Ketua Penyelia Jururawat, Rohaya Ramli telah berkhidmat dalam bidang perubatan hampir 30 tahun. Banyak pengalaman pahit dan manis yang dikutip. Banyak juga ilmu dan kemahiran yang telah dikuasai. Wajarlah jururawat-jururawat baru merujuk kepada dirinya agar mereka dapat menjadi jururawat terlatih yang sehebat dirinya.
Rohaya puas hati dapat bantu sambut kelahiran bayi dengan selamat dan cara yang betul.
Bidan Berdaftar
Sudah enam tahun dia memegang jawatan Ketua Penyelia Jururawat di Pejabat Kesihatan Taiping, Perak. Sebelum ini Rohaya pernah berkhidmat di beberapa buah hospital termasuklah Hospital Seremban, Hospital Kuala Pilah, Hospital Bahagia Ulu Kinta, Hospital Ipoh dan Hospital Taiping. Hanya selepas itu dia memasuki bidang kesihatan awam.
“ Saya perlu mengambil kursus khas yang dipanggil Kejururawatan Kesihatan Awam untuk menjadi jururawat kesihatan awam. Tetapi sebelum boleh jadi jururawat kesihatan awam, seseorang itu perlu ada kursus post basic kebidanan. Ini bermakna saya perlu jadi bidan terlebih dahulu.
“ Saya adalah bidan berdaftar. Saya jadi bidan sejak tahun 1998. Ini bermakna sudah 20 tahun jadi bidan. Sekarang ini kalau ada yang hendak di hospital, saya boleh mengendalikan kelahiran bayi. Kerja saya kini adalah di klinik kesihatan. Di sini saya akan melaksanakan tugas panggilan. Orang kampung akan memanggil kami jika ada masalah terutamanya berkaitan dengan urusan bersalin,” ujarnya.
Ketika mula-mula menjadi bidan, akui Rohaya, dia takut juga sebab perlu menyambut anak orang.
“ Saya banyak baca ayat Kursi, doa agar segalanya selamat dan ayat seribu dinar serta banyak lagi ayat-ayat al-Quran lain. Jadi itulah kelebihan bidan Islam jika dibandingkan dengan bidan bukan Islam. Selepas kami sambut bayi, persiapkan bayi dan beri kepada bapa bayi itu untuk dibacakan azan pada telinganya. Kali pertama saya sambut bayi saya rasa seperti menyambut dunia. Gembira sangat sehingga tidak mampu bercakap,” luahnya lagi.
Nasihat Rohaya kepada jururawat yang bertugas dan berbakti kepada masyarakat agar perlu ikhlas dengan tanggungjawab yang diberi.
Ads
“ Kita perlu ikhlas barulah gembira bekerja. Apa juga orang cakap anggap itu satu motivasi walaupun kadang-kadang ia menyakitkan hati kita. Jangan risau, biasanya kalau ketua bercakap mereka mahukan anak buahnya jadi lebih baik daripada dirinya. Itu yang saya rasa apabila bercakap dengan anak buah saya.”
Hadapi Cabaran Sambut Kelahiran Bayi Di Rumah
Rohaya sentiasa mengajar dan memberi nasihat berguna kepada jururawat di bawah seliaannya.
Ujar Rohaya lagi banyak peristiwa ibu bersalin yang tidak dapat dilupakannya. Antara peristiwa yang tidak dapat dilupakan adalah sebaik sahaja dia menamatkan kursus kebidanan pada tahun 1998.
“ Pada ketika itu, ada orang kampung yang tidak mahu pergi ke hospital padahal dia ada sejarah dua kali bersalin secara pembedahan. Sepatutnya saya tidak boleh mengendalikan kelahiran oleh ibu sebegitu. Tetapi dia sudah panggil, saya kena pergi. Sudahlah dia lebih hari mengandung. Sepatutnya dalam garis panduan kami dia tidak boleh begitu. Tetapi disebabkan sudah ada bukaan 9 cm, kita boleh mengendalikan kelahiran jika itu kelahiran biasa.
Ads
“ Saya mahu bawa ke hospital. Dikira salah jika saya mengendalikan kelahiran itu di rumah. Saya buat pemeriksaan dan mendapati bayi telah buang air besar. Saya beritahu kepada jururawat masyarakat yang membantu saya agar menelefon klinik kesihatan untuk mendapatkan bantuan daripada doktor di klinik kesihatan. Saya juga minta jururawat masyarakat itu turut menelefon polis.
“ Hendak tidak hendak saya terpaksa mengendalikan kelahiran itu kerana suami wanita itu ada bersama kami. Dia memegang parang dan akan melakukan sesuatu jika kami tidak membantu isterinya bersalin. Nasib baik kelahiran itu berjaya. Berat bayi itu 4.3 kg. Untuk kelahiran di rumah memang tidak sesuai. Bayi itu tidak menangis dan saya uruskan sehingga bayi itu menangis. Pada masa yang selepas itu doktor pun sampai ke rumah tersebut,” ceritanya tentang antara pengalaman yang tak dapat dilupakan.
Selain peristiwa tersebut, Rohaya mengakui dia juga pernah mengendalikan kelahiran songsang, bahagian kaki keluar dahulu daripada kepala.
“ Kelahiran ini berlaku pada tahun 2001. Masa itu wanita itu balik kampung untuk beraya. Peristiwa ini berlaku beberapa hari sebelum hari raya. Saya mengendalikan kelahiran itu di sebuah bilik yang sempit. Ada seorang bidan kampung yang turut serta. Bidan kampung itu sibuk berjampi serapah.
Ads
“ Semasa bayi itu dilahirkan kepalanya tersangkut tidak boleh keluar. Saya masuk dua jari tangan saya dan tarik kepala bayi. Bayi itu tidak menangis. Senyap sahaja. Saya banyak berdoa dan minta tolong pada Allah agar menyelamatkan bayi itu.
“ Akhirnya saya minta jururawat yang membantu saya menelefon ambulan. Semasa dalam ambulan, saya membantu bayi itu. Nasib saya baik, sepanjang perjalanan dari rumah pesakit ke hospital, bayi itu menangis,” tamba Rohaya.
Bayi Yang Disambut Diberi Namanya
Untuk berada pada kedudukan sekarang, Rohaya perlu berkorban banyak perkara. Dia perlu mengorbankan masa bersama keluarga.
“ Semasa saya on call, saya tinggalkan anak begitu sahaja. Anak saya akan dijaga oleh kakaknya yang baru berusia enam tahun. Kemudian apabila saya perlu naik ke gred profesional saya perlu ambil Ijazah. Saya saya perlu mengikuti beberapa kursus lanjutan. Sekali lagi saya meninggalkan keluarga.
“ Tetapi saya berpuas hati dengan usaha saya sendiri itu saya boleh berjaya. Saya juga mampu membantu orang kampung dengan menggunakan SOP yang betul. Kita tidak main ikut suka. Sebagai bidan berdaftar dan bidan kerajaan di kampung, saya berpuas hati kerana dapat menjelaskan kepada masyarakat kampung bahawa zaman sekarang sangat jarang menyambut kelahiran bayi di rumah. Saya melihat data di daerah ini, kelahiran di rumah sangat berkurangan,” ulas Rohaya yang sudah tidak terkira bayi yang telah disambut kelahirannya oleh Rohaya.
“ Apa yang menariknya ada ibu yang membawa anak mereka berjumpa saya dan memberitahu kepada anaknya yang telah dewasa bahawa sayalah ‘misi’ yang sambut kelahirannya. Bukan itu sahaja, ada juga ibu yang memberikan nama anaknya Rohaya sempena nama jururawat yang sambut bayi. Saya ingat nama saya kuno, Rohaya, tetapi zaman sekarang ada orang berminat bubuh nama sebegitu. Saya gembira dan ada kepuasan di situ,” akhirinya.
Sentiasa gembira dengan kerjaya yang dimiliki.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Bila disahkan menghidap kanser Limfoma pada 31 Januari lalu, penceramah bebas, Ustaz Mohamed Hanafiah Abdul Malek, 43 tak berhenti kerana sakit sebaliknya tetap meneruskan kerja-kerja dakwah seperti biasa. Februari lalu, ustaz telah menjalani pembedahan membuang sel kanser sebesar 10 x 7 dengan berat 1 kilogram.
Dalam perkongsian video yang dimuat turun Puan Hamizatul Maizan Mohamed, Ustaz Mohamed Hanafiah akui kanser ini adalah hadiah terbesar daripada Allah. Ustaz juga berkongsi 2 tip yang boleh memberi kekuatan kepada pesakit-pesakit yang sedang berjuang melawan penyakit kanser.
Cara ini yang beliau praktikkan untuk diri sendiri dan kesannya Ustaz tak merasakan kanser sebagai satu beban. Sebaliknya satu nikmat yang indah daripada Allah.
Tip 1: Syukur
Sepuluh tahun lalu, saya cuma sakit, demam panas dan kerap muntah atau buang air besar berdara. Bila disahkan kanser pada 31 Januari, saya tak rasa apa. Ini adalah hadiah terbesar daripada Allah. Bila hadiah, ini mesti ada sesuatu yang indah daripada Allah. Saya terima hadiah ini dengan hati yang bersyukur.
Bila saya bersyukur, Allah tambah nikmat. Allah tidak berbohong kerana Allah tuhan yang bercakap benar. Nikmat yang Allah beri ini ada kemanisannya.
Suatu malam ketika saya operation buang kanser, saya koma selama 4 hari. Tapi setiap kali orang azan, sya akan tersedar dan mendirikan solat. Kemudian, saya pengsan balik. Ketika koma itulah saya hanya rasa yang saya berada dalam keadaan tawaf. Saya nampak Kaabah.
Sepanjang itulah saya berasa manisnya berada dalam keadaan tawaf. Inilah yang saya kata, hadiah daripada Allah. Hadiah yang sangat indah. Bila saya bersyukur, Allah tambah nikmat. Allah sembuhkan penyakit saya.
Tip 2: Jangan Stress
Barangsiapa yang kufur, azab Allah amatlah pedih. Ia bukan saja azab di Padang Mahsyar atau dalam kubur. Azab kanser yang Allah beri ini boleh mengundang stress. Terseksa jiwa rasa bagai dalam penjara yang penuh dengan penyeksaan.
Kalau tak nak stress, bersyukurlah. Orang yang bersyukur jiwanya lapang, hatinya tenang. Jangan sekadar jadi orang yang sabar. Kerana orang sabar ada batasnya. Orang yang bersyukur pula ‘they make Allah happy’.
Dia akan gembirakan Allah dengan sifat syukurnya itu. Sebab itu nabi kata, berapa ramai umat aku boleh bersabar bila ditimpa musibah tetapi terlalu sedikit yang bersyukur bila diberi nikmat.
Cita-cita Saya Mati Ketika Dakwah
Saya dah terima 5 kali kemoterapi untuk kanser limfoma. Alhamdulillah saya rasa semakin sihat dan kuat. Mungkin sebenarnya sakit kerana ketika muntah selepas kemo akan ada rasa tak selesa dan lemah.
Cuma ketika ini saya tiada masa untuk fikir bab sakit sebab masih banyak komitmen. Memang Dr tak bagi, tapi saya takkan tinggalkan kerja-kerja dakwah kerana manisnya dakwah.
Mudahkan Kos Rawatan Lanjut Ustaz
Bagi anda yang berhajat mahu membantu memudahkan urusan rawatan Ustaz Hanafiah, salurkan sumbangan ke akaun CIMB 7001645436, Maybank 162405085541 atau BANK ISLAM 14162020096634 (Mohamed Hanafiah bin Abdul Malek).
Nak Dengar Suara Ustaz Bagi Nasihat, Klik Video Ini
Sumber/Foto/Video; Hamizatul Maizan Mohamed – Mingguan Wanita
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Luluh hati kecil melihat keadaan anak lelaki ini yang menghidap ekzema, walau bertiub bagai tetapi semangatnya untuk bermain dalam dunia anak kecil tak pernah hilang. Malah ada sekeping gambar yang dikongsi ibunya, Adnin Al Hannan di laman Facebook, adik Al-Asyiq tetap solat walau pakai tiub di bulan Ramadan yang lepas.
Namun baru-baru ini, tiub tercabut kerana aktif menggaru gatal-gatal ekzema. Jadi dia kena pergi hospital bahagian kecemasan untuk tukar tiub baru.
Bisnes Kecil Untuk Kos Rawatan Dan Susu
Jangan kata ibu ini tak berusaha sebab sebelum ini dia ada juga menerima tempahan seperti sambal tumis ikan bilis, popia nestum dan cornflakes madu sebagai jualan amal untuk Al Asyiq.
Buat pembaca yang tertanya-tanya masalah penyakit anak ini, sebenarnya Al Asyiq mengalami malnutrition dan masalah perkembangan tumbesaran, ekzema dan alergik yang teruk dan hanya memerlukan susu khas.
Malahan dia telah didiagnos penyakitnya sebagai FAILURE TO THRIVE SECONDARY MULTIPLE FOOD PROTEIN ALLERGY.
Bantuan Boleh Disalurkan Melalui:
Ini akaun saya jika anda berminat membuat sebarang tempahan dan sumbangan buat Al Asyiq.
Maybank 155032306795 Mas Idayuu Masturi
0133862178
Segala bantuan orang ramai yang sudi membantu dari segi hulurkan duit, membeli barang jualan dan viralkan perkongsian ini, Puan Adnin Al Hannan dahulukan dengan ribuan ucapan terima kasih.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Bukan suatu perkara yang mudah menelan sebuah kehilangan. Apatah lagi kehilangan seorang anak. Mendapatkan perkhabaran gembira usai sepurnama melafazkan ijab dan kabul, menambahkan sinar bahagia buat pasangan Siti Nur Baizura Kamaruddin, 28 tahun dan Abu Nain Umar, 29 tahun. Biar pun pasangan ini langsung tidak sangka mendapatkan cahaya mata secepat mungkin, tetapi sudah tertulis rezeki, mereka berdua menerima dengan hati yang terbuka.
Tiada Masalah
Ternyata sepanjang kehamilan Siti NurBaizura atau mesra dengan panggilan Jojo tidak berhadapan dengan masalah kehamilan yang kronik. Seperti ibu-ibu lain, dirinya tidak terlepas daripada fasa alahan di trimester pertama. Dirinya agak lesu dan lelah melalui tiga bulan pertama. Namun tidak lama, memasuki trimester kedua segalanya berjalan seperti biasa.
Begitu juga ketika proses bersalin, segalanya berjalan lancar. Tanggal 24 May 2017, lahirlah puteri yang diberi nama Abu Zea Ophelia seberat 2.3 kilogram. Setelah menjalani proses berpantang, tibalah masanya Jojo kembali bekerja. Biar pun pedih hatinya untuk meninggalkan cahaya mata yang baru berusia dua bulan bersama pengasuh, dia tetap keraskan hati.
Baginya situasi ini pastinya turut dirasai oleh ibu-ibu lain yang terikat dengan kerjaya masing-masing. Lagi pula pengasuh anaknya telah dicari sejak awal lagi, ketika belum melahirkan sebagai persiapan awal. Segalanya bermula tanpa dirancang apabila Jojo yang menjalani rutin pemeriksaan bulanan di Klinik Kesihatan tanpa sengaja berjumpa dengan pengasuhnya.
Selidik
Hanya sekadar berbual kosong, akhirnya janji termateri yang sebaik sahaja bersalin nanti, Jojo akan menghantar anaknya kepada pengasuh tersebut yang tinggal tidak jauh daripada kediaman mereka. Sebelum kembali bekerja, Jojo dan suaminya ada berjumpa beberapa orang pengasuh sebelum memilih untuk menghantar kepada pengasuh tersebut.
“Awal-awal lagi saya dah selidik dengan dia bila dapat tahu dia juga menjaga empat orang anak orang lain. Risau juga sebab semuanya bayi di bawah umur setahun, yang dijaganya seorang diri. Tetapi kami tetap hantar seperti biasa. Tetapi selepas sebulan, mula berlaku beberapa kejadian yang buatkan kami seperti ingin mencari pengasuh lain.
‘Pernah sekali anak saya Opie lebam di bahagian telinga, alasan digigit semut. Ada pula satu ketika, bibir Opie macam ada kesan luka sebab terkena botol susu. Macam-macam telah berlaku dan dalam diam kami usahakan untuk mencari pengasuh lain tetapi ada sahaja halangan. Sebelum kejadian itu berlaku pun, kami sedang menunggu seorang pengasuh lain untuk menjaga anak kami.
‘Hati saya memang risau bila nampak pengasuh ini macam cuai dalam menjaga anak kami dan anak-anak orang lain di bawah jagaan dia. Tetapi kami masih tidak dapat mencari pengasuh lain hinggalah kejadian yang meragut nyawa anak kami berlaku,” ungkap Jojo sebak.
Terima Jasad kaku
Masih segar lagi di ingatan, di satu pagi Jumaat yang hening. Seawal pagi dalam kesibukan bersiap ke tempat kerja, Opie bereaksi seperti biasa. Dia tersenyum apabila dipanggil sambil ralit menonton video kegemarannya di kaca televisyen. Segala telatahnya seperti biasa, seperti hari-hari lain. Jadi ia langsung tidak menimbulkan kemusykilan di hati pasangan suami isteri ini.
Setelah menghantar Opie ke rumah pengasuh, Abu Nain menghantar isterinya ke pejabat. Lewat tengah hari, Jojo mendapat panggilan daripada pengasuh yang Opie asyik menangis sejak pagi, tidak mahu tidur dan tidak mahu minum susu. Dalam masa yang sama pengasuhnya meminta izin untuk menidurkan Opie dalam buaian kerana selama ini bayinya hanya tidur di tilam.
“Saya cuba fahami situasinya, kita tahu kalau bayi asyik menangis pasti kita risau. Lagi pun dia ada jaga anak-anak lain. Jadi saya izinkan dia untuk letakkan anak saya dalam buaian jika itu memudahkan tugasnya. Selepas beberapa jam, saya hubungi dia dan dia katakan Opie makin baik. Jadi saya pun tiadalah banyak bertanya. Tetapi petang itu ketika suami datang jemput untuk pulang kerja, sekali lagi pengasuh saya telefon dan beritahu Opie sudah berada di hospital.
“Ketika itu memang kami tak boleh nak fikir apa, terus ke Hospital Shah Alam. Lihat anak kami di zon merah, hati kami jadi tidak keruan. Saya cuba dapatkan anak saya dan doktor yang berada di situ beritahu anak saya diserang sawan. Doktor sudah beri ubat dan mereka sedang menunggu respons daripada anak kami. Tetapi malangnya anak kami berulang kena sawan ketika itu.
“Jadi doktor ambil keputusan untuk lakukan CT scan dan daripada situlah baru diketahui bahawa ada pendarahan pada otak Opie. Pengasuh yang berada di situ bermati-matian jelaskan yang Opie tidak pernah jatuh,” cerita Jojo satu persatu.
Terdapat Kesan Retak
Komplikasi yang dilalui Opie memerlukan dirinya untuk melalui pembedahan segera dan seterusnya dirinya dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur kerana terdapat pakar. Pembedahan ini perlu dilakukan untuk mengeluarkan darah beku yang terdapat pada otak anak mereka.
Selepas tiga jam pembedahan berlangsung, doktor berjumpa pasangan ini dan menyatakan keadaan anak mereka dalam keadaan 50-50. Segalanya bergantung kepada Opie dan juga takdir, sekiranya dia kuat, dia akan pulih, begitu jugalah sebaliknya. Doktor juga terkejut dengan keadaan otak Opie yang seolah-olah menerima tekanan yang amat kuat.
Biar pun pedih untuk menelan kenyataan, Jojo dan Abu Nain berdoa agar keajaiban berlaku. Sejak pembedahan itu sehinggalah di hari terakhirnya, permata hati mereka berdua tidak sedarkan diri dan hanya bergantung kepada mesin bantuan pernafasan dalam berjuang meneruskan hayatnya.
Ketika ditempatkan di dalam Unit rawatan Rapi, Opie berada di ruang khas dan rupa-rupanya kes Opie paling kritikal pada ketika itu. Sedih mengenangkan situasi tatkala berada di wad, apatah lagi melihat jasad kecil yang baru berusia tujuh bulan berselirat wayar. Baik Jojo atau Abu Nain, masing-masing tidak mampu menahan sebak.
“Ada ketika saya bisik pada telinga Opie agar dia terus kuat untuk teruskan hidup. Tetapi ada ketikanya saya juga hampir putus asa apabila berjumpa ramai pakar, mereka pula berbeza pendapat. Kami sendiri keliru, tetapi dalam masa yang sama tidak putus berdoa agar Allah panjangkan umur Opie.
“Malam sebelum Opie pergi, ada ketua pakar berjumpa kami dan memberi pilihan sama ada kami memilih untuk meneruskan agar mesin oksigen dan ubat tidur Opie diteruskan atau tidak. Biar pun berat, kami akhirnya memilih untuk berserah pada takdir yang telah Allah tentukan.
“ Lebih-lebih lagi dengan keadaan Opie yang lemah, jadi bukan mudah untuk dia teruskan hidup,” celah Abu Nain yang akhirnya tidak mampu menahan air mata setelah anaknya pergi buat selamanya pada 14 Januari 2018.
Bukan Mudah Terima Takdir
Sebenarnya amat berat untuk menerima sebuah kehilangan, apatah di saat sedang ralit membesarkan anak yang telah mula berkeletah. Senyumnya, tawanya, tangisannya menjadi setiap momen terindah buat pasangan ini. Berat mata memandang, lagi berat bahu yang memikul.
Jojo sendiri hingga saat ini, dirinya terasa belum mampu untuk menerima segala yang berlaku. Tipulah jika dia mampu melupakan apa yang terjadi. Setiap masa bila terkenang Opie, pasti berjuraian lah air matanya. Begitu juga Abu Nain, kehadiran Opie banyak mengajar dirinya untuk bergelar seorang bapa yang bertanggungjawab, belum puas mengecap nikmat, pinjaman Allah ditarik balik.
Tetapi sebagai manusia biasa, baik Jojo atau Abu Nain sendiri, mereka perlu reda jika ini ujian yang perlu mereka hadapi. Bukan mudah tetapi perlu jua telan biar pedih, biar sakit. Ternyata kejadian yang menimpa kanak-kanak yang senasib Opie amat mengguris perasaan pasangan ini. Semoga pasangan ini dikurniakan kebahagiaan dan kekuatan dalam meneruskan hidup.
Menurut pegawai polis yang mengendalikan kes ini, katanya kecederaan yang dialami Opie mungkin disebabkan oleh kesan benda tumpul. Mereka berdua tidak mampu memberi komen lanjut kerana segalanya masih dalam proses siasatan.
Tetapi hati ibu dan bapa mana yang tidak pedih melihat pesalah yang menyebabkan kematian anak mereka tidak diadili. Dirinya hanya tidak dibenarkan untuk menjaga budak lagi buat masa ini, tetapi dia masih bebas di luar sana. Pasangan ini berharap agar pengasuh mereka mendapat balasan yang setimpal dengan kesalahan yang dilakukan.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Kali ini team Kongsi Kasih bersama Perfume Paradise ke Pasir Puteh, Kelantan. Pertemuan berlaku di hadapan Markas Jejak Jalanan dengan bantuan Abe Hae. Dengan...