Uncategorized

Kalau Nak Laman Cantik Ala Kedesaan Inggeris, Boleh Cuba Idea Pemilik Homestay Ini

Share

Ibarat berada di England sebaik memasuki laman kediaman Ruzaina Mat Som yang terletak di Shah Alam, Selangor ini.  Walau dalam keadaan cuaca tropika, pilihan konsep kedesaan Inggeris yang dipersembahkan ini kelihatan cukup sesuai dengan persekitaran sekeliling.

Berehat di bawah pokok anggur berusia 13 tahun.

Sentiasa Ganti Pokok Baru

Konsep laman rumah ini adalah kesinambungan dengan konsep dekorasi dalaman rumah pemilik Zeeta De Beaute Salon & Spa. Ruzaina juga adalah pemilik Homestay Twin Villa Guest House

yang terletak bersebelahan dengan rumahnya.

“ Konsep kedesaan Inggeris ini jadi pilihan kerana sesuai dengan jiwa saya. Tak hairanlah jika saya selaraskan dekorasi dalaman dan luaran kediaman dengan konsep yang sama. Taman kedesaan Inggeris yang saya buat di laman rumah ini sudah berusia lebih 15 tahun.

“ Saya buat peringkat demi peringkat. Mula-mula buat dahulu saya ada buat taman herba di bahagian belakang. Tanaman yang jadi pilihan adalah pokok berbunga. Ada pokok bunga petunia, ros Jepun dan beberapa tanaman hijau lain. Saya juga ada menanam pokok anggur. Pokok anggur ini telah berusia 13 tahun. Kami dapat juga makan buah anggur hijau ini,” ujar Ruzaina bercerita tentang lamannya itu.

Bagi memastikan lamannya sentiasa berseri dengan kehadiran pokok-pokok bunga, Ruzaina akan pastikan dia menggantikan pokok-pokok bunga yang telah mati dengan pokok-pokok bunga baru.

“ Berkaitan dengan penjagaan pokok-pokok bunga, saya menggunakan baja yang bersesuaian. Sebagai contohnya saya guna baja ‘peat grow’, baja tahi ayam dan baja penggalak bunga.

“ Setiap pokok bunga memerlukan cara penjagaan yang berbeza. Sebagai contohnya jika mahu bubuh baja perlu letakkan sebelum matahari terbit. Pokok bunga petunia ini hanya mampu bertahan lebih kurang 4 hingga 6 bulan. Gantikan dengan pokok yang baru bagi memastikan taman sentiasa berseri dengan kehadiran bunga-bunga yang warna-warni,” tambahnya.

Pergola jadi tempat santai.
Sepasang buaian yang kukuh dan masih boleh berayun dengan laju.

Taman Matang

Laman rumah Ruzaina tidak hanya sekadar dihiasi dengan tanaman dan pokok bunga. Wanita yang pernah berkhidmat sebagai pramugari ini turut menghiasinya dengan barangan hiasan yang bersesuaian. Paling ketara tamannya ini mempunyai pelbagai tanda nama tempat-tempat menarik di England yang digantung pada setiap sudut menarik.

“ Semasa saya masih bekerja sebagai pramugari dahulu, saya akan beli tanda-tanda nama dan barangan hiasan yang saya rasa sesuai dengan taman. Saya akan pastikan cenderamata yang dibawa pulang itu sesuai dengan konsep taman di laman rumah saya.

“ Selain tanda nama, barangan hiasan lain yang jadi pilihan saya adalah basikal anak. Anak saya suka aktiviti rekreasi. Saya fikir jika anak letak basikal dalam satu tempat dan berlonggok, rasa sakit mata. Apa kata saya jadikan basikal anak sebagai salah satu barangan hiasan dekorasi laman.” Tambahnya.

Bagi melengkapkan konsep kedesaan Inggeris, Ruzaina meletakkan Pergola di taman mininya itu. Sepasang buaian gantung juga jadi pilihan. Disebabkan tidak ada pokok besar untuk menjadi tempat menggantung buaian tersebut, Ruzaina telah menggantung buaian tersebut pada bawah bumbung rumah.

Ternyata laman kediaman Ruzaina ini menepati cita rasanya. Walau laman rumah ini boleh dikategorikan sebagai taman matang, Ruzaina akan sentiasa memastikan tamannya segar dengan idea dekorasi yang baru dengan peredaran zaman.

Tanda-tanda nama kawasan menarik di England serikan taman.
Published by
Julie Roshana