Perang dingin atau “perang senyap” kerap berlaku dalam rumah tangga Safuan dan Irdina. Mereka baharu sahaja mendirikan rumah tangga enam bulan yang lalu, namun ada sahaja perkara yang tidak kena. Kadang kala mereka bergaduh disebabkan hal remeh-temeh seperti Safuan tidak meletakkan baju di dalam bakul kotor atau Safuan tersalah membeli barangan yang dipesan.
Paling mengharukan apabila masing-masing mula mendiamkan diri dan tidak bertegur sapa dalam satu jangka waktu yang agak panjang. Pernah paling teruk, Safuan dan Irdina tidak bertegur sapa selama seminggu kerana masing-masing ego untuk menyuarakan kata maaf dan berbincang.
Apakah punca sebenar suami isteri bergaduh hingga tercetusnya perang dingin? Jelas Prof Madya Dr Mohd Nor Mamat, Pensyarah di Akademi Pengajian Islam Kontemporari UiTM, Shah Alam, sebenarnya kebanyakan kes perang dingin berlaku adalah disebabkan kedua-dua pasangan suami isteri adalah orang yang baik-baik.
Keduanya baik, oleh hal yang demikian masing-masing tidak melawan dan menjadikan perang jadi ‘panas’. Tetapi disebabkan tidak bijak memahami dan menguruskan dengan cara yang efektif, kita mengambil keputusan untuk mendiamkan diri dan membiarkan hubungan menjadi dingin.
Kadang kala perang dingin boleh selesai sendiri, tetapi kebanyakannya juga boleh mudah mencetuskan pelbagai masalah dan konflik yang lebih besar. Punca perang dingin selalunya adalah disebabkan salah faham tindakan pasangan yang tidak selari dengan fitrah kita.
Umpamanya, isteri yang asyik membebel yang suami suka sepahkan pakaian menyebabkan akhirnya suami bosan dan mengambil sikap tidak mempedulikannya atau lebih banyak keluar bersama kawan-kawannya untuk mengelakkan bebelan.
Biar pun begitu, itu bukanlah penyelesaiannya. Isteri yang geram dengan sikap suaminya yang ‘menyusahkannya’ dengan suka sepahkan pakaian, ditambah dengan suka keluar lewat bersama kawan-kawan akan lebih memberontak dan mengunci pintu dari dalam supaya suaminya tidak boleh memasuki rumah. Suami yang pulang rumah dengan pintu terkunci dan isteri tidak membukanya, akan bertambah marah dan akhirnya boleh memulakan pergaduhan lebih besar. Isunya, suami usahlah sepahkan pakaian atau isteri usahlah berleter.
Elakkan Perang Dingin
Kebiasaanya, kita dinasihatkan supaya berterus terang antara satu sama lain agar tidak berlaku perasaan tidak puas hati dipendam dan mencetuskan perang dingin. Itu adalah penyelesaian yang terbaik dalam menjamin keharmornian rumah tangga.
Kadangkala, disebabkan fitrah dengan ego kita, suami biasanya tidak suka bercerita serba-serbi kerana memikirkan tiada keperluan. Manakala isteri pula kadangkala ada waktunya tidak berterus terang akan segalanya kerana lebih gembira kalau suaminya memahami sendiri tanpa diberitahu.
Sebaiknya, berterus-teranglah meskipun tidak memberi kepuasan secara total kepada kita, tetapi ia memberi keselesaan dalam hubungan anda dn suami. Solusinya juga, jadilah pasangan yang penyayang. Fahami fitrah suami sebagai lelaki dan kita lakukan yang menggembirakannya sahaja.
Begitu juga, fahami isteri dan fitrah kewanitaannya, kita lakukan apa yang membahagiakannya, insyaallah lebih mudah untuk menasihati dan memperbetulkan tindakannya yang kita rasa perlu diperbaiki.
Jangan biarkan perang dingin berterusan, bimbang kalau-kalau ada orang ketiga yang mengganggu dengan memberikan pintu keluar penyelesaian. Ketika itu, sangat mudah kita atau pasangan kita teruja dan diperdayakan. Hubungan kita lebih tergendala, timbul pula masalah orang ketiga.
Beri Masa Bertenang
Tempoh bertenang bergantung kepada berapa lama kita boleh hilangkan perasaan geram dan marah kita. Ini kerana tindakan kita sewaktu geram dan marah biasanya berbentuk negatif. Oleh hal yang demikian, Rasulullah SAW menyebut, orang yang paling kuat di kalangan umatnya adalah mereka yang mampu menahan perasaan marahnya.
Tiada pujukan dan hubungan yang berjaya ketika marah, kerana ia perlu berlaku dalam keadaan berkasih sayang. Terlalu lama ‘tempoh bertenang’ juga boleh menimbulkan risiko masalah berkait-kait tanpa penyelesaian, ia akan lebih rumit untuk dirungkai sampai bila-bila.
Berkait tentang isu siapa yang patut mengalah antara suami dan isteri. Jawapannya adalah kita! Tidak kiralah siapa anda, paling mudah kita boleh berubah melalui kesedaran kita sendiri.
Cara Berdepan
Paling efektif, kita hadapi pasangan kita dengan caranya, bukannya dengan cara kita. Isteri yang sedang memberontak, biasanya dia bersikap demikian untuk menarik perhatian kita dan mendambakan perhatian lebih daripada kita.
Andainya dengan cara kita, mungkin dengan menasihatinya supaya jangan melawan atau kita mengarahkannya bercakap dengan kita, tetapi kebiasaannya cara sebegitu akan lebih menyakitkan hati isteri kita. Sebaliknya, dengan menunjukkan lebih kasih sayang dengan jujur, seolahnya kita mengalah, tetapi kemudiannya ia akan lebih cepat lupakan kemarahannya tadi dan akan lebih menghormati kita.
Tidak mustahil dia juga akan meminta maaf dan lebih manja meminta keputusan daripada kita untuknya. Sebagai suami, gunakan lebih banyak kaedah emosi untuk memenangi isteri. Sebaliknya, isteri, perlu segera mengalah dan gunakan lebih banyak kaedah akal dan logik untuk memenangi suami, walaupun kadangkala dengan iringan sedih dan rawan di hati. Insyaallah, penghujung kesudahannya lebih positif dan membahagiakan.