Sungguh.. nak menjadikan seorang anak itu menjadi manusia, bukanlah kerja mudah untuk mak ayahnya. Banyak yang perlu dikorbankan, tapi jangan sampai mak ayah tak sedar yang anak juga berkorban untuk mak ayahnya.
Perkongsian Da’i Hamidah ini banyak benarnya. Mak ayah claim, mereka sudah mencurah segala-galanya. Mahu anak-anak iktiraf pengorbanannya. Walhal anak-anak juga ‘kehilangan’ masa dan belaian kasih sepanjang perjalanan itu.
Anak sebenarnya cuma mahukan perhatian mak ayahnya.
Pengorbanan Anak
Kita selalu berbicara soal pengorbanan ibu bapa terhadap anak. Tapi jarang kita sentuh pengorbanan anak kepada ibu bapa. Sedangkan dalam memastikan segala urusan ibu ayah selesai dengan baik.
Anak-anak lah yang banyak berkorban. Mereka terpaksa mengikut rutin harian kita yang kadang kala mereka kurang ada masa dan perhatian dari kita. Mereka anak kecil yang punya perasaan tetapi sukar untuk meluahkan perasaan melainkan hanya dengan menangis.
Lama kelamaan mereka akan senyap dan terpaksa berusaha membiasakan diri untuk menerima realiti. Realiti terpaksa berjauhan dengan ibu ayah yang punya kesibukkan tersendiri.
Baca sini : Pesan Da’i Hamidah, sibuk macam mana pun kena ada masa dengan keluarga
Mak ayah Anak Pun Berkorban Perasaan
Oleh itu kita sebagai ibu bapa jangan sia-siakan pengorbanan mereka. Andai kita rasakan pengorbanan mereka terlalu kecil nak dibandingkan dengan pengorbanan kita yang terpaksa keluar mencari rezeki, maka kita kena renung kembali andai mereka tidak memberi kerjasama yang baik, maka sudah tentu segala kerja kita juga akan jadi berantakkan.
Pendek kata hargailah mereka, utamakan masa dengan mereka kerana mereka kian membesar dan proses itu tidak akan berulang kembali. Paling penting kita kena tahu bahawa semua anak- anak inginkan belaian kasih sayang, perhatian dan pendidikan dari kita untuk menjadikan mereka hamba yang diredhoi Allah.
Anak Menjadi Atau Tidak, Bergantung Usaha Mak Ayah Dengan IzinNya
Sungguh tanggugjawab ibu bapa terlalu besar. Anak- anak menjadi atau tidak ia bergantung dengan usaha ibu bapa dengan izin Allah dan sesungguhnya Allah Taala menilai setiap dari usaha kita.
Andai kita meletakkan matlamat kita untuk menjadikan mereka khalifah Allah yang berkualiti di atas muka bumi ini nescaya kita akan lupakan perkara remeh temeh yang lain.
Akhir kalam setiap ibu bapa akan disoal kelak tentang anak- anak yang mereka lahirkan. Semoga Allah Taala memberi kekuatan untuk kita mampu menjadi ibu bapa yang terbaik, bertanggungjawab dan penuh kasih sayang.
MW : Masih belum terlambat untuk menghargai apa yang ada di sekeliling kita. Terutama anak isteri.
Sumber/Foto : Dai Hamidah
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Mulanya Sekadar Bertukar Makanan, Wanita Ini Akhirnya Jatuh Cinta Dengan Jiran Sebelah!
Berbuat baik dengan jiran tetangga sangat digalakkan. Tapi kena tahu batasan, jangan sampai terjadinya skandal dan jatuh cinta dengan jiran sendiri!
Puan Hajah Maimunah Haji Muhamad, kaunselor dan penulis bebas serta kolumnis ruangan Ya Tuhan di dalam Majalah Mingguan Wanita, menjawab permasalahan daripada seorang wanita yang terjebak dalam hubungan cinta terlarang dengan jiran sebelah rumahnya sendiri.
Seorang Isteri Dan Ibu
Assalamualaikum puan yang dihormati. Saya seorang isteri dan ibu kepada sepasang cahaya mata berusia tujuh dan sembilan tahun. Bekerja sebagai seorang guru dan begitu juga dengan suami. Tinggal di sebuah kawasan perumahan di pinggir kota.
Kebanyakan yang tinggal di situ adalah ibu bapa muda yang usianya lebih kurang saya dan suami. Saya juga jenis yang gemar mengikuti apa-apa kegiatan di kawasan perumahan tak kira anjuran surau atau sebagainya. Manakala suami pula agak ‘culas’, pada masa terluang lebih dengan hobi memancingnya hingga saya sering kali ‘naik angin’.
Tapi bagi saya, perlu untuk mengenali jiran tetangga kerana jika ada kecemasan, boleh juga meminta pertolongan.
Gemar Masak
Pada masa terluang, saya gemar memasak kerana bagi saya itulah terapi untuk melepaskan tekanan bahkan minat itu memang hadir sejak kecil kerana suka membantu mak yang merupakan pengusaha kantin.
Memandangkan anak-anak masih kecil dan tidak terlalu banyak makan, saya sering kali berkongsi makanan yang dimasak dengan jiran tetangga. Maklumlah, dah terbiasa masak dalam kuantiti yang agak banyak. Daripada membazir, lebih baik sedekah pada jiran tetangga. Secara tak langsung makanan itu penyambung silaturahim antara jiran. Di sebelah kiri rumah saya tinggal keluarga berbangsa Cina dan suka dengan masakan saya terutama kek keju hasil air tangan saya. Malah acap kali mereka menempah jika ada keraian di rumah atau di pejabat mereka.
Manakala jiran sebelah kanan rumah pula pasangan Melayu dan punya tiga orang anak. Dengan mereka saya paling rapat malah anak-anaknya yang berkawan dengan anak-anak saya sering ke rumah. Malah kata mereka, seronok bila ke rumah saya kerana boleh makan macam-macam.
Rapat
Pasangan jiran saya itu, isterinya, saya kenalkan sebagai K juga guru seperti saya manakala suaminya, M, seorang pensyarah. Namun si isteri memang jarang masak, itu pun saya ketahui menerusi anak-anak mereka. Malah M pula yang suka memasak dan sering kali memasak.
Dipendekkan cerita, saya dan M sering bertukar resipi menerusi whatsApp. Entah bila bermula, kami juga mula berkongsi tentang masalah masing-masing seperti masalah kerja, dan anak-anak. Dan tanpa disedari, kami telah menjalinkan kemesraan di luar batas antara jiran!
Puan, kami berdua saling menyayangi. Pernah kami cuba tepis perasaan itu namun tak berjaya. Ia tidak diketahui oleh pasangan kami. Bahkan tak dapat dibayangkan apa akan jadi kalau mereka tahu.
Saya sendiri sedar saya berdosa kerana menduakan suami. Tapi bagaimana saya boleh tepis perasaan ini sedangkan setiap hari kami akan bersua muka? Perlukah saya berpindah tapi saya tak mampu untuk membeli rumah lain ketika ini. Saya ingin keluar dari perangkap cinta terlarang ini tapi tak mampu…
Isteri Berdosa.
Jawapan:
Assalamualaikum puan yang dirahmati Allah. Imam Ghazali pernah bertanyakan lima persoalan kepada anak muridnya, antara satu soalan yang ditanya apakah yang paling besar dalam dunia ini? Pelbagai jawapan diberikan oleh anak muridnya.
Nafsu
Tiada satu jawapan yang betul. Maka Imam Ghazali memberitahu jawapannya kepada anak muridnya bahawa yang paling besar dalam hidup ini adalah nafsu. Apakah yang dimaksudkan dengan besar?
Besar di sini bermaksud manusia tidak pernah puas dengan apa yang ada…apa yang Allah telah kurniakan senantiasa rasa tidak cukup. Mungkin pada ketika itu manusia rasa cukup dan tiada kekurangan dalam dirinya, namun apabila ada sesuatu yang menarik di mata dan di hatinya, atau lazat atau menimbulkan kesukaan dan kegembiraan yang teramat sangat, maka dia akan mudah terpaut dengan apa yang sedang dirasainya dan keinginan memilikinya amat tinggi. Tidak kira dalam apa jua bentuk sehingga dia terlupa adakah kenikmatan dan kegembiraan yang sedang dirasainya ketika itu memberi kebaikan atau keburukan kepada dirinya.
Apabila kenikmatan yang sedang dikecap itu dibiarkan untuk sekian lama tanpa berusaha secara bersungguh-sungguh mengatasinya, melayan perasaan dan fikiran ketika itu dengan apa yang dikecap, maka lama kelamaan kenikmatan itu menjadi “ketagih” yang apabila tiadanya benda, item, manusia, perkara atau peristiwa itu menjadikan hidupnya tidak tenteram, tidak boleh fokus, perasaan yang tidak tenang, fikiran yang kacau, hidup kurang bermaya, tiada motivasi, malah sebahagian besar aktiviti seharian akan terjejas.
Sukar Dikawal
Bercinta juga merupakan nafsu yang susah dikawal, walaupun bercinta itu indah dan jika dikuti dengan landasan yang betul dari segi adat dan agama maka ianya akan menjadikan hidup ini lebih bermakna. Bermakna dalam erti kata ia menyambung hubungan dengan manusia lain yang boleh dikongsi masalah dan hidup serta melahirkan zuriat yang perlu dididik dengan baik hingga berjaya.
Namun jika sudah lari landasan yang sebenar, ianya bukan lagi cinta tetapi nafsu syaitan yang dituruti. Bercinta yang melampaui batas adat dan agama juga antara nafsu yang tidak dibendung. Disebabkan asyik dan indahnya berada dalam alam khayalan fatamorgana yang dinamakan “cinta” itu, sebenarnya telah ditipu oleh syaitan hanya kerana nafsu yang tidak dikawal. Nafsu yang tidak boleh dikawal, tidak diurus dengan baik, malah dibiarkan sehingga melampaui batas akan memberi kesan yang amat buruk, kepada diri, keluarga dan masyarakat, apatah lagi terhadap Pencipta.
Keburukan mungkin tidak nampak ketika itu, tetapi dalam jangka masa panjang ianya akan memudaratkan diri, malah mendatangkan kemurkaan Allah. Manusia tidak mampu berfikir apakah kenikmatan yang dirasai itu diredai Allah atau mendatangkan kemurkaan Allah. Malah kesannya nanti azab yang bakal diterima di neraka kelak. Nikmat yang dirasai tidak sepadan dengan azab yang bakal diterima di akhirat kelak…nauzubillah….
Manusia sering kali pendek akalnya…hanya memikirkan keseronokan yang dirasai ketika itu sahaja. Dia tahu bahawa itu sesungguhnya tidak baik untuknya, untuk keluarganya, malah mendatangkan kemurkaan Allah, namun dia belum berusaha bersungguh-sungguh untuk “meninggalkan” keindahan dunia yang sedang dikecapinya
Dosa Dan Pahala
Puan yang dirahmati Allah. Cuba tanya pada diri, adakah puan bercinta seperti yang saya nyatakan di atas, atau puan mengikut hawa nafsu hingga sudah tidak boleh membezakan antara dosa dan pahala? Tidak boleh membezakan mana yang baik dan mana yang buruk?
Jika puan sudah menyedari ianya dosa besar yang puan lakukan terhadap diri puan sendiri, terhadap suami, terhadap anak-anak dan keluarga puan, malah manusia lain iaitu isteri kepada jiran puan dan anak-anaknya, maka mahukah puan berusaha bersungguh-sungguh untuk “membasuh” dosa yang puan lakukan? Dosa yang belum tentu diampunkan Allah hanya dengan tidak lagi berhubung dengannya?
Puan tahu kan besarnya dosa isteri yang berzina dengan lelaki lain? Nauzubillah… Puan seorang guru…seorang pendidik…perlu berusaha keras untuk “membasuh” dosa itu, tidak kira sama ada ianya akan jadi bersih atau tidak, namun usaha puan mesti berlipatkali ganda untuk membasuh dosa itu, mesti berusaha…ada kesungguhan, komitmen, ketahanan dan sanggup mengawal nafsu yang senantiasa mengajak kepada tuntutan syaitan.
Sebagaimana puan mendidik para pelajar puan agar belajar bersungguh-sungguh untuk cemerlang dalam peperiksaan, malah cemerlang akhlak dan cemerlang dalam kehidupan, maka puan juga perlu ada keinginan dan keazaman yang kuat. Saya rasa puan sendiri tahu caranya…namun saya hanya mengulangi petua dan panduan untuk membantu puan melupakan sejarah hitam yang memberi kemurkaan kepada Allah dan kedukacitaan kepada ahli keluarga puan, khususnya suami puan.
Elakkan
Pertama, putuskan terus hubungan dengannya. Tukar no telefon. Kedua, jika ada keramaian dengan keluarganya atau masyarakat setempat, seboleh mungkin elakkan. Elakkan bertentang mata dengannya, walaupun berselisih atau terserempak dengannya. Jika puan tahu dia berada di luar rumah dalam waktu tertentu, cuba jauhi daripadanya.
Jika dia minta untuk berjumpa buat kali terakhir untuk jelaskan segalanya, lupakan…itu adalah ajakan syaitan…. bukannya kebaikan. Setakat nak bertukar-tukar masakan dan berkongsi hobi, banyak lagi cara yang dibolehkan. Ketiga, tumpukan kepada kerjaya membina anak-anak. Kerjaya puan adalah kerjaya yang murni. Tugas seorang pendidik mendidik manusia untuk jadi lebih baik.
Jangan hanya kerana mengikut nafsu, maka puan sanggup “mencalarkan” kerjaya seorang pendidik. Seterusnya bina cinta dengan suami, bukan lelaki lain. Belajar mencintai suami dan anak-anak. Penuhi masa dengan perkara yang berfaedah untuk melupakan apa yang puan telah lakukan yang menimbulkan kemurkaan Allah. Bertaubatlah sementara pintu taubat masih diterima Allah. Banyakkan solat malam mohon keampunan atas dosa-dosa yang telah dilakukan. Banyakkan membaca Quran, ikuti majlis ilmu agama. Mudah-mudahan Allah mengampunkan dosa puan.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Mak Ayah Jangan Ajar Anak MINTA, Buka Sampul Raya Depan Orang, Jaga Adab!
Perkara yang paling seronok buat anak-anak bila tiba raya tentulah bila dapat duit raya. Inilah yang ditunggu-tunggu oleh mereka. Tak sabar nak buka sampul raya dan tengok jumlah yang mereka dapat.
Dari dulu lagi budaya bagi duit raya sudah sinonim untuk setiap perayaan. Ini sebagai tanda untuk meraikan anak-anak dan memberikan keseronokan pada mereka.
Bukan setakat anak-anak, pada orang tua atau sesiapa saja yang dirasakan perlu untuk bagi duit raya. Mungkin inilah yang dikatakan budaya bagi duit raya setiap kali perayaan. Cuma yang tak pasti berapa jumlahnya sebab wang ada dalam sampul raya.
Ada juga yang tak ‘sedap’ dengar dan lihat bila ada yang mempertikaikan. Dapat duit dalam sampul raya pun bukan main seronok dan berteka teki jumlah di dalamnya. Ada yang dapat sedikit dan ada pula yang dapat banyak. Apa yang pasti, banyak atau sedikit, kedekut atau berkira bukanlah alasan. Yang penting niat dan keikhlasan kita.
Baca Artikel Menarik Lain Di Sini: Mak Ayah Pakai Duit Raya Anak, WAJIB GANTI Kecuali Kegunaan Anak Itu Sendiri
Jumpa Kanak-kanak Hadiahkan Duit Raya Seringgit Dua, Sedekah Jangan Nanti-nanti
Info Lebih Menarik DI SINI
Sampul Raya Atas Sedekah Jariah
Budaya bagi duit raya ni bukan budaya Islam.. Kalau nak bagi atas dasar sedekah jariah, memang digalakkan. Tapi kalau dah nama sedekah jariah, ikut kemampuan si pemberi.
Tak kisah la berapa waima seringgit sekali pun.. Mak bapak tolong ajar anak-anak jangan bukak sampul duit raya depan orang.. Jangan ajar anak-anak mintak duit raya daripada orang..
Nampak sangat biadapnya. Masalahnya ada mak bapak bila anak-anak dapat duit raya, akan terpacul soalan; “Berapa orang tu bagi duit raya?”
Tak semua orang mampu nak bagi duit raya kaler hijau, merah, oren, biru muda dan purple.. Dengan tarif elektrik dah naik, dengan harga barang yang mahal, ramai yang bajet cukup-cukup je.
Kalau ada dan mampu, tak salah memberi.. tapi jangan sampai jadi riak nak orang tau banyak isi dalam sampul tu.. Keikhlasan tu penting.. bukan nak menunjuk-nunjuk..
Ikut Kemampuan
Bagi yang tak mampu, kemeriahan Lebaran tu tak cacat pun kalau tak dapat bagi duit raya dan tetamu yang bawak anak-anak beraya kena la faham.. Jangan diumpat atau dicaci orang yang tak bagi duit raya atau yang mampu bagi seringgit dua je.
Bukan soal kedekut atau berkira tapi kalau dah memang bajet tak berapa nak ada, nak dikorek tang mana?
Hari ni hari dia, hari kita tak tau bila. Hidup ni macam roda. Bersederhanalah bila menyambut Hari Raya..
Baju lama? No hal..
Kuih takde? No hal..
Tak dapat bagi duit raya? No hal..
Cakap je: “maaf la tahun ni bajet sakit sikit.. Doakan saya melimpah ruah rezeki ye lepas ni..”
Kalau orang yang dengar tu ada iman dan hati dia bersih, dia akan faham dan doakan.. Tak akan diumpat atau jadi bahan cerita.
Mingguan Wanita : Tiap kali raya mesti wajib tukar duit raya. Masukkan dalam sampul raya. Walaupun budaya ini tiada dalam Islam tapi ia sekadar untuk menggembirakan mereka. Sedikit atau banyak tak kisah, asalkan ikhlas.
Sumber: BEST my
Mingguan Wanita boleh diikuti juga di telegram :
https://t.me/bangkitwanitaMW
Follow kami di :
Facebook Mingguan Wanita
Instagram Mingguan Wanita
Twitter Mingguan Wanita
#bangkitwanita
#langkahyakinlakarkejayaan
#bisnesdarirumah
#mingguanwanita
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Hati-Hati Bawa Anak Mandi Kolam, Biarlah Dikata Cerewet, Elak Perkara Tak Dijangka
Sebut saja pada anak-anak nak mandi kolam, bukan main seronok mereka. Tak dapat ke pantai atau sungai, tempat inilah buat mereka rasa gembira dan bahagia.
Bukan anak-anak saja suka mandi kolam tapi ada juga mak ayah yang teruja, lebih-lebih lagi kalau bercuti dan menginap di mana-mana hotel.
Sampaikan mak ayah sanggup cari hotel, tempat menginap yang mempunyai kemudahan kolam mandi, senang untuk bawa anak-anak main di situ. Ini belum lagi tempat-tempat rekreasi atau taman tema yang memang sepenuhnya ada kolam air.
Walau bagaimanapun, bagi mak ayah yang cerewet tentu tidak gemar bawa anak ke tempat awam yang ramai orang terutamanya tempat khas untuk bermain air. Maklum saja, macam-macam ragam dan tak sedar mungkin ada yang membuat onar tanpa kita sedar.
Kita nampak saja air itu biru dan bersih tapi sebenarnya ia turut membahayakan. Jangan terkejut, ada sesetengah mak ayah yang bawa anak mandi kolam, pulang sahaja bada ngatal-gatal dan mungkin ada yang demam, cirit birit dan sebagainya.
Inilah yang dikongsikan oleh Dr Ahmad Luqman Bukhari tentang apa yang mak ayah perlu tahu, terutamanya bila bawa anak mandi kolam.
Baca Artikel Menarik Lain Di Sini: Punyai 3 Anak Perempuan, Syurga Menanti Mak Ayahnya, SYARAT Didik, Jaga Sebaiknya
Nak Anak Berjaya Dalam Akademik. Paksa Anak Tidur Awal, Bukan Biasakan Tidur Lewat
Info Lebih Menarik DI SINI
Mandi Kolam, Boleh Bawa Malah Kesihatan Anak
“Daddy, jomlah kita pergi mandi kolam. Lama dah kakak dengan Maryam tak main air kat sana.”
Lemah betul bila budak dua beradik ni dah mula merayu hari tu. Cepat-cepat saya call owner
KEKOTAKstay Port Dickson untuk set tarikh yang kosong. Tak nak lah duk bersesak dengan orang lain.
Lagi pun saya tahu kat situ kolamnya bersih dan terjaga.
Biarlah cerewet sikit bab nak bagi anak-anak mandi kolam ni. Bukan apa, risau sangat kalau dia orang tiba-tiba demam dan jatuh sakit lepas balik dari mandi di kolam renang.
Takut-takut terkena penyakit Recreational Water Ilness (RWI) yang berpunca dari kuman dan bakteria kat dalam air kolam.
Kuman seperti Cryptosporidium, E. Coli dan Naegleria fowleri, ni antara yang kerap sangat dijumpai dalam air kolam yang tercemar tau.
Kalaulah masa mandi tu, si kecil kita tertelan air kolam yang penuh dengan kuman tadi lalu masuk ke saluran penghadaman, dia mungkin akan mengalami gejala muntah-muntah dan cirit birit.
Sakit tekak, batuk dan selesema pun boleh terjadi sekiranya jangkitan tu berlaku di saluran pernafasan. Jika berjangkit ke telinga dan mata pulak, mulalah mata pun jadi merah menyala dan pedih memanjang.
Nak tak nak, periksalah dulu betul-betul tempat kat mana nak bawak anak-anak mandi kolam atau bermain air ni.
Pesanan Buat Mak Ayah
Kena hati-hati sungguh terutamanya kalau kolam awam. Memanglah dibubuh klorin. Tapi kalau dah kolam tu penuh dengan air kencing, najis dan kotoran, payah nak hapuskan semua kuman dalam tu.
Sambil-sambil tu pesan jugak pada ahli keluarga kita supaya:
a) Elakkan daripada kencing atau berak kat dalam kolam renang
b) Sebolehnya sebelum masuk ke kolam, bersihkan dulu badan di bawah pancuran air. Lepas selesai mandi kolam pun sama.
c) Jangan minum atau berkumur guna air kolam tu.
d) Mana anak yang tak sihat, demam, muntah atau cirit birit, tolong jangan benarkan mereka mandi dalam kolam.
e) Periksa jugak tubuh anak kita tu. Elakkan masuk kolam kalau ada luka pada anggota badan. Bahaya sangat sebab kuman tu semua boleh masuk terus ke pembuluh darah anak kita.
f) Lagi bagus kalau kita pakaikan lampin pakai buang khas untuk berenang bagi si kecil yang masih tak pandai nak control najis.
Sambil tu kita pun kenalah periksa pamper tu setiap 30-60 minit dan tukar terus jika ada najis.
Sekarang ni memang ramai yang ambil peluang bawak anak ke kolam mandi dan taman tema air. At least kita semua akan lebih berjaga-jaga lepas tahu tentang ilmu ni.
#notaDrALB
MW: Kadang-kadang taman tema mahupun hoitel yang ada kolam, mesti ada dalam list untuk mak ayah bercuti, nak bagi anak seronok. Kena hati-hati juga.
Sumber: Dr Ahmad Luqman Bukhari
Follow kami di :
Facebook Mingguan Wanita
Instagram Mingguan Wanita
Twitter Mingguan Wanita
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI