Rasa kebas pada jari dan sekitar tangan adalah perkara biasa yang boleh berlaku terutama ketika cuaca sejuk atau posisi tangan tidak betul ketika tidur.Kebiasannya ia berlaku seketika dan pulih secara sendiri.Namun, pernah tak mak-mak alami rasa kebas pada pergelangan tangan dan jari jemari secara tiba-tiba, dan ia berlaku secara berterusan. Rasa kebas tersebut macam tusukan jarum pada hujung jari, lama-kelamaan menjadi sakit dan membuatkan diri tidak selesa.
Sindrom Terowong Carpal
Menurut Perunding Ortopedik, Tangan dan Pembedahan Mikro Hospital Beacon Dr Terence Tay Khai Wei, antara masalah kesihatan yang dikenal pasti ialah Sindrom Terowong Carpal atau lebih dikenali Carpal Tunnel Syndrome (CTS).
“CTS ialah penyakit berkaitan saraf dan apabila saraf terganggu atau tidak berada dalam keadaan sewajarnya tangan khususnya pergelangan dan jari berasa kebas serta tidak selesa.Terletak di bahagian nadi pada pergelangan tangan manusia, ada bahagian yang membentuk seolah-olah terowong atau lebih dikenali sebagai Terowong Carpal.Di dalam terowong ini, banyak beberapa tisu penting yang melaluinya termasuk saraf. Dalam keadaan tertentu, saraf ini akan terhimpit menyebabkan kebas terutama pada ibu jari, jari telunjuk, jari tengah dan sebahagian daripada jari manis.
“Kawasan itu yang dikawal saraf di dalam terowong terbabit. Kesakitan akan berlaku disebabkan kawasan terowong yang menjadi sempit berikutan tisu sekeliling mengembang lalu menghimpit saraf berkenaan.Ia juga boleh berlaku pada kedua-dua tangan dan bukan hanya pada tangan yang dominan,” katanya.
Faktor & Punca Terjadi
Masalah obesiti, diabetes, penyakit artritis, mereka yang pernah mengalami kecederaan di pergelangan tangan dan wanita hamil adalah antara peratus golongan tertinggi mengalami CTS ini.
“Lazimnya CTS ini berlaku dalam kalangan warga emas dan mereka yang mempunyai masalah berat badan. Ini disebabkan faktor usia dan pertambahan lemak menyebabkan saraf pada terowong itu menjadi sempit. Begitu juga mereka yang kerap menggunakan pergelangan tangan ketika bekerja seperti atlet sukan raket dan golongan pekerja yang menggunakan mesin jenis bergetar setiap hari.
“Peratusan wanita yang mengalaminya pula tiga kali lebih tinggi berbanding lelaki. Ia berlaku kerana pergelangan tangan wanita lebih kecil tetapi saiz terowong yang sama seperti lelaki membuatkan saraf di bahagian terbabit cenderung untuk terhimpit,” katanya.
Namun sejak kebelakangan ini makin ramai golongan muda seawal usia 20-an mengalami CTS kerana terlalu lama menaip mahupun melayari Internet di komputer. Begitu juga yang sentiasa menggunakan gajet seperti tablet dan telefon pintar.
Cara Atasinya
Bagi mengurangkan simptom atau rasa sakit yang dialami, Dr Tay menyarankan pengambilan vitamin seperti B6 dan B12.
“Pemeriksaan daripada simptom dan ujian fizikal dapat mengenal pasti tahap serius CTS pada seseorang pesakit. Ujian elektrofisiologi antara cara yang boleh dijalankan untuk mengesahkannya.Untuk jenis CTS yang ringan dan tidak serius, pesakit disarankan mengambil vitamin terutama B6 dan B12. Tetapi jika ia berlarutan, rawatan lain akan diberikan seperti suntikan steroid setempat bagi melegakan kesakitan.
“Namun jika rawatan itu tidak berkesan, pembedahan kecil pada pergelangan tangan akan dilakukan.Pembedahan ini biasanya mengambil masa pendek dan tempoh sekurang-kurangnya dua minggu untuk sembuh. Langkah berkenaan dilakukan bagi membesarkan laluan saraf, selain pengambilan vitamin yang membantu peredaran darah lalu mengurangkan rasa sakit, kebas atau tidak selesa pada tangan,” ujarnya.
Lakukan Senaman Regangan
Pada masa sama, Dr Tay menyarankan pengurangan menggunakan peralatan elektronik dalam tempoh lama. Ini membolehkan pergelangan tangan berehat daripada terlalu banyak melakukan bebanan.
“Sebaiknya rehatkan tangan selepas 15 minit menaip atau menggunakan komputer. Jika terpaksa menggunakan komputer pada tempoh lama untuk menyiapkan tugasan, kerap lakukan senaman regangan pada pergelangan tangan yang hanya mengambil masa kurang seminit.
“Caranya, luruskan tangan di depan dada pada laras 90 darjah. Tegakkan tapak tangan. Gunakan tangan kiri untuk menolak tapak tangan kanan ke belakang. Tahan selama 15 saat.Ulang perkara sama pada tangan kiri. Seterusnya, rapatkan kedua-dua tapak tangan di dada. Tekan lembut kedua-duanya dan tahan antara 15 ke 20 saat,” katanya.
Juga disarankan menggunakan pelapik yang boleh digunakan ketika menaip di komputer bagi mengurangkan bebanan dan rasa tidak selesa pada pergelangan tangan. Bagi golongan berisiko, digalakkan menggunakan sokongan pada tangan ketika tidur untuk mengelakkan tangan terlipat.
Semoga bermanfaat!
Sumber: Hmetro
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI