“Kalau Ada Hati Perasaan Sila Ambush Bilik…” Surat Layang Suspek Bebas

Share

Apabila hakim membebaskan seorang daripada 19 penuntut Universiti Pertahanan Malaysia (UPNM) dalam kes kematian Zulfarhan Osman Zulkarnain, ramai tertanya-tanya. Apa yang menyebabkan Muhammad Aiman Aufa Asmadi Affendi ini bebas dari pertuduhan.

Rupanya di sebalik kematian Allahyarham Zulfarhan penuh tragis itu, wujudnya dua surat layang dari penuntut tahun tiga jurusan Kejuruteraan Awam UPNM yang berusaha memberitahu pihak atasan akan penderaan yang dilakukan rakan-rakan terhadap mangsa.

Sayangnya kedua-dua surat itu gagal sampai ke tangan pihak yang sepatutnya.

Cari Rakan, Nampak Zulfarhan Cuma Ditutup Kain Pelikat

Ketika itu, 22 Mei 2017 sekitar 6 petang, dia ke bilik 4-10 asrama penginapan UPNM untuk bertemu rakannya Muhammad Izzul Akhtar. Dia mahu bertanyakan tentang tugasan kuliah. Tapi rakannya itu tiada dalam bilik.

Sewaktu hendak keluar itulah, dia ternampak Zulfarhan di atas katil, dihujung bilik yang cuma ditutup dengan kain pelikat pada bahagian pusat ke lutut.

Sebaik melihat keadaan rakan yang terbaring dengan seluruh badannya menggelembung dipenuhi tompok kehitaman dan darah pada kulit itulah dia cepat-cepat balik ke bilik asramanya di 4-06. kemudian berbincang dengan rakan sebiliknya, Akmal Akif untuk membuat laporan.

Tapi kedua penuntut ini berasa takut jika mengadu hal itu pada jurulatih, bimbang identiti mereka didedahkan. Sudahnya, mereka memutuskan untuk membuat surat layang.

Surat Layang Pertama..

Di atas kertas A4, dia menulis surat layang yang pertama,

Kalau ada hati perasaan, ada sifat perikemanusiaan, saya minta sangat-sangat pergi ambush bilik 4-10, Blok Satria (depan masjid). Dalam tu ada pesakit yang sangat-sangat perlukan rawatan segera. SEGERA!!!’ – Hamba Allah

Dan surat itu diselitkan di pagar Rumah Sakit Angkatan Tentera pada 23 Mei 2017.

Malangnya, surat itu sampai juga ke pengetahuan semua ahli bilik Zulfarhan. Selepas dikongsikan jurulatih dalam aplikasi Whatsapp.

Surat yang tersebar itu membuatkan tertuduh pertama, Muhammad Akmal Zuhairi Azmal memindahkan Zulfarhan ke bilik asramanya, di 4-06. Alasannya mahu tumpangkan mangsa untuk sementara waktu.

Saksi Tulis Surat Layang Kedua

Tak putus asa, sekali lagi dia dan Akmal Akif menulis surat layang kedua,

Sila cari pegawai kadet laut Zulfarhan Osman’.

Kali ini, surat layang kedua diletakkan di bawah pintu bilik seorang jurulatih pada keesokan harinya.

Malang sekali, surat kedua telah ditemui oleh seorang penuntut lain.

Muhammad Aiman berkongsi kandungan surat layang yang ditulisnya bersama rakan ketika pemeriksaan utama Timbalan Pendakwa Raya Othman Abdullah pada prosiding hari ke-11 kes.

Media sebelum ini melaporkan Zulfarhan Osman meninggal dunia di Hospital Serdang pada 1 Jun 2017, dipercayai akibat didera selepas dituduh mencuri komputer riba milik rakannya.

Sumber/Foto : Astro Awani

Published by
webadmin