Jodoh adalah rahsia Allah SWT. Tiada siapa yang tahu siapakah jodohnya sehinggalah tiba masanya. Namun, sering kali menjadi cemuhan dan bualan bila melibatkan jodoh di antara lelaki muda dengan wanita berusia. Atau gadis muda dengan lelaki yang terlalu jarak usianya.
Apa pun, tak ada salahnya. Bahagia tetap mampu diraih. Cuma betulkan niat ye…
“Dr., okey tak kalau saya terima gadis yang lebih tua daripada saya?” tanya seorang pemuda.
“Jarak umur berapa tu?”
“Jarak lima tahun Dr. Saya baru 25, dia 30. Tapi kami nekad nak kahwin. Okey tak nanti jadinya?”
“Okey ke tidak bergantung pada apa niat kamu. Apa niat kamu nak berkahwin tu?”
“Rasanya dah sampai masa. Lagipun dah sanggup pikul tanggungjawab. Errr, kawan-kawan semua dah kahwin Dr.”
Jodoh Dah Sampai
Saya tertawa dengan jawapan yang hujung itu. Kalau alasan serupa itu semata-mata, bukanlah kuat untuk menempoh kehidupan yang sedikit pelik, kelak.
“Kahwin sekadar ikut-ikut ni bahaya. Tambahan lagi bakal isteri lebih tua daripada kamu. Dia mungkin lebih dulu kereput, sedang kamu masih muda belia. Macam mana tu?” Duga saya.
“Rasa-rasanya saya boleh menerima Dr. Alah, lawa-lawa sangat pun akhirnya tua juga. Yang muda pulak demand tinggi. Tak ada dua puluh ribu tak mahu kahwin, sedangkan saya ni baru bekerja, manalah ada duit.”
Saya menunjukkan isyarat bagus. Kahwinlah dengan siapa pun, tak kira sama umur atau lebih tua, yang penting niatnya kena betul. Kalau niatnya betul, insya-Allah semua masalah dapat dilalui dengan mudah.
Yang dikatakan niat yang betul itu macamana? Allah. Niatkan kerana Allah. Berkahwin kerana Allah akan menjadikan perkahwinan itu sangat berkat, moga-moga bahagia hingga ke sudah.
Macam pemuda tadi, dia hendak berkahwin dengan gadis yang lebih tua, kalau dihenyak dengan telahan, “Apalah kau ni kahwin dengan orang yang lebih tua!” jawab “Aku kahwin kerana Allah,” akan senyaplah si penemplak. Andai ada orang berani mempertikai niat serupa ini, berani sungguhlah dia untuk berdepan dengan murka Allah.
Kebaikan Bila Jodoh Wanita Lebih Tua
Sebenarnya berkahwin dengan wanita lebih tua ini baik sebab selalunya selain pemikiran matang, kerja juga sudah stabil. Sebaik berkahwin boleh membeli rumah, kereta dan lain-lain, berbanding berkahwin sama umur, sama-sama 22 tahun, susah juga tu untuk mengumpul harta kecuali dua-dua bekerja. Tetapi kalau suami sahaja bekerja, tinggal pula di bandar, ada sedikit susahlah.
Alasan kedua yang mesti diambil kira ialah sunnah. Ingatlah sejarah Nabi Muhammad s.a.w berkahwin dengan Khatijah. Ketika itu Nabi s.a.w tersangat muda sedangkan Khatijah berusia lanjut, janda pula. Tetapi oleh kematangan yang dimiliki oleh Khatijah menyebabkan Nabi s.a.w dapat menempuh detik kerasulan dengan baik sekali.
Ads
Stabil Emosi Dan Material
Moga-moga perkahwinan anda dengan gadis lebih berusia mendatangkan kehidupan yang stabil dari segi mental, emosi dan material. Saya sendiri mempunyai ramai kenalan yang berkahwin dengan gadis lebih tua, sesetengahnya hingga jarak 10 tahun. Kehidupan mereka terus baik sehingga hari ini. Sebab itulah, niat yang betul kena dipasak terlebih dahulu, sekiranya terlepas, masa untuk memperbetul sentiasa ada.
Alasan ketiga adalah keserasian. Jika anda sanggup mengambil gadis yang lebih tua bermakna anda seorang yang sangat boleh bertolak ansur. Memang hidup ini perlu diterima seadanya, usah terlalu rakus oleh kehendak yang muluk-muluk sebab kemahuan serupa itu selalunya terdorong oleh sifat mahu menunjuk, ego, perasan bagus dan lain-lain.
Sebaliknya apabila rela menerima seseorang seadanya dia, bermakna kita juga seorang yang lunak. Kehidupan sememangnya perlu dilalui dengan humble, barulah segala-galanya menjadi penyebab untuk rasa bahagia dengan sempurna.
Bersedia Untuk Berdepan Cemuhan
Apabila kita membuat keputusan memilih sesuatu yang berbeza daripada kebiasaan itu bukti kita istimewa. Namun, perlu jugalah diingat, sesuatu yang sedikit berlainan daripada kebiasaan selalunya juga akan menjadi perhatian. Bersedialah untuk berhadapan dengan apa saja, baik berupa cemuhan mahupun pujian. Orang memuji, sesetengahnya bukan jujur tetapi menyimpan sindiran tajam.
Apapun setiap orang ada pilihan tersendiri. Apapun pilihan kita, pasakkanlah dengan tiga alasan utama tadi. Apabila menghadapi masalah baik datangnya dari diri sendiri, dari pasangan mahupun keadaan sekeliling, tebat diri dengan tiga alasan berkenaan – ALLAH, Nabi s.a.w dan keserasian. Anda akan stabil dan tenang.
Usah terlalu diambil kira kata-kata manusia, andainya ia baik jadikan itu perangsang tetapi andainya tidak, jadikan itu pembakar semangat untuk lebih cemerlang. Orang bermotivasi tinggi tidak pernah lemah oleh kata-kata orang. Jangan keliru-keliru ye. Ingatlah, apapun kalau baik, ia sentiasa baik.
Bila berjalan-jalan, mata mesti akan tertumpu pada keluarga yang mempunyai anak ramai. Betapa bangganya lihat pasangan yang mampu ‘handle’ anak mereka. Pulak tu berderet-deret.
Rasa bangga mungkin bertukar jadi kasihan pula bila tengok anak ramai. Bagaimana perangai mereka di rumah, mak ayah uruskan rumah dan paling penting cukupkah rezeki yang mereka ada.
Mungkin ada banyak lagi tanggapan yang bermain di fikiran orang memerhati pada keluarga anak ramai ini. Belum lagi pasangan itu sendiri yang melaluinya. Boleh bayangkan huru hara dalam membesarkan anak-anak ini.
Namun, tak perlu membuat tanggapan yang bukan-bukan. Setiap anak itu ada bahagian rezeki masing-masing. Kalau sebelum ini risau tambah anak takut tak cukup duit. Tapi bila anak bertambah, boleh cukup saja dan sama seperti sebelum ini.
Bila pergi mana-mana, kadangnampak ada yang terkumat kamit mengira anak kami.
Kadang nampak muka mereka tersenyum ikhlas.
Ada juga yang tersenyum sinis.
Ramai juga yang bertanya, macam mana ‘handle’ mereka ini.
Bila cakap, hantar taska, “Cukup ke”
Insya Allah cukup, percaya saja pada Allah yang Maha Kaya.
Rezeki Bertambah
Anak ramai rezeki bertambah. Dulu boleh suap satu mulut.
Sekarang boleh suap banyak mulut.
Maka betullah setiap anak yang lahir itu Allah hadirkan dengan rezeki sekali…
Ada yang tanya juga.
“Tak penat ke urus anak ramai-ramai?
Sangat tak penat sebab ramai pembantu. Bila lahir yang kecll, kakak abang yang kat atas semakin membesar. Banyak dapat membantu.
Kadang-kafang berebut untuk jaga adik. Siap bahagiakan tugas lagi.
Yang penting sentiasa bersangka baik dengan anak-anak kita. Insya Allah mereka lah yang akan bantu kita.
Anak sedikit atau ramai sama saja.
Rezeki Allah yang bagi, tak perlu pertikai atau mengeluh.
Yang belum ada anak juga pasti ada hikmah di sebaliknya…
Mingguan Wanita : Masa kecil memang mak ayah hura hara sedikit. Tapi bila besar, tak terasa pun anak ramai sebab masing-masing sudah ada kehidupan sendiri. Meriahnya bila dapat berkumpul ramai-ramai.
Bila sudah berkahwin, pasanganlah orang yang paling dekat dan terbaik dalam meminta dan memberi nasihat. Tak kiralah suami mahu pun isteri, sebab masing-masinglah orang yang tahu dan memahami apa yang dialami oleh pasangan. Boleh kata susah senang bersama.
Walau bagaimanapun, ada juga pasangan terutamanya suami merasakan nasihat isteri ini tidak ‘sesuai’ dan lebih suka mendengar nasihat daripada orang yang tidak ada kena mengena. Bukan bermaksud, sahabat atau orang yang dikenali itu tidak boleh dipercayai ye!
Sebenarnya, nasihat isterilah yang patut suami dengar dan apa yang dikatakan itu adalah dari hati. Seperti apa yang dikongsikan oleh Liyana AuraRich ini, suami lebih suka dengar nasihat orang lain. Walhal isterilah orang yang paling dipercayai dan paling dekat dengan suami. Kena ingat tu…
Kenapa kena dengar nasihat isteri lebih dari orang lain?
Kerana nasihat seorang isteri adalah satu-satunya nasihat yang tepat, betul dan sesuai dengan suami. Tiada yang lebih mengenali suami melainkan isterinya.
Bahkan lebih kenal daripada mak sendiri !
Buruk baik diri suami, isteri sahaja yang tahu. Dia hadap setiap hari 1001 kelakuan kita tanpa mengeluh. Walaupun dia nampak kelemahan kita tapi masih tetap setia dengan kita.
Patah perkataan yang keluar dari mulut isteri tak lain tak bukan hanya untuk kebaikan keluarga sendiri. Ini confirm!
Isteri Penasihat Terbaik
Dengarlah kawan-kawan bila isteri masih ada hati memberi nasihat. Di saat isteri dah tak ada hati nak bagi nasihat, nescaya kita dah tersangat rugi.
Kita baru kehilangan “Penasihat” terbaik yang telah di cipta untuk kita !
Tidak ada yang lebih baik memberi nasihat daripada isteri bahkan lebih baik dari nasihat mak ayah kerana ada mak ayah tak berapa kenal pun anak dia yang dah dewasa.
Tiada yang lebih jujur memberi nasihat daripada isteri bahkan adik beradik sekalipun ada masa tak sampai hati nak tegur takut kita berkecil hati.
Malah, tiada yang lebih tepat memberi nasihat berbanding isteri bahkan kawan-kawan sekali pun akan berat sebelah sebab mereka pasti utamakan keluarga mereka dahulu.
Paling Ikhlas
Dengan orang lain kita boleh berlakon tapi dengan isteri tidak. Dia tahu semuanya. Dari busuknya bau kentut kita sampai la ke busuknya perangai kita, semua dia dah hadap!
Tak usah bangga sangat kalau ada kawan-kawan duk puji kita baik, rajin, dan puji kita ni calon suami mithali kononnya.
Selagi kata pujian ni tak keluar dari mulut isteri sendiri, maknanya pujian tu tak 100 peratus benar!
Tiada yang lebih ikhlas puji suami sendiri melainkan isterinya.
Oleh itu, nasihat saya kalau nak dapatkan nasihat yang paling ikhlas dan paling berniat baik orang pertama yang anda kena cari ialah isteri sendiri.
Wallahu A’lam.
MW: Betul tu, isterilah orang yang tepat nak beri nasihat. Walaupun kadang-kadang suami kena ‘tadah’ telinga dengar bebelan tu. Tapi itulah yang sebenar-benarnya.
Nak mendidik memang tak mudah, silap gaya mungkin anak-anak langsung tak rasa rindu pada mak ayahnya.
Ini bukan dikira bila mak ayahnya sudah tiada tetapi nampak jelas sesudah anak-anak berumah tangga dan ada kehidupan sendiri.
Kalau berjaya mendidik, anak-anak tak lupa mudah apa yang pernah dia lalui sepanjang zaman anak-anaknya.
Sebab itulah pentingnya cara mendidik anak-anak, seperti yang ditekankan dalam perkongsian Puan Farhana Muhammad, sedikit ilmu yang diperoleh daripada Ustazah Norhafizah Musa, betapa pentingnya mencipta teladan yang baik depan anak-anak.
Gambaran Yang Baik Untuk Anak-anak
Bayangkan macam mana kita melihat mak kita sendiri. Dari kita kecil lagi, kita boleh nampak gambaran mak ayah kita.
Kata ustazah, mak ustazah memang sangat rajin baca Al-Quran. Ia dipuji oleh suaminya. Ayah ustazah selalu puji mak ustazah depan anak-anak tentang Al-Quran.
“Abah berterima kasih kepada mak kerana mak telah memberikan penekanan Al-Quran kepada anak-anak sejak kecil lagi.”
Ustazah cakap, dari sekarang dia boleh bayangkan mak mereka macam mana. Dari usia 4 tahun, balik tadika mak akan suruh baca Al-Quran. Lepas Asar, baca Al-Quran. Lepas Maghrib, baca Al-Quran. Lepas Isyak, baca Al-Quran. Bukan disebabkan murid yang rajin, tetapi gurunya yang rajin.
Lepas Subuh, mak tak buka telekung. Mak cuma lilit telekung ke belakang untuk siapkan anak-anak ke sekolah. Di anjung masih kelihatan sejadah masih terbentang (dari Subuh lagi) bersama Al-Quran dan bantal (tempat letak Al-Quran). Masa kecil ustazah tidak faham kenapa mak tidak simpan sejadah. Lepas anak-anak berangkat ke sekolah, mak kembali mengaji di sejadahnya. Kemudian solat sunat dua rakaat. Selesai semua itu, barulah mak buka telekung dan sambung kerja yang lain.
Bila ustazah dewasa, baru ustazah faham apa yang mak buat. Jumpa sebuah hadith, “Barangsiapa solat Subuh berjemaah di masjid, diikuti dengan zikrullah sehingga matahari naik (waktu syuruk), lepas 15 minit solat sunat Isyraq 2 rakaat. Barangsiapa melakukan sedemikian, maka untuknya pahala haji dan umrah sempurna.”
Kata ustazah, mak tak pernah ajar semua itu. Gambaran yang mak titipkan ke dalam memori kita sejak kecil lagi. Apabila sudah besar, baru terjawab. ‘Patutlah mak tak buka telekung selepas Subuh.’
‘Mak rajin sungguh baca Al-Quran.’ ‘Bibir mak tak putus dengan zikrullah.’
Sekarang cuba bayangkan, apa yang anak kita bayangkan tentang kita?
Jangan sehingga kita sudah meninggalkan dunia ini, jam 2 petang hari Sabtu, boleh anak kita cakap mengenai kita, “Ni kalau ada mama ni, sama-sama tengok Hindustan dengan mama ni.”
Bila tengok cerita korea, anak teringat akan mamanya yang teresak-esak setiap kali menonton cerita korea.
Agak-agak apa bayangan anak kita apabila kita sudah meninggal?
Mama yang kuat tidur? Mama yang kuat makan? Mama yang suka marah? Atau.. mama yang suka sujud? Mama yang kuat ibadah? Mama yang kuat doa? Mama yang mulia akhlaq?
Apa Yang Anak-anak Akan Ingat Tentang Mak Ayah
Hari ini kita ‘tolong’ bayangkan apa yang anak-anak kita bayangkan mengenai kita nanti. Apabila kita sudah memikirkan sedemikian, bermakna kita sedang mempersiapkan diri untuk qudwah hasanah anak-anak. Jika kita tidak buat sekarang, anak-anak kita tidak ada bayang tentang semua itu.
Tonjolkan diri kita sekarang supaya kita menjadi aura, qudwah kepada anak-anak. Pertontonkan kepada anak-anak macam mana menjadi soleh dan solehah.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Pengetua wanita pulas telinga pelajar didenda RM2000, gara-gara tersalah tulis huruf G. Padah buat seorang pengetua wanita yang gagal mengawal perasaan apabila bertindak memulas...