Adab menziarahi orang sakit dan jenazah menjadi topik menjadi pengisian Mingguan Wanita Talk Show Jumaat ini. Dikelolakan oleh Siti Elizad dan IM Naufal dan turut diundang dua tetamu istimewa; Ustazah Isfadiah Mohd Dasuki dan selebriti Linda Rafar berkongsi pandangan masing-masing mengenai isu ini.
Ustazah Isfadiah baru sahaja kehilangan almarhum bapa tercinta, 23 hari lalu. Mengakui dia sendiri terlibat dalam urusan memandikan jenazah arwah bapanya. Seperti insan lain, beliau pun terkesima apabila diberi ruang melihat sendiri keajaiban Allah SWT sewaktu menguruskan bapanya buat kali terakhir.
“Saya sendiri selaku ustazah, belum pernah melalui pengalaman melihat sendiri tanda-tanda akhir kematian. Secara jujur saya juga sempat google apa lagi simptom menjelang kematian yang saya terlepas pandang apabila menguruskan bapa yang tidak sihat.
“Sebenarnya tanda-tanda kematian itu tidak sama pada semua orang. Apa yang ingin saya tekankan sekiranya kita menziarahi mereka yang sedang sakit tenat atau telah meninggal dunia. Jangan lupa baca Surah Yassin dan Surah Ar Ra’d. Cari posisi paling hampir dengan si pesakit agar kita boleh membisikkan kalimah Allah dan zikrullah di pendengarannya.
Beliau juga menasihatkan adab mengunjungi mereka yang tidak sihat dan menyantuni jenazah adalah sifat empati kita ke atas si pesakit, si mati dan juga keluarganya.
“Jangan kita datang dengan niat menyusahkan mereka yang menguruskan si pesakit. Sebaiknya kitalah yang datang sambil membawa sedikit buah tangan berupa makanan. Caknalah keperluan mereka yang menjaga pesakit, mungkin kekangan masa menguruskan pesakit membuatkan si penjaga terlepas waktu makan, kepenatan dan kelaparan. Jangan dibebankan tuan rumah dengan memintanya menyediakan juadah semata-mata meraikan kedatangan kita, sedangkan dia perlu memberi perhatian ke atas pesakit,”pesan beliau.
Senyum tanda baik, wajah keruh tanda sebaliknya?
Masyarakat kita terbiasa dimomokkan dengan petanda sebegini membawa maksud yang baik atau sebaliknya. Tambah Ustazah Isfadiah lagi berhentilah membuat penilaian rawak ke atas apa yang kita lihat pada riak wajah si mati.
“Sebaiknya kita yang menziarahi mendoakan sebaiknya untuk si mati. Jangan jadi tukang menilai. Urusan kita nanti pun kita tak tahu bagaimana pengakhirannya. Berhentilah meneka-neka dan menyalah tafsir yang bukan-bukan. Selayaknya Allah SWT yang menilainya,”tegasnya.
Dua kali urus jenazah Linda Rafar terkesan dengan pengalaman ini
Sempat menguruskan dua jenazah, empat tahun lalu anak lelaki keduanya dan awal Januari lalu menguruskan arwah ibunya. Linda Rafar mengakui seolah-olah diberi petanda yang insan terdekatnya bakal pergi meninggalkannya selamanya.
“Dua kali diberi kesempatan menguruskan jenazah insan penting dalam hidup saya. Melihat sendiri tanda-tanda kematian dan berpeluang menguruskan mereka memberi kepuasan buat saya. Selaku anak dan ibu perkara ini memberi keinsafan buat saya lebih-lebih lagi mendengar dan melihat peristiwa istimewa sepanjang menguruskan dua jenazah ini,”terangnya sambil sesekali air matanya mengalir berkongsi pengalaman yang pernah dilaluinya.
Nak tahu dua peristiwa istimewa yang memberi senyuman buat Ustazah Isfadiah dan Linda Rafar? Jangan lupa saksikan ulangan Mingguan Wanita Talk Show jam 8 malam ini menerusi topik Adab Ketika Keluarga Nazak di Astro Prima 105 dan Prima HD 121.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI