Jom! Doktor Kita Tengok Satu Lagi Rumah. Kasihan Dia Ni..

Share

Sayu baca perkongsian Dr Nimelesh Max Balanthiren ini. Berkisar kunjungannya ke sebuah rumah pesakit yang cukup daif. Jauh dari kemudahan asas. Dan paling sedih apabila tiba di sebuah rumah pesakit, dia bertemu dengan seorang bayi yang terpaksa berdepan dengan kemiskinan hidup. Teruskan membaca kerana anda akan tersentuh dengan tindakan ‘manis’ doktor ini.

Bangunan Lama Tidak Bercat

Pesakit pertama yang membuat saya menangis.

Kisah ini berlaku tahun lepas.
Masa itu saya sedang melakukan lawatan lawatan rumah dengan misi saya.

Lawatan rumah dan perkhidmatan domisiliari ini bertujuan untuk membawa perkhidmatan kesihatan kepada pesakit yang tidak dapat datang ke klinik, atau ingin melihat sama ada pesakit memahami penggunaan ubat dengan betul.

Kali pertama saya terdedah kepada perkara sebegini adalah apabila saya sedang membuat attachment “geriatrik” untuk 2 minggu di HKL. Masa itu memang faham betapa pentingnya lawatan rumah, sampai masa multidisiplinary meeting kami akan berbincang tentang tempat tinggal dan kesesuaian bilik setiap pesakit warga emas yang dilawat.

Balik kepada cerita di atas.

Selepas habis lawatan rumah, misi saya beri tahu “Jom, Dr . Mari kita lihat satu lagi rumah. Kesian dia ni”.

Bayi Atas Lantai Itu, Muka & Badannya Berbintik Merah

Di lihat dari luar , sebuah bangunan lama (separuh bina) yang tidak dicat langsung, dengan pintu kayu yang rosak.

Apabila Misi memberi salam, dan masuk ke rumah, saya ternampak seorang bayi di lantai.
Bayi yang berumur kurang daripada 1 bulan.

Bayi itu amat comel. Tapi muka dan badannya berbintik merah. Rupa Rupanya ia merupakan bekas gigitan semut.

Apabila keluarga menceritakan kisah mereka…
Mereka hidup tanpa bekalan air, api… susu bayi tersebut diberi oleh jiran jiran sebelah.. saya cuba untuk menahan air mata sendiri.

Untuk pergi ke klinik pun susah. Disebabkan oleh tiada pengangkutan, ibu nya terpaksa jalan sendiri 10-15 km untuk pergi ke klinik.

Masih ramai lagi yang miskin di kalangan kita

Saya Tak Sedap Hati

Balik klinik, memang hati tak sedap langsung. Memang tak dapat tidur langsung, sampai malam malam saya panggil Pakar Perubatan Keluarga. Saya minta bantuan.

Disebabkan oleh pertolongan bos saya, PKD dan Staf Staf Klinik saya yang pergi menolong untuk buat gotong royong untuk rumah tersebut, memberi buaian lama supaya bayi tu tak payah baring kat lantai, bantuan susu oleh Pejabat Kesihatan , dan tolong rujuk kepada JKM untuk bantuan.

Kisah ini memang telah membuka minda saya.
Bukan sahaja saya lebih bersyukur dengan kehidupan diri sendiri, tetapi saya kena lebih bekerja keras kerana ramai lagi di luar yang memerlukan pertolongan kita – terutamanya yang berada di kawasan pedalaman.

Sekiranya kita merasakan diri kita mampu, dan kita mengenali seseorang yang miskin, bantulah mereka.

Untuk yang beragama Islam, pahala membantu orang yang susah adalah setara dengan pahala ibadat haji & umrah sebagaimana disebutkan dalam Hadits Riwayat Thabrani.

Sumber/Foto : Nimelesh Max Balanthiren

Published by
Netty Ah Hiyer