Kalau Ibu Murung, Air Susu Pun Tak Nak Keluar!

Share

Awas, jangan sampai golongan ibu murung sewaktu beranak kecil! Suami kena banyak bagi sokongan, sekali pun sibuk tolonglah ambil tahu emosi si isteri yang baru bersalin anak kecil.

Nampak dia OK, tetapi tak mudah mak-mak nak kawal emosinya. Nak-nak pula kalau dapat suami yang cuma sibuk dengan urusan mencari rezeki. Tidak langsung bertanya khabar. Kadang sebab stress, susu ibu boleh terganggu dan jadi punca air susu tak cukup.

Ini yang pernah berlaku dalam kes Kaunselor Laktasi, Puan Nad Masrom sendiri.

Jangan Sampai Ibu Murung

Bermula dari kes susu tak ada atau susu drop, ibu mengadu untuk dibantu dalam masalah penyusuan yang dialami.

Dalam beberapa kes yang saya perhatikan, bayi menangis meraung setiap kali mahu disusukan si ibu.

Tapi bila saya ambil, bayi senyap. Saya cuma bantu pegang & peluk bayi sahaja tanpa buat apa-apa.

Saya beri ‘ruang’ untuk ibu rasa selesa dahulu. Meluruskan pinggang, membetulkan kain batik yang hampir terlorot, beri ibu masa untuk duduk seketika sambil merasa angin kipas yang lagi tadi terasa ‘panas’.

“Puan ok?”, tanya saya sambil tangan diletak atas pehanya.

“Ok”, jawab ibu pantas dan ringkas sambil hulurkan senyuman tipis.

“Puan penat?”, tanya saya lagi.

Si ibu diam tanpa jawapan.

Tiba-tiba tumpah terus air mata si ibu yang cuba ditahan. Sambil teresak-esak, ibu terus meluah segala yang tersimpan di dada sekian lama.

Mak-mak Jenis Pendam

Dada rasa macam nak pecah. Tak tahu sejak bila atau bermula dari mana.

Saya cuma mendengar. Si suami nampak tercengang. Tak sangka si isteri bukan mengalami sakit luka bersalin sahaja, tapi sakit ‘luka yang parah’ dalam hatinya.

Bila melihat ibu dalam keadaan seperti itu, saya terus terlihat diri saya 8 tahun yang lepas. Satu keadaan yang ‘menakutkan’ bila kemurungan mencengkam. Selalu terlihat diri tergantung di kipas, atau ‘tidur’ yang tidak bangun semula. Nauzubillah!

Rancangan Helo Doktor pernah siarkan episod tentang Kemurungan.

Dan dalam episod itu ada diceritakan tentang langkah-langkah yang boleh dilakukan seseorang yang mengalami masalah ini. Antaranya adalah seperti berikut:

1. Dapatkan bantuan kaunselor di JKM
2. Jumpa doktor di klinik dan ceritakan masalah yang dialami. Doktor akan refer ke psikiatri
3. Lakukan exercise
4. Bergaul dengan orang dan kita akan hasilkan hormon oksitosin dan rasa lebih tenang

Nombor 4 tu saya agak tertarik kerana melalui penyusuan susu ibu, hormon oksitosin kerap dirembeskan. Hormon oksitosin ni disebut juga sebagai ‘love hormone’.

Dan biasanya, ibu-ibu akan rasa lebih relaks dan tenang sehingga berasa mengantuk yang menyebabkan ibu tertidur disebabkan oleh rembesan hormon oksitosin ini.

Tapi, ibu-ibu yang mengalami kemurungan selalunya menghadapi masalah untuk menyusukan bayi mereka.

Susu Ibu Berkait Dengan Hormon

Bila emosi tidak stabil, pengeluaran hormon oksitosin yang juga membantu dalam pengeluaran susu ibu ini akan terencat dan secara tidak langsung menjejaskan proses penyusuan susu ibu itu sendiri.

Bila diterangkan kepada suami tentang keadaan ibu, barulah si suami ‘faham’ yang si isteri bukan sengaja mahu mengada-ngada.

Si suami nampak sokong dan ringankan tangan untuk membantu. Tapi rupanya, suami belum begitu faham dengan gelodak jiwa si isteri. Ada banyak yang tak terluah. Ya, hati seorang wanita itu sangat kompleks. Sukar diselami dan dimengerti.

Tapi percayalah. Terjadinya seperti itu kerana banyak punca dan cerita. Banyak kesakitan dan derita. Fahami jiwanya, maka terisi ‘kekosongan’ dalam hatinya.

Jika tak mampu untuk merawat hatinya, bawalah si isteri segera untuk dibantu kepada yang ahli. Sebelum semuanya terlambat dan dikesali.

Hanya bermula dengan masalah penyusuan, rupanya banyak lagi yang perlu diterokai.

Percayalah, penyusuan susu ibu itu sememangnya boleh berlaku dengan mudah bila ibu tenang untuk aplikasikan ilmu yang dipelajari.

Published by
Nadia