
Isi Kandungan
ToggleSetiap hari rasa tak banyak masa untuk buat semua perkara, terkejar-kejar dan tahu-tahu sudah malam. Kerjanya tak juga siap, begitulah kehidupan harian mak-mak sekarang.
Tambah pula kalau jenis keluar masuk uruskan anak-anak sekolah atau mungkin keluar mencari rezeki. Rasa penat sangat nak kejar masa. Dan akhirnya nak buat ibadah pun tak sempat.
Nauzubillah… Moga kita mampu mengisi masa dengan amalan yang mendatangkan pahala untuk bahagia di akhirat sana.
Nak lebih mudah ikut tip Puan Nad Masrom ini perlahan-lahan, in shaa Allah mak-mak mampu berubah jadi isteri dan ibu yang lebih baik jadi contoh kepada anak-anak.
Tip Untuk Dapat Banyak Masa
Untuk ibu-ibu yang selalu kesuntukan masa, seorang guru pernah mengajarkan saya tentang beberapa tips yang boleh diamalkan supaya kita akan ada LEBIH BANYAK MASA.
Saya pernah amalkannya dan perbezaannya sangat ketara. Cuma saya sering khilaf untuk istiqamah melakukannya.
Mudah-mudahan kita boleh istiqamah melakukannya selepas ini.
1. Solat sunat taubat 2 rakaat sebelum tidur dan bacalah surah Al-Mulk (jika tidak sempat untuk baca, dengar audio sahaja dulu).
2. Jika terbangun di sepertiga malam, buat solat sunat tahajud 2 rakaat. Jika tak larat bangun, tadahlah tangan menghadap kiblat dan berdoalah yang baik-baik.
3. Solat sunat subuh 2 rakaat dan cubalah solat subuh berjemaah bersama suami. Jika anak-anak merengek, solatlah bersama mereka (dukung jika perlu dan pastikan pampers tiada najis).
4. Baca surah Al-Waqiah pada waktu pagi dan jika tak sempat, pasanglah audio. Mudah-mudahan bila selalu dengar, akan mudah untuk kita alunkannya nanti.
5. Solat sunat dhuha.

6. Bacalah al-qur’an walaupun sepotong ayat.
7. Solat awal waktu.
Kaitan Masa Dengan Bacaan Ayat Suci Al-Quran
Ramai yang bertanya, bagaimana masa akan jadi banyak bila kita banyak menggunakan masa untuk buat semua ini termasuk membaca al-qur’an?
Jawapannya: Kerana masa yang banyak itu adalah masa yang DIBERKATI. Keberkatan masa akan menjadikan kita mempunyai banyak ruang dan peluang untuk melakukan banyak perkara.
Semoga tips ringkas ini bermanfaat. Sekiranya ada khilaf dari perkongsian ini, mohon ditambah baik.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Rak Buku Perabot WAJIB Ada Di Setiap Rumah Jika Mahu Anak Minat Membaca Sejak Kecil!

Isi Kandungan
ToggleMembaca jambatan ilmu.Betapa mak ayah kadang kala terlupa, keperluan mengisi pengetahuan anak-anak dengan lambakan buku-buku berbanding gajet elektronik.Minat membaca ini sebenarnya boleh disemai dalam hati dan jiwa anak-anak sejak dari kecil.Mak ayah memainkan peranan dengan menyediakan rak buku khas yang dipenuhi dengan pelbagai jenis buku-buku bagi menarik minat anak-anak untuk membaca.
Jemput baca perkongsian pengalaman dan pendapat oleh Sue Emoqwin ini yang juga merupakan seorang penulis buku.
SEPAHKAN RUMAH DENGAN BUKU!
Saya dan kawan-kawan yang suka membaca buku ada berbual tentang bila dan bagaimana mulanya minat membaca setiap daripada kami. Ada yang bermula semasa sekolah rendah, ada sejak dari belajar di universiti, ada baru 4 tahun lepas dan seperti saya dari umur 6 tahun.
Pengalaman kami berbeza tapi ada satu kesamaan antara semua – kami terdedah kepada sekitar yang mempunyai buku (tidak kira buku apa – saya misalnya, kepada buku-buku arwah pakcik saya di kampung yang mengambil sastera di tingkatan 6 – saya adik beradik kena ‘pos’ ke kampung setiap kali cuti sekolah). Sementara itu minat membaca kawan saya yang kini suka menelaah buku falsafah dan hal-hal eksistensial bermula dengan membaca puluhan buku genre romantik bahasa Inggeris milik kakaknya semasa dia remaja!
Begitulah juga dengan yang lain; di rumah ada buku. Mungkin pada satu hari ketika di luar hujan dan kami tidak dapat keluar bermain lalu kami capai sebuah buku dan baca. Atau semasa kami tidak diizinkan keluar dari rumah sementara (grounded) oleh ibu bapa sebagai hukuman berlaku nakal; sementelah dulu tiada sebarang gajet digital untuk mengalih perhatian maka kami capai buku satu demi satu demi satu dan tahu-tahu kami sudah BIASA membaca. Bila minat ini sudah dalam sistem, kita akan sukar berhenti dan akan sentiasa mencari sesuatu untuk dibaca.
Beli Rak Buku Di Rumah
Jadi kepada ibu bapa yang risaukan anak anda belum ada minat membaca, jangan risau. Beli rak buku, isikan dengan buku-buku yang sesuai dengannya dan ada hari simpan semua gajet, tutup TV, simpan barang mainan dan keluarkan buku-buku itu dan baca bersama. Kalau mereka tak suka baca bersama tak apa, teruskan sahaja menambah ‘stok’ dengan buku-buku menarik. Jangan paksa, tinggalkan sahaja buku merata-rata (janganlah kisahkan sangat rumah bersepah sebab buku). Akan sampai harinya mereka akan diam-diam ambil dan baca.
Beli Buku Ikut Minat Anak
Lebih bagus lagi belilah buku yang berkenaan dengan minat anak anda. Kalau dia suka dinosaur dan sering layari tentang dinosaur di Youtube belilah buku tentangnya. Kalau suka filem Frozen, belilah buku bergambar puteri-puteri yang cantik. Kalau suka kereta, belilah buku seumpama. Kanak-kanak tertarik dengan visual dulu. Jika teks membuatkan dia tidak berminat, belilah komik-komik bagus yang banyak ada di pasaran.
Dan anda sendiri, bacalah di depan mereka. Bukan hanya menyuruh. 🙂
Yang penting – RAK BUKU (BERISI) IALAH PERABOT YANG WAJIB ADA DI SETIAP RUMAH jika anda mahu menanam minat membaca kepada seisi rumah terutamanya anak kecil.
InsyaAllah, mereka akan membesar menjadi pembaca.

Membaca ialah pintu kepada dunia ilmu pengetahuan yang tidak terbatas. Jangan risau jika anak anda tidak mahu masuk ke universiti sebaliknya risaulah jika mereka tidak mahu membaca.
Sue Emoqwin
Semoga perkongsian ini memberi manfaat. Jadi buat mak ayah, pastikan di rumah ada rak buku khas dan penuhikanlah ia dengan pelbagai jenis buku-buku untuk menyemai minat membaca buat anak-anak sejak dari kecil.
Sumber: Sue Emoqwin
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
“Hati isteri Mana Yang Tak Sayu Bila Suami Disayangi Tiba-Tiba Ditimpa Musibah. Kepalanya Tinggal Kulit Dengan Otak.” Wanie Hanya Sempat Bergelar Isteri 10 Bulan

Isi Kandungan
Toggle“Ya Allah rindunya pada dia, tiada kata yang mampu aku luahkan, rindu yang aku pendam, rindu nak kucup tangan itu, rindu nak berbantalkan lenganmu wahai suami. Ya Allah, kau terus berikan aku kekuatan untuk aku lalui liku-liku kehidupan ini. Tenanglah di sana wahai suamiku. Doa isterimu sentiasa mengiringmu tiap masa. Terima kasih Ya Allah kerana telah memberi peluang kepada aku untuk merasai nikmat kebahagiaan sebagai isteri bersama dia walaupun hanya sementara,” itulah antara doa yang sentiasa dititip oleh Nurzawani Mohd Ismawi, 25 (Wanie) terhadap arwah suaminya, Mohamad Arsyad Azhar, 24 yang telah kembali ke ramahtullah pada 26 September 2017 akibat kemalangan jalan raya.
