Isu tuntutan perceraian isteri kepada pelakon Sharnaaz, Noor Nabila masih belum menemui kata putus. Ini kerana pasangan suami isteri ini diperintahkan oleh Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur supaya melantik wakil Jawatankuasa Pendamai (JKP) dalam kes perceraian mereka.
Hakim Syarie Ahmad Muttaqi Ismail memerintahkan Sharnaaz atau nama penuhnya Sharnaaz Ahmad Bazir Ahmad, 34, dan Noor Nabila Mohd Noor,34, berbuat demikian susulan bintang filem Juvana itu tidak bersetuju dengan tuntutan cerai kakak kepada pengacara dan pelakon Neelofa itu.
Noor Nabila selaku plaintif memfailkan permohonan cerai secara baik pada 27 Ogos lalu mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.Dalam proses perceraian, JKP membabitkan anggota keluarga yang rapat dengan pasangan itu, bertujuan memberi nasihat dan mencari jalan penyelesaian.
Terdahulu dalam prosiding itu, Sharnaaz yang diwakili peguam Datuk Akberdin Abdul Kader ketika ditanya hakim adakah sudah melihat tuntutan yang diterimanya daripada Noor Nabila pada 29 Ogos lalu, menjawab ” Ya” namun tidak bersetuju dengan tuntutan cerai berkenaan.
Difahamkan, selain tiada persefahaman dan tinggal berasingan sejak Februari 2018, Noor Nabila dalam tuntutan perceraiannya memberikan alasan bahawa Sharnaaz memberi nafkah zahir yang tidak mencukupi iaitu hanya RM500 sebulan walaupun mampu untuk memberi lebih daripada itu.
Noor Nabila dalam tuntutannya juga memberitahu, langkah sudah diambil untuk mencapai perdamaian termasuk sudah berbincang namun tidak menemui jalan penyelesaian dan defendan berterusan dengan sikapnya.Selain itu, terdapat perbincangan melalui keluarga namun tidak berjaya.
Peguam syarie, Azmi Mohd Rais yang mewakili Noor Nabila kemudian memohon supaya Sharnaaz selaku defendan mengemukakan alasan (tidak bersetuju) kerana mendakwa di dalam media sosialnya defendan menyatakan sebaliknya.
Bagaimanapun Ahmad Muttaqi berkata defendan tidak perlu berbuat demikian (beri alasan) kerana mahkamah sudah bertanyakan hal itu kepada Sharnaaz pada prosiding itu. Mahkamah kemudian menetapkan 30 September ini untuk kedua-dua pihak melantik wakil JKP mereka.
Sementara itu, Noor Nabila menangis sebaik suaminya menolak permohonan cerai yang difailkannya.Sebaik prosiding kes itu berakhir, Noor Nabila yang juga Pengarah Urusan NH Prima International sepatutnya mengadakan sidang media bagi meluahkan perasaannya.
Noor Nabila ketika ditemui tidak bersedia memberikan kenyataan sebelum menangis di hadapan pengamal media.
“Saya tak bersedia memberikan ‘statement’ (kenyataan) kerana fokus ketika ini membesarkan anak (Jebat Jayden) dengan penuh kasih sayang. Saya minta doa anda semua bagi mempermudahkan urusan,” katanya.
Sementara itu Sharnaaz berkata, dia enggan mengulas mengenai sebab dia menolak penceraian kerana mahu mengikut prosedur mahkamah yang ditetapkan.Dia ditemani Peguam Syarie, Datuk Akberdin Abdul Kader berkata, pihaknya akan mengikuti arahan mahkamah dengan melantik wakil Jawatankuasa Pendamai (JKP) dalam kes penceraian itu.
“Kami akan ke Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) jam 12.30 tengahari pada 30 Oktober depan. Ketika kami kahwin elok-elok, takkan lah masa cerai nak gaduh-gaduh.
“Reda atau tidak (penceraian ini) kita ada mahkamah dan badan berkanun yang kita perlu hadap. Mahkamah sudah beri arahan (JKP), jadi kena ikut.
“Apabila saya kata tak setuju (tolak penceraian), kita cuba memperbaiki (hubungan) sebaik mungkin dan cari kebaikan,” katanya.
Ketika ditanya sama ada masih menyayangi isterinya, Sharnaaz menolak untuk menjawab pertanyaan itu.
Menurut Sharnaaz, dia akan menggunakan JKP itu untuk mencari jalan penyelesaian yang berkemungkinan dapat mempertahankan rumah tangganya.
“Berkaitan melantik siapa (wakil JKP) adalah rahsia. Dalam soal anak pula (Jebat Jayden) kami akan berbincang dan setakat ini saya tidak pernah dihalang untuk melawatnya, terima kasih juga kepada Nabila,” katanya.
Dalam pada itu Akberdin berkata, pihaknya mahu menyelesaikan kes penceraian terlebih dahulu sebelum memberi tumpuan berkaitan tuntutan penjagaan anak. Katanya, melalui Seksyen 47 Akta Undang Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984, mereka memiliki ruang untuk berbincang dan berdamai.
“Kita akan lihat sama ada perkahwinan dapat diselamatkan atau tidak malah undang-undang memberikan tempoh enam bulan bagi tujuan itu,” katanya.
Akberdin menjelaskan, antara sebab tuntutan ditolak anak guamannya adalah pihak plaintif (Noor Nabila) meminta tarikh awal untuk bercerai.
“Kenapa perlu tergesa-gesa sedangkan undang-undang memberi masa enam bulan. Buat masa ini tiada tuntutan berkaitan perkara lain,” katanya.
Sharnaaz hadir ke mahkamah dengan memakai kot dan berseluar hitam serta bersongkok manakala Noor Nabila mengenakan jubah hitam dan berselendang hitam.
Kisah rumah tangga pasangan terbabit kembali menjadi perhatian pada 29 Ogos lalu apabila sebuah portal menyiarkan artikel kononnya Noor Nabila memfailkan perceraian terhadap Sharnaaz selepas berkongsi foto dipercayai Kompleks Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Instagram Story, baru-baru ini.
Noor Nabila juga didakwa memuat naik status yang dikatakan menguatkan lagi spekulasi dirinya berdepan masalah rumah tangga.
Sharnaaz dan Noor Nabila mendirikan rumah tangga pada 31 Mac 2017 dan dikurniakan seorang anak, Jebat Jayden Ahmad yang kini berusia setahun.
MW: Mingguan Wanita mendoakan pasangan ini menemui titik penyelesaian yang terbaik.Apa juga keputusan yang diambil semoga dipermudahkan segala urusan dan dapat mencapai persetujuan bersama.