Jodoh adalah rahsia Allah. Sebagai manusia kita hanya mampu merancang. Tiap orang pasti ingin jodohnya kekal ke akhir hayat namun ada yang tak kesampaian. Ikuti pengakuan daripada seorang wanita yang merupakan ibu tunggal. Jodoh dibantah kerana kekasih hatinya masih teruna.
Saya seorang ibu tunggal, mempunyai seorang anak yang berusia enam tahun. Terus terang, saya menuntut cerai selepas tiga tahun berkahwin. Bukan saya minta perceraian itu terjadi namun saya lakukan demi kehidupan saya dan anak kesayangan.
Saya seorang kakitangan kerajaan, berpangkat pegawai dan gaji saya agak lumayan. Saya berkahwin pada usia 29 tahun dengan seorang jejaka, Man, satu kementerian tapi berlainan jabatan. Itu pun atas aturan rakan-rakan yang ingin menjodohkan kami. Saya akui, belum sempat cinta berputik sepenuhnya kami sepakat untuk melangsungkan perkahwinan. Biarkan kami menyulam cinta selepas kahwin. Itu lagi berkat. Perkahwinan kami hanya selepas empat bulan perkenalan.
Jika dilihat daripada segi luaran, tiada cacat celanya pada Man. Bertanggungjawab dan melayan saya dengan baik. Tapi, dari awal perkahwinan, ada sesuatu yang pelik pada dirinya yang saya tidak ketahui.
Hubungan kami bertambah rapat dan rasa sayang semakin menebal di hati sehinggalah terbongkar rahsianya selama ini. Rupa-rupanya dia seorang penagih dadah. Itu pun saya ketahui apabila terjumpa sesuatu yang meragukan ketika mengemas bilik stor di tingkat bawah. Saya jumpa peralatan menghisap dadah. Selama ini dia sering kali berkurung di dalam bilik itu tapi katanya mengemas stok atau mencari barang. Tuhan saja yang tahu perasaan saya ketika itu. Saya tidak dapat terima kenyataan bahawa saya telah mengahwini seorang penagih dadah.
Man sujud di kaki saya memohon diberikan peluang kedua dan kerana anak yang masih kecil, saya turutkan. Namun, ternyata dia tetap tak berubah malah semakin parah. Kesabaran saya hilang apabila dia mula ‘naik tangan’ apabila saya menegur perbuatannya itu. Cukup! Setakat itu saja. Tak sanggup saya mengambil risiko untuk hidup selamanya dengan lelaki yang sudah menyakiti diri saya.
Akhirnya saya menuntut cerai. Walau pun pada mulanya Man cuba memujuk rayu namun saya tidak sanggup lagi hidup bersama seorang penagih dadah. Dalam terpaksa, Man merelakan perpisahan kami dan talak satu dilafazkan.
Selepas bercerai, saya meminta ditukarkan ke negeri kelahiran, agar lebih dekat dengan keluarga. Syukur permohonan saya berjaya dan saya berpindah tinggal bersama ibu bapa. Kehidupan saya lebih tenang dan fokus saya hanya untuk membesarkan anak tunggal saya itu.
Takdir Tuhan tiada yang dapat menduga. Selepas hampir tiga tahun bergelar ibu tunggal, hati saya dijentik oleh seorang jejaka, Rizal. Kami satu jabatan dan sering bekerjasama. Pada mulanya saya agak segan untuk berkawan rapat dengannya memandangkan dia masih bujang sedangkan saya bergelar janda. Tapi apabila melihatkan keikhlasannya, saya terima huluran persahabatannya walau pun tidak pernah secara terang-terangan melafazkan kata sayang kepadanya.
Namun dia sedar dia satu-satunya lelaki yang paling rapat dengan saya. Kami sebaya namun dia lebih matang pemikiran dan caranya. Saya yakin Rizal dapat menjadi pemimpin saya dan anak kelak. Malah anak saya dapat menerima kehadiran rakan rapat saya itu dengan baik.
Apa yang membuatkan saya buntu apabila keluarga saya tidak bersetuju dengan pilihan hati saya ini. Mereka meragui keikhlasan lelaki itu mencintai saya yang sudah ada anak satu. Sepanjang perkenalan kami, Rizal pernah bawa saya berkunjung ke rumahnya berjumpa mak dan ayahnya dan ternyata mereka dapat terima diri saya seadanya.
Masalahnya sekarang di pihak keluarga saya sendiri. Mak dan ayah berterus terang dengan saya bahawa mereka membantah hubungan saya dan Rizal. Sepanjang perhubungan kami selama setahun lebih, saya belum berani hendak bawa Rizal jumpa keluarga. Mana taknya, bila saya cerita pun mereka awal-awal lagi dah bantah. Puan, bagaimanakah caranya saya boleh meyakinkan mak dan ayah untuk terima Rizal?
Shima, Port Dickson.
Baca sini:
Bertemu Jodoh Dengan Lelaki 22 Tahun Lebih Muda, Mak Mentua Tak Restu…
Cinta Berputik Jodoh Bertaut Ketika Hadiri Reunion. Mungkin Ini Sebabnya
https://www.instagram.com/mingguanwanita/
Perkahwinan adalah satu perjalanan yang memerlukan ilmu, kebijaksanaan, kemahiran, peranan dan tanggungjawab, tolak ansur, pengorbanan, daya ketahanan dan kesabaran dalam mengharungi cabaran dan ujian dalam menuju kehidupan yang diredhai Allah. Pengalaman pahit dan manis akan dilalui oleh isteri, suami dan ahli keluarga yang lain. Ada perkahwinan yang bahagia yang bertahan lama. Ada juga perkahwinan yang tidak bahagia tetapi bertahan lama. Perpisahan adalah jalan terakhir agar masing-masing dapat menjalani kehidupan yang lebih bermakna jika sudah tidak bertemu jalan penyelesaian.
Pengalaman perkahwinan kali pertama sedikit sebanyak telah mengajar puan. Puan juga telah mengenali hampir 90 peratus tentang diri seorang lelaki. Walaupun tidak semua lelaki sama, namun saya percaya puan telah mengenali lelaki dan bijak membuat pertimbangan dan keputusan. Keputusan yang puan akan ambil ini perlulah menggunakan pemikiran yang rasional, ada pertimbangan dan ada membuat penyelidikan. Keputusan yang puan ambil ini perlu mengambil banyak faktor. Bukan sahaja dari tuntutan hati dan perasaan sayang atau kasihan puan kepada lelaki baharu ini, tetapi dari semua aspek tentang latar belakang dan karakternya.
Apabila kita membuat penyelidikan, kita perlu mengambil kira faktor-faktor yang boleh menyokong, berkecuali atau menolak. Faktor ini pula perlu berdasarkan hujah-hujah dan bukti yang menguatkan kenapa perlu menerima, berkecuali atau menolak.
Dengan erti kata lain, pandangan keluarga yang menolak itu adakah hanya dengan anggapan bahawa lelaki itu tidak ikhlas? Bagaimana untuk mengukur ikhlas. Mungkin ada faktor-faktor yang menyebabkan ibu bapa puan boleh “membaca” atau membuat kesimpulan bahawa dia tidak ikhlas. Ibu bapa jarang yang tidak ikhlas terhadap anak-anaknya.
Seboleh mungkin mereka mahu anak-anak bahagia. Melainkan ibu bapa yang memang mahu anak bersamanya dan tidak mahu anak bersama orang lain. Cuba cari alasan kepada apa yang ibu dan bapa puan berkata begitu. Kedua, cuba dapatkan maklumat tentang lelaki itu. Lazimnya maklumat boleh diperoleh daripada rakan sepejabatnya, rakan-rakan sepermainan atau yang mengenalinya, daripada jiran, dan ahli keluarga. Kita juga boleh mengenali daripada alam maya facebook jika kita mahu mencari maklumat tentangnya (jika dia ada facebook dan seangkatan dengannya.
Ketiga, ambil masa berkawan dengannya. Cuba ketepikan dahulu soal sayang dan cinta. Kerana ia akan menghalang pemikiran rasional untuk membuat keputusan. Orang selalu berkata “cinta itu buta”. Bermaksud, segala yang lemah dan tidak baik itu akan “terhijab” atau terlindung dek kerana perasaan cinta yang menguasai diri seseorang. Sekadar yakin dengan keikhlasannya belum mencukupi untuk puan membuat kesimpulan bahawa dia bakal lelaki yang boleh membahagiakan.
Ingat, keputusan bijak adalah datang daripada pertimbangan pemikiran yang bijak, mengambil kira pandangan dari pelbagai pihak, mengkaji latar belakangnya, dari segi perangai, tabiat, kesukaan, gaya hidup, cara berbelanja dan yang paling penting tentang agamanya khusus solat yang lima. Solat kalau tidak didirikan bukanlah calon suami yang boleh membawa kita ke arah kehidupan yang diredhai Allah. Lelaki yang bergelar suami berperanan membawa isteri ke jalan hidup yang diredhai Allah.
Puan berkawan dengannya. Pastinya puan boleh mengetahui sejauh mana tentang diri beliau dan ciri-ciri yang saya sebutkan ini ada pada dirinya. Alam berkawan dan alam berkahwin tidak sama puan. Kadang-kadang kita tidak menyangka sama sekali lelaki yang kita jadikan suami itu berbeza sekali karakternya sebelum berkahwin. Kata orang tua-tua pisang jangan berbuah dua kali. Beri masa pada diri.
Utamakan pemikiran daripada perasaan dalam apa jua tindakan dan keputusan yang diambil. Solat hajat, bermunajat kepada Allah dan istikharah mohon petunjuk dari Nya. Insya-Allah puan akan menemui jalannya dan tenang jika puan percaya dan yakin kepada janji dan ketentuan Allah. Wallahualam