Ada sesetengah mak ayah, rasa kecewa yang amat bila tahu anak buat salah. Sampai ada yang marah-marah anak dan lagi dahsyat pukul anak sebab nak hukum atas kesalahannya.
Tetapi betul ke ini caranya bila tahu anak buat salah? Tak ada ke jalan yang lebih manis untuk bagi peluang pada anak dan betulkan kesilapannya?
Mungkin kita lupa, bila Allah uji kita dengan perangai anak-anak, ada kemungkinan Allah nak kita flashback tentang diri kita sendiri. Atau lebih mudah, dosa-dosa yang kita pernah buat. Untuk renungan bersama, jemput baca secebis perkongsian Ustazah Noor Laila Aniza Zakaria ini.
Ads
Bila Anak Buat Salah
1. Jika anak buat salah, ibu bapa perlu bertaubat. Cermin dahulu kesilapan kita sebagai ibu bapa jika anak ada melakukan sesuatu yang tidak betul.
2. Anak lelaki jadikannya ‘lelaki’, perempuan jadikan ‘perempuan’. Jika anak lelaki mempunyai kecenderungan ke arah perempuan, asuhlah supaya menjadi lelaki, dan sebaliknya.
3. Asingkan tempat tidur anak lelaki dan perempuan seawal 7 tahun. Asingkan tempat tidur, asingkan selimut. Seeloknya asingkan tempat tidur anak lelaki dan perempuan dengan bilik yang berbeza. Anak lelaki tidur di dalam satu bilik. Anak perempuan tidur dalam satu bilik yang lain. Jika bilik tidak mencukupi, boleh juga menggunakan tirai untuk mengasingkan tempat tidur mereka.
Ads
Ajar Adab Pakaian Dan Bercakap
4. Ajar anak beradab dan berpakaian sopan walaupun dalam rumah. Didik anak perempuan untuk tidak memakai pakaian tidak seksi dalam rumah. Perhatikan jika ada ‘kelainan’ dalam pergaulan anak lelaki dan perempuan. Bermanja ada batas, bergurau ada adab.
5. Perhatikan pertuturan anak. Bertegas dengan anak jika anak menuturkan perkataan yang tidak baik. Cakapkan pada mereka ‘nabi tidak ajar cakap begitu’.
Ads
6. Elakkan smartfon menjadi milik anak anak yang masih bersekolah. Tiada keperluan untuk anak anak yang masih bersekolah menggunakan smartfon, malahan akan memberi kerosakan kepada anak anak.
7. Doa. Tetap istiqamah dalam mendoakan anak anak.
“Ya Allah, tunjuki aku untuk mensyukuri nikmat-Mu yang telah Kau berikan padaku dan pada kedua orang tuaku, dan supaya aku dapat beramal soleh yang Engkau redhai; anugerahi aku kebaikan dengan (memberi kebaikan) kepada keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepada-Mu dan sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang berserah diri.”
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Berat sekali ujian keluarga Norhayati Saad, 41 dan suaminya, Mat Yusop. Dalam kegawatan ekonomi, dan anak kelima, Auni alami cerebral palsy serta perlu membesarkan 5 anak yang lain, ibu bapa ini sanggup berbuat apa saja.
Kelahiran Auni Zakirah dinanti dengan penuh harapan oleh ibu dan ayahnya. Diharapkan kelahiran anak kelima mereka ini dapat lagi memeriahkan keluarga yang menanti.
Norhayati dan Mat Yusop tak pernah menyangka Auni akan menjadi insan paling istimewa dalam kehidupan mereka. Kini dalam usia 8 tahun, Auni, anak istimewa di kalangan anak-anak mereka seramai 6 orang. Auni berbeza dan perlukan sepenuh perhatian.
Hujan turun dengan lebatnya sewaktu penulis melawat keluarga ini di kedai kecil tempat mereka mencari rezeki di Desa Mentari 3, Petaling Jaya, Selangor.
Bunyi dentuman guruh di langit yang cukup kuat menakutkan sesiapa saja terutama anak kecil. Tapi berbeza sekali dengan Auni. Dia akan tersenyum dan ketawa merai bunyian guruh. Sedikitpun tak ada perasaan takut dalam diri.
“Berbeza sungguh dengan adik bongsunya Amani yang takut dengar guruh. Auni memang suka dengar bunyi-bunyi. Semakin kuat semakin dia suka.”
Auni Tak Boleh Duduk Sendiri
Melihatkan wajah suci Auni, sudah pasti ramai yang akan berasa sayu. Wajah tanpa sepalit dosa ini memang tidak mengerti apa yang berlaku di sekelilingnya.
Tatkala rakan sebayanya sudah mula bersekolah dan bermain sesama sendiri, Auni hanya mampu berbaring di atas tilam.
Ibunya redha dengan ketentuan Ilahi. Dia sedar takat kemampuan anaknya ini. Selagi nyawa dikandung badan, dia akan berusaha memberi yang terbaik buat Auni. Azam yang sama turut dipegang oleh Mat Yusop.
“Kami perlu kuatkan semangat demi anak-anak. Kehadiran Auni ini membuatkan kami lagi sabar dan kuat semangat. Anak istimewa ini banyak menguji kesabaran. Bila ada orang bagi pandangan negatif kami buat tidak tahu sahaja.
“Mulanya kami tidak tahu jenis penyakit Auni, Nak beri rawatan macam mana pun tak tahu. Sedikit demi sedikit kami belajar sampai boleh lalui bermacam cabaran.”
Dari Awal Kehamilan Dah Lalui Bermacam Masalah
Menurut doktor Auni mengalami masalah Hemimegoloencephaly dan Hypomelanoris of Hito. Atau dalam bahasa mudahnya, Auni mengalami masalah kesihatan yang dikenali sebagai cerebral palsy.
Cerebral palsy adalah gangguan gerakan, otot atau postur yang disebabkan oleh cedera atau perkembangan abnormal di otak, paling sering terjadi sebelum kelahiran.
Mengimbas semula permulaan perjalanan kehidupan Auni, menurut Norhayati, memang banyak masalah yang dialaminya sewaktu mengandungkan Auni.
“Dari awal kehamilan saya ada mengalami pendarahan, dan leaking. Masa dilahirkan pun, dia lemas. Tetapi pada masa itu doktor kata semua ok. Namun selepas dilahirkan dia terus dimasukkan ke dalam inkubator.
“Hari kedua, doktor beritahu anak saya ada sawan. Bermula dari situ, kami buat follow up sehinggalah umur Auni tiga bulan. Kemudian barulah doktor merujuk kes di hospital kerana ketika itu hospital swasta ini tidak dapat melakukan sebarang rawatan lanjut.
“Setelah diberi ubat, sawan yang dialami oleh Auni tetap tidak berkurangan. Sewaktu di hospital doktor mencadangkan pembedahan. Sawannya teruk sangat dan doktor telah mencuba sembilan jenis ubat namun tidak ada tindak balas yang berkesan.
“Sawan Auni amat kerap. Kadang-kadang dua minit sekali. Sehari dalam 40 hingga 50 kali sawan itu dikesan daripada EEG yang ditunjuk oleh doktor. Masa itu umur Auni tiga bulan.
“Bila dia sawan, ada komplikasi lain. Doktor cadangkan pembedahan tetapi kami tak sanggup kerana dia masih kecil ketika itu.
“Kami berulang-alik ke hospital sampai usia Auni tiga tahun. Masa itu kami sudah menyerah sahaja pada doktor kerana sudah cuba macam-macam. Akhirnya kami berserah pada doktor dan membenarkan pembedahan dilakukan ketika dia berumur tiga tahun.”
Refinance Rumah Demi Nyawa Anak
Waktu itu Auni perlu menjalani pembedahan pada otak kanan untuk hentikan sawannya. Norhayati dan suaminya perlu menyediakan RM40,000 untuk membiayai kos pembedahan.
Pembedahan pula perlu dilakukan di hospital swasta kerana pada masa itu tidak ada pakar saraf kanak-kanak di hospital kerajaan.
Demi anak, mereka terpaksa refinance rumah bagi mendapatkan wang untuk membayar kos pembedahan tersebut.
Selepas pembedahan perubahan dan perkembangan yang positif dilalui Auni. Sawannya telah berhenti. Norhayati bersyukur pembedahan itu berjaya.
“Sebelum itu, Auni tidak boleh meniarap mahupun berguling. Setahun selepas pembedahan barulah dia boleh meniarap dan berguling. Kami juga membawa Auni menjalani terapi saraf bagi melancarkan perjalanan oksigen dan darah.
“Banyak perubahan yang berlaku padanya. Sebelum rawatan terapi dijalankan Auni makan melalui tiub yang dipasang di perutnya. Selepas itu, dia cabut tiub itu kerana tidak selesa. Bermula dari saat itu Auni mula makan seperti biasa,” cerita Norhayati.
Walau Gawat Tetap Kena Jual Roti & Burger
Bukan Auni sahaja yang perlu diberi perhatian. Mereka ada lima orang anak lain yang perlu dibesarkan.
Sejak dua tahun lalu, pasangan suami-isteri ini telah membuka sebuah kedai fotostat dan kedai roti di Desa Mentari 3. Ini lokasi baru setelah berpindah dari lokasi lama yang terletak di Shah Alam.
Pelaksanaan GST, menjejaskan bisnesnya. Biarpun pelanggan makin berkurangan, mereka tak berputus asa.
