Bomoh dan orang Melayu tidak boleh dipisahkan. Dahulu bomohlah tempat rujukan masyarakat Melayu dalam menghadapi masalah kesihatan. Mereka bukan sahaja memberi khidmat nasihat tentang kehidupan tetapi mereka juga mempunyai keupayaan untuk merawat dan memulihkan sesuatu penyakit.
Mereka juga mempunyai ilmu tertentu terutamanya berkaitan dengan alam semula jadi. Mudah kata, bomoh dahulukala ibarat seperti doktor pada hari ini.
Pada saya, peranan bomoh berbeza dengan dukun dan pawang. Biarpun kelihatan sama dari segi penampilan tetapi terdapat banyak perbezaan ketiga-tiganya. Kini ketiga-tiganya dilonggokkan menjadi satu. Mereka hanya digelar bomoh. Cukup jarang untuk kita dengar perkataan dukun dan pawang. Justeru itu ramai yang tidak tahu membezakan siapa bomoh, siapa dukun dan siapa pawang.
Secara tidak langsung tugas-tugas dukun dan pawang kini diambil alih oleh bomoh. Kemodenan perubatan yang ada pada hari ini juga telah mengikis tugas-tugas bomoh. Masyarakat tidak lagi berpaksi kepada bomoh untuk merawat dan memulihkan.
Masyarakat kini lebih memilih untuk merujuk ke klinik atau hospital untuk rawatan dan pemulihan. Kesemua ini telah menukar fungsi bomoh dalam masyarakat. Hari ini masih ada lagi orang yang membuat rujukan kepada bomoh. Tetapi mereka tidak merujuk tentang penyakit.
Mereka lebih senang untuk merujuk apa yang terpendam dalam hati atau apa juga persepsi mereka untuk disahkan kebenarannya oleh bomoh. Mereka yang kaki bomoh ini tidak boleh tidak mesti berjumpa bomoh biar apa pun masalah yang mereka hadapi. Mereka seakan ketagih untuk bertemu bomoh. Mereka sanggup berhabisan wang ringgit demi memastikan persepsi yang mereka percaya disahkan benar dan kemudian berubat untuk memulihkan persepsi tersebut.
Acap kali saya temui orang terfitnah oleh persepsi. Mereka berubah kerana mereka sudah bosan dengan sikap dan layanan yang diberikan maka mereka dikatakan telah dibomohkan. Mereka tidak mahu tersekongkol dengan kerja-kerja dan fahaman khurafat, mereka juga dikatakan telah dibomoh.
Baru-baru ini datang seorang wanita bertemu saya. Dia bertanya apa yang perlu dilakukannya dalam menghadapi cerita kena bomoh ini. Dia ingin berkahwin dengan seorang lelaki yang jika diukur kedudukan kewangan dan pendidikannya lebih rendah dari wanita ini.
Wanita ini tertarik kepada akhlak yang ditonjolkan oleh lelaki tersebut. Namun hajatnya untuk berkahwin dengan lelaki tersebut dihalang oleh keluarganya kerana mereka merasa pelik bagaimana anak mereka yang berperwatakan menarik, mempunyai pekerjaan yang baik serta berpendidikan boleh tertarik dengan lelaki tersebut.
Mereka berpendapat wanita ini telah dibomohkan oleh lelaki tersebut. Menurut wanita itu, keluarganya terus sahaja merujuk kepada beberapa bomoh yang mereka kenali untuk memastikan apa yang mereka fikirkan itu benar.
Dalam beberapa bomoh yang mereka temui, terdapat dua orang bomoh yang bersetuju dengan pendapat mereka. Lalu mereka mahu wanita ini berubat untuk memulihkan diri dan terhindar dari lelaki tersebut.
Cerita seperti ini bukan kali pertama saya dengar dan saya temui. Mereka yang kaki bomoh sentiasa merasakan perubahan yang berlaku pada seseorang adalah kerana dibomohkan. Mereka menganggap orang lain juga sama seperti mereka suka berbomoh.
Mereka kononnya mahu melakukan kebaikan dengan memulihkan orang lain. Tetapi hakikatnya mereka merosakkan kehidupan orang lain dan merosakkan iman mereka sendiri.
Anehnya ada di kalangan orang yang kaki bomoh ini yang sangat menjaga ibadahnya dengan Allah SWT. Bahkan ada di antara mereka yang mempelajari perihal kerohanian. Tetapi keterikatan kepercayaan mereka kepada bomoh sukar untuk dihakis.
Jika orang bertanya siapa yang patut dipersalahkan bomoh atau orang yang ke bomoh?
Jawapan saya, orang yang patut dipertanggungjawabkan adalah orang kaki bomoh. Orang yang merujuk ke bomoh belum tentu kaki bomoh. Orang yang tidak boleh meninggalkan bomoh adalah kaki bomoh. Dek kerana sentiasa mahukan kepastian dari bomoh, mereka akan bertemu dengan bomoh palsu dan bomoh cari makan. Bomoh-bomoh inilah yang akan mengiakan apa juga persepsi mereka. Bomoh-bomoh inilah yang mengubah peranan bomoh sebenar.
Pada saya, mereka yang kaki bomoh ini masih banyak peluang untuk kembali ke jalan yang lurus. Bukan tidak boleh ke bomoh tetapi menjadi kaki bomoh itulah yang perlu dielakkan. Mereka yang kaki bomoh akan terdedah kepada kecederaan akidah.
Mereka juga membuka ruang yang sangat luas untuk benih-benih dosa bercambah dan membesar. Mereka akan mencipta fitnah, mempercayai fitnah dan menyebarkan fitnah.
Bukan itu sahaja, bahkan mereka juga telah membunuh silaturahim. Apa yang ditakuti adalah mereka tidak sempat bertaubat sebelum dipanggil Allah SWT dan mereka juga tidak sempat meminta maaf atas perbuatan mereka terhadap orang lain. Maka jalan terbaik boleh dilakukan pada hari ini dengan kembali kepada Allah SWT sepenuhnya.
Penulis : Dr Azhar Hj Sarip, pengasas Spiritual NLP Malaysia yang juga kolumnis ‘Munajat’ majalah Mingguan Wanita