Kehidupan Joy Revfa sering diintai ramai pengikutnya di Instagram apatah lagi baru-baru ini kemulut rumah tangganya mendapat perhatian ramai. Perkahwinan Joy dan suaminya yang juga penyanyi kerohanian, Hafiz Hamidun menjadi perdebatan di medium sosial dan kemudiannya Joy telah memfailkan permohonan faraq iaitu pembubaran perkahwinan. Ikuti secara eksklusif luahan perasaan Joy tentang kemelut yang berlaku dalam kehidupannya.
“Mungkin Allah S.W.T. beri rezeki yang mengalir dan keberuntungan tanpa henti pada saya tetapi ada benda lain yang Allah nak uji. Saya takut jika tidak diberi hidayah langsung dari Allah untuk terus bersujud dan beristiqamah.
“Saya bimbang lebih hanyut kerana itu saya tidak henti berusaha mengumpul ilmu-ilmu terus ke jalan Allah. Tentang status pula masih di bawah keputusan mahkamah. Saya sendiri tidak boleh memberi penjelasan kerana dikhuatiri akan mengganggu proses mahkamah. Namun begitu, hikmah yang saya dapat lihat dan rasai daripada pengalaman ini, saya sangat bersyukur dan berdoa kepada Allah semoga segala proses ini dipermudahkan. Doakan saya,” ujar Roy memulakan bicara.
Pada awal kemelut perkahwinannya, Joy menjadi mangsa kutukan netizen. Ditanya bagaimana dia menghadapi setiap komen dan tohmahan yang dilemparkan kepadanya, Joy tenang mengatur bicara.
“Saya bersikap terbuka tentang apa yg telah dilontarkan oleh netizen sama ada positif atau negatif. Saya juga bersyukur apabila ramai netizen di luar sana akhirnya telah mengetahui perkara sebenar.
“Sedikit sebanyak perkara ini membuka mata banyak pihak terutama dalam mengetahui hak-hak sebagai seorang wanita dan isteri yang teraniaya dan dizalimi. Kita bercakap tentang perkara ini dari sudut ilmu fikah yang mana pada saya ia amat-amat penting kita sebagai seorang isteri perlu mengetahui dan celik ilmu hal-hal yang berkaitan dengan soal perkahwinan.”
Sekuat-kuat wanita, pastinya mereka tidak mampu mengharungi masalah yang berhadapan seorang diri. Joy juga akui fobia dengan kemelut yang melanda perkahwinannya.
“Ya benar, saya sedikit fobia dengan apa yang terjadi. Namun saya tidak mampu menolak ketentuan Allah. Wanita mana yang tidak mahu bahagia? Wanita mana yang tidak mahu tangannya dipimpin oleh suaminya ke syurga? Wanita mana yang tidak mahu menjadi isteri solehah dan taat pada suami serta dibimbing ke jalan yang diredhai Allah?
“Namun, saya percaya kepada Rukun Iman yang ke 6 iaitu percaya kepada Qada’ dan Qadar. Saya percaya Allah ada ‘hadiah’ yg lebih baik dan indah untuk saya di penghujungnya,” ujar ibu kepada Arryan Firdaus yang kini berusia tiga tahun.
Walaupun kini bersendirian, kehidupan perlu diteruskan. Bagi diri Joy sokongan keluarga sangat diperlukan.
“Sokongan dari keluarga dan sahabat rapat banyak membantu saya berdepan dugaan ini. Kata-kata semangat dan dorongan mereka buat saya jadi insan yang lebih tabah dan matang berdepan ujian hidup. Saya bersama dengan orang-orang yang positif dan sentiasa dekatkan jiwa dan diri kepada Allah untuk pemuliharaan hati kita dan kebergantungan kepada Nya.”
Berbicara mengenai anaknya, Arryan Firdaus, Joy mengakui gembira dengan kurniaan Allah. Arryan menjadi penghibur hatinya di kala gembira dan waktu berduka. Dialah yang menjadi penguat semangat Joy.
Walaupun sibuk menguruskan perniagaan, namun Joy tidak pernah mengabaikan buah hatinya ini. Dia berusaha membahagi masa antara anak dan perniagaan.
“Saya hantar Arryan ke tadika untuk merangsang mindanya, saya juga mahu dia bergaul dengan teman-teman. Pada waktu malam atau ketika cuti, saya akan membawa Arryan beriadah. Ini sebahagian cara kami meluangkan masa bersama,”terang ibu muda yang cukup peramah dan murah dengan senyuman ini.
Buat anda yang tidak begitu kenali wanita ini, Joy Revfa merupakan Pengasas Empayar Kosmetik Merve Cosmetics yang mempunyai aura luar biasa. Sebelum berjaya dalam perniagaan, Joy atau nama sebenarnya Siti Arifah Amin yang mempunyai kelulusan dalam bidang kecantikan pernah menjadi jurusolek profesional di Indonesia termasuk menata rias artis popular, Bunga Cinta Lestari hingga ke Jerman.