Wanita ini dinobatkan sebagai juara memanah sukan Paralimpik bagi kategori wanita di Kuala Lumpur tahun lalu. Di sebaliknya dia punyai kisah pilu yang panjang untuk sampai ke tahap yang diperolehnya sekarang. Satu keyakinannya yang tak pernah padam ‘Nakkan sesuatu usahakan dengan 100 peratus’ Itu rahsia kejayaannya.
Benarlah keyakinan tidak boleh dibeli, jika sejak kecil anda hilang keyakinan maka hingga ke akhirlah anda memendam rasa dan tiada harga diri. Julaiha Napak, 47, dilahirkan sempurna, anak yang periang dan lincah tetapi apakan daya suratan takdir melebihi segalanya.
Dalam keseronokan menikmati dunia kanak-kanak, kebahagiaannya diragut apabila kaki sebelah kirinya tercedera entah kenapa ketika berusia setahun lebih.
Julaiha asyik menangis apabila tak mampu menahan sakit pada bahagian kakinya. Lalu ibunya membawa Julaiha ke hospital. Selesai pemeriksaan dengan doktor, dia ditahan di wad. Doktor mahu membuat rawatan lanjut dengan masalah kaki yang dialami.
Ibunya berat hari. Bimbang mahu meninggalkan anaknya di hospital. Julaiha pula menangis tak berhenti. Hatinya tewas. 40 tahun dulu kesedaran masayarakat masih jauh kebelakang.
Bila sampai di rumah, ibu membawanya berjumpa tukang urut dan pengamal perubatan.
“Lama kelamaan, saya tak mampu berjalan. Tapak kaki kiri tak boleh jejak tanah bila berjalan. Sampai sekarang jalan saya tak sempurna macam orang lain.
“Waktu kecil tak ada masalah, sebab ramai kawan nak main sama-sama. Masuk je remaja, saya jadi kurang yakin. Nak keluar rumah pun susah hati.
“Nampak orang pandang semacam, saya menyorok. Kawan makin kurang. Saya juga tak sekolah. Nenek tak benarkan takut saya kena tolak kawan-kawan dan jatuh. Masa itu nak seimbangkan badan dengan kaki pun payah.
Dunianya hanya di rumah. Adik-beradiklah dunianya. Kakak dan abangnya yang mengajar membaca dan mengira. Buku-buku mereka menjadi buku-bukunya juga.
“Kalau keluar pun ke rumah saudara-mara atau orang yang saya kenal saja. Waktu itu saya rasa selesa dengan dunia saya.”
Sehingga suatu hari, Julaiha bertemu dengan seorang guru yang mengubah nasibnya.
Waktu itu, guru itu minta bantuannya menjaga anak-anaknya. Banyak kali guru itu mengajaknya keluar. Julaiha menolak dengan pelbagai alasan.
Guru itu tetap tak putus asa, dia bawa Julaiha ke rumah kanak-kanak cacar. Dari situ, Julaiha jumpa ramai kanak-kanak dengan pelbagai masalah kecacatan.
Ada yang lebih teruk darinya. Hatinya mula terdetik. ‘Kenapa aku harus putus asa. Sedangkan peluang ada saja untuk aku teruskan hidup. Ramai insan yang senasib denganku.’
Sedikit demi sedikit keyakinannya dibina. Dia mula berkawan. Usianya 18 tahun, Julaiha ditemani rakan bekerja kilang di Johor.
Janggal juga apabila rakan sekerja memandang gerak gerinya dengan hairan. Untungnya dia punya kawan-kawan yang tak jemu beri sokongan dan minta dia hidup dengan positif.
sampailah akhirnya Julaiha bertemu jodoh dan dia tak lagi bekerja. Demi membesarkan lima orang anak, dia ambil upah menjahit. Tapi nasibnya tak indah seperti yang diharapkan. Julaiha dan suami bercerai.
Nak tak nak, Julaiha perlu bekerja demi anak-anak. Kekurangan diri tak jadi alasan untuknya meraih simpati.
Dia ambil kelas memandu sampai dapat lesen. Mudah untuknya bergerak dengan anak-anak. Dulu segalanya terbatas.
Dia pun membuka warung berniaga makanan. Biarpun cuma warung biasa, dia berpuas hati. Sebab dapat bekerja sendiri tanpa mengharapkan bantuan semata=mata. Dekat setahun juga, warungnya beroperasi.
Walaupun sibuk berniaga, Julaiha aktif bersukan memanah malah pernah mewakili negeri Johor untuk sukan Paralimpik di Kuala Lumpur.
“Saya meraih gelaran juara untuk kategori wanita. Sukan ini buat saya dapat ramai kawan.”
“Syukurlah anak-anak pun makin membesar. Yang sulung dah 18 tahun dan boleh diharap untuk membantu saya. Walaupun saya ada kekurangan, anak-anak tak malu dengan keadaan ibunya.”
Sesungguhnya sebagai seorang ibu, Julaiha sentiasa mendoakan kejayaan anak-anaknya di dunia dan akhirat. Di samping itu, dalam masa yang sama wanita yang berasal dari Gelang Patah, Johor ini berharap dapat memajukan warungnya sekali gus kehidupannya akan bertambah stabil dengan usaha sendiri.
Julaiha sering kali berpegang dengan kata-kata, jika mahukan sesuatu, perlulah berusaha 100 peratus dan melakukan yang terbaik. Jangan sesekali mengharapkan bantuan orang lain untuk maju ke hadapan.