Wanita ciptaan yang istimewa. Diberikan kelebihan mampu mengandung, ‘bawa perut’ 9 bulan, menanggung sakitnya kontraksi waktu bersalin, menahan sakit senggugut sewaktu datang haid dan macam-macam lagi.
Hebatnya sistem pembiakan wanita boleh menghasilkan sel terbesar di dalam badan yang dinamakan ovum.Ini 5 FAKTA Menarik Tentang Sel Ovum Wanita yang perlu difahami dan dikongsikan oleh Dr Saidatul Husna sebagai rujukan.
Kadang Kadang Kita Lebih Kenal Telur Ayam di Dapur Berbanding Telur Sendiri Kan.Rupanya Sel Telur Wanita Pun Luar Biasa Hebatnya.
Ini 5 fakta menarik tentang sel telur wanita atau sel ovum yang ramai wanita tak tahu.
Ovum adalah sel terbesar di dalam badan. Boleh dilihat dengan mata kasar tanpa menggunakan mikroskop. Saiznya umpama sebutir garam pasir.
Ovum tercipta semasa kita dalam kandungan ibu. Bilangannya banyak,
🌹 2 – 5 juta semasa janin,
🌹 berkurang menjadi 1 juta selepas dilahirkan.
🌹 berkurang menjadi 300 ribu semasa akil baligh.
Setiap bulan, lebih 100 ovum akan matang dan HANYA SATU yang berjaya keluar menuju ke rahim. Yang satu ini kalau bertemu dengan sperma, akan terhasil lah janin.
Perempuan ada dua jenis kesakitan setiap bulan. Sakit semasa haid (senggugut) dan sakit semasa ovulasi.
Sakit senggugut dikatakan oleh hormon prostaglandin yang menyebabkan organ rahim mengecut dengan kuat dan iskemia (kekurangan oksigen).
Sakit ovulasi pula disebabkan luka di permukaan ovari semasa sel ovum menetas keluar dari situ.
Kedua jenis sakit ini menjadikan pinggang lenguh, nyeri pada rahim dan aktiviti harian menjadi terhad dan terganggu. Emosi kacau, sangat mudah menjadi ‘singa’. 😅
Ovum ada tempohnya sendiri. Paling lama dia hidup pun selama 36 jam. Waktu subur inilah sepatutnya sperma datang untuk persenyawaan.
Namun jika tiada sperma, bulan itu ovum akan merajuk, menangis dan terhasil lah aliran darah haid.
Jadi bagi mereka yang ingin menimang cahaya mata, perlu tahu waktu subur berlaku antara 24-36 jam sahaja. Masa inilah sesuai untuk ‘family planning’ selain kaedah perancangan yang lain.
Walaupun berjuta juta sperma berenang menuju ke peranakan, hanya satu sperma sahaja yang ovum pilih untuk disenyawakan menjadi janin.
Bila dah dapat satu sperma, segala pintu ovum untuk sperma lain akan tertutup rapat. Jadi sperma yang berjaya akan menang.
Betapa setianya ovum dalam jasad perempuan kan, hanya pilih satu sperma buat teman hidup, tiada dua tiada tiga. Geng P Ramlee yang madu tiga tu boleh baca kenyataan ini tiga empat kali ya. 😁
“Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya.” (Surah At Tiin : 4)
Menarik kan fakta tentang sel ovum wanita ini? Jom kongsikan dengan orang yang kita kenal. Mungkin ada yang baru tahu.
Boleh follow Saidatul Husna . Saya menulis tentang inspirasi dan kewanitaan.
Baca Lagi Di Sini:
8 Tanda Wanita Sedang Subur, Penting Untuk Rancang Kehamilan Mahupun Jarakkan Anak
Ini 5 Sebab Betapa Pentingnya Wanita Kena Catat Hari Pertama Haid & Jadikan Rutin Setiap Bulan
MW: Semoga perkongsian ini bermanfaat, agar para wanita lebih mengenali sistem pembiakan dan fakta sebenar mengenai sel ovum dalam tubuh badan. Boleh kongsikan dengan anak-anak dan cucu-cucu kita fakta menarik ini.
Sumber: Dr Saidatul Husna