Kalau Rujuk Buku Ini, Mak Ayah Boleh Selamatkan Gigi Anak Daripada Cepat Rosak!

Share

Macam mana nak selamatkan gigi anak-anak kalau buku kesihatan anak pun mak ayah tak pernah belek.

Mungkin ada yang ingatkan masa anak bayi saja boleh guna buku ini, tetapi sebenarnya ada muka surat yang memudahkan kerja mak-mak untuk pantau gigi anak dan bila masa yang sesuai nak bawa jumpa Doktor gigi.

Nah sebelum pergi lebih jauh, jemput godek ilmu daripada salah seorang Pegawai Pergigian, Doktor Iqbal tentang kegunaan buku merah dan biru yang boleh selamatkan gigi anak-anak.

Tentang Gigi Anak

Mak ayah yang ada buku merah (untuk anak perempuan) atau biru (untuk anak lelaki) cuba semak bahagian gigi, sudah ada tanda tangan doktor gigi atau misi ke belum?

Ramai yang tanya bila nak mula bawa anak ke klinik gigi kan? Dalam buku ini dah ada jawapannya.

Mari semak satu-satu.

☑️ Muka surat 39

Halaman yang ini tak perlu tanda tangan. Cuma sebagai latihan kepada ibu bapa untuk pantau pertumbuhan gigi anak masing-masing. Dekat situ boleh catat tarikh gigi mana yang sudah tumbuh keluar.

☑️ Muka surat 68-69 (0-9 BULAN)

Halaman ini yang mula-mula kena isi bila bawa anak ke klinik gigi. Biasanya umur 6 bulan sudah ada 4 batang gigi. Terus bawa ke klinik gigi untuk diperiksa, kemudian doktor akan bagi nasihat berkaitan penjagaan gigi bayi.

☑️ Muka surat 96-97 (10-23 BULAN)

Masa ini gigi sudah banyak tumbuh keluar. Ada yang sudah ada 20 batang. Masa ini agak kritikal untuk periksa gigi. Banyak nasihat doktor macam mana nak jaga gigi pada masa ini. Elakkan tidur dengan botol susu, mak ayah kena tolong anak gosok gigi dan sebagainya.

☑️ Muka surat 115-116 (2-4 TAHUN)

Anak sudah besar masa ini. Ada yang takut, ada yang berani, ada yang sudah biasa. Sebab itu penting bawa anak masa kecil dan biasakan dengan persekitaran klinik gigi. Pada masa ini juga ramai yang giginya sudah rosak. Ada juga yang pertama kali baru datang bawa anak untuk periksa gigi. Masa ini antara yang penting ialah mak ayah kena tolong gosokkan gigi anak dan kurangkan penggunaan puting.

Akhir kata, gunakan buku ini sebaiknya. Bukan untuk periksa tubuh badan dan vaksinasi sahaja, malah boleh digunakan untuk periksa gigi. Tak perlu tunggu misi di klinik kesihatan untuk refer. Terus sahaja pergi klinik gigi dan bawa buku ini.

Semoga bermanfaat. Semoga lebih ramai ibu bapa cakna akan kesihatan gigi anak masing-masing. Kongsikan.

Published by
Nadia