Jika Masih Terbenam, Jangan Cabut! Doktor Ini Kongsi Rawatan Awal Bagi Luka Tusukan Objek Tajam

Share

Ngeri bila membayangkan keadaan meninggal dunia akibat tertusuk pisau. Bila dalam situasi cemas begini dan tanpa ilmu rawatan asas, mungkin ramai diantara kita yang panik dan melakukan tindakan yang sama, iaitu mencabut pisau tersebut.

Sebenarnya, dalam situasi cemas melibatkan tusukan objek tajam ini ada cara rawatan yang tersendiri yang perlu diketahui. Jemput baca perkongsian oleh Dr Asmi Syabil ini sebagai panduan;

Rawatan Awal Bagi Luka Tusukan Objek Tajam

نَّا لِلّهِ وَإِنَّـا إِلَيْهِ رَاجِعون

Sebak hati membaca berita ini apatah lagi mengenangkan umur mangsa yang hampir sebaya dengan anak saya.

Salam takziah buat keluarga mangsa.Semoga arwah ditempatkan bersama-sama para auliya’ dan syuhada.

Benarlah ajal maut kita telah ditetapkan sejak azali lagi.Tapi sebagai manusia kita diajar untuk sentiasa mengambil ibrah dan pengajaran daripada setiap apa yang berlaku di sekeliling kita. Ambillah kisah ini sebagai pengajaran bukan untuk menyalahkan.

Merujuk kepada kes ini,seorang kanak-kanak berumur 2 tahun yang sedang berlari telah terpijak pinggan di atas lantai yang terletak di dalamnya sebilah pisau melapah daging sepanjang 15cm menyebabkan mangsa jatuh tertiarap dan pisau tersebut tertusuk perut kiri mangsa.Ahli keluarga yang PANIK

kemudiannya bertindak MENCABUT pisau tersebut daripada perut mangsa.

Sebahagian besar daripada kita mungkin akan melakukan tindakan yang sama dalam keadaan cemas seperti ini,tambahan pula apabila panik menguasai diri.

Luka Tusukan Dalam Konteks Perubatan Kecemasan

Jom kita bicara sedikit berkenaan luka tusukan dalam konteks perubatan kecemasan:rawatan awal (first aid).

Luka daripada tusukan atau tikaman tajam boleh berlaku disebabkan pisau,gunting,jarum,paku,besi,kaca,pensel,pen dan sebagainya dan lokasi tubuh badan yang berisiko seperti bahagian dada,abdomen,belakang badan,tapak kaki,tangan dan juga muka.

Objek yang tertusuk,jika terlampau dalam boleh menyebabkan kecederaan kepada organ dalaman serta pendarahan yang teruk dan boleh mengancam nyawa.

Dalam kes ini,pisau tersebut telah tertusuk pada bahagian perut yang mana mungkin boleh menyebabkan kecederaan kepada limpa,hati,buah pinggang,usus atau yang paling ditakuti jika terkena Aorta iaitu salur arteri terbesar di dalam badan manusia yang boleh menyebabkan pendarahan tanpa henti sehingga kehabisan darah.

Wound Man : Ilustrasi menunjukkan pelbagai contoh luka yang boleh terjadi

Langkah Segera Elak Risiko Kematian

Risiko kematian dapat dielakkan sekiranya langkah berikut dapat kita lakukan dengan segera:

– Paling utama cuba bertenang dan tenangkan mangsa.

– Jangan cabut objek yang terbenam.Sasaran kita adalah untuk:
1. Mengelakkan kecederaan yang lebih teruk
2. Menghentikan pendarahan
3. Mengelakkan risiko jangkitan

– Kurangkan pergerakan mangsa

– Cuci luka dengan air bersih jika ada.

– Jika objek telah tercabut,tekan pada lokasi luka sehingga berhenti untuk mengawal pendarahan.

– Jika objek masih terbenam pada tubuh mangsa,JANGAN CABUT kerana objek tersebut mungkin telah mengenai salur darah atau tertusuk jantung misalnya,tetapi ia bertindak sebagai “penyumbat luka” yang bertindak menyekat daripada pendarahan yang lebih teruk.

– Stabilkan objek yang tertusuk dengan menggunakan “balutan donut/cincin” dengan menggunakan kain bersih dan diletakkan disekeliling objek,kemudian tutup dengan kain bersih yang lain.

Contoh Balutan Donut atau Cincin yang boleh dibuat dan diletakkan di sekeliling objek tikaman untuk menstabilkannya.

– Tinggikan anggota badan yang tercedera dari paras jantung untuk mengurangkan pengaliran keluar darah.

– Dapatkan bantuan kecemasan dengan segera daripada anggota perubatan samada di klinik atau hospital berdekatan atau hubungi 999.

Jenis Rawatan

Kebiasaannya doktor akan memberi rawatan perubatan seperti berikut bagi luka tusukan yang tidak serius (selepas analisa):

1. Suntikan anti-tetanus untuk mengelakkan kancing gigi (jika perlu)
2. Ubat penahan sakit dan antibiotik (jika perlu)
3. Jahitan pada bahagian luka (jika perlu)

Bagi luka tusukan yang serius dan mungkin mengancam nyawa (seperti dalam kes ini),selalunya apabila pesakit sampai ke kecemasan dalam keadaan objek tertusuk contohnya di abdomen atau dada,kita akan melakukan scan untuk menganalisis sejauh mana tahap keterukan tusukan/tikaman objek tersebut dan juga risiko untuk mengeluarkannya.

Boleh dikatakan hampir semua kes tusukan pada abdomen atau dada akan dirujuk kepada Doktor Pembedahan untuk dikeluarkan dalam bilik bedah agar punca perdarahan dapat dikawal dan dibaiki secara terus selepas objek tersebut dicabut.

Semoga menjadi panduan buat kita semua.
Salam Takziah buat keluarga mangsa.

Dr.Asmi Syabil
Pegawai Perubatan Kecemasan

MW: Semoga perkongsian ini memberi ilmu dan panduan buat mak ayah bila menghadapi situasi cemas sebegini. Kemalangan tidak dapat di jangka, namun pesanan juga buat mak ayah agar lebih berhati-hati dengan objek tajam terutamanya bila ada anak-anak kecil di rumah. Alfatihah buat keluarga mangsa.

Sumber: Asmi Syabil

Published by
Suhaidah Abd Wahab