Melihatkan suasana di luar rumah, penulis dan jurugambar seakan teruja untuk meneroka ruang dalam kediaman yang pastinya lebih menawan. Telahan kami ternyata benar, sebaik kaki melangkah masuk ke teres dua tingkat milik Puan Zahirah dan keluarga, dekorasi yang dipertontonkan cantik dan kemas.
Memilih konsep moden dan mewah, terdapat dua ruang tamu yang akan menyambut kedatangan tetamu yang hadir. Warna hitam dan keemasan menjadi pilihan pemilik menghiasi kedua ruangan tersebut.
Menurut pemilik, dia memang inginkan dua ruang tamu pada kediamannya kerana suka menerima kehadiran tetamu yang ramai, malah dengan adanya dua ruang tersebut dapat diasingkan antara tetamu lelaki dan wanita.
Kongsi Minat Sama
“Saya dan suami berkongsi minat yang sama iaitu suka menghias rumah. Sejak tinggal di sini 15 tahun lalu, ini adalah kali kedua kami buat perubahan pada rumah. Dahulu sebelum masuk rumah memang kami sudah buat sedikit perubahan pada bahagian belakang rumah, selepas berbelas tahun kami besarkan pula bahagian hadapan. Sebelum buat renovasi, hampir sebulan saya dan suami duduk berbincang sehinggalah kami dapat kata sepakat untuk design ruangan yang perlu kami ubah.
“Untuk renovasi kali kedua ini mengambil masa lebih dari sebulan. Dengan perubahan baru ini rumah saya tampil dengan konsep lebih moden dengan elemen mewah rona putih dan keemasan,” ujar pemilik.
Ruang tamu kedua yang ada di kediaman ini
Menjadikan laman perkongsian gambar seperti Pinterest dan majalah-majalah dekorasi sebagai rujukan, pemilik dan suami sering berbincang dalam segala hal bagi merealisasikan cita rasa bersama untuk hiasan dalaman rumah.
Ads
“Laman-laman perkongsian gambar seperti Pinterest menjadi rujukan kami, selain majalah dekorasi untuk berikan idea menghias rumah dan jenis perabot yang sesuai dengan konsep yang kami pilih. Pemilihan perabot, biasanya saya dan suami akan pilih bersama sesuai dengan konsep dan ruangan yang ada, untuk dekorasi dalam rumah pula saya yang akan pilih dan biasanya suami akan setuju dengan pilihan yang saya buat,” terangnya lagi.
Menurut pemilik lagi, perabot-perabot dan hiasan yang ada di kediaman mereka dibeli sama ada di kedai-kedai perabot dan menerusi atas talian.
“Ada juga yang saya beli secara online. Harganya agak murah berbanding yang dijual di kedai dan Alhamdullilah saya tak pernah lagi ada pengalaman dapat barang yang tidak elok dan tidak seperti dalam gambar yang dijual. Bagi saya memang banyak barang deko yang boleh dibeli dan didapati secara online. Cuma kena pandai pilih dan sesuai dengan ruang yang ada dalam kediaman,” tambahnya lagi.
Suka Raikan Tetamu
Sejak dahulu lagi pemilik mendambakan dua ruang tamu di kediaman mereka. Kesempatan membuat renovasi pada rumah memberikan peluang untuk dirinya merealisasikan impian.
Ads
“Saya memang suka buat makan-makan di rumah, jadi kalau ada tetamu yang ramai, ruang jadi terhad. Kali ini dah buat ubah suai rumah dan besarkan sedikit ruang depan, dapatlah saya buat dua ruang tamu. Bila ada dua ruang tamu boleh saya asingkan tetamu lelaki dan perempuan. Maklum sahaja bila dah berborak dengan tetamu yang hadir, pastinya tetamu lelaki dan perempuan tak akan bercampur kerana topik perbincangan yang dibualkan pastinya berlainan.
Ruang dapur dan ruang makan yang cukup indah
“Saya memang inginkan rumah yang ada dua ruang tamu, tak kisah kecil pun. Meja makan pun saya pilih yang besar kerana memang suka menjamu tetamu yang datang dan disebabkan itu juga saya suka hias rumah. Bila tetamu datang rumah dalam keadaan kemas, mereka pun tentu selesa untuk duduk lama,” katanya yang suka raikan tetamu.
Selain ruang makan yang menempatkan meja makan lapan kerusi, terdapat satu ruang santai untuk menonton televisyen bersama keluarga sebelum melangkah ke ruangan dapur. Dekorasi pada bahagian santai dan dapur masih dikekalkan dengan konsep yang lama. Ruang dapur cukup indah tempat pemilik berkarya dengan masakan bersama set pinggan mangkuk Portmeirian koleksi peribadi.
Ads
“Saya tak suka tengok televisyen di ruang tamu, jadi saya memberi idea kepada suami untuk membuat ruang khas menonton. Bagi saya itu penting untuk jaga ruang tamu supaya kekal tersusun dan teratur setiap kali menerima kunjungan tetamu,” katanya yang memilih warna kuning untuk melatari ruangan tamu tersebut.
Ruang santai yang kekalkan konsep lama juga rapi dan kemas
Kediaman ini mempunyai empat bilik, satu bilik di bawah dan tiga di atas. Bilik-bilik di lantai atas turut dihias indah untuk beradu pada waktu malam. Bilik kedua anak perempuan dihias cukup sederhana dengan perabot asas rona putih dan merah jambu sesuai buat sang puteri yang sedang meningkat dewasa. Begitu juga dengan bilik anak teruna yang masih kecil, hijau Army jadi pilihan dan lebih istimewa dekorasi bilik sang putera adalah hasil sentuhan suami pemilik itu sendiri.
Cantik & Tersusun
Mempunyai perabot dan dekorasi yang banyak di rumah tentunya bukan mudah untuk dijaga. Tambahan pula bagi yang mempunyai anak yang masih kecil. Tapi menurut pemilik, sejak dari kecil dia sudah menerapkan anak-anaknya untuk mengemas sendiri barang permainan mereka dan tidak mengusik barangan yang tidak sepatutnya.
“Saya memang suka menghias rumah kerana ia sudah diterapkan sejak kecil oleh ibu yang suka menghias rumah. Saya memang suka tengok rumah dalam keadaan cantik dan tersusun. Bila dah ada anak, saya didik pula mereka dengan cara yang sama. Anak-anak juga tak usik barang-barang di rumah. Saya juga ajar dari awal untuk mereka kemas barang permainan mereka.”
Bilik anak-anak yang mendapat sentuhan pemilik sendiri
Menyentuh soal menguruskan rumah, bagi pemilik meskipun kini sudah tiada pembantu, dia dan keluarga akan bersama-sama membersihkan kediaman terutamanya pada hujung minggu.
“Dulu saya ada pembantu, jadi ada yang akan tolong uruskan hal-hal membersihkan rumah. Tapi sekarang dah tak ada pembantu, saya dan suami serta anak-anak sama-sama bersihkan rumah kami pada hujung minggu. Bila dah dedahkan pada anak-anak sejak kecil tentang menghias rumah ni, mereka pun secara sendiri suka dengan rumah yang cantik dan berhias. Kadang-kadang anak-anaklah yang bagi pendapat apa yang cantik untuk saya hiaskan di kediaman kami, mungkin sejak dari kecil lagi mereka dah tengok saya suka menghias, jadi sedikit sebanyak mereka juga turut suka menghias,” ujarnya mengakhiri perbualan.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Setiap insan sememangnya mahukan keselesaan tempat tinggal. Apatah lagi buat mereka yang sudahpun mendirikan rumahtangga. Begitu juga dengan pendirian Siti Aisya Kamaruddin, 28, dalam menguruskan rumah tangganya dengan baik, bukan sahaja suami dan anak yang perlu dijaga, bahkan kediaman juga harus dijaga rapi. Bak kata pepatah ‘Rumahku Syurgaku’, maka tidak hairanlah Siti Aisya dan suaminya, Mohamad Fahmi Misroh, 28 ini sanggup berhabis untuk rumahnya bagi mendapatkan keselesaan dan ketenangan.
Siti Aisya dan suami idamkan kediaman yang ringkas dan moden.
“Alhamdulillah, rumah kediaman kami ini mencukupi untuk kami sekeluarga berehat. Malah saya juga bersyukur akhirnya saya dapat memiliki rumah pertama dan baru saja berpindah beberapa bulan yang lalu,” ujar Siti Aisya memulakan perbualan.
Ketika melangkah masuk ke kediaman ini sememangnya, penulis berasa agak kagum, walaupun ruang rumah sederhana namun susun atur cukup moden dan menarik.
“Kami meminati konsep ringkas, minimalis dan moden. Tidak terlalu feminin ataupun maskulin. Kami memberi kebebasan kepada syarikat pereka dalaman yang dilantik iaitu ADCS (AD Creative Studio) untuk menghasilkan rekaan yang sesuai untuk kami berdasarkan konsep yang dipilih. ADCS kemudian drafkan beberapa cadangan untuk kami pilih dan membuat keputusan. Konsep yang dipilih juga mudah untuk kami kekalkan penjagaan dan kebersihan. Kos juga rendah untuk mendapatkan hasil yang moden dan minimalis. Sesuai untuk kami, generasi muda yang masih baru dalam mendirikan keluarga,” ungkap ibu kepada seorang cahaya mata perempuan ini.
Bilik mainan puteri mereka yang cukup selesa.
Sanggup Berhabis
Mengeluarkan kos sebanyak RM60,000 untuk pengubahsuaian Siti Aisya mula minat melakukan dekorasi rumah dari rancangan TV, Casa Impian. Sejak daripada itu, dia juga telah berhasrat untuk mendapatkan rumah idaman apabila sudah memiliki rumah sendiri.
“Sumber inspirasi banyak datang dari media sosial seperti Instagram, Facebook dan Pinterest. ADCS juga banyak memberi idea dan cadangan. Alhamdulillah, bajet kami cukup untuk menghasilkan sentuhan sebegini buat kediaman kami. Tidak salah untuk berbelanja sedikit demi kediaman idaman. Kami juga tidak perlu meluangkan masa yang banyak untuk membersihkan dan mengemas rumah,” sambung Siti Aisya.
Ditanya tentang ruang kesayangannya, Siti Aisya menerangkan ruang ruang vanity di bilik tidur utama menjadi kegemarannya. Manakala suami pula gemarkan panel helmet di ruangan makan.
Siti Aisya juga berasa sangat bersyukur kerana syarikat pereka dalaman yang dilantik telahk mentafsirkan rekaan yang sesuai buat ruang yang terdapat di kediamannya. Warna yang dipilih juga berdasarkan pilihan dia dan suami yang gemarkan warna semulajadi dan warna perabot yang dibeli.
Siti Aisya dan suami gembira miliki rumah pertama dan dekorasi yang diidamkan.
Sebagaimana yang dikongsikan Siti Suryani Yaakop, rumah kayu palet tak guna paku ini adalah lambang cinta seorang suami kepada isterinya. Kerja tukang bapa saudaranya itu terlihat indah dan cantik di pandangan mata.
Lebih unik lagi, rumah kayu pallet hasil kerja tangan bapa saudaranya itu menggunakan skru untuk menyambung satu palet ke palet yang lain.
Unik sekali rumah yang dihasilkan atas lambang cinta seorang suami untuk isterinya. Sehinggakan dia memanggilnya ‘Taj Mahal Pak Lang buat Mak Lang.’
Rumah Kayu Palet Hasil Kederat Seorang Suami
Bagi orang ini cuma sekadar rumah. Tapi bagi saya rumah ni adalah lambang cinta. Cinta itu akhirnya menghasilkan sebuah karya seni yang utuh dan unik.
Uniknya sebab hampir keseluruhan rumah ni dibina dari kayu palet. Pak Lang saya kata dia kumpul sehari-hari kayu palet yang masih elok dan cantik. Lepas tu dia buatlah sikit demi sikit.
Uniknya lagi rumah ni tak pakai paku. Pak Lang kata dia guna screw. Kebanyakkan tempat semua dia screw sendiri untuk sambungkan satu palet ke satu palet yang lain. Nak berpaku semua memang tak lalu.
Bertambah unik lagi sebab bukan setakat rumah. Tapi kebanyakkan perabot juga dibina dari kayu palet. Gerobok simpan tilam bantal, almari baju, katil, kabinet dapur, rak kasut, meja, kerusi beranda.
Dan lebih unik di antara paling unik, rumah ni Pak Lang gigih buat sorang-sorang. Dengan pinjaman kederat buat dia. Perlahan-lahan. Satu persatu. Diteman Mak Lang setiap waktu. Makan hampir 8 tahun sebelum rumah ini siap dibina sepenuhnya.
Sebab itu saya tak panggil ini rumah.
Saya panggil Taj Mahal.
Taj Mahal Pak Lang buat Mak Lang.
Hasil Kerja Tukang Pak Lang Yang Bersen
Ini hasil keseluruhan rumah. Siapa yang tengok mesti jatuh cinta. Unik, cantik dan traditional. Siapa sangka ini hasil dari kayu palet dan kederat seorang lelaki.
Ruang masuk pintu utama. Pagar ni penting. Cucu ramai. Kalau tak dipagar tak larat nak kejar.
Beranda ni menghadap rumput hijau. Tenang. Larat Pak Lang buat. Kat sini lah pagi-pagi Mak Lang lambai Pak Lang pergi kerja.
Reka Bentuk Tingkap Yang Unik
Ruang TV. Almari TV itu juga dibuat sendiri. Begitu hiasan tetingkap dan ruang angin. Reka bentuk sendiri. Kat sini suami saya suka nyanyi lagu “Adabi melazatkan…” bila nak buka tingkap waktu pagi.
Ruang membawang. Kalau tak sampai pukul 5 pagi, tak tidur. Biasa lah sesekali jumpa. Mengilailah kita semua sampai pagi buta.
Ruang rehat lagi satu. Ruang sebelum masuk ke dalam ruang solat. Ada pulak mesin jahit lama dengan pasu tu kat situ. Nampak vintage sungguh.
Ni gerobok selimut, bantal, tilam. Senang orang datang. Sedara mara satu batalion. Pun Pak Lang buat sendiri. Jenis buat rumah memang siap-siap sedia untuk terima sedara mara.
Kawasan ruang tamu juga. Sebelah TV. Dan sebelah tempat membawang tadi.
Semua kabinet dapur ni hasil tangan Pak Lang.
Bilik Solat Kemas Lagi Bersih
Ni bilik solat. Besar. Kemas. Bersih. Rak gantung sejadah pun buat sendiri. Kabinet letak Quran pun buat sendiri. Pagi-pagi angin di sini sejuk. Macam ada aircond. Bilik penuh cahaya iman barangkali.
Laluan untuk ke tandas dan laundry. Maya kata dia suka laluan ni. Siap ada gerbang sebelum masuk jamban.
Rumah Kayu Palet Yang Unik
Atap dapur. Sebab Mak Lang kata panas. Orang datang nanti bersauna. Buat pulak dia atap dengan kayu palet ni. Sungguh. Kawasan ni kalau dah masuk payah nak keluar. Cuaca sedap. Makanan apatah lagi.
Ni lah keseluruhan kawasan dapur. Saya suka berdiri tengok tempat ni. Tak sangka hasil kayu palet boleh jadi seindah ini.
Mingguan Wanita :Memang cantik sungguh hasilnya. Tentu isterinya bahagia.
Rumah pusaka yang sebelum ini buruk dan usang ‘bertukar wajah’ jadi villa homestay. Selalunya rumah pusaka sering dibiarkan tanpa diduduki sehingga habis rosak. Jangan begitu. Keluarkan sedikit modal untuk membaikpulih rumah pusaka anda menjadi sebuah kediaman yang menarik.
Melalui perkongsian Man Protool pada mata kasar rumah pusaka itu mungkin nampak seperti tiada nilai. Bagaimanapun lelaki ini berpandangan jauh. Dia sudah membayangkan ‘masa hadapan’ kediaman itu.
Jom kita lihat proses transformasi rumah papan yang sebelum ini buruk dan usang berubah wajah menjadi sebuah rumah inap atau ‘homestay.’
Benarlah segala kekuatan seorang wanita ada pada Tun Dr. Siti Hasmah. Mingguan Wanita begitu tertarik dengan perkongsian seorang wanita ibu tunggal yang bernama Puan...