Melepaskan suami kesayangan bukanlah satu perkara mudah apatah lagi baru 10 bulan menjalani kehidupan sebagai pasangan suami isteri. Namun aturan Allah tiada siapa yang dapat sangkalkan.
“Tarikh 26 September akan menjadi tarikh yang tidak akan dilupakan sampai bila-bila. 26 November 2016 kami dinikahkan dan 26 September 2017 selepas 10 bulan pernikahan kami, Arsyad kembali kepada penciptaNya. Segala aturan Allah itu ada hikmahnya, saya ada terbaca mesej arwah kepada rakan-rakannya iaitu nak bercinta selepas kahwin. Padanlah baru saja kenal arwah terus ajak kahwin. Walaupun kami tak sempat bercinta sekejap saja selepas berkahwin namun saya reda dan akan sambung bercinta sampai ke jannah. Saya reda atas semua ini,” luah Wanie ketika penulis bertemu dengannya di kediaman wanita ini yang terletak di Klang.
Bagaikan tidak sampai hati untuk menemubual wanita bertubuh kecil ini untuk mengimbau kembali nahas yang menimpa arwah suaminya. Namun dek kerana tugas penulis terpaksa lontarkan persoalan kepada dirinya. Wanie yang kelihatan tabah, menceritakan segalanya termasuklah menjaga Arsyad dalam keadaan koma selama tiga bulan.

Arsyad Tak Banyak Cakap
Menurut Wanie nahas berlaku pada 13 Jun 2017 hampir dua minggu umat Islam mengerjakan ibadah puasa. Tiada kelainan yang berlaku malah Arsyad juga sewaktu keluar dari rumah melangkah ke pejabatnya seperti kebiasaan dengan menunggang motosikal miliknya.
“Beberapa hari sebelum kejadian dia tak banyak bercakap, bila ajak berbual-bual dia lari-lari. Sebenarnya kami baru saja tinggal bersama, selepas bernikah kami tinggal berasingan Arsyad tinggal di Seremban dan saya di Klang. Sebabnya dia bekerja dengan bapanya, saya pula bekerja di Selangor dan hujung minggu saya perlu hadiri kelas (menyambung pengajian separuh masa) di UiTM Shah Alam. Dia kemudiannya bertukar kerja di Petaling Jaya dek kerana tak nak duduk berjauhan dengan saya.
“Pada 13 Jun lebih kurang pukul 6 petang saya cuba hubungi telefon bimbitnya namun tak berjawab dan saya mesej pun tak berbalas. Hati saya semakin risau, sebab pada kebiasaanya dia keluar pejabat jam 5 petang. Kemudian saya dapat panggilan dari Hospital Tuanku Ampuan Rahimah, Klang (HTAR) yang menyatakan Arsyad terbabit dalam kemalangan. Dia telah terbabit kemalangan ketika menunggang motosikal di Lebuhraya Kesas. Mengikut cerita dia baru keluar dari jalan motor dan terlanggar belakang lori. Kecederaan yang dialami cukup teruk kerana terkena bahagian kepala dan pendarahan berlaku di otak.
“Sewaktu di hospital saya tak perasan Arsyad padahal banyak kali lalu lalang di katil dia ditempatkan. Bila jururawat tunjuk terus saya terkedu dan langsung tak mengalirkan air mata. Kepala dia berdarah kemudian doktor lakukan pembedahan untuk membuang darah di kepalanya. Selepas pembedahan dia langsung tak ingat kerana otaknya cedera, tak boleh bercakap cuma yang memberi tindak balas hanya dari reaksi mata, kaki atau tangan. Sepanjang dia koma, saya sentiasa bercakap dengan dia. Doktor tak bagi harapan tapi Arsyad sentiasa menunjukkan respon yang positif.
