
Isi Kandungan
ToggleNak mendidik memang tak mudah, silap gaya mungkin anak-anak langsung tak rasa rindu pada mak ayahnya.
Ini bukan dikira bila mak ayahnya sudah tiada tetapi nampak jelas sesudah anak-anak berumah tangga dan ada kehidupan sendiri.
Kalau berjaya mendidik, anak-anak tak lupa mudah apa yang pernah dia lalui sepanjang zaman anak-anaknya.
Sebab itulah pentingnya cara mendidik anak-anak, seperti yang ditekankan dalam perkongsian Puan Farhana Muhammad, sedikit ilmu yang diperoleh daripada Ustazah Norhafizah Musa, betapa pentingnya mencipta teladan yang baik depan anak-anak.
Gambaran Yang Baik Untuk Anak-anak
Bayangkan macam mana kita melihat mak kita sendiri. Dari kita kecil lagi, kita boleh nampak gambaran mak ayah kita.
Kata ustazah, mak ustazah memang sangat rajin baca Al-Quran. Ia dipuji oleh suaminya. Ayah ustazah selalu puji mak ustazah depan anak-anak tentang Al-Quran.
“Abah berterima kasih kepada mak kerana mak telah memberikan penekanan Al-Quran kepada anak-anak sejak kecil lagi.”
Ustazah cakap, dari sekarang dia boleh bayangkan mak mereka macam mana. Dari usia 4 tahun, balik tadika mak akan suruh baca Al-Quran. Lepas Asar, baca Al-Quran. Lepas Maghrib, baca Al-Quran. Lepas Isyak, baca Al-Quran. Bukan disebabkan murid yang rajin, tetapi gurunya yang rajin.
Lepas Subuh, mak tak buka telekung. Mak cuma lilit telekung ke belakang untuk siapkan anak-anak ke sekolah. Di anjung masih kelihatan sejadah masih terbentang (dari Subuh lagi) bersama Al-Quran dan bantal (tempat letak Al-Quran). Masa kecil ustazah tidak faham kenapa mak tidak simpan sejadah. Lepas anak-anak berangkat ke sekolah, mak kembali mengaji di sejadahnya. Kemudian solat sunat dua rakaat. Selesai semua itu, barulah mak buka telekung dan sambung kerja yang lain.
Bila ustazah dewasa, baru ustazah faham apa yang mak buat. Jumpa sebuah hadith, “Barangsiapa solat Subuh berjemaah di masjid, diikuti dengan zikrullah sehingga matahari naik (waktu syuruk), lepas 15 minit solat sunat Isyraq 2 rakaat. Barangsiapa melakukan sedemikian, maka untuknya pahala haji dan umrah sempurna.”
Kata ustazah, mak tak pernah ajar semua itu. Gambaran yang mak titipkan ke dalam memori kita sejak kecil lagi. Apabila sudah besar, baru terjawab. ‘Patutlah mak tak buka telekung selepas Subuh.’
‘Mak rajin sungguh baca Al-Quran.’
‘Bibir mak tak putus dengan zikrullah.’
Sekarang cuba bayangkan, apa yang anak kita bayangkan tentang kita?

Jangan sehingga kita sudah meninggalkan dunia ini, jam 2 petang hari Sabtu, boleh anak kita cakap mengenai kita, “Ni kalau ada mama ni, sama-sama tengok Hindustan dengan mama ni.”
Bila tengok cerita korea, anak teringat akan mamanya yang teresak-esak setiap kali menonton cerita korea.
Agak-agak apa bayangan anak kita apabila kita sudah meninggal?
Mama yang kuat tidur? Mama yang kuat makan? Mama yang suka marah? Atau.. mama yang suka sujud? Mama yang kuat ibadah? Mama yang kuat doa? Mama yang mulia akhlaq?
Apa Yang Anak-anak Akan Ingat Tentang Mak Ayah
Hari ini kita ‘tolong’ bayangkan apa yang anak-anak kita bayangkan mengenai kita nanti. Apabila kita sudah memikirkan sedemikian, bermakna kita sedang mempersiapkan diri untuk qudwah hasanah anak-anak. Jika kita tidak buat sekarang, anak-anak kita tidak ada bayang tentang semua itu.
Tonjolkan diri kita sekarang supaya kita menjadi aura, qudwah kepada anak-anak. Pertontonkan kepada anak-anak macam mana menjadi soleh dan solehah.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
“Kejadian ini ibarat mimpi ngeri, saya kehilangan suami dan anak-anak kehilangan abah” – Ezatul Marini.

Kejutan dan kesedihan yang hadir tatkala kehilangan orang tersayang memang sukar digambarkan perasaannya. Sesekali ianya datang seperti mimpi buruk dan kita ingin lupakan cepat-cepat. Namun kala kasih sayang Allah melebihi segalanya, apalah daya kita. Hanya berserah dan pasrah menjalani ujian dari-Nya.
Begitu jua situasi yang dilalui Ezatul Marini Mohd Ghazali, 46 tahun yang berasal dari negeri Pahang ini. Sesungguhnya kemalangan yang meragut nyawa suaminya dan juga membuatkan dia hilang upaya untuk kembali bergerak aktif bukanlah sebuah kenyataan yang mudah ditelan.
Mengimbau kejadian yang berlaku pada 23 November 2018, Ezatul Marini atau mesra dengan panggilan Ezatul bersama keluarga sepatutnya menyertai aktiviti lawatan dan juga hari keluarga anjuran tempatnya bekerja iaitu, Politeknik Sandakan Sabah ke Kudat.
“Dalam perjalanan, bas kami terlibat dengan kemalangan akibat masalah brek. Suami saya beserta tiga orang rakan sekerja dan anak kepada rakan sekerja meninggal di tempat kejadian. Suami saya, almarhum Mohd. Khaizuzafarin Bedalib meninggal akibat kecederaan serius pada kepala.
“Kebanyakan penumpang lain mengalami kecederaan. Saya juga mengalami kecederaan agak serius, tulang femur berkecai dan retak di beberapa bahagian sebelah kiri badan. Mulanya saya dibawa ke Hospital Kota Marudu sebelum dirujuk ke Hospital Queen Elizabeth 2, Kota Kinabalu.
“Anak perempuan saya, Syahirah Nafeesa juga mengalami luka dan kecederaan tendon yang agak serius dan dirujuk ke Hospital Likas sebelum turut dipindahkan ke Hospital Queen Elizabeth 2 manakala anak bongsu Syakir Naeim yang turut serta tidak mengalami sebarang kecederaan,” ceritanya mengimbau tragedi yang menimpa keluarganya.
Arwah Suami Termenung Panjang
Sudah tentu, Ezatul teruja untuk mengikuti lawatan yang dianjurkan. Begitu juga arwah suaminya. Suaminya langsung tidak menunjukkan sebarang tanda sebelum dirinya dijemput Ilahi. Cuma menurut Ezatul, ketika di dalam bas semasa menghampiri Telupid, arwah termenung panjang dan sayu.
Kelihatan juga air mata bergenang di matanya. Namun apabila Ezatul cuba berbahasa-basi, suaminya katakan tiada ada apa- apa. Malahan jelas wanita yang telah 20 tahun menetap di Tanjung Malim, Perak, suaminya sangat riang sepanjang perjalanan.
Arwah teruja kerana ianya merupakan kali pertama mereka akan meneroka kawasan percutian di Sabah. Maklumlah ketika itu, Ezatul baharu sahaja dua bulan berpindah ke Sandakan.
Menambah kegembiraan arwah kerana tidak lama selepas itu, iaitu pada 26 November, dia bakal balik bercuti ke semenanjung. Jelas Ezatul, suaminya tidak sabar hendak kongsikan gambar dan cerita tentang Sabah dengan keluarganya. Tetapi siapa sangka, kegembiraan yang dicipta pada awalnya berakhir dengan tragedi yang meremukkan hati.

Bukan Seorang Yang Terkorban
“Kemalangan ini tidak hanya meragut nyawa suami saya tetapi juga meragut nyawa kawan- kawan yang setiap hari bekerja bersama. Sedih bila mendapat khabar kawan- kawan saya juga terkorban. Pedih menelan kenyataan.
“Tidak mudah memujuk hati menerima sesuatu yang berlaku dalam sekelip mata. Kejadian ini bak mimpi ngeri buat kami sekeluarga. Anak- anak hilang abah yang mereka sayang. Saya pula kehilangan suami. Kakak- kakak ipar kehilangan satu- satunya adik lelaki mereka.
“Arwah memang pengidap epilepsi akibat darah beku pada saraf kepala. Sudah puluhan tahun sejak usianya 18 tahun. Tetapi kami tidak pernah menyangka begini aturan Allah. Dari ketika memandang tubuh kaku arwah, kakak pujuk hati bahawa inilah janji Allah,” ungkapnya sebak.
Jelas Ezatul, di awal kejadian berlaku, dirinya ternyata masih kuat untuk menahan rasa tetapi tatkala tibanya hari jenazah suaminay dibawa pulang ke Semenanjung, hatinya gundah dan tidak mampu menahan rasa. Hiba itu hadir kerana suaminya tinggalkan dirinya dengan mengejut dan menjadi sangat pilu pabila dia tidak dapat menatap wajah suaminya buat kali terakhir kerana masih menerima rawatan saat itu.
“Kemudian saya cuba pujuk hati. Saya katakan pada diri, Allah sayangkan arwah jadi dalam perebutan kasih ini pastilah saya tak mampu nak kalahkan sayang Allah. Jadi akhirnya saya mula terima suratan ini,”tambahnya lagi.
Kesan Kemalangan
Menurut Ezatul, dirinya kini masih dalam rawatan. Terdahulu pada 30 November tahun lalu, pembedahan implan telah dilakukan namun ia gagal. Kemudiannya pada 28 Februari lalu, dirinya telah menjalani pembedahan bagi menggantikan pinggul.

“Kini saya terpaksa bergerak menggunakan kerusi roda dan tidak pasti berapa lama lagi perlu begini. Pasti sedih kerana tidak mampu aktif seperti sebelum ini. Kecewa? Kakak perlu pujuk diri setiap hari dengan katakan Allah rancang semua ini dan pastinya kerana Allah cintakan kami sekeluarga.
“Anak- anak pun sangat positif. Sungguh kami tak mampu telan kehilangan orang tersayang tapi kami percaya semua ini ada hikmahnya. Allah tidak jadikan sesuatu itu sia- sia,” luahnya positif.

Terharu Dengan Kasih Sayang
Sebenarnya sumber kekuatan Ezatul diserap daripada kasih sayang, doa dan sokongan kaum keluarga dan kawan- kawan. Di saat, kakak- kakak iparnya mengatakan padanya yang dia menjadi “pengganti” kepada adik mereka, secara tidak langsung sudah buat Ezatul cukup gagah.
Pergorbanan adik beradik, ibu- ibu saudara, sepupu dan saudara mara yang sentiasa membantu sudah tentu tidak mampu dibalas Ezatul. Kehadiran kawan- kawan yang sanggup terbang ke Kota Kinabalu semasa dirinya dirawat di Sabah dan juga ketika di pulang ke Semenanjung menjadikan kekuatannya semakin luar biasa.
“Kini sudah hampir 3 bulan dia pergi(ketika temubual dijalankan) dan terus- terang saya masih menangisi ketiadaan dia. Dia bak sahabat baik yang sentiasa ada untuk saya. Menyokong apa yang saya buat. Menegur apa yang salah dan bagaimanalah saya nak padamkan semua memori dengan dia. Anak- anak juga tidak putus- putus bercerita tentang Abah mereka. Saya pasti mereka rindukan Abah mereka.
“Untuk hilangkan sedih saya menulis. Menulis di laman FB, menulis anekdot. In syaa Allah sempena PBAKL 2019 buku tulisan saya dan tiga orang kawan yang lain, Mrs. PAPA akan dilancarkan. Buku itu saya dedikasikan untuk suami. Manuskripnya ditulis semasa dia masih ada.
“Saya berdoa setiap hari agar saya dan anak sembuh seperti sedia kala. Saya juga tidak putus doakan agar semua yang telah bersusah payah sepanjang kami dirawat dikurniakan pahala berpanjangan dan sejahtera selalu. Paling utama saya doakan kami terus kuat dan Allah kurniakan segala kekuatan dan kecukupan rezeki serta kesihatan untuk menghadapi hari mendatang,” ungkap ibu kepada Syamil Nuqman, 20 tahun, Syahirah Nafeesa 15 tahun dan Syakir Naeim, 13 tahun.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Tergugat ‘Bunga Cinta’ Janda Dan Duda, Gara-gara Godaan Isteri Orang

Isi Kandungan
ToggleRumit betul kisah benar yang sampai ke inbox Mingguan Wanita ini. Tentang hubungan cinta antara janda dan duda yang hampir ke jinjang pelamin, tetapi terputus di tengah jalan gara-gara godaan dan hasutan isteri orang yang dikatakan ada hati dengan duda itu.
Pengirimnya, seorang ibu tunggal buntu tidak tahu nak pilih jalan mana, kerana hatinya sudah tawar. Tetapi duda yang begitu cintakannya tetap berhajat mahu memperisterikannya. Biarpun ketika di tempat kerja lama, isteri orang itu melemparkan hasutan tentang janda pilihan hati si duda.
Katanya, kisah hidupnya itu hampir sama dengan cerita yang pernah Mingguan Wanita siarkan di sini : Berkawan Rapat Di Pejabat, Boleh Jadi Punca Suami Isteri Curang?
Kisah Untuk Pengajaran
Assalamualaikum.
Saya seorang janda bercerai, dengan anak-anak sedang membesar dan bekerja di sebuah jabatan kerajaan.
Kisah ini berlaku semasa saya baru bertukar tempat bekerja, di mana ade seorang rakan sejawat lelaki duda anak 5 (saya namakan Dzul). Beliau berusia muda 3 tahun daripada saya.
Biasalah, bila ada janda bertemu duda tentulah gossip akan timbul. Begitulah juga dengan hal kami. Kebanyakan kawan-kawan menggalakkan kami, tapi di sebalik itu, ada seorang rakan sejawat perempuan yang sedang bermasalah rumahtangga kelihatan pelik terhadap saya (saya namakan Rus).
Rus selalu bercerita secara terbuka keburukan dan aib suaminya kepada rakan sekerja lain. Tapi malang rakan-rakan mengiyakan dan memihak kepadanya.
Di pejabat, Rus ada bilik khas walaupun dia berpangkat biasa sahaja. Di bilik ini, rakan sekerja lain sering masuk berborak ketika free sebab agak selesa, termasuklah Dzul. Kekadang mereka berdua sahaja berborak di dalam bilik itu.
Seawal saya bekerja di sana, Rus seolah-olah sering memerhatikan saya. Setiap hari apa yang saya pakai, saya guna beliau akan tanya dan belek. Setiap hari ada-ada sahaja yang beliau belek, tudung, kain, baju, gincu. Dan yang paling pelik bila setiap kali Dzul bercakap dengan saya, beliau akan memandang seolah-olah mengejek saya.
Sebenarnyer saya sebelum ini memang seorang jenis introvert, kuat memendam. Saya tak luahkan kepada sesiapa pun. Lagipun saya anggap perkara itu kecil sahaja.
Isteri Orang Tetapi Mahu Berbaik Dengan Duda
Sehingga satu hari, saya nampak Dzul sedang berborak macam berbisik dengan Rus. Mereka berada di depan meja saya. Saya pun bertanya dengan baik sekadar nak tahu, “Cerita pasal apa?” Tetiba Rus menjawab dengan muka marah, “Takdak paaa !”
