Jodoh Belum Sampai Walau Usia Hampir ‘Five Series’, Ku Cari Bahagia Sendiri

Share

Jodoh adalah rahsia Allah. Lihat pada mereka yang belum lagi bertemu jodoh walau usia makin meningkat. Apakah mereka yang memilih untuk kekal single? Tidak rasanya.  Lebih-lebih lagi wanita, yang memerlukan seorang lelaki bergelar suami untuk melindungi dirinya. Hati mana tak tersentuh melihatkan orang lain bahagia memiliki anak-anak yang dilahirkan sendiri. Tapi, gelodak jiwa mereka siapa yang peduli. Siapa yang mengerti.

Ikuti luahan hati seorang wanita yang masih lagi memegang status ‘gadis’ pada usia yang hampir mencecah 50 tahun.

Syukur Dengan Apa Yang Dimiliki

Kenalkan aku sebagai Liz saja, seorang kaki tangan awam. Aku bersyukur, di usia yang semakin menghampiri ‘five series’, aku sudah ada segalanya. Ada rumah, ada kereta. Ada wang simpanan dan kerjaya yang selesa.  Aku bebas melakukan apa saja. Aku sudah pun menunaikan haji dan sudah beberapa kali menunaikan umrah. Melancong ke luar negara juga sering.

Tapi, aku menyimpan satu hasrat yang masih belum mampu ku gapai; bergelar isteri dan seorang ibu. Ya, aku masih belum bertemu jodoh pada usia begini.

Bukan Memilih Tapi Belum Jodoh

Aku menafikan yang aku memilih, sebab itu tak kahwin sampai sekarang. Telingaku sudah lali dengan kata-kata orang. Dah tidak berbekas lagi di hati. Biarlah apa mereka nak kata. Mereka tak lalui apa yang aku jalani. Mereka tak rasa apa yang aku rasai. Biarlah mereka nak mengata.

Mereka ingat aku tak terasa agaknya bila tengok orang lain ada anak, bahkan sudah bercucu di usia ini. Tapi aku?

Tambah terkilan bila ada kawan-kawan sendiri tak benarkan suami mereka dekat denganku atas alasan takut aku merampas suami mereka. Aduh, sampai macam tu sekali dituduhnya aku.

Ada Yang Cuba, Tapi….

Tak dinafikan, bukan tak ada lelaki yang cuba mejentik hati ini. Bukan juga aku tak cuba buka hati ini untuk terima. Tapi, aku tak boleh nak tipu diri sendiri. Yang hadir, ingin jadikan aku isteri kedua. Sudah pasti aku tolak mentah-mentah.

Bukan aku ego, tapi aku takut akan lalui apa yang mak aku pernah lalui. Mak dulu berpoligami sebelum akhirnya diceraikan arwah ayah. Aku membesar dan melihat di depan mata kesengsaraan mak memendam rasa. Jadi, aku berjanji dengan diri sendiri, takkan berkongsi kasih dengan orang lain. Madu itu manis, tapi bermadu itu pahit bagiku!

Ada juga yang duda. Tapi tak mendapat restu anak-anak. Lantas, bagaimana aku nak  teruskan hidup tanpa restu orang yang paling hampir denganku nanti? Bukan aku mengalah sebelum berjuang, tapi aku rasa lebih baik aku elakkan daripada menderita.

Baca artikel menarik lain di sini:

Jodoh Wanita Lebih Berusia, NIAT Kerana ALLAH Perkahwinan Berkat Dan Bahagia

Dalam Memohon Jodoh Terbaik, Jangan Lupa Selitkan Doa Diberi Mentua Superb

JODOH Yang Baik BUKAN Datang Dengan Kelebihan, TAPI Tidak PERGI Kerana Kekurangan

Hanya Nak Tumpang Senang

Tak nafikan, aku berhati-hati dalam pilih jodoh. Sebenarnya aku tak kisah kalau bakal suami nanti kurang kemampuan dari segi kewangan. Tak kisah, asal dia dapat membahagiakan aku dan membimbingku ke jannah. Tapi dia kena ada usaha sendiri, bukan bergantung padaku.

Tapi yang ku temui, rata-rata sebenarnya ingin menumpang kesenangan. Awal perkenalan sudah minta aku jadi penjamin. Maklumlah, aku kakitangan kerajaan, mudah dapat kelulusan. Belum lagi yang berani minta duit. Haish. Takkan lelaki macam ni nak aku jadikan suami? Takkan aku terdesak sangat? Sekali lagi, aku rasa belum tiba jodohku. Sebab itu ada saja halangannya.

Curah Sayang Pada Anak Buah

Sebagai anak sulung, aku tinggal bersama mak dan seorang adik bongsu lelaki yang masih belum berkahwin. Empat lagi adikku sudah berkahwin. Dengan anak-anak merekalah aku menumpang kasih.

Namun aku bersyukur kerana memiliki keluarga yang tak pernah mendesakku soal perkahwinan. Bahkan mereka sentiasa ‘backup’ bila ada yang mengata.

Berbakti Pada Mak

Mungkin juga Allah ingin aku menjaga makku dulu sebaiknya. Aku puas kerana aku dapat bahagiakan mak selama ini. Segala permintaan mak pasti aku penuhi. Di usia 70-an mak masih gagah dan sihat. Itu sudah cukup buat aku bersyukur.

Soal jodoh, ku serahkan pada Yang Esa. Sebagai hamba, aku tetap berdoa. Dia yang Maha Mengetahui apa yang terbaik buat diriku. Yang penting, ku jalani saja hidup ini dengan penuh rasa syukur.

Jangan lupa follow kami di:

Facebook Mingguan Wanita

Instagram Mingguan Wanita

Twitter Mingguan Wanita

 

 

 

Published by
Team MW