Eja

Dengan penuh lembut, Siti Shahrizah bt Saifuddin atau lebih dikenali dengan gelaran Eja menjelaskan situasi dirinya kini.

“ Sebenarnya saya berterima kasih pada produser dan stesen TV yang masih lagi inginkan saya berlakon. Saya masih terima tawaran. Alhamdulillah. Tetapi dengan secara berhemah dan lembut mengatakan pada mereka, keadaan dan kehidupan saya buat sementara ini tidak mengizinkan saya terlibat dalam bidang seni lagi.

“Itu adalah pendirian saya buat sementara ini. Saya mahu berehat dan menumpukan pada keluarga dan juga pencarian ilmu saya. Pencarian ilmu dan keluarga menjadi keutamaan saya. Kerjaya sudah jatuh nombor tiga sekarang ini.

“Mungkin satu masa dan suatu ketika, kalau Allah kata saya perlu kembali di dalam industri ini untuk bekerja, saya akan kembali kerana saya tidak ada kepakaran yang lain melainkan berlakon. Tapi buat masa sekarang, ini apa yang boleh katakan, saya ingin berehat,” ujar Eja memulakan perbualan.

Kali Kedua

Jelas Eja, ini adalah kali kedua dia mengambil keputusan untuk berehat daripada aktiviti seni. Kali pertama dia berehat adalah selepas melahirkan anak tunggalnya, Nur Eishal.

IKLAN

“Sebenarnya dua kali saya ambil keputusan untuk berehat. Kali pertama selepas saya melahirkan anak, Nur Eishal, saya berehat selama dua tahun. Selepas itu, saya berehat sekali lagi iaitu pada tahun 2016 dan 2017. Lebih kurang dua tahun saya berehat.

“Saya berehat kali kedua kerana Allah sayang kepada hamba-Nya yang tidak sempurna ini. Saya menyembunyikan diri untuk mengingatkan saya apa tujuan hidup di dunia ini. Sebabnya sebelum ini saya terlalu lalai, leka, lupa kerana sibuk dengan kerjaya.

“Kerjaya saya bukan seperti orang lain. Saya bekerja tidak tentu masa. Kadangkala tidak cukup tidur dan tidak cukup rehat demi mahu menghabiskan penggambaran sesebuah drama itu.

“Ketika itu Allah bagi 24 jam masa, saya rasa tidak cukup. Kalau boleh saya hendak masa lebih dari 24 jam. Allah bagi 24 jam itu sebab ada ketetapan-Nya. Saya sebagai hamba Allah ini tidak pernah bersyukur pada waktu itu. Tidak pernah berasa puas. Manusia itu fitrahnya tidak akan pernah puas dan rasa syukur. Setiap tahun ada sahaja benda hendak buat. Tetapi ada manfaat kebajikan, belakang cerita.

“Saya perlu kembali menyendiri kerana jika tidak, saya tidak akan memperoleh apa yang saya hendak untuk dunia dan akhirat. Kita sebagai orang Islam mengetahui dunia ini hanya sementara dan akhirat itulah selama-lamanya.

“Bila saya ambil keputusan untuk berhenti kerana Allah telah menarik sedikit nikmat daripada kehidupan saya iaitu kesihatan saya. Itulah puncanya. Kalau orang melihat saya, mereka akan berkata saya nampak kurus, nampak pucat dan sebagainya,” ujarnya lagi.

Faktor Kesihatan

Luah Eja, kesihatan itu seperti iman seseorang yang sekejap turun dan sekejap naik. Tetapi dia menjelaskan dirinya tidaklah menghidapi penyakit berbahaya sehingga boleh membawa maut. Namun kalau tidak dijaga akan membawa ke arah itu (maut).

IKLAN

“Jadi dengan faktor usia begini, memang penyakit atau masalah kesihatan datang tanpa diundang. Tahap untuk sembuh itu mengambil masa yang lama. Itu sebabnya hendakkan kesejahteraan kesihatan saya perlu tukar cara kehidupan saya.

“Punca utama adalah kerana saya ingin berehat, bukannya berhenti. Sebab dari umur saya 19 tahun saya tidak pernah berhenti bekerja. Saya anak sulung dan mempunyai sikap degil namun sangat berdikari. Banyak kesilapan dan kelemahan yang saya lalui sepanjang hidup ini.

“Tahun ini saya berusia 46 tahun. Lagi empat tahun saya akan mencapai usia 50 tahun. Orang lihat fizikal saya akan berkata diri saya masih muda dan kenapa tidak berlakon? Sebenarnya kalau ikut nafsu, saya ingin bekerja sampai umur 100 tahun.

“Manusia ini ada sikap tamak dan tidak pernah puas. Ada pepatah kata, orang yang tamak selalu rugi. Saya tidak mahu jadi orang yang rugi. Allah sudah bagi saya hampir 20 tahun dalam industri. Lima tahun pula saya bekerja terbang di awan biru. Apa lagi yang saya mahukan.

“Saya fikir sudah tiba masa untuk bermuhasabah diri dan ingat untuk apa tujuan hidup di dunia ini. Allah tarik sahaja sedikit nikmat kesihatan telah membuatkan saya ingat kembali kepada Allah. Saya juga mula tetapkan diri pada Allah.

“Kita makan ubat seperti yang disarankan oleh doktor. Tetapi yang menyembuhkan kita semuanya daripada Allah. Saya sakit ini sebab Allah mahu saya kembali kepada-Nya. Kalau tidak sudah pasti saya selama-lamanya hanyut,” tambah Eja.

Lebih Tenteram Dan Lebih Tenang

Selama dua tahun berehat, berlaku perubahan dari segi kesihatan dan juga kehidupan isteri kepada Mohd Silahuddin ini.

IKLAN

“Tuhan itu Maha Adil. Pada bulan November 2016 saya sudah tidak ada pembantu rumah. Itu perubahan besar dalam hidup saya. Sebaik sahaja berkahwin, saya ada pembantu. Masa itu umur saya dalam 20-an. Saya boleh katakan saya manja dan mengada-ada.

“Saya bergantung harap pada pembantu. Pada ketika itu kalau tidak ada pembantu saya rasakan hidup ini agak susah. Punyalah mengada-ada. Sikap diva pun ada, sebab waktu itu ada pembantu, ada pemandu dan P.A.

“Sehinggalah Allah duga saya dengan masalah berkaitan pembantu-pembantu. Tatkala kesihatan saya turun naik, saya kehilangan pembantu-pembantu. Hidup saya huru-hara dan rasa kusut.

“ Masalah pembantu ini telah menjadikan saya lebih matang untuk mengendalikan kehidupan tanpa mengharapkan manusia. Sehingga sekarang, setahun lebih saya tidak ada pembantu. Selama ini juga saya tidak mengharapkan pembantu untuk mencuci dan menguruskan rumah saya.

“Ada hikmah di sebalik tidak ada pembantu kerana saya boleh buat segala-galanya dengan sendiri. Segala kerja rumah dan menguruskan anak yang kita rasa dahulu agak susah sebenarnya tidak ada masalah apabila saya buat sendiri. Apa yang saya buat sekarang ini atas rasa kasih sayang dan cinta pada keluarga.

“Buat sendiri kerja rumah ini perlukan kesabaran yang tinggi. Apa yang saya belajar daripada pengalaman ini telah mematangkan saya. Syukur pada Allah, setiap kejadian itu ada hikmahnya.

“Tiada istilah bermalas-malas dan bermanja-manja seperti dahulu. Sekarang ini semuanya saya buat atas kesanggupan dan atas rasa cinta dan kasih sayang saya kepada keluarga dan kehidupan saya.

“Saya akui kehidupan saya lebih tenteram dan lebih tenang sekarang. Memang saya penat tetapi hati tidak sakit sebagaimana mempunyai pembantu. Ada pembantu saya tidak penat tetapi hati selalu sakit sebab pembantu tidak buat apa yang kita suruh.

“Pembantu-pembantu sekarang tidak sama seperti dahulu. Dahulu kita tidak pernah dengar masalah-masalah pembantu-pembantu ini. Tetapi sekarang, banyak sangat masalahnya.

Saya hendak pesan pada ejen di Malaysia baik pun Indonesia, tidak mengapa mereka ambil duit kita dan mereka lepas tangan. Di dunia ini tidak mengapa, mereka lepas tetapi ingat, walau kita mati jihad sekalipun hutang akan tetap dipersoalkan di akhirat kelak,” jelas Eja, yang juga berharap dengan adanya pendaftaran permit pembantu rumah secara online yang telah dibuat oleh kerajaan dapat mengelakkan majikan dianiayai oleh ejen-ejen yang tidak amanah.

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI