Bila dah lama berumahtangga, ada sesetengah isteri pendam rasa sebab tak suka pasal suami. Bukan benci tapi ‘kecil hati’ bila dah banyak sangat bersabar. Sudahnya terluah pada orang luar atau mungkin sampai mendedahkan di media sosial.
Padahnya, bukan hanya ahli keluarga yang turut bersuara malah orang luar yang tak dikenali pun turut masuk campur. Haaa… agak-agak mampu tak nak pulihkan balik perasaan yang dah tercalar kedua-dua belah pihak?
Tak mudah ya… jadi sebelum keadaan jad lebih buruk, cuba baiki hubungan dan renungan perkongsian saudara Mohammed Mohammed Ramzie ini sejenak.
Dugaan paling besar adalah bersabar..
Jadi seorang isteri, hal yang amat kritikal bagi kita ialah suami. Kita – makhluk Allah yang sarat dengan emosi dan kadang terlalu menuruti kata hati, lalu memang satu hal yang menakutkan kalau ada kata-kata dan tindak tanduk kita yang melukai hati suami – sengaja atau tak sengaja.
Rasulullah sebut dengan jelas tentang perangai orang perempuan – saat berdepan dengan satu saja pun keburukan suami, si isteri boleh lupa dengan kebaikan suaminya yang lain. Perangai inilah yang paling banyak menjerumuskan perempuan ke neraka. Allah.. betapa ngerinya!
Jadi seorang isteri, banyak-banyakkanlah minta maaf dari suami. Mungkin ada terkurang layanan kita, terkasar bahasa kita, terlajak berprasangka, tercerita tentang aibnya pada sesiapa..
Allah ya Allah, rendahkan hati kita untuk merayu kemaafan darinya. Jangan kita hanya nampak kelemahan dia tapi kita lupa kelemahan kita. Jangan kita sibuk besar-besarkan kesilapannya tapi kita pandang kecil kesilapan kita.
Pandang muka suami kita… siapa pun dia, itulah yang Allah dah pilihkan sebagai jodoh kita. Itulah lorong nikmat.. itulah juga lorong ujian Allah buat kita.
Semua buruk baik dia boleh jadi asbab kebaikan untuk kita. Mungkin untuk tundukkan ego kita. Mungkin untuk Allah beri pahala melalui sabar kita. Mungkin untuk latih kita berdikari dan keluarkan potensi diri. Ada sebabnya. Pasti ada sebabnya!
Minta Allah jaga rumahtangga kita. Kalau ada hal tentangnya yang kita tak suka, banyakkan berdoa pada Allah. Kita tak boleh ubah suami kita.. tapi Allah boleh. Minta dari Allah. Jaga hubungan kita dengan Allah agar mudah kita minta Allah jaga rumahtangga kita.
Masya-Allah.. indahnya kesudahan hidup seorang isteri andai dia mati dalam keadaan mendapat redha seorang suami. Indahnya janji Allah bahawa isteri yang diredhai suaminya boleh masuk syurga dari mana-mana pintu yang disukainya. Indah sangat, kawan-kawan! Tak teringin ke kita untuk mendapatkannya?
Hari ni, ayuh simpan niat untuk jadi isteri yang lebih baik daripada semalam. Simpan hasrat untuk cuba dan kemudian cuba. Allah pandang usaha kita. Allah pasti beri ganjaran walau pun pada sekecil-kecil usaha kita. Insya-Allah…
Jadikanlah kami isteri yang menyejukkan hati suami kami ya Allah. Aamiin. Aamiin.