‘Kalau Ditakdirkan Tak Berjumpa, Saya Dah Maafkan Dia’ Luah Isteri Mangsa Tembakan Di Christchurch

Share

15 March 2019, Prof Madya Dr Zurinawati Mohi, 48 berada jauh dari Malaysia. Ketika itu, dia mendapat berita suaminya, Mohd Nazril Hisham Omar, 46 ditembak ketika menunaikan solat Jumaat di Masjid Al Noor, Christchurch.

Debaran di hati usah cerita. Mahu saja dia terbang ke bumi kiwi, New Zealand secepatnya. Apakan daya, ketika itu dia berada di Thailand.

Nak tak nak, dia perlu berkejaran ke sempadan Bukit Kayu Hitam. Agar dia dapat masuk ke Malaysia dengan segera.

Perlu packing, cari tiket penerbangan dan terbang ke New Zealand bersama anak sulungnya, Muhammad Haiqal Daniel, 19 bagi mendapatkan suami yang ketika itu ditimpa musibah.

Berbelas jam perlu ditempuh untuknya sampai kepada suami yang ketika itu sedang terlantar di hospital.

Masa kejadian itu, saya tak rasa marah. Lebih kepada panik, kalau jadi benda-benda di luar jangkaan yang akan berlaku. Tapi saya redha.”

Hari itu, hari Jumaat dan suami saya dalam wudhu, di dalam masjid pula. Jika ditakdirkan ‘pergi’. Insya-Allah jannah untuknya.”

Dan jika ditakdirkan tidak bertemunya, saya redha dan dah maafkan apa jua kesalahannya selama kami hidup bersama

.” Itulah doanya sepanjang menantikan detik mahu bertemu suami.

Di dasar hati, sukar untuknya melihat wajah pengganas yang telah menembak suaminya. “Tapi siapa kita untuk benci dan marah orang. Apa yang Allah jadikan ini pasti ada hikmah. Dan ia berlaku sebab izin Allah.”

Tanpa izinNya ia takkan berlaku.”

 

 

Pertama Kali Jumpa Ayah, Anak Bongsu Menangis Hingga Tertidur

Perjalanan berbelas jam akhirnya menemukan isteri ini dengan suami yang telah pun terlantar di hospital dengan kesan tembakan pada jari jemari kaki serta bahagian belakang.

Sepanjang berada di sana, Zurinawati menghabiskan masa dari pagi hingga malam menemankan suami di hospital. Sekitar jam 9 malam baru dia akan sampai ke rumah.

Anak-anaknya pula meneruskan sesi persekolahan seperti biasa.

Namun, kesan luka tembakan memberi impak kepada anak yang bongsu. Apabila si bongsu itu jadi takut untuk dekat dengan ayahnya. Takut dengan kesan darah yang ada pada tubuh ayah.

Yang bongsu jadi rindu dekat ayahnya. Semalam (21hb) first time jumpa, dia menangis sampai tertidur.” Selepas enam hari barulah anak bongsu ini berpeluang bertemu ayah.

Di hospital, isteri ini menjadi peneman yang paling setia.

Ketika suami diganggu igauan ngeri, dia di sisi untuk menenangkan. Begitu juga ketika terpaksa menelan pil yang pahit, tangan isteri digenggam erat sebagai sokongan emosi dan kekuatan buat suami.

Zurinawati dan anak sulungnya ber’PJJ’ dengan suami dan anak-anak yang lain. Di Malaysia, dia meneruskan bakti menjadi Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam.

Hatinya bebelah bagi saat ditebak soalan mahu berapa lama berada di New Zealand.

Susah untuk saya jelaskan. Saya masih lagi pensyarah. Hakikatnya, saya perlu berada di sana (UiTM) untuk pelajar saya. Macam-macam kerja tapi keluarga saya perlukan saya.”

Untuk saya berada di hospital ini dari pagi sampai ke malam. Ketika suami sakit, atau perlu menelan ubat yang pahit. Suami akan pegang saya.”

 

Bagaikan Berada Di Negara Sendiri

Sungguh kesan serangan pengganas di Christchurch turut memberi kesan kepada keluarga kecil ini. Di New Zealand, suaminya bekerja sambil menjaga tiga orang anaknya yang lain, Muhammad Hazieq Daniel, 13, dan Muhammad Hazriq Daniel, 9.

Zurinawati melihat kesan kecintaan masyarakat New Zealand dengan mana-mana keluarga mangsa. Ketika hari Mingguan Wanita menghubunginya, iaitu pada 22 March lalu, ini yang beliau maklumkan.

Di sini suasananya kebanyakan kawasan masih ditimbuni bunga-bungaan. Kerana peristiwa itu masih baru.

Di sekolah anak saya, masih ada kawan-kawan meletakkan bunga untuk mana-mana mangsa. Dan dua tiga hari ini, hampir semua orang yang saya jumpa akan memberi salam.”

Kalau ada yang naik motor ke basikal, mereka akan berhenti. Kami sambung bersedih dan saling memberi kata semangat. Alhamdulillah saya tak lapar di sini.”

Ada yang memasak malah tolong masakkan sepanjang masa. Sumbang duit pun ada.”

Majikan suami malah sekolah anak saya tak putus bertanya khabar. Mereka akan minta tolong pelajar-pelajar di sini tolong hantarkan ke mana-mana. Sebab kita masih dalam kawasan masjid dan tak boleh keluar lagi.”

Segalanya senang, macam berada di negara sendiri.”

 

Lawatan Perdana Menteri NZ, Jacinda Ardern Bukan Sekadar Lawatan Formal

Selama terlantar di hospital itu, Nazril mendapat kunjungan daripada Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern. “Sebelum ini, beliau melawat di tingkat bawah, tak berkesempatan naik sampai ke tingkat tiga.”

Hari ini beliau naik ke atas dan kami sempat berjumpa. Sempatlah bergambar, berpeluk.”

Dia sangat berkarisma, cantik dan hebat. Ketika berbual dengan suami saya, dia sebut ‘kalau lah boleh u-turn kan masa’. Prihatinnya dia sehingga jumpa seorang demi seorang. Bercakap, dan memang nampak wajah empatinya.”

Begitulah, sungguh kejadian tragis ini cukup menyayat hati umat Islam di seluruh dunia. Namun, hikmahnya cukup besar buat umat Islam sejagat.

Islam mula diterima di bumi New Zealand. Ramai yang mengucapkan kalimah syahadah. Bersatunya hati masyarakat muslim dan non muslim yang sangat hebat berlaku di bumi kiwi itu.

 

 

Sumber : Rakaman temubual Mingguan Wanita Prof Madya Dr Zurinawati Mohi bersama Managing Editorial Majalah Nona & Mingguan Wanita, Kiffy Razak (pada 22 March 2019)

Published by
Netty Ah Hiyer