Sebaliknya terus berborak dengan Dzul. Memang saya terpinga-pinga Rus marah saya sebab saya tak pernah lihat dia marah seperti itu dengan rakan lain. Akhirnya saya tahu juga mereka berborak pasal cerita TV sahaja pun.
Pada satu ketika, sedang kami bergotong royong persiapan satu majlis, Rus telah puji saya dengan nada perli hingga salah seorang rakan secara spontan menyergah Rus.
Tapi dalam pada itu, saya tetap juga baik dengan Rus, malah dia antara rakan yang saya sering bawa berbual dan bercerita.
Pada ketika yang lain, Dzul ada bercerita kepada saya akan masalahnyer. Kami sering berbual dalam wassap bercerita tentang masalah masing-masing. Masalah Dzul agak berat jugak. Saya syorkan untuk bawa dia ke satu tempat. Entah macam mana, dengan kehendak Allah SWT, saya bercerita kepada Rus tentang hal mahu membawa Dzul tersebut.
Konflik Rumah Tangga Jadi Penyebab Isteri Orang Ingkar
Reaksi Rus amat memeranjatkan saya, dia dengan suara keras berkata,”Saya nak ikut !”. Lalu saya pegang bahunya memujuk,”Tak perlulah ikut,” Sebaliknyer dia dengan suara keras dan keraskan badan berkata, “Nak ikut jugak!”
Bayangkan, Rus selaku isteri orang, yang sedang bermasalah rumahtangga ditambah lagi suaminya seorang NAVY yang sedang belayar pada masa itu. Senang-senang mahu ikut tanpa minta izin daripada suami.
Sedari itu lah saya memerhati tingkah laku Rus. Saya dapati, Rus sering tak lepas pandang kepada Dzul hingga Dzul berlalu pergi tanpa Dzul sedar. Saya dapati juga, dia sering seupaya boleh untuk parking kereta bersebelahan dengan Dzul. Kalau Rus datang awal daripada Dzul, dia pasti parking bersebelahan tempat Dzul selalu parking.
Setelah beberapa lagi peristiwa musykil tentang Rus, saya ambil keputusan berbincang dengan Dzul supaya dia berhati-hati dengan Rus sebelum nasi jadi bubur. Saya nasihatkan Dzul jauhi Rus. Saya bagi hujah agama melarang perbuatan Rus. Dan juga perbuatan rakan-rakan lain yang memihak pada Rus sedangkan suaminya tidak dapat bela diri.
Nasihat Rakan Disalah Erti
Sejak itu, Dzul ubah parking keretanya. Dan saya dapati, pada awalnya Rus tetap parking di tempat biasa. Tapi, lama kelamaan boleh pulak dia ubah parking di tempat lain setelah Dzul lama tidak parking di tempat biasa.
Dan juga Dzul tidak lagi masuk ke bilik khas Rus. Sejak dari itulah sikap Rus lebih dahsyat terhadap saya. Terjeling terjuling terbalik biji mata. Tapi, sikap Dzul berubah terhadap saya. Walaupun dia ubah parking, dan tak masuk bilik Rus, Dzul boikot saya. Sebaliknyer dengan selamba berbaik-baik pula dengan Rus. Nampak macam jaga hati Rus pulak lagi.
Rupanya nasihat saya pada Dzul telah disalaherti oleh Dzul sebagai saya kuat cemburu. Dzul terus memboikot saya di tempat kerja, tapi sebaliknya di rumah terus-terusan wassap dengan saya.
Seolah-olah nak memujuk saya. Kadang-kadang saya layan sambil beri tazkirah. Saya kata berhubung dengan wassap tidak baik.. tidak halal.
Di tempat kerja dia terus-terusan boikot saya, hingga saya berasa malu dengan kawan-kawan lain yang selalu saling berpandangan dengan apa yang berlaku kepada kami. Rus terus tunjukkan bangganya sebab Dzul tuduh saya cemburu. Hingga satu hari saya mengadu dengan seorang rakan sekerja, saya ceritakan perkara sebenar. Tapi, sebaliknyer rakan itu pun lebih percayakan Rus sebagaimana rakan itu memihak Rus bila Rus cerita aib suaminyer.
Apa yang saya buat serba tak kena pada Dzul.

Tertekan Hingga Dua Kali Masuk Hospital
Yang saya nampak, pada Dzul, saya kena berbaik dengan Rus baru dia mahu berbaik dengan saya. Seolah-olah saya yang bersalah.
Semua pihak tidak sebelahi saya hingga kesihatan saya terjejas akibat terlalu stress. 2 kali saya masuk hospital.
Akibat terlalu stress, saya pernah tengking Rus secara terus bila dia cuba manipulasi saya, konon mahu sepasukan dalam urusan kerja, sebaliknya saya tahu dia mahu meletakkan kesalahan pada saya atas kelemahan pasukan.
Pada mulanyer saya pun tidak faham kenapa saya terus-terusanan bercerita tentang perangai Rus kepada Dzul. Hingga membuatkan Dzul bosan dengan cerita saya dan menunjukkan sikap lebih percaya kepada Rus. Dzul banyak kali menunjuk-nunjuk pada saya duduk rapat dengan Rus.
Tapi akhirnya, baru-baru ini baru saya faham kenapa beria-ia saya mahu Dzul percaya. Sebenarnya lama dah saya tahu Dzul memang ada niat untuk berkahwin dengan saya. Pada saya, sekiranya mahu kekal bahagia dalam perkahwinan, saling percaya itu adalah amat penting. Selain itu kejujuran dan keikhlasan.
Saya positif sebenarnya, mungkin ada sesuatu yang Allah SWT nak tunjukkan. Saya tidak mahu buat komentar bahawa sayalah yang paling benar. Terpulanglah para pembaca membuat tafsiran masing-masing.
Untuk pengetahuan, hingga sekarang Dzul masih berhubung dengan saya.. dia telah tukar nombor lain dan bagi nombor barunya pada saya.. saya bukan jenis pendendam.
Sedangkan kami kedua-duanya telah bertukar tempat kerja. Masing-masing dah terpisah.. tapi tetap satu daerah.
MW : Kadangkala hasutan itu lebih buruk padahnya daripada mengata depan-depan. Apa pun MW, mendoakan semoga Cik Puan yang baik ini bertemu jodoh terbaik untuk dirinya.
*Sumber MW rahsiakan dari pengetahuan umum untuk keselamatan pengirim
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Bila Ada 8 Tanda Ini, Suami Sebenarnya Lebihkan GAME Dari Anak Isteri

Isi Kandungan
ToggleIinilah realiti yang dikongsikan Akhtar Syamir tentang suami-suami kaki game; jasad suami ada di depan mata anak isteri tapi bagaikan tak bernyawa.
Para suami yang terjebak dengan ketagihan ini, eloklah segera sedarkan diri. Agar tidak berlebih-lebihan bila menghadap telefon bimbit anda melayan game.
Ambil perhatian, dan jaga-jaga bila suami ada 8 tanda ini. Hakikatnya, anda sedang melebihkan GAME itu dari anak isteri.
Suami Ketagihan Game
Saya pernah jadi seperti ini. Telefon sentiasa di tangan. Masa sentiasa tidak cukup. Semua benda atau perkara lain adalah gangguan.
Whatsapp dari isteri dirasakan leceh. Apatah lagi video call. Hati rasa benda itu sangat mengganggu. Nak tak nak terpaksa jugak jawab. Bila jawab dengan keadaan sebegini, perbualan selalunya akan menjadi ringkas dan tidak berkualiti. Selalu juga akan berakhir dengan ketidakpuasan si isteri atau pergaduhan kecil.
Kadang – kala isteri call untuk bertanya khabar, bermanja atau sekadar melepaskan kerinduan serta kebosanan di rumah. Tetapi dibalas dengan dingin. Ditanya sepatah, jawab pun sepatah. Mana taknya, hati dah panas kerana permainan terganggu.