Setiap hari selain mengharapkan masyarakat setempat menggunakan khidmat fotostat, mereka akan menjual roti dan burger berwarna.
Setiap petang Mat Yusop akan menjual burger di hadapan kedai. Roti burger dibuat sendiri oleh Norhayati.
Norhayati juga boleh membuat pelbagai jenis roti lain. Setiap kali menerima tempahan, Norhayati akan mula membakar roti pada malam hari sehinggalah siap keesokan harinya.
Bagi mereka yang ingin merasa burger dan roti jualan Norhayati bolehlah melawat ke kedai beralamat 11-G-68, Blok 11, Jalan PJS 2D/1, Desa Mentari 3, Petaling Jaya, Selangor.
Foto: Nor Yanti Saharuddin
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Genggam tangan anak-anak kita walau dalam apa keadaan sekali pun. Dalam maksud ‘genggam’ itu. Bukan sekadar memegang tangan anak, tapi sentiasa di sisi anak saat mereka berjaya atau ketika diuji dengan kegagalan.
Anak akan membuat kita ketawa bahagia dan ada kalanya mampu membuat kita sedih hingga menitiskan air mata. Apa pun, mereka tetap permata hati kita, amanah Allah untuk kita jaga sebaik mungkin dalam apa jua keadaan. Ikuti perkongsian daripada Dr. Nurul Asiah Fasehah Muhamad (USIM). https://www.facebook.com/naznur.muhamad
Kehidupan
Kehidupan diibaratkan sebuah perjalanan menuju ke destinasi. Dalam meniti perjalanan ada ketikanya kita berhenti seketika untuk menikmati pemandangan yang indah dan pada ketika lainnya pula kita terjelepok jatuh akibat terlanggar batu.
Itulah yang dikatakan ujian yang dihadirkan untuk melihat kadar iman yang tersemat di hati kita tidak kurang juga sebagai tanda cinta dan kasih sayang Allah yang tidak ternilai buat hamba-Nya. Apa yang harus kita lakukan sewaktu menghadapi ujian ini adalah dengan duduk merenungi apakah agaknya mesej cinta yang ingin Allah sampaikan dan belajarlah daripadanya.
Pemegang Amanah
Begitu jugalah halnya dalam situasi kita dengan anak-anak. Mereka juga adalah ujian nikmat yang Allah kurniakan untuk kita. Bagaimana kita mendidiknya, bagaimana kita menghadapinya semua itu adalah KPI yang akan diteliti selaku pemegang amanah. Oleh yang demikian, jadilah pembimbingnya dalam apa jua keadaan sekali pun kerana mereka adalah cerminan diri kita. Genggam tangan mereka sebagai tanda kita sentiasa di sisi mereka, membimbing dan menasihati mereka tentang kehidupan.
Rakan penjaga yang dihormati, pandanglah anak-anak kita dengan pandangan yang sentiasa positif walau dalam keadaan marah sekali pun. Ini kerana persepsi ibu bapa amat mempengaruhi pembentukan kendirinya iaitu bagaimana dia melihat diri dan kehidupannya.
Mengapa demikian? Pemikiran dan persepi ibu akan memepengaruhi tindakan ibu terhadap anaknya. Contohnya, jika anak sering melakukan kesilapan, jika ibu melihat anak sebagai orang yang lalai maka kita akan mudah mengherdiknya dan melabelnya dengan pelbagai jenis perkataan yang menunjukkan hal tersebut.
Minda Bawah Sedar Anak
Jadi, perbuatan dan percakapan itu tadi hakikatnya sudah pun bertapak dalam minda bawah sedar anak pula. Keadaan inilah yang akan pula membentuk persepsi diri anak tentang dirinya dan kehidupan. Apabila anak sudah percaya bahaya dia adalah seorang yang lalai maka minda bawah sedar akan menerima label tersebut untuk mendefinisikan dirinya. Jadi anak itu akan percaya bahawa dia adalah seorang yang lalai.
Dalam masa yang sama, keadaan anak yang dikatakan lalai sebelum ini mungkin sahaja hanyalah akibat daripada sebuah kesilapan kecil sahaja namun ditambah dengan tindakan ibu dan ayah yang mudah memberikan label akan menyebabkan dia percaya bahawa dia adalah seorang yang lalai. Jadi, genggam tangan mereka ye mak ayah tanda kita tetap sayang mereka dalam apa keadaan pun!
Terbit Rasa Rendah Diri
Kepercayaan ini tadi sekali gus mempengaruhi tindakannya. Dia akan merasa rendah diri dan tidak berani untuk mencuba sesuatu perkara kerana takut akan label yang bakal diterimanya. Dalam situasi ini hakikatnya tidak keterlaluan jika saya katakan kita telah pun dalam tidak sedar meletakkan racun dalam pemikiran anak yang akhirnya membentuk keperibadiannya wanauzubillah.
