“Kahwin muda, gagal bawa balik ijazah.” 10 tahun Ibu Rose atau nama sebenarnya Rozieta Shaary, 62, ambil masa mengubah diri sehingga berjaya seperti hari ini.
Siapa sangka Family & Love Guru ini pernah berdepan dengan sisi kegelapan dalam hidupnya. Dirinya pernah “hilang diri” dan hanyut dengan kegagalan yang dilalui di zaman mudanya.
“Dulu ketika di sekolah, ibu adalah diantara top student. Sebut saja apa pun pasti ibu boleh buat. Bila tamat belajar sekolah menengah, ibu dapat tawaran sambung belajar di luar negara. Ibu adalah orang pertama ketika itu di kampung dapat biasiswa untuk sambung belajar. Ia merupakan satu perkara yang membanggakan buat keluarga, sekolah dan kampung tempat tinggal Ibu ketika itu.
“Terbiasa tinggal di asrama buatkan Ibu bersedia untuk berjauhan daripada keluarga, namun apabila sampai di sana Ibu lebih risaukan tentang agama. Mungkin pemikiran ketika itu belum matang. Diikutkan Ibu ditawarkan biasiswa untuk menyambung pengajian dalam bidang arkitek tetapi disebabkan oleh mendengar kata-kata kawan sekeliling Ibu tukar kursus ke kursus Matematik.
“Kemudian Ibu pilih pengajian matematik, namun sesuatu yang tak seronok bila kita tukar kepada subjek yang kita tak gemar dan akhirnya Ibu gagal dalam pelajaran.
“Lebih teruk Ibu juga berkahwin awal ketika masih belajar, Ibu hilang arah dan hilang diri selama 10 tahun. Hilang kemampuan diri, bayangkan seorang yang berani, bijak, glamor tiba-tiba rasa hilang keyakinan diri,” ungkap Ibu Rose yang mesra disapa Ibu memulakan bicara.
Sepulangnya ke Malaysia, timbul rasa sedih kerana tidak mampu membawa pulang segulung ijazah dan ketika itu dirinya telah dikurniakan dua orang dan sedang hamil anak ketiga.
Namun Ibu Rose tetap bersyukur, suaminya dapat habiskan pengajian dan mendapat tawaran kerja apabila pulang ke sini. Menurutnya, disebabkan keadaan hidupnya ketika itu, dirinya menjadi seorang ibu yang sangat garang. Bila timbul rasa tidak puas hati juga akan dilepaskan pada anak-anak.
“Suatu hari masa suami dapat gaji pertama, dia bawa Ibu keluar untuk belanja kami sekeluarga makan di luar. Ketika itu suami cabar Ibu untuk order makanan, waktu tu sampai berkali praktis maklumlah nak order dalam Bahasa Inggeris sebab di restoren makanan segera bertaraf antarabangsa.
“Padahal sebelum itu boleh saja speaking. Ketika itulah rasa macam halilintar datang dan sedarkan diri ibu. “Di mana Rozita yang hilang selama hari ini”. Terus terbangun dari mimpi ngeri dan terfikir Ibu bukan begini sebelum ini. Dulu Ibu seorang yang sangat berkeyakinan,” jelasnya.
Dari situlah, Ibu Rose mulai mencari dirinya yang hilang. Dia mula kumpul kekuatan dan bangkit semula dengan mencari kaset-kaset motivasi, baca buku-buku motivasi terutama buku motivasi Inggeris.
Melalui pembacaan berpuluh buku-buku itu, Ibu Rose temui ada dalam sebuah buku yang sangat memberi kesan kepada beliau, iaitu buku bertajuk Psycho-Cybernetics oleh Dr. Maxwell Maltz, telah membawa perubahan yang besar pada dirinya ibarat perubahan malam kepada siang.
Sejak itu juga, keyakinan dirinya semakin bertambah dan lebih berdaya maju. Ibu Rose sedar jika kita hendak berjaya dalam hidup sebenarnya kita perlu mendengar kata-kata yang mendayakan kita, buang perkara negatif dan abaikan saja jika ia merosakkan diri.
“Lagi satu perkara, sebenarnya, diri kita dan orang lain juga tidak mampu mengukur kemampuan kita. Hanya Allah yang mengetahui kemampuan diri kita. Oleh itu kita perlu bersangka baik senantiasa dengan Allah. Ibu percaya, bila kita jatuh kita akan lebih kenal kemampuan diri serta menjadikan diri kita lebih merendah diri, humble.
“Disebabkan Ibu pernah alami kejatuhan, Ibu jadi lebih tenang serta sabar melalui liku-liku hidup yang lebih mencabar dan besar. Apa yang berlaku adalah cabaran terbesar dalam hidup Ibu. Itulah turning point yang merubah Ibu,” katanya.
Baca Di Sini : “Tolak Masuk TV Kerana Tidak Mahu DiKenali, Malu Ke Depan.” Semuanya Berlaku Secara Kebetulan
Bagi individu yang memegang falsafah, “Saya membawa perbezaan ke dunia dan kuasa kasih sayang adalah kuasa yang terbesar atau paling kuat.” Maka dirinya tidak akan berhenti menyebarkan kasih sayang.
“Oleh itu juga menjadi misi dan visi Ibu untuk setiap saat tanpa alasan melakukan setiap perkara yang baik demi mencari keredhaan Allah SWT. Memang tiada masa untuk berhenti atau berehat. Jadi dalam setiap perkara yang Ibu lakukan termasuklah dalam menganjurkan corporate training sekalipun Ibu akan kaitkan dengan kasih sayang dan kekeluargaan.
“Malah telah menjadi tabiat atau amalan Ibu. Setiap pagi selepas bangun tidur, solat. Ibu akan ambil masa sekejap, tutup mata dan fikir siapa yang perlukan kata-kata semangat dari Ibu hari ini. Lalu Ibu akan tuliskan di sosial media.
“Memang menjadi tujuan utama Ibu menulis di social media adalah untuk merawat kesakitan jiwa pembaca dan memberi harapan serta menunjukkan jalan pada mereka untuk membina hidup yang lebih berkualiti dan bahagia. Agar mereka atau pembaca rasa ada seorang ibu yang sayangkan mereka untuk membantu mereka mendapat jalan penyelesaian dalam masalah yang dihadapi,” jelas Ibu Rose lagi.
Artikel Menarik: Pernah Ditampar Cikgu Di Sekolah, Itulah Pengajaran & Titik Perubahan Diri Dr. Malar
Ternyata kehidupan Ibu Rose banyak dipengaruhi oleh kedua orang tuanya. Malahan sikap ibu dan ayahnya juga banyak membentuk jiwa Ibu Rose sekuat ini.
Tambah Ibu Rose dalam usia sebegini dirinya telah belajar banyak perkara. Malah setiap kali berdepan dengan sebarang masalah, dirinya lebih selesa untuk mengadu pada Yang Esa.
“Perlahan-lahan Ibu akan terima keadaan yang berlaku. Ibu nak hidup hari ini lebih bermakna. Ibu juga mahu bila sudah tiada nanti, buku-buku yang dihasilhkan, orang tetap akan baca. Malah, buku-buku audio Ibu akan didengar dan memberi manfaat pada orang.
“Oleh itu setiap kali berdepan dengan masalah, Ibu akan tenangkan diri. Memohon kepada Ilahi petunjuk untuk mengambil tindakan yang perlu dilakukan.
“Satu lagi Ibu juga percaya, setiap ujian yang datang adalah tanda Allah kasihkan kita sebagai hamba-Nya. Memang banyak ujian yang Ibu terima dan bersama ujian-ujian itu pelbagai anugerah Allah berikan. Diantaranya, kebolehan untuk memahami dengan lebih mendapat akan kehidupan ini.
“Disebabkan kasih sayang Allah itulah Ibu bangkit semula setiap kali diuji. Paling Ibu ingat adalah ketika difitnah dengan hebatnya. Saat tu ketika hujan lebat, Ibu berdoa sungguh-sungguh dan serahkan segalanya pada Allah untuk tepis segala fitnah yang datang.
“Walaupun sedih dengan apa yang berlaku, Ibu tetap doakan yang terbaik untuk diri sendiri dan juga pada orang yang aniaya Ibu. Dan alhamdulillah Allah mendengar dan semua dapat diselesaikan. Setiap hari kita akan diuji, setiap ujian yang datang juga mendekatkkan kita dengan Allah,”luahnya syukur.
Baca Di Sini : “Diuji Kanser, Nikmatilah Hidup & Hargailah Peluang KEDUA” – Zuraini Kamal
Ternyata tidak semua selesa dan sependapat dengan kita, begitu juga yang dihadapi Ibu Rose. Luahnya dalam berkongsi benda baik, ada juga dikalangan kawan-kawan atau pembaca tak boleh terima apa yang disampaikan.
“Memang sedih kalau orang salah faham tapi kita tak boleh kawal untuk orang suka atau tidak. Tapi ibu biarkan saja. Untuk tidak mengeruhkan suasana, Ibu lebih selesa delete posting yang menjadi gelanggang untuk orang mengutuk dan bermaki-hamun di situ.
“Ibu bukan sejenis orang yang kejar share atau like tinggi, malah ibu tak suka dan tak mahu mencetuskan kemarahan orang lain atau buat orang sentap. Yang Ibu mahu dari setiap perkongsian adalah pembaca mendapat ilmu yang tinggi, rasa dibela dan dibelai penuh kasih sayang. Ramai orang ketandusan kasih-sayang. Oleh itu, Ibu mahu mereka merasakannya bila bersama Ibu secara fizikal atau pun maya.
“Kalau boleh Ibu nak sebarkan kasih sayang dan setiap orang yang masuk pages Ibu rasa tenang dan terasa kasih sayang. Dalam masa sama terasa ada harapan dan diberi peluang untuk teruskan hidup.
“Kadang- kadang marah dan kecewa juga, tapi dalam usia begini Ibu memilih untuk berdepan dengan masalah-masalah begini dengan tenang. Ibu memang doa saja pada Allah jika berlaku sesuatu yang menguji,” katanya sebelum menamatkan perbualan.
Follow kami di :
Facebook : https://www.facebook.com/mingguanwanita
FB Grup Cerita Mak-mak Hari Ini : https://www.facebook.com/groups/ceritamakmak
Website: https://www.mingguanwanita.my/
Instagram : https://www.instagram.com/mingguanwanita/?hl=en
YouTube: https://www.youtube.com/c/MingguanWanitaOfficial/featured
Twitter: https://twitter.com/mingguanwanita?lang=en
Telegram MW: https://t.me/mingguanwanita