Ada yang kata perempuan sukar untuk difahami. Sikap dan perangainya sering berubah-ubah. Ragamnya payah dijangka. Selalu rumit untuk berbuat keputusan walau pada sekecil-kecil perkara. Sering ‘memeningkan’ kepala kaum lelaki dengan kerenahnya. Namun walau apa pun perempuan memang insan yang istimewa. Memberi keceriaan dan rencah dalam hubungan rumahtangga.
Perkongsian daripada Puan Farizal Radzali ini antara ragam dan kerenah orang perempuan selalu lakukan. Cuba semak!
Perempuan…
Kalau takde tudung yang match dengan baju, maknanya dia TAKDE tudung ok. Walaupun tudungnya penuh almari.
Kalau baju yang sama dia dah pakai selalu selama 3-6 bulan, maknanya dia TAKDE baju ok. Walaupun bajunya dah tak muat almari.
Keronsang yang dia beli RM10 dapat 20 biji tu, boleh habis tau walaupun dia kata dia tak makan keronsang tu. Dan dengan muka macam orang dah ambil keronsang dia, dia akan kata, tak taulah pegi mana semua keronsang tu.
Beratnya 50 kg tapi kawannya 49.5 kg, dia dah rasa dirinya gemooookkkk sangat. Esoknya dia start diet.
Dia yang buat hal, lepas tu dia yang merajuk.
Ads
Kalau orang usik tudung yang dia dah gosok cantik licin bagai telur rebus baru dikupas, dia boleh meletup bagai bom atom tersimpan beribu tahun lalu. Walhal boleh je gosok balik. Takpun ejas je baik-baik. Dah pakai kang kedut gak balik.
Dia boleh pakai tudung dengan pelbagai cara lipatan, lilit sana sini, pin sana sini kat kepala dia, siap buat tutorial lagi, takpun dia gigih ikut tutorial orang lain, tapi lipat kain dia malas.
Orang marah anak dia tak boleh, tapi dia marah anak dia sampai hujung kampung boleh dengar, takpe pulak.
Dia tahu sakit bersalin tu macam nyawa dihujung rambut, tapi seriknya sekejap je. Tak lama, dia nak mengandung lagi.
Ads
Sakit bersalin dia boleh lalui berulang kali tapi jarinya kena pisau sikit dah meraung macam apa.
Di mata lelaki, kaler ada 12, ikut kaler pensil anak kat sekolah. Yakni hijau is hijau, biru is biru dan seterusnya. Tapi di mata perempuan, kaler ada 36++ macam kaler stabilo yang kotak besar tu, itupun tak cukup tau. Hijau je ada 6-8 warna, hijau lumut, hijau pucuk pisang, hijau mint, hijau tua, hijau muda, hijau tua sikit, hijau bla bla bla… Itu baru hijau ok. Itu belum lagi ungu biji kundang, ungu ros, ungu kuat, ungu pelan, arggghhhh macam² la… so, jangan silap kaler ok.
Mulutnya kata lain sedangkan hatinya nak lain. Lepas tu bila orang tak paham, dia sedih. Huhuhu….
Ads
Dia tahu sakitnya dianiaya orang yang dia sayang, tapi dia tak pernah serik bagi peluang lagi dan lagi walaupun dia tahu dia akan disakiti lagi dan lagi. Sedangkan tak semua yang mengerti.
Dia boleh jadi dragon fly yang comel, boleh jadi dragon fire yang menakutkan, tapi dia adalah dragon ball yang susah nak dapat walaupun dah banyak episod. Dah dapat pun boleh terlepas balik ok.
Itulah perempuan, penghibur terbaik yang Allah kirimkan buat semua kita di dunia. Selagi dia tak minta diluar kemampuan kamu, turutilah. Andai tak mampu, betulkanlah dia secara berhemah. Dia bidadari kamu di syurga nanti. Kat sana nanti, walau hodoh mana dia di dunia, dia akan jadi paling cantik, In Shaa Allah.
Nukilan Farizal Radzali
MW: Memang ada benarnya. Kalau dah namanya perempuan, lumrahnya sikapnya dan perangainya sebegitu. Terimalah segala baik buruknya seadanya.
