercayaan dan kesayangan mereka, penuhilah impian mereka untuk berbual mesra, bergelak ketawa dan bergurau senda sementara kita diberikan peluang dan ruang itu. Ketepikanlah sebentar keletihan kerana apa yang sedang kita lakukan dalam menyantuni mereka hakikatnya ada Rahmat dan Kasih sayang Allah di dalamnya. Jadi, jawablah panggilannya dengan baik dan penuh kasih sayang, insya-Allah kita juga bakal menerima keadaan yang sama di waktu kita memerlukannya kelak. Wallahualam.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Bertuahnya mak ayah yang mempunyai anak-anak hafaz 30 juzuk Al Quran. Ternyata ia bukan perkara yang mudah namun tidak mustahil. Selain membiasakan anak-anak mendengar ayat suci alquran ini sejak dari dalam kandungan, jenis makanan yang diberikan kepada anak-anak juga penting bagi menguatkan daya ingatan mereka.
Itulah antara tips amalan yang dilakukan oleh Nor Latifah Abdul Rahman, 50, apabila enam daripada lapan orang anak-anaknya berjaya menghafaz Al-Quran.
“Saya mula perdengarkan bacaan ayat suci al-Quran kepada anak-anak sejak mereka dalam kandungan, selain jaga makan bagi menguatkan daya ingatan,” demikian kata ibu kepada lapan anak ketika diminta berkongsi amalan dilakukan sehingga enam daripada lapan anaknya kini bergelar hafiz 30 juzuk al-Quran.
Jaga Pemakanan Anak
Nor Latifah dari Teluk Kalong, Kemaman berkata, selain menjadikan bacaan al-Quran amalan harian, pemakanan anak-anaknya juga dijaga dengan rapi.
“Saya akan pastikan mereka ambil susu kambing dan madu. Badam pun baik untuk daya ingatan anak-anak.
“Saya juga akan pastikan mereka makan makanan yang saya masak. Kalau pergi mana-mana, memang saya bawa bekal dari rumah,” katanya ketika ditemui sempena Haflah Takrimi Akademi Al-Quran Amalillah kali pertama di Taman Tamadun Islam (TTI), baru-baru ini.
6 Anak Hafaz Quran
Pada majlis itu, anaknya, Engku Sofiah Engku Saharuumnizam, 14, dinobatkan sebagai pelajar cemerlang setelah berjaya menguasai 30 juzuk al-Quran dalam tempoh lima bulan 10 hari di Akademi Al-Quran Amalillah (AKMAL) yang beroperasi di Bukit Payong, Marang.
Selain Engku Sofiah, lima lagi anaknya yang telah menyempurnakan hafalan 30 juzuk al-Quran ialah Solehah Radhiah, 25; Engku Mahmud Nasri, 23; Engku Muhammad Luthfi, 20; Engku Ahmad Syafiq, 17; Engku Sofiah, 14 dan Engku Daud Shauqi, 12.
Tak Kisah Belanja Besar Demi Pendidikan Anak
Menurut Nor Latifah, dia dan suaminya yang merupakan seorang pesara, Engku Saharuumnizam Engku Abd Aziz, 57, tidak kisah berbelanja besar demi pendidikan anak-anak.
“Disebabkan memilih hantar anak-anak ke pusat pengajian swasta, secara kasar, belanja sekolah kelima-lima mereka dalam RM3,000 setiap bulan.
“Suami saya tak kisah anak-anak nak ambil jurusan apa sekalipun, asalkan ayat-ayat al-Quran tersemat di dada,” katanya yang kini berkhidmat dengan Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) DUN Kijal.
MW: Semoga perkongsian ini bermanfaat. Buat mak ayah yang ingin anak anak berjaya hafal Al Quran, boleh cuba ikut tips yang dikongsikan.
Kisah pasangan curang bukan lagi perkara asing di kalangan isteri. Lantas ramai yang memilih untuk keluar daripada perkahwinan itu dengan alasan tidak dapat memaafkan kecurangan suami. Namun, ada juga yang tetap bertahan. Kenapa ye? Ikuti kupasan daripada Dr. Syed Yusainee Yahya, Relationship Coach daripada Promind training And Consultation, yang juga kolumnis ruangan Nota Untuk Isteri di dalam majalah Mingguan Wanita.
Hak
Kebanyakan isteri menganggap suami adalah hak milik mutlak mereka. Apabila isteri berkata begitu, maka saya pasti mereka betul. Namun saya juga tahu bahawa poligami itu dibenarkan. Saya ada beberapa rakan-rakan ‘bertuah’ yang bukan sekadar beristeri dua tetapi sudah mencapai kuota penuh!
Dalam kumpulan berbual di media sosial para suami memang tajuk poligami ini mempunyai kuasa paling kuat untuk menarik rakan-rakan lain memberi komen. Walaupun tajuk ini harum dan mekar tetapi terlalu jarang didengar ada rakan-rakan yang ‘upgrade’ diri dengan status beristeri dua, tiga atau empat. Maksudnya kebanyakan sesi tadi hanya ‘sembang sini, habis sini’ sahaja. Itulah lelaki yang bergelar suami ini. Sembangnya kencang tapi isteri tersayang masih di hati.
Perlu Kekuatan
Sebagai ‘Relationship Coach’, salah satu kesempatan yang selalu diambil peserta untuk konsultansi percuma semasa kursus ialah untuk bertanya, “Dulu suami saya ada perempuan lain di luar tetapi semua sudah selesai. Saya boleh maafkan tetapi saya tetap tidak boleh lupa dan terima dia sepenuhnya. Apa yang mesti saya buat? “
Soalan hanya boleh difahami oleh mereka yang pernah melaluinya. Pada kekuatan bagaimanakah seorang isteri boleh memaafkan suami yang pernah curang dengan orang lain? Waktu itu syaitan begitu cepat membisikkan kata-kata beracun yang suami anda sebenarnya menggilai orang lain.
Pada ketika itu peritnya seperti kail tajam bermata tujuh menusuk dan tersangkut dalam hati. Semakin anda menggelupur melepaskan diri, semakin anda meraung kesakitan. Tapi akhirnya kuasa Allah lebih besar. Kail yang tertusuk itu terlepas dan suami kembali ke pangkuan anda. Perkara itu sudah berlalu. Sebagai isteri solehah anda boleh memaafkan tetapi masalahnya sekarang anda tidak boleh melupakan!
Jangan Lepaskan
Semasa anda dikhianati dahulu pasti terasa itulah masalah paling besar dalam dunia. Walau apa yang berlaku, jangan lepaskan tiang seri perkahwinan itu. Jika selama ini anda boleh melayan rasa dikhianati dan dikecewakan maka selepas ini tukar fokus kepada mencari petunjuk yang suami sangat menghargai anda. Ingat bahawa anda hanya akan nampak apa yang anda mahu lihat. Dalam hanya beberapa minit anda menukar fokus itu, perubahan emosi positif akan datang membanjiri emosi anda.
Kerenggangan Emosi
Apabila anda fokus kepada penyelesaian ini maka anda semakin menuju kepada jawapan yang anda cari. Kebanyakan daripada faktor kecurangan suami bukan disebabkan faktor keintiman seksual tetapi lebih kepada kerenggangan emosi.
Dalam ruang yang tidak kelihatan itu, suami merasa terbentang jurang besar yang memisahkan emosi dia dan anda. Untuk mengikat suami lebih kuat kepada anda selepas ini maka belajarlah untuk menarik emosi suami lebih dekat kepada anda. Ada banyak yang boleh anda lakukan. Kata orang tua-tua dulu, jika sayang suami maka sayangilah perut dan penuhilah matanya. Janganlah kerut kening macam itu. Bukan perut dan mata yang saya maksudkan tetapi hati dan perasaannya. Bila perut kenyang maka hati jadi senang. Apa saja yang indah di mata pasti turun ke hati. Itulah lebuh raya menuju keintiman emosi.
Cepat Pulih
Pasangan suami isteri yang pernah melalui cabaran dengan tajuk ‘curang’ akan lebih cepat pulih dengan selalu menghabiskan lebih banyak masa bersama. Menemui perkara baru atau mencari semula kenangan lama adalah cara berkesan untuk anda pulih sepenuhnya. Sebagai contoh kenapa anda menyukai dia dahulu? Kenapa anda memilih dia berbanding orang lain? Dan kenapa anda menerima dia sebagai suami dahulu?
Ini adalah soalan-soalan yang membawa anda kembali ke garis mula perkahwinan anda. Dulu anda dan suami tersilap tetapi sekarang lihat pada masa depan. Apa yang anda mahu? Bayangkan keluarga bahagia dengan anak-anak semakin dewasa. Menyambut kejayaan mereka di Universiti dan menerima deretan cucu-cucu comel. Anda dan suami tentu tidak mahu melalui masa depan itu sendirian, bukan? Anda boleh mencipta masa depan yang indah itu. Dengan berkat doa dan usaha..Insya-Allah itu semua boleh menjadi kenyataan.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Pengetua wanita pulas telinga pelajar didenda RM2000, gara-gara tersalah tulis huruf G. Padah buat seorang pengetua wanita yang gagal mengawal perasaan apabila bertindak memulas...