Setiap hari rasa tak banyak masa untuk buat semua perkara, terkejar-kejar dan tahu-tahu sudah malam. Kerjanya tak juga siap, begitulah kehidupan harian mak-mak sekarang.
Tambah pula kalau jenis keluar masuk uruskan anak-anak sekolah atau mungkin keluar mencari rezeki. Rasa penat sangat nak kejar masa. Dan akhirnya nak buat ibadah pun tak sempat.
Nauzubillah… Moga kita mampu mengisi masa dengan amalan yang mendatangkan pahala untuk bahagia di akhirat sana.
Nak lebih mudah ikut tip Puan Nad Masrom ini perlahan-lahan, in shaa Allah mak-mak mampu berubah jadi isteri dan ibu yang lebih baik jadi contoh kepada anak-anak.
Untuk ibu-ibu yang selalu kesuntukan masa, seorang guru pernah mengajarkan saya tentang beberapa tips yang boleh diamalkan supaya kita akan ada LEBIH BANYAK MASA.
Saya pernah amalkannya dan perbezaannya sangat ketara. Cuma saya sering khilaf untuk istiqamah melakukannya.
Mudah-mudahan kita boleh istiqamah melakukannya selepas ini.
1. Solat sunat taubat 2 rakaat sebelum tidur dan bacalah surah Al-Mulk (jika tidak sempat untuk baca, dengar audio sahaja dulu).
2. Jika terbangun di sepertiga malam, buat solat sunat tahajud 2 rakaat. Jika tak larat bangun, tadahlah tangan menghadap kiblat dan berdoalah yang baik-baik.
3. Solat sunat subuh 2 rakaat dan cubalah solat subuh berjemaah bersama suami. Jika anak-anak merengek, solatlah bersama mereka (dukung jika perlu dan pastikan pampers tiada najis).
4. Baca surah Al-Waqiah pada waktu pagi dan jika tak sempat, pasanglah audio. Mudah-mudahan bila selalu dengar, akan mudah untuk kita alunkannya nanti.
5. Solat sunat dhuha.
6. Bacalah al-qur’an walaupun sepotong ayat.
7. Solat awal waktu.
Ramai yang bertanya, bagaimana masa akan jadi banyak bila kita banyak menggunakan masa untuk buat semua ini termasuk membaca al-qur’an?
Jawapannya: Kerana masa yang banyak itu adalah masa yang DIBERKATI. Keberkatan masa akan menjadikan kita mempunyai banyak ruang dan peluang untuk melakukan banyak perkara.
Semoga tips ringkas ini bermanfaat. Sekiranya ada khilaf dari perkongsian ini, mohon ditambah baik.