“Hati isteri mana yang tak sayu bila suami yang disayangi tiba-tiba ditimpa musibah. Kepalanya tinggal kulit dengan otak. Doktor pesan kalau nak dia pulih cepat kena banyak bercakap dengan dia. Masa saya pegang kepala dia tak rasa apa-apa lama kelaamaan otak dia mula bertindak balas. Doktor pakar mata pula beritahu sebelah mata tak nampak. Saya sering berbisik pada Arsya selama ini Allah dah bagi pinjam nikmat melihat selama 24 tahun jadi bersyukurlah dengan keadaan yang ada. Doktor suruh saya beritahu semua yang berlaku agar bila dia sihat nanti, dia tak terkejut melihat keadaannya. Doktor anggarkan Arsyad boleh pulih tetapi mengambil masa yang agak lama lebih kurang tiga atau empat tahun.
“Dalam tempoh, tiga bulan menjaga Arsyad saya berasa hilang penat bila berada di sisi dia. Saya sentiasa berdoa agar Arsyad pulih seperti sedia kala. Pada ketika itu saya tak kisah susah sikit janji saya boleh beri yang terbaik buat suami saya. Jika saya bekerja abang Arsyad akan menjaga dia. Sehinggalah satu hari doktor memberitahu Arsyad kena sawan. Keadaannya bertambah kritikal dan dipindahkan dari HTAR ke Hospital Sungai Buloh. Di sini saya tak dapat jaga di sepanjang masa kerana tak dibenarkan menunggu pesakit. Saya sambut raya pertama dengan suami di hospital. Saya sentiasa berdoa agar Allah berikan kekuatan untuk Arsyad lawan kesakitan yang ditanggungnya dan permudahkan urusan pemulihannya,” ujar Wanie yang tidak membeli sebarang persiapan baju raya kerana dia dan Arsyad sebelum itu telah merancang untuk memakai baju nikah mereka.


Allah Lebih Sayangkan Arsyad
Ketika keadaan Arsyad kritikal doktor telah memberitahu Wanie, dengan tenang wanita ini menghadapinya dengan cukup tabah.
“Selepas tiga bulan menjaga suami, doktor beritahu keadaan Arsyad tidak stabil. Kemudian saya terus menggigil dan terus tunaikan sembahyang Maghrib. Selepas solat saya lihat langsir di sekeliling katilnya ditutup. Jururawat meminta maaf dan beritahu jantung Arsyad berhenti sekejap. Bila lihat keadaan dia lemah, saya cakap dengan kalau awak nak pergi tak apalah pergilah, dia tak sedar ketika itu tetapi saya tahu dia dengar apa yang saya katakan. Dan saya beritahu saya sudah maafkan dia dan halalkan makan minum dia, air mata dia terus meleleh,” ungkap Wanie sambil menahan air matanya daripada mengalir.
Wanie juga menjelaskan dia reda dengan pemergiaan arwah walaupun tidak sempat meraikan ulangtahun perkahwinan mereka yang pertama namun dia sentiasa berdoa agar arwah tenang di sana. Ungkap Wanie buat arwah Arsyad;
“Melepaskanmu walau bukan mudah bagiku untuk lalui semua ini, buat Arsyad 26/9/17 tarikh yang sayang takkan pernah lupa. 26/11/16 hingga 26/11/17 genap 10 bulan pernikahan kita. Cantik sangat aturan Allah tu. Baba tunggu sayang di pintu syurga ya. Kita sambung bercinta sampai jannah. Sayang reda atas semua ini. Sayang bangga dengan baba. Baba dah fight habis baik. You always be my superhero sayang. Kebetulan juga plat no motosikal 9392 nombor kesukaan baba. Amat bermakna buat sayang. Kebetulan nombor itu tahun lahir kita brdua. Terima kasih baba dah jadi suami yang terbaik, sanggup korban ape saja untuk sayang. Semuanya akan jadi kenangan untuk sayang. Baba rehat di sana. Senyuman baba tu akan sayang ingat, sayang akan cuba jadi macam baba. Senyuman yang tak lekang dekat di bibir.”
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Selalu PERHATI, Ingatkan Anak Pakai Betul-Betul! Bimbang Face Mask Jadi Punca Penyakit

Mak, ayah kena selalu perhati dan ingatkan anak-anak untuk pakai face mask betul-betul. Bimbang jika tersalah pakai jadi punca penyakit, maklumlah anak-anak yang masih kecilnya bukannya tahu.
Ikuti perkongsian Dr Ahmad Luqman Bukhari ini dan fahami sebaiknya.
Ingatkan elok dah pakai face mask tapi rupanya itu punca budak jatuh sakit.
Kadang-kadang bila nampak anak kecil duduk main-main dengan face mask dia, saya jadi naik risau pula.
Ada sebahagian anak kita ini, suka duduk main buka, pakai, buka, pakai face mask itu.
Alih-alih tengok rupanya sudah terbalik dia pakai face mask.
Patutnya lapisan berwarna biru atau hijau itu dekat luar dan lapisan putih kat sebelah dalam.
Tapi bila sudah seronok sangat main face mask itu, kita pun tak sedar yang budak itu pakai terbalik.
Jangan Salah Pakai, Pakai Betul-betul
Aduh!
Ini saya nak cerita sikit.
Lapisan berwarna biru atau hijau itu, sebenarnya dicipta khas supaya tak menyerap air (hydrophobic).
Kenalah duduk dekat sebelah luar sebab kita hendak elakkan titisan wap air yang mengandungi virus atau kuman melekat dekat face mask tadi.
Manakala lapisan putih dekat sebelah dalam itu pula, direka supaya menyerap air (hydrophilic).
Jadi udara yang penuh dengan wap air bila dihembus keluar dari paru-paru kita terus melekat kat lapisan tu. Kalau ada kuman pun tak adalah merebak pergi merayau berjangkit pada orang lain.
Pakai Betul-betul, Baru Elak Penyakit
Tapi kalau anak-anak kita pakai face mask itu terbalik, kalian pun boleh bayangkan sendiri apa akibatnya.
Wap air yang penuh dengan debu, kuman atau virus dari luar akan melekat pada lapisan putih yang mudah menyerap air tu.
Akhirnya bila anak kita itu sedut nafas, risiko untuk kuman tadi meluncur laju masuk ke paru-paru dia jadi makin tinggi.
Masa itu, face mask itu bukan saja tak berjaya nak protect dia tapi sudah jadi punca utama si kecil tu jatuh sakit pula.
Perhati & Ingatkan Anak Pakai Betul-betul
Sebab itu saya nak minta tolong sangat-sangat pada parent semua, at least ajarkan tiga perkara ini dekat si comel kita tu:
#1. Pesan selalu dekat dia supaya jangan duduk sentuh bahagian luar topeng muka tu.
Mula-mula mungkin dia tak berapa dengar tapi bila sudah kerap diperingat, anak kita itu akan terbiasa untuk amalkan cara yang tepat.

#2. Beritahu dia supaya pakai dengan aturan yang betul. Lapisan berwarna dekat luar. Lapisan putih pula wajib dekat dalam.
#3. Latih dia supaya selalu bersihkan tangan dengan air dan sabun atau pun hand sanitizer setiap kali sebelum hendak pakai atau selepas tanggalkan face mask tadi.
Pakat beringat ya. Bukan virus Covid-19 ini saja, tapi ada banyak lagi virus dan kuman berbahaya lain yang boleh jadi punca anak kita itu terlantar kesakitan kalau kita tak ambil berat tentang hal ni.
Tolong #share ilmu mahal ni dengan pasangan masing-masing ye.
Dr Ahmad Luqman Bukhari
Mana yang baru follow FB saya ni, jemput set ‘See First’ sekali ye supaya kalian tak tertinggal info penting berkaitan kesihatan si kecil kita tu nanti.
#notaDrALB
MW: Mak, ayah kena peka dengan anak-anak setiap kali keluar bersama. Pastikan anak-anak pakai face mask dengan betul supaya anak-anak terhalang daripada jangkitan penyakit. Jangan hanya disebabkan kelalaian mak,ayah anak-anak dijangkiti penyakit.
Sumber: Dr Ahmad Luqman Bukhari
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI