Jodoh adalah rahsia Allah. Sebagai manusia kita hanya mampu merancang. Tiap orang pasti ingin jodohnya kekal ke akhir hayat namun ada yang tak kesampaian. Ikuti pengakuan daripada seorang wanita yang merupakan ibu tunggal. Jodoh dibantah kerana kekasih hatinya masih teruna.
Jodoh Terpisah Selepas Tiga Tahun
Saya seorang ibu tunggal, mempunyai seorang anak yang berusia enam tahun. Terus terang, saya menuntut cerai selepas tiga tahun berkahwin. Bukan saya minta perceraian itu terjadi namun saya lakukan demi kehidupan saya dan anak kesayangan.
Saya seorang kakitangan kerajaan, berpangkat pegawai dan gaji saya agak lumayan. Saya berkahwin pada usia 29 tahun dengan seorang jejaka, Man, satu kementerian tapi berlainan jabatan. Itu pun atas aturan rakan-rakan yang ingin menjodohkan kami. Saya akui, belum sempat cinta berputik sepenuhnya kami sepakat untuk melangsungkan perkahwinan. Biarkan kami menyulam cinta selepas kahwin. Itu lagi berkat. Perkahwinan kami hanya selepas empat bulan perkenalan.
Bahagia Hanya Sementara
Jika dilihat daripada segi luaran, tiada cacat celanya pada Man. Bertanggungjawab dan melayan saya dengan baik. Tapi, dari awal perkahwinan, ada sesuatu yang pelik pada dirinya yang saya tidak ketahui.
Hubungan kami bertambah rapat dan rasa sayang semakin menebal di hati sehinggalah terbongkar rahsianya selama ini. Rupa-rupanya dia seorang penagih dadah. Itu pun saya ketahui apabila terjumpa sesuatu yang meragukan ketika mengemas bilik stor di tingkat bawah. Saya jumpa peralatan menghisap dadah. Selama ini dia sering kali berkurung di dalam bilik itu tapi katanya mengemas stok atau mencari barang. Tuhan saja yang tahu perasaan saya ketika itu. Saya tidak dapat terima kenyataan bahawa saya telah mengahwini seorang penagih dadah.
Man sujud di kaki saya memohon diberikan peluang kedua dan kerana anak yang masih kecil, saya turutkan. Namun, ternyata dia tetap tak berubah malah semakin parah. Kesabaran saya hilang apabila dia mula ‘naik tangan’ apabila saya menegur perbuatannya itu. Cukup! Setakat itu saja. Tak sanggup saya mengambil risiko untuk hidup selamanya dengan lelaki yang sudah menyakiti diri saya.
Tuntut Cerai
Akhirnya saya menuntut cerai. Walau pun pada mulanya Man cuba memujuk rayu namun saya tidak sanggup lagi hidup bersama seorang penagih dadah. Dalam terpaksa, Man merelakan perpisahan kami dan talak satu dilafazkan.
Ads
Selepas bercerai, saya meminta ditukarkan ke negeri kelahiran, agar lebih dekat dengan keluarga. Syukur permohonan saya berjaya dan saya berpindah tinggal bersama ibu bapa. Kehidupan saya lebih tenang dan fokus saya hanya untuk membesarkan anak tunggal saya itu.
Berkenalan
Takdir Tuhan tiada yang dapat menduga. Selepas hampir tiga tahun bergelar ibu tunggal, hati saya dijentik oleh seorang jejaka, Rizal. Kami satu jabatan dan sering bekerjasama. Pada mulanya saya agak segan untuk berkawan rapat dengannya memandangkan dia masih bujang sedangkan saya bergelar janda. Tapi apabila melihatkan keikhlasannya, saya terima huluran persahabatannya walau pun tidak pernah secara terang-terangan melafazkan kata sayang kepadanya.
Namun dia sedar dia satu-satunya lelaki yang paling rapat dengan saya. Kami sebaya namun dia lebih matang pemikiran dan caranya. Saya yakin Rizal dapat menjadi pemimpin saya dan anak kelak. Malah anak saya dapat menerima kehadiran rakan rapat saya itu dengan baik.
Keluarga Soal Jodoh
Apa yang membuatkan saya buntu apabila keluarga saya tidak bersetuju dengan pilihan hati saya ini. Mereka meragui keikhlasan lelaki itu mencintai saya yang sudah ada anak satu. Sepanjang perkenalan kami, Rizal pernah bawa saya berkunjung ke rumahnya berjumpa mak dan ayahnya dan ternyata mereka dapat terima diri saya seadanya.
Masalahnya sekarang di pihak keluarga saya sendiri. Mak dan ayah berterus terang dengan saya bahawa mereka membantah hubungan saya dan Rizal. Sepanjang perhubungan kami selama setahun lebih, saya belum berani hendak bawa Rizal jumpa keluarga. Mana taknya, bila saya cerita pun mereka awal-awal lagi dah bantah. Puan, bagaimanakah caranya saya boleh meyakinkan mak dan ayah untuk terima Rizal?
Perkahwinan adalah satu perjalanan yang memerlukan ilmu, kebijaksanaan, kemahiran, peranan dan tanggungjawab, tolak ansur, pengorbanan, daya ketahanan dan kesabaran dalam mengharungi cabaran dan ujian dalam menuju kehidupan yang diredhai Allah. Pengalaman pahit dan manis akan dilalui oleh isteri, suami dan ahli keluarga yang lain. Ada perkahwinan yang bahagia yang bertahan lama. Ada juga perkahwinan yang tidak bahagia tetapi bertahan lama. Perpisahan adalah jalan terakhir agar masing-masing dapat menjalani kehidupan yang lebih bermakna jika sudah tidak bertemu jalan penyelesaian.
Pengalaman perkahwinan kali pertama sedikit sebanyak telah mengajar puan. Puan juga telah mengenali hampir 90 peratus tentang diri seorang lelaki. Walaupun tidak semua lelaki sama, namun saya percaya puan telah mengenali lelaki dan bijak membuat pertimbangan dan keputusan. Keputusan yang puan akan ambil ini perlulah menggunakan pemikiran yang rasional, ada pertimbangan dan ada membuat penyelidikan. Keputusan yang puan ambil ini perlu mengambil banyak faktor. Bukan sahaja dari tuntutan hati dan perasaan sayang atau kasihan puan kepada lelaki baharu ini, tetapi dari semua aspek tentang latar belakang dan karakternya.
Ads
Selidik
Apabila kita membuat penyelidikan, kita perlu mengambil kira faktor-faktor yang boleh menyokong, berkecuali atau menolak. Faktor ini pula perlu berdasarkan hujah-hujah dan bukti yang menguatkan kenapa perlu menerima, berkecuali atau menolak.
Dengan erti kata lain, pandangan keluarga yang menolak itu adakah hanya dengan anggapan bahawa lelaki itu tidak ikhlas? Bagaimana untuk mengukur ikhlas. Mungkin ada faktor-faktor yang menyebabkan ibu bapa puan boleh “membaca” atau membuat kesimpulan bahawa dia tidak ikhlas. Ibu bapa jarang yang tidak ikhlas terhadap anak-anaknya.
Seboleh mungkin mereka mahu anak-anak bahagia. Melainkan ibu bapa yang memang mahu anak bersamanya dan tidak mahu anak bersama orang lain. Cuba cari alasan kepada apa yang ibu dan bapa puan berkata begitu. Kedua, cuba dapatkan maklumat tentang lelaki itu. Lazimnya maklumat boleh diperoleh daripada rakan sepejabatnya, rakan-rakan sepermainan atau yang mengenalinya, daripada jiran, dan ahli keluarga. Kita juga boleh mengenali daripada alam maya facebook jika kita mahu mencari maklumat tentangnya (jika dia ada facebook dan seangkatan dengannya.
Ambil masa Kenal Hati Budi
Ketiga, ambil masa berkawan dengannya. Cuba ketepikan dahulu soal sayang dan cinta. Kerana ia akan menghalang pemikiran rasional untuk membuat keputusan. Orang selalu berkata “cinta itu buta”. Bermaksud, segala yang lemah dan tidak baik itu akan “terhijab” atau terlindung dek kerana perasaan cinta yang menguasai diri seseorang. Sekadar yakin dengan keikhlasannya belum mencukupi untuk puan membuat kesimpulan bahawa dia bakal lelaki yang boleh membahagiakan.
Ingat, keputusan bijak adalah datang daripada pertimbangan pemikiran yang bijak, mengambil kira pandangan dari pelbagai pihak, mengkaji latar belakangnya, dari segi perangai, tabiat, kesukaan, gaya hidup, cara berbelanja dan yang paling penting tentang agamanya khusus solat yang lima. Solat kalau tidak didirikan bukanlah calon suami yang boleh membawa kita ke arah kehidupan yang diredhai Allah. Lelaki yang bergelar suami berperanan membawa isteri ke jalan hidup yang diredhai Allah.
Berbeza
Puan berkawan dengannya. Pastinya puan boleh mengetahui sejauh mana tentang diri beliau dan ciri-ciri yang saya sebutkan ini ada pada dirinya. Alam berkawan dan alam berkahwin tidak sama puan. Kadang-kadang kita tidak menyangka sama sekali lelaki yang kita jadikan suami itu berbeza sekali karakternya sebelum berkahwin. Kata orang tua-tua pisang jangan berbuah dua kali. Beri masa pada diri.
Utamakan pemikiran daripada perasaan dalam apa jua tindakan dan keputusan yang diambil. Solat hajat, bermunajat kepada Allah dan istikharah mohon petunjuk dari Nya. Insya-Allah puan akan menemui jalannya dan tenang jika puan percaya dan yakin kepada janji dan ketentuan Allah. Wallahualam
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Banyak punca yang buat kaum isteri tertekan dalam kehidupan seharian, bukan hanya sebab terlalu sibuk uruskan anak-anak dan keluarga tetapi kadang layanan orang sekeliling pun boleh jadi sebab mak-mak stress.
Bahaya, tambah kalau ada anak kecil di rumah. Risau anak jadi mangsa dek kerana emosi mak-mak dah kelaut.
Serius, kalau dah penat sangat… perempuan tak mampu kawal emosinya, akhirnya anak-anak asyik kena marah dan paling ngeri kalau sampai pukul-pukul anak. Jadi, inilah peranan suami!
Sebelum terlambat, hadam dulu perkongsian Doktor Saidatul Husna ini, baiki hubungan dan tolong apa yang patut untuk tenangkan emosi isteri di rumah.
Punyalah Bahaya Kalau Isteri Tertekan
Terkedu saya bila dapat tahu penyakit mental adalah penyakit kedua tertinggi pada tahun 2020. Bukan setakat Malaysia, tetapi seluruh dunia. Makin risau bila majoriti nya pula adalah wanita.
Jadi saya merayu sangat kepada para suami sekalian, tolonglah tengokkan keadaan isteri masing masing di rumah.
Sebagaimana sakit kronik yang lain, penyakit mental ni tidak berlaku tiba tiba, ia berlaku pelan pelan, bermula dari rasa tersisih dan terabai.
Kita tak mahu isteri tertekan sampai ke tahap,
1⃣ Tinggi suara.
2⃣ Kerap marah anak.
3⃣ Jadi penat dan tidak bermaya.
4⃣ Tidur malam jadi mudah terjaga.
5⃣ Selalu sangat sensitif, mudah terasa hati.
6⃣ Berubah kelakuan. Daripada suka bercerita, menjadi pendiam.
7⃣ Banyak bersendirian. Kadang kadang menangis dalam bilik tanpa sebab.
Bila dah sampai nombor 7 ni, suami kena cepat cepat bertindak.
Bukan apa. Bersendirian dan menangis tanpa sebab ni bahaya untuk emosi. Nanti syaitan akan bisik hati isteri untuk buat benda yang membahayakan diri dan keluarga.
Siapa boleh jangka kan. Kita tak mahu kes seorang ibu bunuh anak umur 19 bulan di FELDA Jengka 13 berulang lagi.
Mulakan dengan menjadi pendengar yang baik. Walaupun ada masa suami penat balik kerja, balik bank, pergi kedai, ambil anak. Cuba sebaiknya jangan hampakan keluhan daripada seorang isteri.
Isteri kita itu baik. Dia sangat sayangkan kita. Dia tak harapkan segunung emas, cukuplah perhatian daripada suaminya sendiri.
Percayalah, suami yang beri perhatian lebih kepada isteri tidak akan rugi, insyaAllah pengakhirannya dia akan jadi isteri yang solehah dan ibu yang mithali.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Elak duduk serumah dengan ipar duai selepas kahwin, suami jangan buat isteri terjebak dengan dosa. Mungkin niat nak tolong ipar duai, akhirnya isteri jadi mangsa, terpaksa duduk serumah dengan ipar duai yang berlainan jantina.
Elak Duduk Serumah Dengan Ipar Duai Selepas Kahwin
Nak jaga aurat ini bukan mudah ya, tambah pula kalau masing-masing sudah besar panjang. Kalau terkena nasib macam ini, nak ditelan mati emak, diluah mati bapa. Jadi apa hak kaum isteri nak mengelakkan daripada situasi terus berlaku?
Untuk mudahkan anda buat keputusan, jemput renungkan perkongsian daripada cikgu Abd Ghani Haron ini, in shaa Allah semoga dipermudahkan segala urusan.
Bila Serumah Dengan Ipar Duai
Seorang wanita baru berkahwin yang saya kenali bercerita mengadu hal dan bertanya kepada saya. “Dalam kegembiraan mengharungi perkahwinan, saya tidak terfikir satu perkara, bila sudah duduk dirumah mentua baru berjumpa masalah ini. Masalah aurat dengan ipar duai. Benarkah ada hadis ipar itu maut?. “Saya cuba jawab untuk jadi peringatan juga kepada yang lain.
Dari ‘Uqbah bin ‘Amir radhiyallahu ‘anhu bahwa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,
“BERHATI-HATILAH KAMU KETIKA MASUK MENEMUI WANITA.” LALU SEORANG LAKI-LAKI ANSHAR BERKATA, “WAHAI RASULULLAH, BAGAIMANA HALNYA MENGENAI IPAR?” BELIAU MENJAWAB, “HAMWU (IPAR) ADALAH MAUT.” (HR. BUKHARI NO. 5232 DAN MUSLIM NO. 2172)
Perkahwinan akan mewujud hubungan ipar. Perhubungan ipar duai adalah mahram sementara sahaja iaitu selagi masih berstatus ipar. Apabila suaminya (abang kita) meninggal contohnya atau menceraikannya maka bekas kakak ipar ini boleh berkahwin dengan kita selepas tamat idahnya.
Suami Jangan Buat Isteri Terjebak Dengan Dosa
Hukum-hakam mahram sementara ini tidak sama dengan hukum-hakam mahram yang kekal selama-lamanya iaitu dari aspek aurat, auratnya sama seperti ajnabi (bukan mahram) iaitu wajib ditutup, tidak boleh didedahkan serta tidak boleh dilihat.
Wajib Berlapik
Apabila bersentuh kulit tanpa lapik di antara seseorang lelaki dan kakak iparnya, maka batal wuduk sebagaimana dalam Mazhab Syafie. Begitu juga dari aspek bersalam, ia tidak diharuskan. Juga tidak dibenarkan untuk bersekedudukan atau berdua-duaan tanpa ditemani mahram yang lain. Maka nabi menyebut maut disini merujuk kepada perlunya berhati-hati dalam hubungan ipar yang boleh membawa dosa dan kemaksiatan.
Jadi tinggal serumah dengan ipar duai berbeza jantina ibarat meniti titian yang rapuh mudah terjebak dosa, aurat kena dijaga, berkelubunglah, berstokinlah 24 jam, hingga ke dapur, ruang bebas hanya seluas bilik tidur sahaja. Dan ingat pesan nabi…
“JANGANLAH SALAH SEORANG DI ANTARA KALIAN BERDUA-DUAAN DENGAN SEORANG WANITA (YANG BUKAN MAHRAMNYA) KARENA SETAN ADALAH ORANG KETIGANYA.” (HR. AHMAD-SAHIH)
Ada ketikanya akan terjadi hanya ipar yang ada di rumah, maka hadis ini ada kaitannya.
Anda boleh bayangkan bagaimana payahnya situasi memelihara aurat bagi seorang isteri yg tinggal bersamanya mentua dan adik abang ipar lelaki. Maka jangan seronok merancang untuk kahwin, buat kenduri hebat, lepas tu si isteri bebas dunia hanya dalam bilik 12×10 kaki.
Keluar bilik, ipar melepak di ruang tamu tanpa baju, menyelongkar periok di ruang dapur dengan pelekat, terjerembab berkain tuala keluar bilik mandi, terbongkang tidur di sofa dengan seluar pendek. Fikirlah juga masalah yang akan tempuh oleh isteri. Ambillah ingatan yang nabi pesan ini, ipar itu maut. Jangan pandang ringan.
Jalan Penyelesaian Terbaik
Jalan keluarnya ialah rancanglah untuk tinggal berasingan. Meletakkan isteri dalam situasi ‘maut’ yang disebut dalam hadis ini cukup menggerunkan. Bagi wanita yang nak berkahwin, kajilah keluarga mentua, supaya perancangan boleh dibuat sebelum akad berlaku supaya lepas berkahwin kita kita berpindah ke situasi dunia bebas hanya dalam bilik yang sempit.
Cantiknya anak dara pelakon Que Haidar dan Linda Jasmine, Tengku Ratu Haidar!
Siapa isteri-isteri geng Syatilla angkat tangan. Setuju tak? Memang suami berat mulut dan tak rajin borak bila dalam kereta suara isteri je macam dj radio tak berhenti bercakap. Hihihi.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Anak Autisme Jenis ‘Picky Eater’, Guna Taktik Ni Banyak Benda Boleh Makan. Bukan mudah untuk tangani anak istimewa autisme.Anak yang jenis cerewet memilih makanan, hanya makan makanan tertentu sahaja setiap hari. Ia agak menjadi kesukaran buat mak ayah terutamanya jika perlu makan di luar.
Ada caranya untuk membuatkan anak istimewa ini ‘belajar’ menerima pelbagai jenis makanan.
Baca perkongsian pengalaman daripada Norizwan Azlanini yang juga merupakan ayah kepada anak autisme.
Anak aku yang pakai baju kurung, yang sebelah tu kawan dia. Dua dua autisme.
Kawan dia tu aku tak pasti kenapa dia tutup telinga, tapi aku rasa, mesti ada bunyi yang dia tak suka.
Anak Autisme ‘Picky Eater’
Ni gambar masa ada jamuan raya kat sekolah anak aku.Takde apa nak citer sangat tapi saja nak share pasal anak autisme yang picky eater ni.
Dulu anak aku memang picky eater giler giler punya. Dia cuma makan nasi dengan sup.
Kalau keluar, aku kena cari kedai makan yang ada sup. Takde sup, tak layan.Jenuh weh macam tu. Yelah, sebelum tu kita dah makan kat mana mana kita nak, tapi bila ada anak camni, pilihan kedai jadi terhad.
Tapi lepas tu, aku try paksa dia makan nasi goreng cina. Mula mula memang dia melawan, tapi lama lama, nasi ni jadi faveret dia. So bertambahlah menu dia. Nasi bersup dan nasi goreng cina. Tapi still terhad ni weh
Tahan Daripada Makan
Aku pun mula belajar taktik baru. Aku tahan dia daripada makan. Aku bagi dia lapar yang betul betul punya lapar.
Lepas tu aku bagi makanan yang luar dari ruang lingkup kegemaran dia.
Sekali nah kau, bila dah lapar giler, dia bedal je. Kari, ayam masak merah, daging masak kicap, ikan tiga rasa, semua dia sebat.Masa tu, barulah dia rasa apa itu erti sebenar kesedapan.
Sekarang, aku dah boleh makan kat mana mana kedai aku nak sebab anak aku ni dah boleh makan sama taste dengan aku.Memang banyak benda dia dah makan. Spageti bolonis yang masam tu pun dia bedal.
Aku saja share ni sebab tengok ada parent yang mengadu anak dia picky eater. So suggestion aku, kadang kita kena bagi anak kita tu lapar yang betul betul punya lapar.
Lepas tu, memang dia akan makan je apa yang terhidang.
Tapi, ada tapinya ye.
Ada juga anak autisme, yang memang takkan sentuh makanan lain selain makanan kegemaran dia.
Maybe yang tu, kenalah usaha cara lain. Cara aku ni mungkin tak sesuai. Aku pun sekadar berkongsi je. Ni bukan satu kemestian pun nak ikut ye.
Mingguan Wanita: Semoga perkongsian ini bermanfaat dijadikan panduan buat mak ayah yang turut mengalami situasi yang sama apabila menangani anak autisme.
Pengetua wanita pulas telinga pelajar didenda RM2000, gara-gara tersalah tulis huruf G. Padah buat seorang pengetua wanita yang gagal mengawal perasaan apabila bertindak memulas...