Ada mak ayah mula tertanya-tanya sama ada sekolah sudah mula dibuka atau belum pada 20 Januari ini. Kebimbangan mak ayah jadi berganda, tidak pasti berbaloi ke tidak melengkapi keperluan sekolah anak sekarang. Takut, bila keperluan sudah dibeli anak-anak masih belum juga memulakan sesi persekolahan.
Menjawab kebimbangan mak ayah, guru ini berkongsi pandangan. Apa yang perlu mak ayah buat sebagai persediaan berhadapan pembukaan sesi persekolahan anak-anak untuk tahun 2021 ini.
Sekolah Jadi Ke Tidak?
Seminggu dua ini, guru-guru dah mula masukkan senarai bayaran persekolahan dalam grup WhatsApp anak-anak.
Saya minta isteri kirakan jumlahnya. Sekitar RM1500 untuk 4 orang termasuk seorang sekolah menengah.
Alhamdulillah, hasil berjimat duit moratorium dulu, dapatlah saya kumpul untuk yuran dan persiapan sekolah.
Isu yang timbul sekarang ni, sekolah jadi ke tidak?
Bagi saya, mudah saja. Tak perlu kita buat kerja menteri, timbalan menteri, KPPM, Pengarah JPN atau Pegawai PPD.
Mereka dah diberi jawatan, biarlah mereka yang fikirkan. Ingat kita ada masa untuk sakit kepala
Isu Bayaran Koperasi Dan Sumbangan PIBG
Kemudian, timbul lagi isu, mengenai bayaran koperasi dan sumbangan PIBG.
Ibu ayah sekalian. Segala bayaran itu tidak wajib dibayar pada hari pertama. Biasanya sekolah akan bagi masa kepada ibu bapa untuk membayarnya. Kalau tak banyak duit sangat pun, paling tidak, selesaikan bayaran koperasi dahulu. Beli buku tulis untuk anak-anak kita.
Kalau belajar dalam talian pun, buku-buku itu masih tetap digunakan.
Pakaian Sekolah Anak, Perlu Beli Atau Tidak
Selepas itu, keluar pula isu pakaian sekolah.
Rakan-rakan sekalian.
Tidak pernah wujud syarat untuk masuk sekolah perlu pakai baju baru.
Jika seluar sudah senteng, beli saja seluar baru. Baju, pakai saja baju lama.
Kasut sudah koyak. Jika tidak mampu, belilah kasut sekolah berwarna putih. Biasanya kasut putih lebih murah. Ya, anak-anak masih dibenarkan memakai kasut putih.
“Nanti, kalau sekolah belum buka, sayanglah baju sekolah tu.”
Kawan-kawan.
Kalau tak nak beli banyak, cukuplah beli sepersalinan.
Kami beli pakaian anak di Tesco. Baju RM7, seluar RM15, kasut RM17, stoking RM10 untuk 3 pasang. Jumlahnya RM49 untuk seorang. Beg sekolah semua masih elok.
Jadilah. Tak perlu beli mahal-mahal. Kata kawan saya, dia beli seluar bundle saja untuk anaknya. RM5 sehelai. Pun okay.
Apa yang penting, kita letak dalam kepala ni, 20 Januari nanti sekolah akan dibuka.
Bersemuka atau dalam talian, bukan urusan kita untuk fikir.
Tak perlu mengeluh, kita cari solusi. Walaupun dalam surah Maarij dah diberitahu manusia ini diciptakan dengan sifat suka mengeluh.
Dalam ayat 20, disebut lagi. “Apabila dia ditimpa kesusahan dia akan mengeluh.”
Buatlah persediaan semampu kita kerana anak-anak itu adalah amanah dan tanggungjawab kita.
Assalamualaikum Puan. Saya berusia 34 tahun dan sudah lapan tahun berkahwin. Terus terang, wanita mana yang tak nak bergelar ibu, mengandung dan melahirkan zuriat sendiri. Namun, rezeki belum memihak pada saya. Walau pun ramai yang tuduh saya mandul tapi saya tak kisah asal bukan suami yang kata begitu.
Pelbagai usaha dah saya buat. Pergi berurut, makan jamu itu ini, bahkan jumpa doktor pun sudah. Itu semua saya lakukan selepas dua tahun berkahwin. Mengikut perubatan moden, doktor cakap saya tak ada apa-apa masalah. Jadi, saya anggap Allah belum nak bagi rezeki.
Dalam masa yang sama, suami tak pernah ikut saya menjalani apa-apa perubatan sama ada tradisional atau moden. Katanya, saya yang patut pergi berubat kerana saya yang akan mengandung, bukan dia. Lagi pula katanya, dia yakin dirinya subur kerana adik beradiknya ramai, lapan orang. Bahkan adik beradiknya yang dah berkahwin juga anak ramai. Hanya dia yang belum ada anak. Walau pun terkilan, tapi saya tak boleh buat apa.
Tahun berganti tahun, saya semakin reda dan serahkan pada rezeki kerana saya dah buat yang termampu. Namun dalam hati terkilan masih menebal kerana suami tak nak berusaha. Ajak buat IVF pun dia tak mahu. Jadi, apa lagi yang saya patut buat? Kenalah reda.
Keluarga Mentua Pandang Serong
Masuk tahun kelima, saya makin tertekan, bukan sebab suami saja, malah keluarganya juga. Mak mentua saya terutamanya, sering menyindir. Katanya saya yang tak boleh mengandung, bukan anaknya yang bermasalah!
Bayangkan perasaan saya ketika itu. Saya dah jumpa doktor dan doktor cakap saya memang tak ada masalah. Siapa kita nak menidakkan takdir? Saya mula kurang balik ke rumah keluarga suami kerana tak tahan asyik disindir lebih-lebih lagi kalau ada adik-beradik suami yang beranak baru.
Berubah Sikap
Saya tinggal berjiran dengan seorang ibu tunggal yang memiliki dua orang anak. Orangnya memang peramah dan sekejap saja kami rapat. Anak-anaknya juga rapat dengan saya dan suami. Kalau hari cuti, sering kali juga mereka ke rumah kami.
Saya tak tahu sebenarnya macam mana ia bermula. Tapi saya dapat rasakan perubahan pada suami. Kata orang, naluri isteri. Memang saya pun melayan anak-anak Z dengan baik tapi saya lihat suami melayan mereka teramat baik hinggakan pernah bawa budak berdua itu ke rumah ibu bapanya. Malah dia yang meminta dirinya dipanggil ‘papa’.
Mulanya saya tak kisah sangat kerana memikirkan mungkin dia ingin rasa seperti anak sendiri. Tapi saya dapat rasakan sesuatu di sebalik jelingan Z dan suami tiap kali bersua. Saya tak sedap hati.
.
Berpindah
Hinggalah Z tiba-tiba berpindah dan saya tak tahu. Balik kerja, tengok rumahnya sudah kosong. Bila tanya pada suami, dia hanya cakap tak tahu. Hairan juga kerana hubungan saya dan Z rapat juga, takkan soal pindah pun tak diberitahu? Saya cuba telefon pun tak dijawab.
Seminggu kemudian suami bekerja di luar kawasan dan saya tak syak apa-apa sehinggalah saya terlihat bil telefon suami. Biasanya saya tak ambil peduli tapi entah mengapa saya terlintas hati nak tengok? Banyak telefon ke satu nombor dan bila saya semak, itu nombor Z.
Berhari-hari saya tak boleh tidur memikirkan perkara itu, akhirnya saya tekad untuk berterus terang dengan suami. Walau pun pada mulanya suami menafikan, akhirnya dia mengaku yang dia sebenarnya sudah pun menikah dengan Z. Puan, Tuhan saja yang tahu hati saya ketika itu. Rasa marah, kecewa, tertipu, sedih – macam-macam berbaur di hati.
Kata suami, dia jatuh cinta dalam diam dan sepakat untuk berkahwin. Dia yakin akan mendapat zuriat bersama Z kerana yakin dirinya subur. Kata-kata terakhirnya mencabar ego saya sebagai wanita. Bermakna suami anggap saya mandul dan tak boleh berikan dia zuriat, sebab itu saya dimadukan dalam diam.
Minta Cerai
Puan, saya tak dapat terima dan minta cerai. Saya tak kisah orang kata saya mandul, tapi bila suami sendiri yang kata begitu, saya sangat sedih. Betul ke saya mandul atau dia yang mandul? Saya sudah pun membuat permohonan cerai dan akan naik mahkamah tak lama lagi. Suami masih memujuk saya untuk menarik balik permohonan. Puan, walau pun saya tekad cerai tapi saya masih sayangkan suami. Namun, hati saya sudah cukup terluka untuk terus bergelar isterinya. Saya juga rasa tertipu kerana suami sanggup bermain cinta dengan wanita yang saya anggap rakan di belakang saya.
Ida, KL
Jawapan Kaunselor:
Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang.
Assalamualaikum puan yang dirahmati Allah. Perkahwinan adalah alam perkongsian suami isteri. Ada pasangan yang boleh kongsikan kesemua aspek dalam kehidupan, seperti kewangan, minda, perasaan dan emosi, kasih sayang, saling memahami, setia, hormat, tidak menyakiti hati pasangan, menerima kekurangan pasangan, menghargai kelebihan pasangan dan sebagainya. Jika ini tercapai, ia merupakan tahap kebahagiaan yang ideal yang didambakan oleh pasangan, khusus buat isteri.
Namun perjalanan dalam perkahwinan tidak semudah yang diimpikan. Ada pasangan yang hanya boleh berkongsi sebahagian, ada yang hanya sedikit, ada yang sukar untuk berkongsi kerana ego yang tinggi dan sukar menerima pasangan seadanya.
Saya memahami perasaan puan tentang keinginan memiliki anak sendiri, namun Allah belum kurniakan. Ada pasangan yang saya lihat, telah berkahwin hampir 15 tahun, namun tidak dikurniakan anak. Suaminya ada wanita lain yang ingin dikahwini. Isterinya mohon untuk dilepaskan. Dia bersetuju untuk menceraikannya. Setelah idah, isterinya berkahwin lain dan setahun lepas itu dia dikurniakan anak dalam usia 35 tahun. Manakala bekas suaminya setelah usia kini hampir empat tahun berkahwin lain tetapi masih belum dikurniakan anak.
Perancangan Allah Yang Terbaik
Kadang-kadang perancangan Allah kita tidak tahu, yang mana perancangan-Nya adalah lebih baik daripada yang kita rancang. Memang sukar untuk puan menerima tuduhan suami setelah pemeriksaan dijalankan bahawa puan adalah sempurna.
Kini, puan telah pun mengambil keputusan untuk berpisah dengan suami. Jika puan sudah bertekad, adakah puan telah bersedia ke arah itu? Pun begitu, proses menunggu keputusan perceraian di mahkamah bukan sesuatu yang mudah, apatah lagi jika suami enggan turun atau enggan melafazkan cerai di hadapan hakim.
Ego Lelaki
Apa yang suami lakukan tidak mustahil dilakukan oleh lelaki lain. Alasan itu boleh pelbagai. Keegoan suami juga adalah sesuatu yang normal kepada seorang lelaki yang bergelar suami. Sukarnya seorang lelaki menerima kenyataan bahawa dia adalah mandul, samalah seperti wanita tidak dapat menerima hakikat berpoligami, mungkin lebih lagi kerana keegoan seorang lelaki sememangnya begitu.
Sebab itulah jarang suami yang mahu membuat pemeriksaan sama ada dia normal atau tidak. Justeru, tidak perlu kita mempertikaikan siapa yang normal atau tidak. Reda dengan ketentuan Allah. Jika ditakdirkan puan berpisah dengannya, dan dia dikurniakan zuriat dengan wanita lain, Alhamdulillah, doakan yang terbaik untuk suami.
Jika ditakdirkan dia tidak mahu menceraikan puan dan dia memiliki anak dengan wanita lain, puan berdoalah agar puan juga dikurniakan anak seperti madu puan. Jika puan berjaya dalam proses tuntutan cerai, maka jalanilah kehidupan dengan lebih bermakna. Masa bercerai mungkin masing-masing boleh memikirkan apakah masing-masing mampu untuk hidup berasingan? Dan puan pula bersendirian?
Kahwin Lain
Pada masa ini tidak dinafikan puan mahu berpisah dengan suami kerana dia telah ada wanita lain dan suami pula menganggap puan yang tidak mampu melahirkan anak. Namun apabila bercerai belum tentu puan dapat meneruskan kehidupan tanpa suami, melainkan puan bertemu dengan lelaki lain dan berkahwin serta mempunyai anak.
Masing-masing boleh membina kehidupan sendiri. Yang penting bersangka baik dan positif terhadap ketentuan tuhan. Puan tidak tahu dalam keadaan mana yang terbaik kan? Kerana ia belum berlaku dan tidak pasti adakah ianya bakal berlaku, melainkan hasrat suami yang mahu berkahwin lagi yang jelas akan berlaku.
