Kalau Anak Buat Perangai, ‘Ketam’ Terus Berjalan!

Share

Anak kalau nak buat perangai dia bukan kira tempat dan masa, jadi macam mana nak hentikan masalah ini mak ayah kena didik dari peringkat awal.

Kadang-kadang bukan mak ayah tidak ajar anak kita, cuma anak itu terpengaruh dengan kawan-kawan yang lain. Apa salahnya datang hampir pada anak nakal itu dan berikan sedikit nasihat? Bimbang jika tiada siapa peduli, mereka akan jadi lebih teruk lagi.

Jadi kalau tak nak biarkan sikap buruk anak melarat sampai ke besar, jemput baca perkongsian Dr Masjuki ini…

Terlalu Manjakan Anak

Hari ini ramai mak ayah yang culas. Anak-anak terlalu dimanjakan. Akhirnya jadi buas kerana tidak dibiasakan dengan peraturan, adab dan batas.

Di rumah sendiri anak-anak dibiarkan sampai jadi liar. Mereka bebas menjerit-jerit, melompat-lompat atas sofa, kerusi dan meja. Mereka bebas keluar masuk bilik ibubapa dan adik beradiknya, baik yang lelaki mahupun yang perempuan. Ada yang ke tahap membiarkan anak lelaki dan perempuan tidur sekatil walaupun masing-masing sudah ‘cukup besar’. Akibatnya banyak berlaku sumbang mahram.

Apabila bertandang ke rumah orang, mereka dibiarkan juga melakukan aksi yang sama. Mereka buka peti sejuk, alih-alihkan barang atau suka-suka guna peralatan tuan rumah tanpa izin tuan punya. Mereka dibiar bebas melompat-lompat atas sofa dan berdiri atas kerusi. Ada yang suka panjat sini sana bahkan sampai naik atas meja.

Anak Buat Perangai Depan Orang Tua, Ini Teruk!

Di depan orang tua pun anak-anak dibiarkan menjerit-jerit dan berlari-lari ke sana ke mari. Untuk tunduk berjalan apabila melintasi orang tua jauh sekali.

Bersalaman dengan orang tua pun sudah semakin hilang tertib dan adabnya. Bukan kepala anak yang tunduk mencium tangan orang tua, tetapi tangan orang tua yang diangkat ke dahi, sedangkan tubuh mereka tetap ‘tegak’ berdiri.

Itu adalah TANDA kedegilan bagi orang yang memperhalusi. Ada juga yang dibiarkan bebas keluar masuk bilik tidur tuan rumah. Sebenarnya ini salah, walaupun itu adalah bilik ibubapa saudaranya sendiri.

Sewaktu menjamah hidangan, ibubapa biarkan saja melihat anak-anak dengan selamba mula makan sebelum dijemput. Ada yang dilihat meramas buah tembikai dan limau yang disajikan sehingga semuanya menjadi sisa dan orang lain jadi geli untuk memakannya. Sampai ke tahap ini pun ibubapa buat tidak tahu saja. Untuk ajar doa makan jauh sekali.

Inilah khilaf yang nyata pada ibubapa ‘moden’ yang menjadikan anak-anak jadi liar dan degil.

MARI BELAJAR DARI ORANG DAHULU

Bila bawa anak bertandang ke rumah orang, kebanyakan mak ayah dulu-dulu akan pesan anak-anak jangan duduk jauh dari mereka. Mesti berada di jarak yang boleh dicapai tangan atau dalam lingkungan penglihatan. Mereka mahu anak-anak pamerkan akhlak yang baik, khususnya tentang adab dan tatasusila yang diajarkan di rumah.

Apabila anak-anak buat perangai tak elok, ‘ketam’ mereka akan terus berjalan. Mereka tidak merasa malu melakukannya sekalipun di depan tuan rumah. Ini kerana tuan rumah juga ada sikap yang sama. Yang penting perangai anak-anak boleh dibetulkan pada ketika itu juga.

Tindakan itu juga untuk menunjukkan kepada tuan rumah bahawa mereka peka dengan perangai buruk anak-anaknya. Bermakna jika ada perbuatan yang tidak kena, itu bukan atas kerelaan mereka. Ketika bertandang itulah dijadikan lapangan ujian kepada akhlak anak-anak mereka.

Jika perangai buruk itu dilakukan dan dapat dilihat dari jauh, mereka akan guna bahasa tubuh untuk mencegah atau memberi amaran. Ada yang jegilkan mata, ada yang berdehem, atau bunyi “pssssttttt!!!” dan sebagainya tanpa perlu banyak bicara.

Biasanya anak-anak segera faham dan hentikan kelakuan itu. Jika anak-anak masih tidak endahkan juga amaran itu, maka balik nanti mereka pasti akan dapat roti…. Ya, itulah yang dipanggil ‘roti panjang’.

Dengan pendekatan itu, lama kelamaan anak-anak faham akan batas dan peraturan. Apabila besar, ibubapa mudah untuk meneruskan usaha pencegahan ke arah perkara yang lebih besar.

MENCEGAH LEBIH BAIK DARI MERAWAT. ITULAH KAEDAH PENDIDIKAN ISLAM.

Islam mengajar kita agar mencegah kemungkaran dengan PANTAS, di mana sahaja ia dapat dikesan atau ditemui.

Menangguhkan pencegahan akan membuka peluang untuk lebih banyak keingkaran. Semakin banyak anak-anak kita melakukan kemungkaran, akan lebih keras jadinya hati-hati mereka. Akhirnya mereka akan anggap kemungkaran itu adalah perkara ‘biasa’.

Dalam isu zina contohnya, Islam ajar kita untuk tidak ‘menghampiri’ apa sahaja perkara yang boleh membuka peluang kepada zina. Apatah lagi dengan sengaja menganjurkan acara yang mendekatkan diri kepada zina. Namun itulah yang banyak dilakukan oleh ibubapa ‘moden’ kita. Hari ini zina pun sudah dianggap perkara ‘biasa’..

QS 24. An Nuur 59. “Dan apabila anak-anakmu telah sampai umur baligh, maka hendaklah mereka meminta IZIN, seperti orang-orang yang terdahulu meminta izin. Demikianlah Allah menjelaskan ayat-ayat-Nya. Dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana”.

QS 3. Ali ‘Imran178. “Dan janganlah sekali-kali orang-orang YANG INGKAR menyangka, bahwa pemberian TANGGUH Kami adalah lebih baik bagi mereka. Sesungguhnya Kami memberi tangguh kepada mereka hanyalah supaya BERTAMBAH-TAMBAH dosa mereka; dan bagi mereka azab yang menghinakan”.

Semoga perkongsian ini bermanfaat.

Published by
Nadia