Bila di rumah pula, anak – anak perlukan perhatian, bantuan kerja sekolah atau sekadar bermanja, anda menjadi rimas dan terganggu. Semuanya kalau boleh tangguhkan, “nanti – nantilah ayah tengok, ayah sibuk ni”. Padahal sibuk dengan game.
Berhenti membohongi diri anda. Memang ini yang anda rasa. Inilah realitinya dan kenapa ianya adalah satu penyakit yang semakin merebak dan membahayakan rumahtangga.
Kenapa Kaki Game Mengeluh Tak Cukup Masa
Game is fun. Permainan itu suatu yang menyeronokkan. Ianya menjadi satu kepuasan apabila kita berjaya di dalam objektif game itu sama ada, mendapat chicken dinner di dalam PUBG, memenangi perlawanan di dalam Mobile Legends atau karektor yang semakin kuat dan hebat di dalam game MMORPG (massively multiplayer online, Role Playing Game) seperti Lineage 2, AxE dan lain – lain.
Game itu sendiri secara dasarnya tidak salah. Tetapi apabila ianya mengambil masa yang terlalu lama untuk bermain, di sini datangnya masalah itu.
Kita semua ada 24 jam di dalam sehari. Seorang yang normal memerlukan 8 jam untuk mendapat tidur yang cukup. Baki 16 jam akan ditolak lagi sebanyak 9 bekerja dan 1 jam perjalanan pergi balik ke tempat kerja (lebih kurang). Pada penghujung hari, tinggallah 6 jam untuk membuat perkara lain dan bersama keluarga.
Di sini datangnya masalah. Masa yang tinggal itu akan direbut dan ditagih oleh ahli keluarga. Tetapi bagaimana pula kalau masa itu juga dihabiskan dengan bermain game?
Seringkali penggemar game akan sentiasa mengeluh tentang tiadanya masa yang cukup untuk diri sendiri. Mereka juga akan menegaskan yang mereka juga ada hobi dan bermain game inilah hobi mereka. Jadi, isteri dan anak – anak wajib faham dan beri ruang yang secukupnya.
Apalah Gunanya Jasad Depan Mata, Tapi Tak Bernyawa
Tak sedar lagi? Baca semula perenggan di atas dan sedarlah yang anda dah letak game itu lebih tinggi dari keluarga. Masa dengan keluarga tidak akan kembali. Jika anda terlepas masa itu, jangan harap anda akan dapatkannya semula.
Berhenti gunakan ayat, “mujurlah abang tak melepak sana sini, main perempuan dan lain – lain, sekurang – kurangnya abang sentiasa ada kat rumah”. Ayat ni teramat tidak cerdik. Apalah gunanya jasad di depan mata tetapi tidak bernyawa? Tiada gunanya. Percayalah.
Isteri anda akan rasa tidak dihargai, diabaikan, dirasakan tidak penting, tidak dihormati, tidak disayangi dan tidak dipedulikan.
Jika anda rasa melampau si isteri rasa macam tu, anda sebenarnya dah terlalu jauh mengabaikan isteri anda untuk tidak lagi memahami perasaan isteri.
Isteri Perhatikan Ini Tanda-tanda Suami Anda Ketagihan Game
“Ahhh, aku main game nie suka – suka je, bukan ketagih pun.” Jom kita tengok tanda – tanda suami ketagihan game.
√ Bila suami nampak lebih gembira bermain game berbanding menghabiskan masa dengan orang lain atau ahli keluarga.
√ Bila suami sangat keberatan untuk keluar berjumpa ahli keluarga lain atau saudara mara dan lebih suka tidak keluar dari rumah untuk bermain game.
√ Bila suami menghabiskan masa berjam – jam dengan bermain game sehingga mengabaikan tanggungjawab sebagai suami, bapa dan sentiasa tidak mengendahkan kerja – kerja di rumah.
√ Bila suami secara konsisten akan bermain game setiap petang atau malam.
√ Prestasi kerja suami semakin menurun. Mereka sering lewat ke tempat kerja, sentiasa mengantuk dan tidak cukup tidur akibat bermain game.
√ Suami tidak lagi berminat untuk bersukan atau ke taman berjalan bersama anak dan isteri.
√ Sahabat handai dan saudara mara terdekat seringkali bercakap mengenai betapa suami sering bermain game.
√ Suami sering menipu mengenai berapa lama mereka bermain game dan sentiasa berjanji yang ianya tidak akan lama dan seringkali bertukar kepada berjam – jam lamanya.
Jika anda atau suami ada tanda – tanda seperti di atas, berhentilah menipu diri sendiri dan mengakulah yang anda adalah seorang penagih game.
Sebelum Parah, Bantu Suami Dengan..
Bagaimana nak mengatasi masalah ini?
1. Jangan terjebak sekali dengan masalah suami dengan bermain game bersama. Mungkin anda akan rasa anda meluangkan masa berdua, sebenarnya tidak dan ianya menjadi bertambah buruk jika pasangan sudah mempunyai anak.

2. Mengabaikan masalah tu atau membiarkan suami dengan ketagihan game hanya akan memburukkan lagi masalah. Jangan abaikan, teruskan menasihati. Teruskan cuba mencuri masanya. Jangan putus asa sehinggalah dia sedar yang game itu tidak akan membantu apa – apa.
3. Katakan pada suami yang anda mencintainya, anda risaukan ketagihan gamenya, anda rindukan masa bersama, terangkan yang ketagihan itu telah membuatkan suasana yang tidak baik di rumah dan akhirnya, berterus teranglah kepada suami yang ketagihan game dia bakal membuatkan rumahtangga anda retak.
4. Jangan sekali – kali letakkan diri di bawah game ataupun kurang penting dari game. Anda lebih penting, anda lebih utama. Dapatkan semula suami anda ! Jangan biarkan suami utamakan game dari anda dan anak – anak.
5. Jika suami tetap tidak mahu berubah, cadangkan untuk bertemu dengan pakar kaunseling rumah tangga.
6. Dan di pengakhirannya, berikan kata dua, game atau anak dan isteri?
Suami Fikirlah! Game Lebih Berbaloi Ke.. Anak Isteri
Kepada suami, fikirkan semula, berbaloi ke? Berbaloi ke lebihkan game berbanding kehidupan yang dipenuhi kegembiraan yang benar dan nyata? Insaflah. Bila sudah berkeluarga ini, masa sepatutnya dihabiskan bersama mereka kerana apabila kita terlantar di katil hospital nanti, bukan game yang akan menjaga kita, bukan game yang akan menyuapkan nasi ketika kita sudah tidak mampu makan sendiri, bukan game juga yang akan duduk di tepi katil berdoa dan memberi semangat apabila nyawa kita berada di penghujungnya nanti.
Buanglah ketagihan itu. Kembalilah kepada keluarga. Anak dan isteri anda sangat merindui anda.
Kepada si isteri, terimalah kenyataan yang suami anda mempunyai masalah. Bantulah dia, kembalikan matanya kepada anda dan keluarga.
Sebelum saya terlupa, berhenti mengungkit tentang pengorbanan anda sebagai seorang ayah atau suami setiap kali ditegur pasal game. Itu bukan alasan untuk menghadap telefon berjam – jam dan bukan anda seorang sahaja yang berkorban untuk keluarga.
Game itu menyeronokkan. Tetapi ketagihan game itu adalah masalah yang boleh membawa kepada keretakan rumah tangga.
Kepada yang belum berkahwin, bawak – bawaklah berhenti bermain game. Nanti sedar tak sedar anda dah 30an dan masih tinggal seorang diri. Berhentilah dari membuang masa.
Semoga bermanfaat.
Silakan kongsi penulisan ini supaya ia dapat membuka lebih banyak mata mengenai permasalahan ini.
Sumber/Foto : Akhtar Syamir, yang selalu menulis mengenai kekeluargaan, hubungan suami isteri dan isu semasa. BroOhsem.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI