Pagi ini Mingguan Wanita dikejutkan dengan berita pemergian Hajarul Aswad Mat Kar, 34 jururawat Desa yang dilaporkan semalam demam bengkak susu rentetan kehilangan dua anak serentak akibat kemalangan membabitkan kenderaan jenis Perodua Kancil yang dipandunya dengan pacuan empat roda.
Menurut bapa saudaranya, Mohd Syukri Said, 57, Hajarul menghembuskan nafas terakhirnya pada jam 3.13 pagi tadi di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM).
“Semalam lebih kurang pukul 9.15 malam pihak HUSM telefon Azami memaklumkan yang isterinya ada masalah sikit.” ujarnya ketika dihubungi.
Jenazah Hajarul akan disolatkan di masjid besar Tanah Merah selepas solat Zohor ini dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Banggol Kemunting, Tanah Merah. Tempat yang sama bersemadinya jasad kedua-dua anaknya yang terbabit dalam kemalangan yang sama tempoh hari.
“InsyaAllah, suami Hajarul, Azamin Setapa dapat menerima ujianNya.” Tambah bapa saudaranya lagi, dia memastikan anak saudaranya itu untuk menjaga kesihatan dengan baik dan meminta agar redha dengan ketentuanNya.
“Begitulah redha yang Allah turunkan ke atas diri kita dan mungkin ada yang terbaik lagi Allah akan beri pada Azamin. Itu sajalah kata-kata semangat abe Ye selalu ucapkan pada Azamin.” Sambungnya mengakhiri temu bual bersama Mingguan Wanita.
Sebelum ini, arwah Hajarul yang terlibat dalam kemalangan dilaporkan dalam keadaan stabil dan mengalami demam bengkak susu selepas anaknya, Muhammad Azam Tamim, 6 bulan dan Nur Alya Nisrina, 12 tahun meninggal serentak akibat kemalangan yang membabitkan mereka.
Semoga roh arwah Hajarul Aswad Mat Kar dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman. Al Fatihah.
Foto : Facebook Azamin Setapa