Justeru, pertama sekali, berlapang dada. Jika puan teruskan hasrat itu, puan tetap berlapang dada dan berbaik sangka dengan suami. Sama jua berbaik sangka dengan keluarga suami. Anak hanya anugerah Allah yang merupakan amanah, perantara hubungan suami isteri untuk lebih bermakna. Namun, jika Allah tidak anugerah pun kita boleh mencipta keadaan itu dengan mengambil anak angkat.
Walau apapun yang bakal berlaku, senantiasalah berlapang dada, reda dan berbaik sangka. Untuk mendapatkan ini, pastinya hubungan puan dengan Allah perlu rapat. Solat malam, berdoa, solat awal waktu, solat sunat dan solat hajat agar Allah makbulkan hajat puan dan jika Allah tidak makbul pun, ada hikmah yang kita sendiri tidak tahu. Pelbagai aktiviti dalam kehidupan, kerana bahagia dalam hidup bukan hanya bergantung kepada bahagia dengan seorang lelaki. Saya mendoakan agar puan diberi kekuatan menghadapi ujian ini.
** Persoalan hati ini telah dijawab oleh Puan Hajah Maimunah Mohamad, Kaunselor dan penulis tetap ruangan Ya Tuhan dalam majalah Mingguan Wanita.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Rasa kasihan pula bila tengok anak buat kerja rumah, pula tu anak masih kecil dan disruh macam-macam. Sampai orang pun boleh cakap mak malas sampai anak kena buat sendiri.
Hakikatnya, mak malas bukan saja-saja nak ‘dera’ anak buat kerja rumah, tapi nak ajar anak supaya berdikari dan tahu tanggungjawab. Jangan sampai dah besar pun masih mak yang buat dan anak pula macam raja, goyang kaki.
Ada beberapa tip yang diajar oleh Cikgu Ilyani Munsarikh tentang cara mak malas didik anak. barulah nanti anak tahu erti tanggungjawab dan ringan tulang.
5 tip didik anak ada ‘common sense’ di rumah dengan cara mak ‘malas’
1. Sebelum tidur
Mak ‘malas’ tak sediakan barang sekolah anak dia. Dia galak kemas sendiri. Cari sendiri baju, seluar, seluar kecil.
2. Anak makan.
Mak ‘malas’ tak kemas meja makan. Mak ‘malas’ kata, “lepas makan kemas meja, basuh pinggan, itu tanggungjawab”. Budak kecil umur 3 tahun sudah kena selesai sendiri. Mak ‘malas’ cuma touch up kasi elok saja.
3. Anak main
Mak ‘malas’ tak penat-penat kemas semua. Dia panggil semua datang kemas. Semua kena stop main. Kena kemas. Kadang-kadang mak ‘malas’ memetir juga. Memetir dengan ayat berpengaruhlah, bukan berleter.
4. Anak mandi.
Baju sepah depan tandas, dalam tandas. Mak ‘malas’ tak kutip. Mak ‘malas’ kata, “baju kotor masuk bakul”. Yang kecil umur 3 tahun pun kena buat. Nasiblah dapat mak ‘malas’.
5. Spring cleaning rumah.
Mak ‘malas’ tak buat sendiri-sendiri. Katanya, “Anak-anak hari ini spring cleaning, Kakak sapu sampah, mop, abang dengan adik cuci toilet, abi buang sampah, kemas dapur”. Nasiblah dapat mak ‘malas’.
Hakikatnya mak ‘malas’ bukan malas. Mak ‘malas’ nak bagitahu semua orang ada tanggungjawab. Mak ‘malas’ bukan kuli. Tak ada raja, tak ada permaisuri, tak ada kuli.
Ini keluarga kita, tanggungjawab kita. Yang ada pembantu rumah lagi kena hati-hati. Anak kita ada tendency ‘meraja’.
Mingguan Wanita : Bila ajar macam ni, anak-anak akan terbiasa dan buat sendiri tanpa di suruh. Begitulah cara mak malas ajar anak ye!
Pengetua wanita pulas telinga pelajar didenda RM2000, gara-gara tersalah tulis huruf G. Padah buat seorang pengetua wanita yang gagal mengawal perasaan apabila bertindak memulas...