Mahunya tak teruja bila dengar penyanyi tersohor Malaysia, Datuk Seri Siti Nurhaliza berjaya menurunkan berat badan sebanyak 14 kg dalam tempoh 17 hari selepas melahirkan anak. Masa itulah, kita rasa tercabar dan ingin tahu diet yang macam mana artis kesayangan ini lakukan. Mana tahu boleh dijadikan rujukan untuk peminat-peminatnya.

Siapa yang tidak mahu bila berat badan turun dan kembali langsing. Bertahun-tahun orang lain lakukan tapi yang turun hanya satu atau dua kilogram. Mahu geram dan sakit hati.

Diet Sesuai

Sebenarnya, bukan itu yang ingin saya perkatakan. Diet memang penting bagi ibu-ibu yang ingin mendapatkan kembali berat badan dan bentuk asal. Tetapi, satu perkara yang perlu diingat, jangan terlalu taksub untuk berdiet sehingga lupa pada si comel yang perlukan khasiat dari ibunya. Susu badan.

Selain makan minum yang berkhasiat perlu diambil, ibu juga perlu fikirkan tentang cara berpantang. Bukan setakat makan minum tetapi kesihatan dalaman hendaklah dititikberatkan.

Saya bukanlah seorang yang tertekan dengan berat badan terutamanya selepas melahirkan anak pertama, kedua dan ketiga. Biasanya, berat badan akan kembali normal sebaik sahaja habis pantang. Alhamdulillah. Cuma bila usia bertambah, berat badan agak susah sedikit nak turun.

Ads

Kalau Sayang Badan, Pantanglah Dengan Betul

Jaga Badan Dalam Pantang

Satu lagi yang perlu ambil kira adalah cara kita berpantang. Kebanyakan mak muda sekarang tidak begitu menitik beratkan pantang dan berpantang betul-betul. Memanglah masih muda dan anak baru masuk seorang. Tapi, ingat, kita tidak tahu apa akan berlaku bila usia anda memasuki 40an.

Ads

Bak kata orang tua-tua, bila dah masuk 40 an, mulalah badan rasa lain macam, angin, sakit badan dan macam-macam lagi. Habiskan pantang 44 hari dulu.

Pernah, ketika saya bersama keluarga membeli belah di sebuah pasar raya, saya melihat seorang suami sedang menolak isterinya yang duduk di kerusi roda sambil memangku bayinya masuk ke dalam pasar raya tersebut. Malahan, sambil berjalan-jalan, mata saya turut melihat sekeliling, Ada juga yang menyorong bayi yang masih kecil berjalan-jalan di dalam pasar raya itu.

Ads

Ooooo..mungkin mereka baru balik dari memeriksa bayi dan ingin membeli barang yang terlupa dibeli… Saya cuba berfikiran baik-baik dan tak mahu salah anggap. Tapi bagaimana dengan orang lain, mungkin dalam hati, kesiankan bayi yang tak tahu apa-apa dibawa ke hulu ke hilir, baik duduk di rumah sahaja.

Kadang-kadang, saya tidak faham, apa yang mereka buat. Mungkin dia berpantang suami isteri tanpa ditemani oleh orang tua atau mungkin juga orang tuanya tiada dan perlu berpantang sendiri.

Walau apa pun, cubalah habiskan pantang itu dahulu. Jangan ikut nafsu, kononnya bosan duduk di rumah dan ingin menikmati udara luar. Nak tak nak cubalah bertahan untuk tempoh 44 hari. Saya percaya mak-mak yang betul-betul berpantang, wajahnya akan berseri-seri sebaik sahaja masuk kerja selepas bercuti bersalin dua bulan (jika ibu bekerja).

 

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI