Dekorasi

Kalau Pandai Beli Barang Deko Online, Yang Harga Berpatutan Pun Boleh Nampak Mewah

Share

Melihatkan suasana di luar rumah, penulis dan jurugambar seakan teruja untuk meneroka ruang dalam kediaman yang pastinya lebih menawan. Telahan kami ternyata benar, sebaik kaki melangkah masuk ke teres dua tingkat milik Puan Zahirah dan keluarga, dekorasi yang dipertontonkan cantik dan kemas.

Memilih konsep moden dan mewah, terdapat dua ruang tamu yang akan menyambut kedatangan tetamu yang hadir. Warna hitam dan keemasan menjadi pilihan pemilik menghiasi kedua ruangan tersebut.

Menurut pemilik, dia memang inginkan dua ruang tamu pada kediamannya kerana suka menerima kehadiran tetamu yang ramai, malah dengan adanya dua ruang tersebut dapat diasingkan antara tetamu lelaki dan wanita.

Kongsi Minat Sama

“Saya dan suami berkongsi minat yang sama iaitu suka menghias rumah. Sejak tinggal di sini 15 tahun lalu, ini adalah kali kedua kami buat perubahan pada rumah. Dahulu sebelum masuk rumah memang kami sudah buat sedikit perubahan pada bahagian belakang rumah, selepas berbelas tahun kami besarkan pula bahagian hadapan. Sebelum buat renovasi, hampir sebulan saya dan suami duduk berbincang sehinggalah kami dapat kata sepakat untuk design ruangan yang perlu kami ubah.

“Untuk renovasi kali kedua ini mengambil masa lebih dari sebulan. Dengan perubahan baru ini rumah saya tampil dengan konsep lebih moden dengan elemen mewah rona putih dan keemasan,” ujar pemilik.

Ruang tamu kedua yang ada di kediaman ini

Menjadikan laman perkongsian gambar seperti Pinterest dan majalah-majalah dekorasi sebagai rujukan, pemilik dan suami sering berbincang dalam segala hal bagi merealisasikan cita rasa bersama untuk hiasan dalaman rumah.

“Laman-laman perkongsian gambar seperti Pinterest menjadi rujukan kami, selain majalah dekorasi untuk berikan idea menghias rumah dan jenis perabot yang sesuai dengan konsep yang kami pilih. Pemilihan perabot, biasanya saya dan suami akan pilih bersama sesuai dengan konsep dan ruangan yang ada, untuk dekorasi dalam rumah pula saya yang akan pilih dan biasanya suami akan setuju dengan pilihan yang saya buat,” terangnya lagi.

Menurut pemilik lagi, perabot-perabot dan hiasan yang ada di kediaman mereka dibeli sama ada di kedai-kedai perabot dan menerusi atas talian.

“Ada juga yang saya beli secara online. Harganya agak murah berbanding yang dijual di kedai dan Alhamdullilah saya tak pernah lagi ada pengalaman dapat barang yang tidak elok dan tidak seperti dalam gambar yang dijual. Bagi saya memang banyak barang deko yang boleh dibeli dan didapati secara online. Cuma kena pandai pilih dan sesuai dengan ruang yang ada dalam kediaman,” tambahnya lagi.

Suka Raikan Tetamu

Sejak dahulu lagi pemilik mendambakan dua ruang tamu di kediaman mereka. Kesempatan membuat renovasi pada rumah memberikan peluang untuk dirinya merealisasikan impian.

“Saya memang suka buat makan-makan di rumah, jadi kalau ada tetamu yang ramai, ruang jadi terhad. Kali ini dah buat ubah suai rumah dan besarkan sedikit ruang depan, dapatlah saya buat dua ruang tamu. Bila ada dua ruang tamu boleh saya asingkan tetamu lelaki dan perempuan. Maklum sahaja bila dah berborak dengan tetamu yang hadir, pastinya tetamu lelaki dan perempuan tak akan bercampur kerana topik perbincangan yang dibualkan pastinya berlainan.

Ruang dapur dan ruang makan yang cukup indah

“Saya memang inginkan rumah yang ada dua ruang tamu, tak kisah kecil pun. Meja makan pun saya pilih yang besar kerana memang suka menjamu tetamu yang datang dan disebabkan itu juga saya suka hias rumah. Bila tetamu datang rumah dalam keadaan kemas, mereka pun tentu selesa untuk duduk lama,” katanya yang suka raikan tetamu.

Selain ruang makan yang menempatkan meja makan lapan kerusi, terdapat satu ruang santai untuk menonton televisyen bersama keluarga sebelum melangkah ke ruangan dapur. Dekorasi pada bahagian santai dan dapur masih dikekalkan dengan konsep yang lama. Ruang dapur cukup indah tempat pemilik berkarya dengan masakan bersama set pinggan mangkuk Portmeirian koleksi peribadi.

“Saya tak suka tengok televisyen di ruang tamu, jadi saya memberi idea kepada suami untuk membuat ruang khas menonton. Bagi saya itu penting untuk jaga ruang tamu supaya kekal tersusun dan teratur setiap kali menerima kunjungan tetamu,” katanya yang memilih warna kuning untuk melatari ruangan tamu tersebut.

Ruang santai yang kekalkan konsep lama juga rapi dan kemas

Kediaman ini mempunyai empat bilik, satu bilik di bawah dan tiga di atas. Bilik-bilik di lantai atas turut dihias indah untuk beradu pada waktu malam. Bilik kedua anak perempuan dihias cukup sederhana dengan perabot asas rona putih dan merah jambu sesuai buat sang puteri yang sedang meningkat dewasa. Begitu juga dengan bilik anak teruna yang masih kecil, hijau Army jadi pilihan dan lebih istimewa dekorasi bilik sang putera adalah hasil sentuhan suami pemilik itu sendiri.

Cantik & Tersusun

Mempunyai perabot dan dekorasi yang banyak di rumah tentunya bukan mudah untuk dijaga. Tambahan pula bagi yang mempunyai anak yang masih kecil. Tapi menurut pemilik, sejak dari kecil dia sudah menerapkan anak-anaknya untuk mengemas sendiri barang permainan mereka dan tidak mengusik barangan yang tidak sepatutnya.

“Saya memang suka menghias rumah kerana ia sudah diterapkan sejak kecil oleh ibu yang suka menghias rumah. Saya memang suka tengok rumah dalam keadaan cantik dan tersusun. Bila dah ada anak, saya didik pula mereka dengan cara yang sama. Anak-anak juga tak usik barang-barang di rumah. Saya juga ajar dari awal untuk mereka kemas barang permainan mereka.”

Bilik anak-anak yang mendapat sentuhan pemilik sendiri

Menyentuh soal menguruskan rumah, bagi pemilik meskipun kini sudah tiada pembantu, dia dan keluarga akan bersama-sama membersihkan kediaman terutamanya pada hujung minggu.

“Dulu saya ada pembantu, jadi ada yang akan tolong uruskan hal-hal membersihkan rumah.  Tapi sekarang dah tak ada pembantu, saya dan suami serta anak-anak sama-sama bersihkan rumah kami pada hujung minggu. Bila dah dedahkan pada anak-anak sejak kecil tentang menghias rumah ni, mereka pun secara sendiri suka dengan rumah yang cantik dan berhias. Kadang-kadang anak-anaklah yang bagi pendapat apa yang cantik untuk saya hiaskan di kediaman kami, mungkin sejak dari kecil lagi mereka dah tengok saya suka menghias, jadi sedikit sebanyak mereka juga turut suka menghias,” ujarnya mengakhiri perbualan.

Published by
Shahrina Azlin