Oleh yang demikian, genggamlah tangan anak-anak kita erat-erat. Dia adalah anak kita dalam apa jua keadaan sekali pun. Bukan masa dia melakukan perkara yang membanggakan sahaja malah dalam keadaan dia tidak berjaya lebih-lebih lagi dia memerlukan kita di sisinya untuk menyatakan sokongan dan dorongan.
Bentuk Ujian
Itulah yang dikatakan ujian, ia boleh hadir dalam bentuk kesenangan dan kesukaran. Bagaimana kita menghadapinya membezakan kita. Jika berjaya menghadapinya dengan redha, sabar dan bersyukur maka itulah sebenar-benar kejayaan.
Rakan penjaga yang dihormati, jagalah persepsi kita terhadap anak. Usah mudah melabel dan menunjukkan ekspresi negatif terhadap dirinya walaupun dalam keadaan dia melakukan kesalahan. Sebaliknya nyatakanlah sokongan dan kasih sayang kita yang tidak kunjung malap buat dirinya. Doakanlah untuk anak. Sesungguhnya doa adalah senjata paling ampuh buat kita untuk mereka.
Akhirnya, pimpinlah tangannya erat-erat. Bimbing mereka dengan sepenuh hati tanpa syarat. Dia adalah zuriat kita dalam senang atau sukar, dalam kejayaaan atau kekalahan malah dalam keadaan soleh mahupun sebaliknya. Dia amat memerlukan kita…Wallahuallam.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Ya Allah, sebaknya hati seorang ibu bila mengetahui anak gagal peperiksaan walau tahu anak dah cukup usaha sehabis mampu. Sedih dan kecewa bercampur-baur. Saya amat pasti inilah perasaan ibu dan ayah yang berdepan dengan situasi tersebut.
Tapi soalan saya, sampai bila nak bersedih? Kebanyakan ibu bapa bila anak gagal dalam peperiksaan, mereka larut dalam perasaan kecewa. Ada yang menghukum anak kerana kegagalan ini. Jadi tidak hairanlah anak-anak ada yang dirotan tak kurang juga didenda. Walaupun sudah dihukum, anak-anak ini tidak juga menunjukkan peningkatan dalam pelajaran.
Daripada terus menyalahkan anak, apa kata sebagai ibu dan ayah kita siasat kelemahan diri. Mungkin kegagalan anak sebenarnya berpunca daripada sikap kita sendiri.
10 tip ini membantu kita membimbing anak-anak yang gagal agar berjaya dalam pelajaran
1. Sediakan keperluan belajar anak secukupnya. Ramai ibu bapa yang tidak memeriksa keperluan belajar anak dari semasa ke semasa. Pastikan alat tulis anak lengkap, buku tambahan, baju sekolah dan beg sekolah. Paling penting, pastikan semuanya berada dalam keadaan baik. Kadang ibu bapa tak perasan baju sekolah anak sudah terkoyak, ia menyebabkan anak diejek rakan dan mereka menjadi malu serta tidak berkeyakinan.
2. Pantau kerja sekolah anak dan semak surat daripada pihak sekolah. Kita juga kena spotcheck beg anak supaya tiada barangan yang bukan-bukan. Dengan cara kita dapat pantau kerja sekolah anak dan pastikan anak berada di landasan yang betul.
3. Jangan pandang rendah pada anak, letakkan harapan yang tinggi dan sentiasa beri motivasi kepada anak untuk berjaya.
4. Jika anak gagal, jangan menyindir atau memperlekehkan anak. Beri dia semangat untuk berjaya.
5. Jangan dedahkan kekurangan anak di depan kawan-kawannya. Pendek kata, jangan malukan anak. Mereka juga ada perasaan jadi jaga maruah anak!
6. Buat jadual belajar. Ramai ibu bapa yang mengharapkan anak membahagi masa antara pelajaran dan aktiviti mereka seperti bermain. Dalam usia ini, anak belum mampu untuk melakukan semua itu sendiri. Bantu mereka mengatur masa.
7. Puji anak jika dia berjaya atau melakukan perkara yang baik. Perbuatan ini membakar semangat anak untuk lebih berjaya.
8. Beri ganjaran bila anak dapat keputusan yang bagus.
9. Lupakan junk food atau makanan segera. Makanan ini bukan sahaja boleh memudaratkan kesihatan malah membuatkan anak pelupa. Beri makanan sunah seperti kismis dan makanan berkhasiat agar membantu anak cergas.
10. DOA, DOA dan DOA! Selepas berusaha doalah kepada Allah agar anak kita berjaya di dunia dan akhirat. Doa ibu yang paling afdal, sebutkan nama penuh anak dan bermohon dengan sepenuh hati kepada Allah agar anak yang kita kandung menjadi anak yang hebat.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!